Total Pageviews

Tuesday, January 6, 2015

Kesukaran Yang Menjadi Kekuatan

Cuti sudah tiba ke hujung. Disambung seminggu lagi sebab kasihankan mangsa banjir. Sekolah masih digunakan sebagai pusat penempatan. Lumpur sampai setinggi orang. Khabarnya ada tempat yang kena lalu dengan kenderaan pacuan empat roda disebabkan lumpur yang tinggi itu.

Memang saya bimbangkan Aishah. Dia di Tanah Merah, bekerja di sana. Ibu muda dari Jawa itu sudah seperti adik sendiri. Saya dan kakak, juga rakan-rakan berusaha mengesan Aishah. Saya menghubungi Raja Shamri dan bertanyakan khabar melalui siswa guru yang menjadi sukarelawan. “Kami masih belum boleh masuk ke Tanah Merah, puan. Tapi khabarnya pasukan Raja Shamri sudah masuk. Air tinggi di sini...”

Ya, perhubungan terputus. Elektrik juga tiada. Mereka kelaparan sebab bekalan tidak boleh dihantar. Mudah-mudahan kesukaran hidup yang pernah dilalui Aishah menjadi kekuatannya pada saat-saat susah seperti itu.

Kami mendapat khabar selepas seminggu bahawa Aishah selamat berlindung di tempat tinggi. Alhamdulillah.

“Balik ke Perak,” kata saya kepada Aishah meskipun saya tahu perhubungan jalan raya juga menghadapi masalah tanah rekah dan tidak boleh dilalui kenderaan.

Rakyat Malaysia daripada berbilang kaum bersatu hati membantu mengesat air mata Kelantan, Terengganu dan Pahang. Walaupun ada kekecohan tetapi semuanya dapat diatasi dengan semangat perpaduan dan kesefahaman yang tinggi. Banjir-banjir semacam itu, kalau kecoh-kecoh juga; lemparkan sahaja lumpur hitam ke muka pelaku-pelaku politik bebal dan angkuh!

Kata kakak saya, “kalau di Sungai Siput, banjir enam bulan pun tidak mengapa. Bekalan makanan bertimbun. Sangat tidak adil...” katanya kesal. Sebenarnya banjir di Perak tidak seteruk di Kelantan. Lenggong juga banjir. Air naik menjalar ke jalan raya. Ada rumah yang hanya nampak bumbung juga. Tetapi banjir di kelantan berskala besar.

Hati saya berbisik, “kalaulah saya masih kuat seperti dahulu...”

Akhirnya saya duduk melayan kerenah dua ekor budak berbulu-bulu. Daddynya memasang jaring hijau di gril hadapan dan belakang; juga di pintu pagar hadapan. Mudah untuk kedua-duanya memandang ke dunia luar. Hati saya bergetar juga ketika Daddynya mengenyit mata kepada si bongsu dengan katanya, “adik tahu, harga Baby sekarang ini berapa? Sudah mencapai RM2100!”

“Wah, boleh beli macam-macam dengan duit sebanyak itu!” sambut si bongsu.

Saya tahu mereka sedang mengusik saya!

Jawapan saya ialah, “awas! Jangan ada terniat mahu culik si Baby. Kalau hilang Baby, abang dengan adik tidur di luar rumah!”

Hohoho...demi bulus-bulus itu, saya makan ikan masin pun tidak mengapa!

Sebagai solidariti kepada mangsa-mangsa banjir di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu!

No comments: