Total Pageviews

Thursday, December 24, 2015

Puse

Saya terpaksa pulang sekejap ke Seremban. Lewat petang sekitar jam 4, saya dan si bongsu bergerak mengharungi kesesakan melampau dan hujan lebat hari minggu. Cuti sekolah dan Ahad. Maka tiada kehairanan apa-apa jika sesak. Kemudian katanya ada kejadian tanah runtuh juga.

Berhenti sekejap sahaja untuk mengisi minyak. Kesesakan melampau juga di stesen minyak.

Mak saya tinggalkan dengan hati berat. Mudah-mudahan mak dipermudahkan semuanya. Kasihan juga dengan Puse. Juga dua anaknya yang saya rawat dan kurung.

Sehingga jam satu setengah pagi, kakak masih menghubungi saya menceritakan kemurungan Puse yang enggan makan. Hanya termenung dan badannya lembik. Barangkali Puse mencari saya. Kasihan memikirkan Puse yang sedikit terabai selepas mak terlantar sakit lebih kurang dua bulan ini. Kucing bercorak seperti kucing hutan itu sangat bijak. Waktu saya mahu ke pasar untuk mencari keperluan mak, saya hamparkan kain di tepi katil mak dan saya memintanya menjaga mak. Dia akan duduk di situ sehinggalah saya balik. Kata mak, sesekali dia akan bangun, berdiri di birai katil menjenguk mak. Puse telah saya mandulkan memandangkan sudah dua kali dia bersalin dan mak tidak mampu menjaga kucing yang banyak.

Sampai ke rumah, enam ekor itu keriangan. Baby sedikit merajuk seperti biasa. Yang lain berlarian dan datang mengelilingi saya. Saya cuci lantai dengan cecair pembunuh kuman, memberikan antibiotik kepada Simba yang cirit-birit. Mereka tidur di sisi saya sepanjang malam. Tengah malam, Baby mengurut saya, menghidu-hidu pipi.

Apabila kita berbuat baik kepada manusia, belum tentu kebaikan menjadi balasannya. Tetapi jika kita berbuat baik kepada binatang, Allah akan memberi ketenangan hati kepada kita dengan kerenah mereka yang sangat menghiburkan.

Saya meninggalkan Baby, Atat dan Milo lagi. Membawa bersama Comel, Shiro dan Simba. Hanya sekitar dua hari saya bersama mereka.

Kami kembali mengharungi perjalanan panjang ke utara.

Thursday, December 10, 2015

SEKOLAH HIDUP

Saya mengajak abang sulung mencari Pak Said di Kampung Bukit Sapi. Sebenarnya saya tidak tahu kedudukan sebenar kampung tersebut. Rupa-rupanya kampung itu menganjur ke dalam. Jalannya bertar tetapi kecil. Kiri kanan masih hijau sama ada dihiasi belukar atau kebun getah. Ketika membelok ke kanan, tiba-tiba abang minta saya berhenti.

“Itu kawan abang...” katanya menunjuk ke belakang ke arah lelaki pertengahan baya yang bermotosikal. Saya memberhentikan kereta dan abang keluar bertemu dengan rakannya. Bertanyakan arah jalan ke rumah Pak Said. Kawan abang meminta kami mengekorinya.

Wah, jalannya berliku. Kena melalui permatang sawah yang selebar kereta. Ada sekolah rendah juga. Saya suka pemandangan ini, tetapi kemudian geli hati sendiri cuba mengelak-elak tahi lembu yang bertaburan di jalanan. Aduh, saya terkenang Kuala Pilah, khususnya jalan ke Seri Menanti. Itu sajalah kecacatannya. Tahi lembu!

Saya fikir kalau diminta pergi lagi sekali, memang sukar untuk saya mengecam. Maklumlah mata pelajaran paling saya lemah ialah Ilmu Alam. Sekarang ini sekali pun kereta saya ada GPS, saya tetap dalam kesesatan yang nyata.

Pak Said tidaklah tua sangat. Abang meminta dia ke rumah dan memberikan duit minyak. Mak agak sukar untuk dibawa ke sana memandangkan rumah beliau agak berbukit. Dia pun datang ke rumah, membetulkan kedudukan tulang mak di bahu dan belakang. Menjerit mak kesakitan walaupun hanya sekejap. Tetapi Pak Said ini mungkin telah diajar oleh gurunya untuk bermain dengan psikologi pesakit. Dia asyik berkata, “mari saya tengok. Oh...sikit saja ni. Tak ada apa-apa...” dan dalam tak ada apa-apa itu, dia membetulkan kedudukan tulang yang “lari”.

Mak OK selepas itu. Sepatutnya lutut mak juga perlu “dibaiki” tetapi mak serik sedikit. Abang sulung saya juga membetulkan tulang pinggangnya.

Esoknya, mak bertatih di jalan hadapan rumah, di samping mencari cahaya matahari. Dengan tongkat yang baharu dibeli kakak, mak bergerak perlahan-lahan. Saya mengawasinya dengan cermat. Mak duduk di sofa, masih mencari cahaya. Sambil bercerita dan berteka-teki dengan anak saudara saya, si Irfan yang debab.

Baiklah. Matahari saya telah bangkit perlahan-lahan, menghilangkan gelisah penghuni siang. Meskipun cahayanya masih malap, tetapi semangat matahari telah menyerap ke dalam diri. Ya, doa dan ikhtiar yang seperti lebuh raya panjang. Tidak putus-putus. Dicampur dengan kekuatan semangat mak yang memang kita maklumi sejak dahulu. Apa lagi selepas kakak saya terpaksa kembali bekerja (dan pulang usai tugasnya untuk menemani mak sebelah malam). Dan kemudian saya beritahu mak bahawa saya perlu kembali bekerja kurang lebih dua minggu lagi. Mak berusaha keras untuk berdikari. Hinggakan saya lihat mak bertatih menuju ke tandas di bilik air. Melihatkan itu saya khuatir sendiri.

Saya masih berpendapat bahawa anak perempuan lebih sabar menangani sensitiviti ibu bapa yang terlantar. Mesti selalu meyakinkan dengan nada suara yang lembut, “tidak mengapa mak. Buang air sahaja di situ, nanti kami buang”. Tidak boleh bersuara kuat dengan alasan telinga orang tua sudah tidak mendengar. Jangan selalu menyebut tentang hospital sedangkan kita tahu betapa fobianya orang tua dengan tempat tersebut. Orang tua sangat sensitif. Mereka cepat berasa bahawa kita sudah tidak larat menjaga mereka. Mesti juga melihat ada semut atau serangga kecil berdekatan tempat tidur. Mesti memastikan alas kering, tidak berbau hancing. Makanan yang dihidang mesti bersih dan bertutup kemas. Mesti mengingatkan mereka berkenaan waktu solat. Mengingatkan bahawa ujian Allah itu demi memastikan mereka layak untuk tinggal di syurga. Mesti sabar jika tiba-tiba mereka mahukan itu dan ini. Jangan sampai mereka terdengar kita menyebut perkataan penat.

Saya banyak belajar daripada kakak. Dan kakak mempelajarinya dengan melihat bagaimana mak menjaga dan menguruskan allahyarham ayah ketika ayah terlantar sakit bertahun-tahun. Kata kakak, mak akan bangun sebelum subuh, perkara pertama ialah memastikan keselesaan ayah. Selepas itu barulah menguruskan hal rumah, hal anak, untuk turun ke sawah atau kebun getah. Malam pula mak tidak tidur lena. Siap siaga jika tiba-tiba ayah perlukan sesuatu.

Kita tidak mempelajari semua itu di sekolah atau universiti. Pengalaman, kesusahan dan pemerhatian adalah sekolah kehidupan terbaik untuk kita.

Mak sudah beransur baik meskipun masih perlu diawasi.

Alhamdulillah. Terima kasih atas seluruh doa.

Wednesday, December 9, 2015

Bertemu Pulau

Meninggalkan emak menuju pulau.

Saya menyiapkan segalanya untuk emak sebelum berangkat Khamis itu. Saya beritahu emak, saya akan kembali sebelum tengah hari Ahad. Rupa-rupanya emak tidak perasan. Sesampainya di pulau, emak asyik bertanyakan anak saudara, “kenapa Mak Yang belum balik lagi...”

Kemudian mak berkata, “Yang cakap mahu pergi sekejap saja!”

Saya dan si bongsu ke pulau untuk Pulara 6 (Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor). Kami ditempatkan di Hotel Coral Bay aras dua dari tarikh 3 hingga 6 Disember 2015.

Saya dijemput baca puisi pada malam kedua di Arena Pangkor. Saya baca Ketika Menatap Laut daripada Kumpulan Puisi Pelabuhan Matahari. Sepanjang aktiviti di pulau, saya sentiasa terkenangkan emak. Waktu malam tiada masalah sebab kakak yang di Ipoh akan balik. Waktu siang itu saya sedikit gusar. Manakan sama cara anak lelaki dan perempuan menguruskan emak yang sakit.

Seorang tetamu pernah beritahu, “kami tak punya anak perempuan. Kami hidup dalam ketakutan mengenangkan apa akan berlaku kalau ditakdirkan kami uzur nanti...”

Saya menenangkan. “Sama sahaja”, kata saya. Cuma anak perempuan ini caranya lebih lembut, cermat dan cekap. Tapi ayat yang kedua itu hanya berkeliaran dalam kepala saya.

Di pulau, saya memerhati dan mentafsir. Saya melihat keikhlasan, sama seperti saya melihat topeng-topeng yang bergayutan. Ada yang tulen dan ada yang ikut-ikutan. Ada yang mengambil kesempatan acara sastera untuk menjalin hubungan, langsung gagal hadir ke acara yang ditentukan. Ada yang berupa sang primadona, tiada beda dengan artis-artisan yang menghiasi pentas. Ada yang mahu diangkat-angkat, yang berasakan lebih bagus daripada yang lain.

Rupa-rupanya dunia sastera ini pun tiada beda.

Kalau mahu berbeda boleh sahaja.

Pergi masuk ke hutan dan tinggal dalam gua. Sendirian. Atau dengan kelawar, ular dan lipan.

Hah...hah...

Sunday, November 29, 2015

Kekuatan Doa

Kekuatan doa. Saya sangat yakin dgn itu.

Pagi2 saya menunggu tren menuju Hukm. Gerimis kecil. Orang banyak meskipun tidak seramai musim sekolah.

Segalanya menjadi cepat hari ini. Saya ke klinik ENT untuk pembatalan temu janji, terpaksa menjawab soal selidik yg panjang dan tebal, mengambil ubat yg sudah bertambah untuk tulang kaki, membayar bil api dan makan kentang sedikit. Onkologis yg cantik dan baik hati itu meriangkan hati.

Seorang pesakit wanita India berkerusi roda, kakinya bengkak. Dia bicara dalam bahasa penjajah, menujukan kerusi rodanya ke arah saya, meminta sedikit wang sebab tidak mampu membayar kos ubat. Malaysia Ku...dan khabarnya harga ubat akan naik lagi. Tamoxifen saya pun kena catu. Kata doktor, bajet sudah kurang. Ada kisah 'off record' juga dgn onkologis comel berketurunan tionghua itu.

Sepanjang waktu saya berdoa untuk Mak. Jika bagus, mudahkanlah. Jika tidak, wujudkan halangan dan minta petunjuk. Saya tidak tahu kenapa saya sangat yakin cyst Mak akan hilang. Rupa2nya memang betul. Hospital mengesahkan yg cyst bersaiz 17cm itu sudah tiada.

Alhamdulillah. Subhanallah. Allah telah angkat kesakitan Mak.

Nikmat Tuhan manakah lagi yang kita dustakan?

Saturday, November 28, 2015

Masih tentang emak

Nama puan ya? Nama samaran? Sedap namanya.

Tanya orang itu. Rasanya bukan orang sastera, mungkin jemputan agensi kerajaan.

Mereka melihat saya berfoto di hadapan gambar pemenang2. Gambar dan nama saya duduknya agak tinggi.

Nama betul. Saya tiada nama samaran, jawab saya. Rasanya ini bukan pertama kali orang tanya saya begitu.Alhamdulillah.

Penat. Akhirnya setelah merata mencari ubat, ternyata sudah kehabisan. Saya kena juga memenuhi apoinmen ke HUKM. Jadi, saya lepaskan si bongsu pulang ke kampung sendirian. Jam delapan setengah malam dia bergerak dan kurang lebih satu empat puluh lima pagi dia tiba di kampung. Sebelum itu kami uruskan kucing2 ke klinik.

Ada berita juga, mak menerima tawaran haji. Saya menulis surat terus kepada tiga menteri. Nampaknya berhasil. Kami berdoa (dan saya merayu yang membaca ini juga turut berdoa) agar mak segera sihat, mempunyai pengiring dan mampu menunaikan haji dengan mental dan fizikal yang bagus.

Mak sudah boleh buang air besar setiap hari. Cuma tidurnya terganggu sebab bimbang. Cuti kakak akan berakhir hujung November. Sudah tentu Mak bimbang. Saya kira tiada orang yang dapat menjaga Mak secekap dan sesempurna kakak.

Saya akan cuba sedaya upaya saya, Mak.

Saya berjanji. Tuhan, permudahkanlah!

Wednesday, November 25, 2015

HSPM 2014

Sebuah piala yang sangat berat dengan tertera logo (?) kerajaan Malaysia, sebuah watikah (?) berisi sijil dan sekeping sampul bertulis “wang tunai” (sebenarnya hanya ada nota sahaja di dalamnya)...saya mengambilnya daripada tangan Menteri Pendidikan Malaysia pada tarikh 25 November 2015 di Hotel Palace of Golden Horses Seri Kembangan. PM yang dijadualkan hadir, tidak hadir. Barangkali beliau ada urusan lain yang lebih penting daripada bertemu para penulis dan penggiat sastera tanah air yang mungkin sebahagian orang menganggap “tiada menyumbang apa-apa” kepada ekonomi negara!

Alhamdulillah. Ini pengikhtirafan tertinggi sastera daripada kerajaan Malaysia. Meskipun saya hanya menang untuk kategori cerpen tetapi mendengar laporan pengerusi panel, terlalu banyak pencalonan untuk kategori cerpen dan puisi berbanding kategori lain. Dalam makna yang lain, Hingyaku diberikan Allah dua peluang untuk menang. Satu sebagai Hadiah Utama Kategori Cerpen HSKU ExxonMobil dan satu lagi untuk anugerah berprestij ini. Barangkali kekuatan Hingyaku adalah temanya, atau gaya tulisnya.

Waktu nama dan gambar saya tertera di skrin besar, saya hanya membayangkan mak yang sedang berjalan naik ke pentas. Saat lampu kamera bergemerlapan, saya juga membayangkan mak sedang tersenyum menerima ucapan tahniah pak menteri.

Saya ditemani pengiring setia, si bongsu. Kami menghadapi perjalanan jauh dari Lenggong ke Seremban, menguruskan kucing-kucing kemudian ke Seri Kembangan dalam pekat cuaca dan lebat hujan. Hati saya kurang keruan mengingatkan mak di kampung dan kakak yang sedikit merosot kesihatannya.

Sesungguhnya hadiah ini untuk mak, guru sastera saya yang terhebat. Meskipun mak tidak sekolah, mak hanya boleh membaca ekoran ketekunannya ke kelas dewasa, tetapi mak adalah “penulis” sebenar sajak Keberangkatan Ayah, sajak Anak Tanpa Rumah, cerpen Hingyaku, cerpen Dingin Bara, sajak Sepatu Hijrah dan sajak Benarlah Katamu.

Terima kasih mak. Tunggu saya pulang menunjukkan piala berat dan plak-plak lain kepada mak.

Tuesday, November 24, 2015

Mak dan semangatnya

Mak tidak tidur 24 jam. Kesejukan. Kami cuba memanaskan badan mak tetapi masih berasa sejuk. Kata mak, bawalah mak ke hospital. Saya tahu fobia mak masih kuat tetapi mak sudah berjanji.

Mak bangun duduk, memakai baju dan lampin sendiri. Kemas seperti biasa. Saya duduk di depan muka mak dan berkata, "Mak mesti bersemangat. Jangan takut. Kita doa yang bagus2. Yang pun berani, Mak juga mesti berani. Semangat!"

Saya mengacungkan penumbuk ke udara. Mak ikut melakukan yg sama.

Saya bergerak balik untuk acara Hadiah Sastera Perdana 2014 yg akan berlangsung di Hotel Palace Of Golden Horses. Saya kata nanti dapat duit, saya belanja Mak lagi. Saya menang bagi pihak Mak. Jiwa Mak yg akan naik ke pentas bersama saya.

Hati saya separuh tertinggal bersama Mak, bersama kakak, kakak ipar dan adik bongsu yg sedang menguruskan Mak. Moga mereka juga kuat. Maklumlah menghadapi kerenah pengurusan hospital luar bandar yang sangat menyakitkan jiwa.

Monday, November 23, 2015

Mak

Kami melalui hari-hari yang sukar. Ada waktunya mak OK dan ada waktunya mak tidak sedarkan diri. Pandangan mata mak kosong. Butir bicaranya tidak jelas. Namun apa yang kami syukuri ialah mak tetap mengaji, membaca ayat-ayat suci dalam keadaannya yang tidak sedarkan diri itu.

Kami membawa mak sekali lagi ke Poliklinik Azhar, menemui Dr Azmi yang memang sudah biasa datang jika kami melakukan “house-call”. Mak demam kuat pada jam 1 pagi. Itulah puncanya kami membawa mak ke sana. Kami juga meminta dilakukan Scan sekali lagi. Meskipun perut mak sudah agak surut, tetapi doktor dapat mengesan cyst berukuran 17 sentimeter. “Jangan letak minyak panas atau menggosoknya di kawasan ini. Kita bimbang jika cyst ini pecah”.

Dan saya bertanya, ke mana hilangnya ketulan keras di perut mak yang membengkak itu. Doktor itu pun tiada jawapan. Allah yang telah menghilangkannya melalui tangan perawat-perawat khususnya perawat di Pengkalan Hulu.

Balik ke rumah, mak tidak sedarkan diri dari selepas Maghrib membawa ke pagi. Semua anak di sisi mak kecuali kakak sulung yang sibuk menjaga cucu kembarnya yang baru lahir dan adik lelaki yang bekerja di Batu Pahat. Mak muntah banyak malam itu, saya fikir kesan ubat. Sebelum ini mak tidak muntah pun.

Kalau mak sudah semakin kurus, demikian juga kami. Kami makan sahaja apa yang ada. Kadangkala tidak makan sehingga tengah hari.

Saya sudah tidak berdoa meminta banyak perkara. Hanya berbaki dua iaitu kesejahteraan anak-anak saya dan yang paling utama memohon dikembalikan kesihatan mak. Kesihatan saya sudah tidak penting lagi.

Mujur tahun ini kami masih ada cuti semester. Ini tahun akhir kami dapat menikmatinya meskipun sekejap-sekejap saya kena balik ke Seremban menguruskan beberapa perkara berkaitan kerja dan peribadi. Dapatlah saya membantu kakak dan adik beradik lain menguruskan mak. Alhamdulillah.

Mak hanya seorang sahaja di dunia sini dan sana. Kita pernah berada dalam perut mak, memakan sebahagian daripada apa yang mak makan, mengganggu tidur mak dengan kerenah kita menendang dan menumbuk dinding perut mak, mengambil separuh upaya mak, menyukarkan pergerakan mak, menyakitkan seluruh kudrat mak ketika meneran untuk melahirkan kita ke dunia ini.

Belum lagi bagaimana payahnya mak membesar dan mendidik kita, menghadapi seribu macam perangai kita yang mencabar sabarnya.

Maka kita bersabarlah dengan kesakitan mak. Mak hanya seorang. Hanya seorang.

Mak...dengan kekuatan semangat terus menyuntiknya ke dalam sanubari kami.

Saturday, November 21, 2015

Sejalur Cahaya Memercik Di Daun

Saya bergerak balik ke Seremban lewat petang Selasa. Sendirian. Rabu saya bergerak awal pagi untuk menjadi hakim Pertandingan Mencipta dan Mendeklamasi Sajak di Majlis Perbandaran PD. Jam 7.30 pagi saya sudah menunggu di dewan yang sangat sejuk. Tiada sesiapa di situ. Acara sepatutnya bermula jam 8 dengan sarapan pagi, jam 8.30 konon majlis bermula.

Saya nampak Puan Mahaya. Beliau antara hakim juga. Kami menunggu dan menunggu. jam 9.30 saya beritahu beliau, “ayuh kita duduk di depan. Nampaknya majlis macam bertangguh-tangguh. Kita sudah didisiplinkan dengan masa. Ini sudah agak lebih”.

Acara bermula. Sajak-sajak yang dicipta berdasarkan tema 5S. Ada yang melucukan juga. Sajak yang kelihatan seperti bukan sajak. Yang dibaca dengan menjerit-jerit. Tetapi tidak mengapalah, sekurang-kurangnya tanpa asas sastera, mereka tetap mencuba.

Jam tiga saya tiba di Seremban. Kepenatan. Esoknya ada majlis jamuan makan tengah hari Kelab Pegawai Pendidikan Kampus Raja Melewar dan mesyuarat jabatan. Mesyuarat berakhir sedikit lewat. Saya perlu bergerak balik ke kampung.

Jam tujuh petang saya memulakan perjalanan dengan Bismillah. Teringatkan pesanan sahabat sejabatan, Tuan Haji Khambali (dia menahan tangis, hatinya luruh kasihankan saya), “dik, boleh tak tolong SMS saya jika adik tiba di kampung. Saya bimbang...” saya mengirim mesej bahawa saya baru hendak memulakan perjalanan dan mungkin tiba sekitar jam 12.30 pagi.

Mujur sahaja cuaca bagus, hanya hujan turun di beberapa tempat setelah saya memasuki sempadan Perak. Akhirnya sekitar jam 12 saya tiba di laman mak. Dua anak saudara lelaki, anak adik saya sedang menunggu di serambi emak. Alhamdulillah.

Ada sesuatu yang menjentik syukur. Bengkak di kaki dan perut emak sudah surut. Hanya tinggal luka akibat kegatalan melampau. Dan kemuncaknya ialah pada Jumaat malam. Mak akhirnya mempu buang air besar setelah hampir tiga minggu terlantar. Petang itu saya beritahu mak, kalau mak dah sihat, mak pergilah ke Mekah sekali lagi. Duit mak ada dan sangat mencukupi. Saya tidak memberitahu jumlahnya. Kemudian kata mak, malam itu selepas Maghrib, mak berdoa dalam hati, sihatkanlah mak supaya mak boleh dapat ke Mekah. Terlena sebentar, tiba-tiba mak rasa perutnya sakit.

Saya dan kakak sudah bernazar, jika usus mak kembali terbuka dan mak boleh buang air, kami akan berpuasa. Tanpa melengahkan waktu, esoknya kami menunaikan niat tiga hari berturut-turut. Tiada perkataan yang dapat menggambarkan rasa syukur atas belas kasihan Allah kepada emak.

Mujur sahaja kami tidak lekas membawa mak ke hospital. Kalau tidak pasti pembedahan yang menyakitkan itu berlaku. Mak merayu agar disembuhkan dahulu luka di perutnya sebelum dibawa ke hospital. Saya yang sudah biasa duduk di wad menjalani pembedahan, sudah biasa juga melihat bagaimana kondisi warga emas yang berjuang untuk hidup selepas prosedur tersebut.

Allah tahu apa yang Dia buat. Dia tahu apa yang terbagus untuk mak.

Meskipun mak masih belum boleh bangun, tetapi saya sedang melihat sejalur cahaya memercik di daun.

Sekarang, emak mahukan ikan seluang @ bunga air. Anak cucu sedang berikhtiar untuk mencari.

Saturday, November 14, 2015

Mak, Bangunlah Untuk Kembali Menjadi Matahari




MM 15/11/2015

Sebentar-sebentar saya mengharungi perjalanan panjang di lebuh raya, kadang-kadang memulakannya pada waktu malam, pertengahan siang atau awal subuh. Saya berulang alik dari Seremban ke Lenggong. Perjalanan enam jam itu menjadi sedemikian singkat dengan doa saya, Ya Allah, Engkau yang berkuasa mendekatkan yang jauh. Doa saya juga semoga si sulung saya yang sudah hamil itu diberi kesejahteraan bersama suaminya. Mereka terpaksa tinggal di rumah saya dahulu untuk menjaga kucing-kucing saya, menangguhkan niat untuk berpindah ke rumah sewa baharu, meskipun kos perjalanan ke tempat kerja Syed agak tinggi dari rumah saya.

Kadang-kadang saya mengharungi perjalanan itu dengan si bongsu dan kadang-kadang sendirian. Kadang-kadang juga dengan ditemani Si Comel, Shiro dan Simba. Allah memelihara perjalanan kami, sesungguhnya begitu. Dengan Axia Advance yang sudah melepasi meter yang sepatutnya diservis, saya nekad. Allah mengasihani saya dan mak. Allah mengasihani kita.

Rabu itu saya bergerak ke Seremban. Dengan si bongsu di tempat duduk penumpang hadapan. Dia tidak sihat, begitu juga saya. Namun saya membawanya juga dengan pesanan Puan Mahaya Mohd Yassin, “bawa adik balik. Untuk semangat. Pandu perlahan...”

Malam itu kami ke Allson Klana Resort. Ada majlis Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan. MB yang akan menyampaikan anugerah. Saya melihat buku program. Ada tiga pencalonan untuk saya. Kategori Penulis Harapan Negeri, Kategori Cerpen Eceran dan Kategori Puisi Eceran. Saya tidak menaruh harapan tinggi sebab saya bukan anak negeri. Saya hanya menumpang bekerja di NS selama kurang lebih 15 tahun dan bersuamikan anak negeri. Jadi, tanpa persediaan kamera dan sebagainya, saya hanya hadir untuk meraikan majlis. Rupa-rupanya saya memenangi Kategori Puisi Eceran. Keesokan harinya baru saya tahu sajak yang menang ialah Benarlah Katamu yang saya tulis berkaitan dengan kebenaran kata-kata emak suatu saat dahulu.

Alhamdulillah. Meskipun harga hadiahnya tidak lumayan berbanding Hadiah Sastera Darul Ridzuan tetapi saya tetap bersyukur. Maklumlah saya berulang alik saban minggu dengan kos minyak dan tol yang tinggi. Kos ubat-ubatan mak juga memerlukan biaya yang tinggi. Memang perancangan Allah itu sangat hebat. Saya selalu berkata, kemenangan saya adalah rezeki mak, maka keseluruhan hadiah kemenangan saya itu memang telah ditentukan untuk keperluan mak. Alhamdulillah.

Insha-Allah akan ada lagi satu kemenangan hujung November ini.

Dalam kantuk dan penat, saya menulis Mak, Bangunlah Dan Kembali Menjadi Matahari saat saya berada dalam sebuah bengkel OBE di Bilik Seminar. Alhamdulillah pada Ahad 15 November 2015, sajak itu disiarkan oleh MM. Saya membacakan kepada emak dengan suara tersekat. Air mata saya berjuraian di pipi. Moga mak segera bangun. Saya kata, mak kena bangun dan sihat. Supaya mak boleh buat solat wajib dengan sempurna, solat Israq dan Dhuha, baca Quran, rumput-rumput sudah banyak di halaman, Puse tidak susah hati melihat tuannya terbaring, semua orang rindukan cerita mak. Mak angguk-angguk.

Ya, ini memang tahun-tahun saya. bermula dengan beberapa anugerah peringkat negara dan negeri yang saya terima sejak tahun 1990an, 2000 dan 2014, tahun ini saya menerima empat anugerah berkaitan penulisan kreatif. Ada yang di peringkat jabatan, negeri dan kebangsaan. Sebenarnya itu anugerah untuk mak sebab kalau mak yang tidak rajin bercerita kepada saya ketika masih kecil, pasti saya tidak mampu untuk menulis karya kreatif seperti sekarang ini.

Sekarang saya masih di kampung. Membantu kakak saya menjaga mak. Kakak saya itu telah bercuti tanpa gaji untuk menjaga mak. Memang tidak banyak yang dapat saya lakukan sebab saya tidak sekuat orang lain. Saya selalu beritahu mak, saya sudah sihat. Cuba mak tengok saya, saya sudah OK. Tapi mak berkata, “macam mak juga, Yang suka menipu...”

Mak lebih tahu.

Mak, bangunlah dan kembali menjadi matahari kami dan semua yang merindui mak.

Saturday, November 7, 2015

Telor dan Kopiah

Jam 9.30 malam kami bergerak dari kampung. Saya menganggarkan dalam jam 2.30 pagi kami akan tiba di rumah. Masalahnya saya berasa sangat mengantuk, langsung meminta anak berhenti di Hentian Sebelah Simpang Pulai. Saya tidur di situ dan terjaga oleh dengkuran sendiri.

Si bongsu memandu. Saya kurang biasa tidur jika orang lain memandu. Saya bimbang dia mengantuk. Akhirnya ketika melepasi tol Pajam, saya meminta dia berhenti. Saya bertukar ke sebelah tempat duduk pemandu. Mengambil kopiah dan memakaikannya di kepala. Saya tahu agak berisiko jika melalui LEKAS jika melepasi jam 12 tengah malam. Itulah kebiasaan saya sejak anak-anak masih kecil. Maklumlah, anak-anak saya perempuan dan saya juga perempuan. Sudah biasa anak-anak melihat saya melakukan penyamaran sebagai lelaki jika memandu melewati jam tengah malam.

Ketika menuruni lengkungan arah kanan mengikut papan tanda Seremban Kuala Pilah, saya berasa kurang selesa dengan tempat duduk. Saya memperlahankan kereta dengan tujuan mahu berhenti di sisi jalan dan membetulkan tempat duduk.

Tiba-tiba...puuuuukkkkkkkkkkk! sesuatu yang kuat mengenai cermin kereta di sisi si bongsu. Saya menoleh. Saya fikir bila masa pula si bongsu saya membeli tin air gas? Tiba-tiba dia menjerit, “ibu teruskan. Telor. Jangan berhenti!”

Saya memecut laju bimbang jika ada yang mengekori. Sambil membaca doa-doa perlindungan, saya meluru membelah kesunyian LEKAS. Ya, barangkali disebabkan doa-doa yang dibaca sebelum perjalanan menyebabkan tembakan telor itu tersasar ke bahagian cermin tepi penumpang hadapan, bukan di skrin depan pemandu. Walhal, pihak yang berkenaan boleh sahaja menembak terus ke skrin hadapan sebab saya memandu dengan sangat perlahan. Itu modus operandi yang sudah sangat popular. Tembak telor ke skrin depan, biasanya pemandu akan membuka viper (yang sebenarnya akan menyebabkan putih telor menghalang penglihatan pemandu) langsung memudahkan si penjahat datang dan melakukan rompakan.

Saya berasa lega ketika tiba di tol Ampangan. Alhamdulillah. Dengan kelajuan yang sama, saya menuju ke Jalan Pantai. Ada sekatan polis. “Kenapa laju ni?” tanya seorang pegawai. Saya pun menceritakan hal yang berlaku. Dia meninjau kawasan yang menerima balingan telor. “Saya tak pernah tengok macam ni lagi...” katanya berulang kali. Dalam hati saya berbisik, “tak rajin membaca ke apa polis ni? Takkan tak pernah tahu ada penjahat yang gunakan teknik balingan telor itu”

Setelah itu saya terus menuju ke rumah. Tiba-tiba si bongsu ketawa terbahak-bahak sambil menunjukkan atas kepala saya. saya meraba kepala. Aduhhhhh...kopiah itu!

Patutlah polis tadi asyik mengulang kata yang dia “tidak pernah lihat macam ini”. Rupa-rupanya dia pun keliru saya ini mak cik atau pak cik! Hahahaha...

Sampai di rumah sekitar jam 3.30 pagi. Saya terus membersihkan rumah, merawat Comel yang kurang sihat. Saya tidak tidur, sebaliknya terus ke pejabat. Melakukan sedikit kerja sebelum menguruskan hal-hal peribadi. Jam 7.30 malam saya dan si bongsu bergerak ke Rumah Pena KL untuk majlis pelancaran Kumpulan Puisi Pelabuhan Matahari oleh ITBM-PENA. Dengan suara serak, saya membaca puisi Ibuku Perempuan Biasa Yang Luar Biasa, dengan wajah mak yang muncul di mata dan hati. Saya beritahu kawan-kawan bahawa saya akan bergerak balik lagi ke Perak untuk membantu kakak dan adik beradik lain menjaga mak. Pyanhabib meminta saya awas di sekitar Tanjung Malim ke atas sebab ada modus operandi lain seperti meletakkan tayar-tayar di atas jalan raya dengan tujuan rompakan.


Wednesday, November 4, 2015

Matahari Kami

Perut mak buncit dan keras dalam masa dua hari. Mak tidak membuka mata. Kami memanggil doktor ke rumah. Kami juga mengusung mak ke klinik untuk melakukan scan. "Masalah rahim bengkak, maaflah sebab mesin ini agak ketinggalan. Tapi saya syorkan bawa opah ke Hospital Ipoh, bukan ke Hospital Taiping. Komunikasi di Hospital Taiping kurang bagus. Saya pernah kerja di sana dan sebab itulah saya lari..." Doktor perempuan muda itu memberitahu. Orangnya bagus. Dia menulis surat rujukan dengan catatan URGENT di sampul.

Risikonya? Ya, dengan beberapa orang doktor saya bertanya. Risikonya ada dan banyak, demikian mereka menjelaskan. Faktor usia mak dan sejarah kesihatan. Mak ada sedikit kencing manis dan darah tinggi. Hospital mesti melakukan pembedahan, mesti kena suntik ubat penahan sakit. Saya berfikir lama. Bukan saya anti hospital. Hospital pun sudh menjadi rumah kedua saya tetapi mak sudah berusia. Saya tahu jika kita sudah menyerahkan mak ke hospital, kita tidak boleh lagi campur tangan terlalu banyak. Kita tidak boleh menjaga mak serapi kita menjaganya di rumah.Hanya seorang atau dua orang anak atau menantu perempuan yang boleh duduk di sisi mak. Kalau di rumah, anak lelaki dan cucu lelaki mak ada untuk mencempung mak ke bilik air. Mak keseganan kalau bukan anak-anak perempuannya yang menyalin kencing.

Saya bersetuju untuk menghantar mak menjalani rawatan alternatif di Pak Andak Pengubat Kanser di Gerik. Kami terpaksa meminta bantuan bapa tiri dan emak kepada Pak Andak sebab Isnin dan Selasa, pusat rawatan itu bercuti. Sampai di sana, kami disambut dengan wajah masam isterinya. Barangkali kurang senang sebab cuti mereka diganggu. Malam itu mak mengalami kesejukan yang sangat teruk. Mak pengsan. Semua ahli keluarga membaca Yassin. Hari Rabu sekali lagi kami membawa mak. Alhamdulillah abang ipar saya berjaya mendapatkan nombor giliran kelima. Menurut abang sulung saya, ada pesakit dari Pulau Pinang yang datang dengan ambulans.

Kali kedua berubat, mak boleh tidur sedikit tetapi menjelang tengah malam, mak tidak lena. Mak tidur duduk. Menurut Pak Andak, mak ada masalah rahim, sama seperti yang dikatakan oleh doktor.

Saya bukan jenis yang yakin dengan perubatan alternatif tetapi Allah sedang menegur saya. Rawatan perubatan moden pun bukan bagus, dipenuhi bahan kimia yang memberi kesan jangka panjang seperti yang sedang saya hadapi sekarang. Kami melakukan apa sahaja untuk mak. Dari unit kecemasan klinik kerajaan sebanyak beberapa kali, dengan klinik swasta, dengan segala perubatan herba dan segala-galanya. Kami juga meminta jemaah membacakan Yassin. Anak menantu dan cucu sentiasa di sisi mak, membantu dengan cara masing-masing.

Mudah-mudahan mak semakin bagus. Saya kata kepada mak, mak sudah lihat hasil didikan mak. Anak-anak, menantu dan cucu semuanya menjaga emak dengan baik. Kami bergilir-gilir membaca Yassin dan berzikir. Saya tanya mak, apa rahsianya. "Mak bagi makan daun-daun kayu saja kepada anak-anak. Mak dan ayah bukan orang senang..."

Namun saya tahu semuanya berpunca daripada keberkatan. Tangan mak yang memasak, bukan seperti saya yang membawa anak makan di restoran. Air susu mak yang kami minum, bukan susu formula seperti yang saya suap ke mulut anak.

Pagi ini matahari bersinar di ufuk. Memberikan kami segunung harapan. Matahari kami. Tetamu yang membanjiri rumah silih berganti menyebabkan mak selalu mengingatkan kami dalam kesakitannya, "bancuh air, bagi makan orang datang. Jangan bakhil..."

Itulah mak. Manusia yang sangat pemurah meskipun pada saat sedang bertarung dengan kesakitan!

Saturday, October 31, 2015

Musim Tangisan

Banyak yang berlaku sepanjang waktu saya berdiam. Ada yang menyebabkan air mata berguguran seperti musim tengkujuh di Pantai Timur. Antara selang waktu itu, ada kisah-kisah gembira yang bertamu di laman hidup.

Ya. Saya kehilangan Kopi pada 19 Oktober 2015, diikuti Puput 23 Oktober. Kemudian menyusul Pau, Putat dan Kyo. Saya dan si bongsu merawat Atat, Milo, Shiro dan Simba dengan sehabis upaya. Saya kekurangan tidur, keletihan berulang-alik ke klinik, menguburkan mereka tidak kira tengah malam atau subuh, terik panas atau hujan.

Kehilangan Puput, calico jenis DLH, kucing tempatan yang mungkin tidak dihargai peminat kucing berbulu tebal, sangat saya rasai.

Saya menerima Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil 2014 (Hadiah Utama Kategori Cerpen “Hingyaku” dan Hadiah Penghargaan Kategori Puisi “Sepatu Hijrah”) pada petang Selasa 20 Oktober 2015 di Hotel Concorde KL. Anak bongsu dan suami ikut serta. Kemenangan itu langsung saya tidak tahu untuk kategori apa, bahkan juga tidak tahu bahawa saya menang dua kategori. Alhamdulillah rezeki emak, adik beradik, anak-anak dan kucing-kucing sama ada yang ada di dalam rumah atau di jalanan.

Meskipun masih bersedih atas kematian Kopi di klinik, hadiah tersebut mengubat sedikit kepiluan. Ketika dalam perjalanan pulang, saya mendapat berita daripada wassap keluarga bahawa emak tidak sedarkan diri. Suami memecut kereta ke Seremban, saya perlu menguruskan kucing-kucing yang akan ditinggalkan. Malam itu kami pulang ke kampung.

Dua hari saya bercuti kecemasan dan emak beransur pulih. Barangkali jerebu yang dahsyat telah memberi kesan kepada emak yang sudah mencapai usia 77 tahun. Khamis itu ketika mahu pulang, saya beritahu emak bahawa emak mesti terus sihat. Emak menghantar saya, melambai dari beranda rumah.

Balik ke rumah sewaan, saya kehairanan sebab kelibat si Puput yang selalu aktif tiada di muka pintu. Saya memanggil-manggil tetapi dia tidak muncul. Saya mengintai di atas almari, lokasi kesukaan Puput. Setelah mencari, saya ketemu dia dalam carrier yang besar. Dia sudah menunduk di situ, cuba bangun setelah mendengar namanya dipanggil.

Saya memeluk Puput dan melihat di sekitar mulutnya sudah dipenuhi lendir berbau. Saya sapu mulutnya, cuba memberikan ubat-ubatan. Puput tidak mampu bertahan lama. Kesokan harinya, dia meninggal di atas ribaan saya. matanya yang bulat memandang saya seperti enggan pergi. Saya memeluk dan menyebut, “Puput pergilah. Pergi. Doakan ibu nanti dapat jumpa Puput. Puput pergi...” di atas ribaan saya dia menghembuskan nafas terakhir. Matanya saya cuba tutup. Malam itu juga kami menguburkan Puput bersebelahan Kopi. Selepas itu seekor demi seekor tumbang. Pau, diikuti Putat dan Kyo yang meninggal di atas ribaan si bongsu. Seminggu itu kami begitu menderita.

Paling terasa ialah ketika saya berbaring. Tiada lagi Puput yang suka sangat berbaring di atas dada dan perut saya sehingga saya terlena. Pagi-pagi jika mahu pergi kerja, tiada lagi “peperangan” dengan si calico itu yang gemar menggonggong stokin, anak tudung, malahan seluar kecil ke merata tempat di rumah. Tiada juga kelibat kucing yang aneh, yang sangat sukakan bunyi kertas dikeronyok, menggonggongnya ke merata tempat di sekitar rumah. Untuk menghilangkan kenangan itu, saya buang semua stokin, membuang mainan dan segala yang disukai Puput.

Sedaya upaya kami merawat yang tinggal. Paling menakutkan ketika Baby dan Comel juga sudah mula berbuih mulut. Rawatan ke klinik mencecah hampir seribu ringgit. Beberapa biji kelapa muda atau apa sahaja yang disebut orang, akan saya belikan untuk memulihkan mereka.

Ketika itulah juga, sekitar Selasa petang saya mendapat khabar emak sakit lagi, kali ini memaksanya ke unit kecemasan untuk dimasukkan air. Saya tidak perlukan masa yang banyak untuk bergerak pulang. Saya nekad pulang sendirian meninggalkan si bongsu untuk merawat enam ekor kucing yang berbaki. Saya meninggalkan wang supaya dia boleh membawa kucing-kucing itu ke klinik dan juga untuk pulang ke kampung.

Saya membuat empat jam perjalanan berbanding enam jam kebiasaan. Saya hanya singgah di hentian sebelah sebab tandasnya dekat dengan parkir. Saya gagahkan diri untuk ke tandas. Alhamdulillah, Allah melorongkan kekuatan untuk saya.

Memang kali ini emak sangat lemah, beberapa kali emak terpaksa dihantar ke unit kecemasan untuk memasukkan air dan beberapa prosedur lain. Jemaah juga berkumpul untuk membaca Yassin. Emak tidak boleh bergerak, langsung tiada selera makan. Dalam kondisi begitu, kami tetap menitikberatkan soal solat meskipun emak keliru dengan waktu solat. Emak mula bertanya akan rakan-rakannya yang telah pergi, juga kerap menyebut mahu “balik”.

Saya serba salah. Anak sulung saya akan konvokesyen pada Ahad 1 November. Saya berjanji untuk cuba datang dari kampung seawal subuh. Tetapi jam tiga pagi, emak kesakitan. Saya benar-benar tidak sampai hati melihat keadaan emak. Maka saya menghubungi si sulung. Dia memahaminya meskipun saya tahu segunung kekecewaan yang jatuh ke hatinya.

“Kakak bayangkan saja ibu ada ketika kakak tunduk hormat kepada ibu bapa meskipun ibu tiada di situ. Ibu akan bayangkan kakak berjalan di pentas untuk menerima ijazah...” kata saya. Dan saya menambah, “nanti doakan ibu hadir ketika kakak menerima ijazah sarjana dan doktor falsafah!”

Kepada emak, ketika mak menyebut tentang derita sakitnya, saya kata...”Allah sebenarnya sangat sayang mak. Allah mahu berikan mak syurga paling bagus. Untuk masuk syurga, mak mesti bersih daripada dosa sebersih-bersihnya. Jadi, Allah sedang membersihkan dosa kecil mak dengan memberikan sedikit kepayahan”. Mak angguk.

Kemudian saya kata lagi, “mak jangan takut untuk buang air besar atau kecil. Kami akan cuci. Dulu mak lagi teruk, terpaksa cuci najis enam anak. Emak hanya seorang sekarang berbanding kami yang ramai dulu...” mendengar itu emak senyum.

Saya paling kagum dengan kakak saya. Berbanding yang lain, dia paling memahami emak. Dia membeli segala keperluan emak termasuk kerusi roda, tandas kerusi, tandas baring dan segala-galanya. Dan saya kira mak sangat bertuah. Didikan mak kepada kami, anak menantu dan cucu menyebabkan semua kami tidak berkira dari segi tenaga dan kewangan demi memastikan kesembuhan mak.

Ya, mak sangat beruntung. Barangkali sebab keberkatan. Meskipun mak tidak sekolah, mak hanya orang kampung, anaknya juga ramai, tetapi...berbanding saya yang berpendidikan dan hanya punya anak dua.

Sekarang mak masih berjuang dengan semangatnya yang kuat, doa dan sokongan anak menantu, cucu cicit, kenalan, orang-orang kampung dan segala haiwan yang disantuni.

Moga-moga matahari kami akan terus bersinar. Kami masih memerlukannya.

Sunday, October 18, 2015

Hari Hati Jerebu

Saya lama tidak menulis di laman ini.

Terus terang bahawa saya sangat sibuk. Mental dan fizikal saya sibuk. Upaya saya membataskan pergerakan sepantas biasa. Banyak perkara yang berlaku dalam jangkaan dan di luar jangka. Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana keinginan saya menulis membuak-buak seperti mata air yang berebut-rebut keluar di permukaan tasik yang tenang.

Tidak tahu bagaimana untuk memulakan cerita. Semuanya seperti hujan yang turun pada musimnya. Belum sempat kering tanah, langit membuka pintu dan air yang bertakung bercurahan turun.

Semalam, saya mengejarkan Kopi ke klinik. Kasihan melihat doktor mencukur bulu dan mencucuk jarum untuk proses memasukkan air ke dalam badan. Badannya yang kecil itu sudah tentu tidak kuat untuk menanggung kesakitan. Kemudian Atat, bapanya dan Milo kakaknya pula dimasukkan ke dalam wad. Sepanjang malam saya terjaga dan memikirkan kondisi mereka yang berada di tempat asing.

Air mata saya bercucuran mengenangkan bagaimana ketiga-tiganya memandang sayu seakan mahu menyatakan sesuatu. Si Baby pula jam empat pagi lebih kurang, baru perasan bahawa anak-anaknya tiada di rumah. Dia berkejaran ke sana ke mari, berbunyi sedikit seolah-olah bertanyakan saya. Sehingga pagi ini, Baby masih gelisah.

Pagi ini Puput pula demam. Sebentar lagi saya akan menghantarnya ke klinik.

Tuhan, mereka memang kucing tetapi mereka adalah sebahagian daripada kegembiraan saya.

Tolonglah...

Sunday, October 11, 2015

Kumulonimbus



Sudah terbit di Dewan Sastera bulan Oktober 2015. Tapi saya perasan, tajuknya disalah eja. Bagaimana boleh jadi begitu?

Friday, October 2, 2015

Memasuki Negeri Lupa



Ada sebuah sajak saya yang terbit di Sanggar Puisi BH Ahad. Tajuknya ialah Memasuki Negeri Lupa.

Masalahnya saya lupa di mana tempatnya saya letakkan sajak itu.

Wednesday, September 30, 2015

Musim Kelabu Yang Sayu

Lama benar saya meninggalkan rumah ibu bunga matahari ini. Barangkali ada sedikit sawang yang bergantungan di lelangit rumah. Atau ada sarang lelabah yang berayun dibuai angin musim kelabu.

Musim-musim yang kelabu itu datang lagi. Begitulah kita menerimanya saban tahun. Masih begitu-begitu juga. Nampaknya macam kita pasrah menghidu partikel-partikel halus seperti iblis yang merayap-rayap masuk ke rongga. Saya melihat dengan jelas benda-benda halus itu berjatuhan dari langit, menimpa bumbung kereta yang diparkir di laman emak.

Kasihan daerah kelahiran saya yang manis dan segar udara. Daerah manis itu turut menjadi mangsa. Apabila pulang ke kota tempat saya menumpang duduk, situasi semakin teruk. Sekolah di hadapan rumah saya setakat ini telah dua hari ditutup. Angin membawa debu-debu, menyebabkan tekak perit dan mata pedih.

Matahari seperti bola merah yang bulat di dada langit. Ada lingkaran-lingkaran berwarna sayu di sekeliling bulatan itu. Cahayanya pudar. Cahayanya dikaburkan oleh musim kelabu.

Alangkah sedihnya musim ini. Sayu dan kelabu. Kabur di mana-mana. Orang sakit banyak di klinik. Petugas kesihatan semakin bertambah kerja.

Saya menyapa polis yang mengawal lalu lintas. “Tidak pakai topeng muka? Cuaca teruk sangat ni...” Dia hanya tersengih. “Tak ada, cik!” katanya.

Orang-orang menjadi lelaki dan perempuan yang pemalu. Menutup mulut dan hidung. Tersenyum di sebalik topeng muka berwarna putih biru.

Kita tidak disantuni jiran. Saban tahun kita duduk menunggu datangnya musim kelabu. Kita batuk, menahan sakit di dada, seakan menunggu maut yang datang perlahan-lahan.

Begitulah.

Wednesday, September 16, 2015

Sibuk Yang Nikmat

Beberapa waktu ini sangat sibuk. Kadangkala terfikir juga, hal-hal dunia ini telah banyak “membunuh” nikmat kehidupan. Walau bagaimanapun, betulkan niat kita agar segala yang kita buat menjadi ibadah.

September juga musim sayembara. Beberapa orang menghubungi saya untuk memohon restu dan keizinan membawakan Mengisi Rumah Merdeka. Sejujurnya, tidak perlu meminta izin atau restu. Tetapi oleh sebab sudah terdidik dengan santun berbudi, mereka tetap mahu juga meminta izin. Antaranya adalah beberapa deklamator otai yang memang sudah sedia dikenali dalam dunia sastera.

Saya juga dijemput menghadiri Pertemuan Penyair ASEAN di Kuala Lumpur. Saya membawa anak, menjelaskan bayaran hotelnya juga sebab dia tidak dibiayai penginapannya. Dia kena ada sebab saya perlu ditemani. Jika tidak, mungkin sahaja saya tidak dapat ikut kerana kesukaran memandu di kota.

Ada juga jemputan dari Singapura, namun atas sebab tertentu saya terpaksa menolak. Maklumlah, saya menjalani mamogram dan ultrabunyi pada Jumaat lalu. Isnin petang, Doktor Ami menelefon dan meminta saya datang kembali Jumaat akan datang ini. “Pakar yang minta puan datang. Kita buat lagi sekali...”. Bimbang juga akan kemungkinan-kemungkinan, kalau dalam waktu saya ke negara jiran itu, saya kena pergi ke tempat lain.

Aduh...meskipun saya orang yang positif, tetapi panggilan yang sedemikian sedikit mendebarkan, apa lagi hati sedang rusuh dengan lambakan kerja. Maka malam itu, suami membawa saya dan anak ke kolam ikannya. Dalam udara jerebu, saya menikmati dingin malam di tepian kolam.

Kesukaran-kesukaran biasanya akan disudahi dengan kebaikan. Demikianlah yang akan terjadi dalam dua minggu ini. Nantikan sahajalah khabarnya. Alhamdulillah, segala nikmat anugerah itu sesungguhnya milik Allah. Waktu saya kesempitan, ada ruang untuk bernafas. Nikmat Tuhan yang mana lagi yang mahu saya dustakan?

Wednesday, September 9, 2015

Pak Haji Secawan, Selamat Berpulang

Pagi itu saya terima mesej daripada kakak saya di Ipoh.

"Pak Haji Secawan dah sampai hukum pagi tadi. Tengok grup whassap"

Allah hu Akbar. Saya sangat terkejut. Saya tidak percaya. Saya lalu membuka whassap. Jam 2.30 pagi ada mesej daripada kakak ipar memaklumkan yg Abg saya baru ke klinik Lenggong. Pak Haji meninggal di sana. Puncanya sebab tersedak air liur.

Saya terdiam di katil. Membaca fatehah, menenangkan hati sendiri. Pak Haji pergi dengan mudah. Tersedak air liur. Jam 2.15 begitu Allah mengambil miliknya. Proses pengebumiannya mudah, kuburannya pun terpilih. Malam ini Mak dan Abg serta kawan2, akan membuat tahlil untuk allahyarham.

Mak agak sukar untuk menerima. Setiap hari pagi atau petang, Pak Haji pasti singgah di hadapan rumah. Mak siapkan air dan makanan. Pak Haji mungkin sebaya Abg sulung saya. Sama2 bekas perajurit.selesai Pak Haji menguruskan lembu2nya, dia akan singgah. Ada kumpulan tetap yg akan minum di meja halaman rumah.

"Mai kopi secawan" katanya. Daripada situlah Mak menggelarnya Pak Haji Secawan.

Waktu saya beritahu, saya tulis cerita Pak Haji di blog. Dia seronok dan balik beritahu anaknya. Pak Haji dah popular, katanya. Kemudian saya mklumkan lagi, saya guna namanya dalam novel. Dia kesukaan.

Pak Haji, saya tahu anda sudah tiada untuk membaca tulisan saya. Tetapi ingatan2 saya akan mengiringi anda menuju Tuhan, dgn doa, dgn ayat2 Allah. Saya percaya anda dikasihi Allah, sebagaimana kami, sahabat dan saudara yg mengasihi anda. Anda seorang yang baik, menjadi teman bicara Mak, sahabat baik Abg, saudara kami yg santun.

Berehatlah. Dunia ini terlalu riuh dgn masalah.

Sunday, September 6, 2015

Cemburu Meow



Saya banyak menerima aduan tidak puas hati.

Rasanya saya bukan seorang yang adil. Kalau tidak, takkan ada aduan.

“Kalau meow buat apa pun, ibu tak marah...” aduan pertama. Kemudian aduan seterusnya ialah, meow rosakkan sofa, katil dan lain-lain, sikit pun ibu tak marah. Kalau kami marah meow, kami yang kena marah semula. Subuh-subuh, malam-malam, kalau penat macam mana pun, ibu bangun sediakan makanan meow. Adik lapar kena goreng telor sendiri. Atau ibu bawa makan di luar. Ibu belikan makanan mahal, suplimen, mainan, baju dan lain-lain semuanya untuk meow. Ibu tak mahu pergi berjalan lama-lama sebab meow juga. Semuanya sebab meow meow meow.

Hmmm...dengan meow pun mahu cemburu!

OK, kalau begitu kita bagi sajalah meow kat orang. Ramai yang mahu dan sedang menunggu. Boleh?

Dia terjerit. “Tak boleh! Meow tu adik punya!”

Pulak!

Memanglah, saya akui. Saya sudah tidak bising lagi mahu menginap di mana-mana. Kalau pergi untuk sebarang acara, hati saya susah. Saya teringat sudah makankah meow-meow itu? Tandas-tandas mereka sudah penuh dengan kotoran atau belum? Bagaimana kalau yang kecil-kecil itu memanjat bekas air dan jatuh ke dalamnya. Atau kalau tiba-tiba si montel itu tersekat di jendela, tempat kesukaannya untuk tidur.

“Ya la, adik. Adik pandai ambil makanan, pandai masak. Pandai pam tandas. Pandai jaga diri. Meow-meow itu haiwan. Otaknya kecil. Dia tak pandai masak. Dia tak pandai jaga diri. Kasihan kan?”

Pagi-pagi ketika membuka pintu bilik, saya tengok dia memeluk meow-meow yang gebu itu dan meletakkannya di pipi. Padahal dia alergik. Dia yang memungut meow-meow bayi yang dijumpai tanpa ibu di jalanan. Sepanjang hari dia menjadikan meow-meow itu model fotografi.

“Adik nak pakaikan roti kat Atad, boleh tak? Adik tengok ramai yang buat macam tu di istagram...” adoi...budak ini. Macam-macamlah.

Sebenarnya bukan dia cemburu sangat pun. Sengaja buat aduan sebab ibu over-pampered meow-meow macam cucu. Tidur pun dalam bilik yang ada pendingin hawa. Ada tandas khas.

Entahlah. Saya sudah anggap Baby, Comel, Atat, Puput, Milo, Kopi, Pau, Shiro, Simba, Kyo dan Kerumba seperti sebahagian daripada isi rumah.

Hari-hari kerjanya membuli meow. Nampaknya meow-meow itu kena tabah sehingga si bongsu mendapat kerja dan berhijrah ke tempat lain.

Sunday, August 30, 2015

Kucing Tidak Merdeka



Dua hari lepas bawa Baby ke klinik. Jangkitan hama di telinga. Jenuh jugalah doktor yang kacak itu mengendalikan Baby yang gagah itu. Dia disuntik dan diberikan ubat titik. "Kuat begini, kena dua orang yang pegang untuk letak ubat..." katanya.

Memang susah pun. Saya buatkan kolar daripada kulit majalah. Kolar yang plastik itu menyusahkan pergerakan Baby. Dia menyusukan bayi juga walaupun sudah mahu masuk tiga bulan anak-anaknya.

Kemudian si Atat pula muntah dan cirit-birit. Susah hati juga sebab cuti panjang Hari Merdeka. Kena tunggu klinik buka.

Aduh, macam-macam pula berlaku kepada kucing-kucing ini. Sekarang berjalan pun kena hati-hati. Ada banyak makhluk kecil merayap-rayap di lantai. Sudah genap sebulan hari ini. Semalam si kakak balik dan dia menamakan yang seekor itu dengan nama Simba. Si adik menamakan yang putih gemuk itu dengan nama Pau. Jadi, masih berbaki tiga ekor yang belum bernama. Saya berikan syaratnya. Tidak boleh nama orang putih. Hanya satu suku kata atau dua suku kata sahaja (dengan pengecualian kepada Baby @ Bibiyanalayola sebab dia ahli pertama di rumah ini).

Tidak tahu dari mana mereka mendapat jangkitan kutu. Mujur tidak banyak. Saya membeli sikat kutu kucing. Membersihkan lantai dengan klorox. Tunggu besar sedikit, mahu dimandikan.

Ada dua kakak di rumah menyebabkan kucing-kucing sebelas ekor itu kurang selamat untuk berehat dengan bebasnya. Tidak merdeka mereka!

Selamat menyambut hari merdeka yang menyedihkan. 

Mengantuk!

Saturday, August 29, 2015

Baju Kuning Yang Bersih


Salah seorang peserta Bersih sedang melaungkan Merdeka!

Hari ini lautan kuning membanjiri kota raya. Melimpah-limpah.

Saya tidak pergi. Bukan sebab saya penjawat awam, tetapi sebab kesakitan di kaki, sebab saya tidak boleh berpanas dan saya tidak suka tempat yang dipenuhi manusia. Yang paling nyata ialah sebab saya pengecut.

Saya baca banyak orang menulis dan mengirim gambar di maya. Ada yang marah-marah, mengamuk. Ada yang suka.

Saya melihatnya dari sudut positif. Tidak perlu marah. Biarlah. Itu hak mereka untuk menyatakan sesuatu yang terbuku. Sampai bila kita hanya memilih mendengar yang bagus-bagus. Sesekali berlapanglah dada meskipun sakitnya tuh di sini!

Perhimpunan apa pun akan jadi aman tanpa provokasi. Semua mesti menjaga disiplin. Kita tidak boleh menutup mulut orang untuk bicara. Mengawal sedikit mungkin boleh.

Tidak perlu meniup semangat rasis. Kalau kita menunjukkan teladan baik, orang daripada kaum lain akan menghormati kita. Terlampau curiga pasti merimaskan. Saya tidak tahulah orang lain, tetapi bagi saya curiga itu perlu dalam dunia yang begini, namun janganlah sehingga orang yang senyum kepada kita pun, kita curiga. Letihlah hidup asyik curiga.

Saya sayangkan bangsa saya meskipun saya lebih sayang agama saya. Tidak guna ungkit mengungkit. Kita yang membuka ruang dan peluang untuk mereka yang kita gelar sebagai “pendatang” sama ada dari tanah besar China atau Semenanjung India. Kita yang memberi kerakyatan kepada mereka. Kalau ada antara mereka yang besar kepala, kita kena hadapilah semua itu.

Asalkan ketuanan Melayu itu masih terjaga, tiada masalah. Yang jadi masalah ialah apabila tuan-tuan yang di atas itu yang memberi masalah!

Eh...rasa mual pula!

Friday, August 28, 2015

Lagu Hidup

Saya suka menyanyi. Ramai yang tidak tahu kesukaan saya yang ini sebab saya tidak pernah menyanyi di publik.

Lagu-lagu yang saya suka nyanyikan tentunya seperti Cari Kawan Lain nyanyian Kumpulan The Favourite dari Indonesia, atau lagu-lagu Inggeris tahun 1970-an. Ada juga lagu rock! Hahaha...

Sekarang, anak-anak saya sudah sangat dewasa. Tiada lagi yang mahu mendengar saya menyanyi. Jadi saya ada audien yang baharu. Barangkali bukan audien tetapi lebih kepada mangsa. Mereka dengar saya menyanyi dengan wajah cuak!

Yang paling redho mendengarnya ialah si Kopi. Anak kucing ini adik kepada si Milo. Saiznya lebih kecil. Gebu. Baik sedikit dalam makna kata tidak seperti kakaknya yang tidak suka dipegang. Dia akan mendengar saya menyanyi betul-betul di depan mukanya yang comel. Sebenarnya saya kasihan tetapi nampaknya hanya dia satu-satunya “peminat” saya yang setia!

Apabila mendengar semula suara saya yang dirakam, eh...sedap juga ya. Hahahaha.

Hidup kita pun semacam lagu. Ada kalanya kita mendengar lagu sedih, ada kala lagu yang meriangkan hati. Ada juga lagu menginsafkan seperti Selimut Putih yang selalu allahyarham ayah nyanyikan.

Tiada salahnya kalau mahu gembirakan hati dengan menyanyi. Cuma kena jagalah sebab suara itu aurat.

Oleh sebab Kopi masih duduk menghadap saya, nampaknya saya kena menyanyikan satu lagi lagu. Ayuh, untuk Kopi...dengarkanlah Ratnaku nyanyian Roy!

Wednesday, August 26, 2015

Mengisi Rumah Merdeka

Ramai orang sedang mengisi rumah merdeka sepanjang Ogos dan September. Beberapa orang menghubungi saya meminta definisi rumah itu daripada tuannya sendiri. Kemudian mereka minta izin untuk mengisinya.

Memulakan agenda ialah pihak Ipgm. Diikuti Ipta. Selepas itu Perak dan Kelantan.

Kami hanya dapat sekali berlatih. Saya memberitahunya mengenai mimik muka, gerak tangan, intonasi dan paling penting ialah...jangan menjerit, jangan laju. Bukan tidak mahu berlatih tetapi masa yang sangat cemburu tidak memungkinkan kami berlatih.

Harinya pun tiba. Pentas deklamasi menyaksikan Ardianfasly bin Inggu menjadi naib johan. Saya bangga. Ardian sangat cekap dan cepat menyiapkan dirinya untuk beraksi di pentas. Ardian beruntung sebab dia membawa sajak yg ditulis pensyarahnya. Saya boleh memahamkan kehendak dan cerita sajak itu semasa kami dalam perjalanan.

Tahniah Ardianfasly. Sekarang saya sedang mendoakan Wan Yusof di pentas Ipta, Fahmi Fadzil di pentas negeri Perak, Rafiki di Johor dan mungkin Saiful Bahari di Negeri Sembilan.

Ayuh, anak2. Mari kita isi rumah merdeka walaupun kurang bersemangat untuk menyambutnya.

Wednesday, August 19, 2015

Hadap sajalah!

Rasanya kehidupan menjadi semakin rencam dan kelibut.

Saya pula semakin perlahan.

Nampak seperti cergas. Berjalan masih laju. Masih boleh senyum dan ketawa. Tetapi hanya mereka yang mengalaminya sahaja yang tahu. Di sebalik mata orang, kami tergolek lesu.

Kita sebenarnya banyak sangat berlakon. Dan pandai pula.

Kadang-kadang juga hidup bukan seperti yang kita impikan. Tetapi oleh sebab kita mahu menjadi berani, maka kita hadap juga kehidupan yang dahsyat itu. Sehingga kadangkala menjadi alah bisa tegal biasa.

Ini bukan soal sakit sahaja. Hal-hal lain yang membuatkan orang tanpa iman bunuh diri. Kadangkala syaitan datang mengusik hati, menyebabkan kita seakan menyalahkan Tuhan. Walhal kita sendiri yang memilih untuk melalui jalan itu.

Aneh juga. Ada orang yang bacul dan tidak mampu, tetapi masih mahu memperoleh sesuatu. Setelah berjaya memperoleh, disia-siakan pula. “Sebenarnya engkau ini bagaimana? “ tanya seorang penyair Indonesia.

Hidup yang rancu itu, biarkanlah. Mahu dibikin bagaimana lagi kalau demikianlah ceritanya. Mahu berpatah balik ke asal, sudah dekat benar ke penghujung. Mahu dipatahkan sayap, masih ada keinginan untuk terbang di celahan awan.

Jadi, mahu atau tidak...teruskan perjalanan!

Tuesday, August 18, 2015

Rindu Bayangan

Tiba-tiba saya mendengar lagu Jay Jay. Lagu Rindu Bayangan. Saya pun menyanyi-nyanyi. Dalam hati berfikir-fikir, siapalah agaknya yang memasang lagu zaman remaja saya itu.

Sambil menyapu untuk kali yang entah ke berapa belas, saya masih menyanyi-nyanyi sendirian. Kemudian...eh? Bukankah telefon bimbit Nokia itu saya yang punya. Dan lagu itu datangnya daripada telefon itulah!

Hahahaha...

Baru saya teringat, hari ini saya banyak sekali mendapat panggilan yang tidak berjawab. Saya lupa yang pagi tadi saya telah menukarkan nada dering telefon. Begitu lama saya menggunakan lagu rasmi sebuah parti politik, yang rentaknya sangat menarik dan liriknya islamik. Bertahun-tahun sudah saya menggunakannya. Pagi tadi, entah angin romantika d’amor yang bertiup dari kutub mana, menyebabkan saya menukarkannya kepada Rindu Bayangan.

Rupanya emak di talian. “Saja mahu test. Nyah baru topup telefon...” kata mak. Kakak saya yang di Ipoh itu sudah sampai ke rumah. Mak ada teman malam ini.

“Masih menyapu malam-malam begini?” kata mak apabila pertanyaannya saya jawab.

Anak sudah sebelas. Gemuk-gemuk. Yang kanak-kanak ribena itu kerjanya melompat ke sana sini, galak bermain. Kalau buang air, macam mahu menggali emas. Pasir-pasir ada yang jatuh ke lantai. Akibatnya ada yang masuk ke saluran paip. Tersumbat. Sepanjang tengah hari suami membersihkan paip yang tersumbat.

Nampaknya kena membiasakan diri dengan Rindu Bayangan pula. Saya pernah menggunakan nada dering lagu Stupid Cupid, tetapi hanya bertahan beberapa hari. Sudah tidak sesuai dengan usia agaknya, maka saya kembali ke nada dering yang lama. Tengoklah yang ini berapa lama boleh tahan!

Bila kukenang
kurenung gambar wajahmu...


Geli pulak telinga mak cik!!!

Monday, August 17, 2015

Kuatnya Mak

Kuatnya mak. Semangatnya sangat kuat. Saya menjadikannya sebagai teladan. Rupa-rupanya kata mak, “kalau mak rasa tak larat sangat, mak akan kata dalam hati. Sakit Yang lagi teruk...”

Begitu pula. Terbalik.

Setiap pagi memang rutin saya untuk menghubungi mak. Mungkin mak sudah boleh hafal soalan-soalan saya kepadanya. Benda yang sama sahaja. Takkanlah saya mahu tanya mak, soalan seperti ini...”bagaimana pandangan mak mengenai corak politik hari ini?” atau “adakah mak bersetuju bahawa pasukan bola negeri A lebih kuat daripada pasukan bola negeri B?”

Mak pun suka tengok bola. Malahan lebih cerdik daripada saya yang melihat perlawanan bola sebagai sesuatu yang ...entahlah. Saya tidak menyokong pasukan tapi menyokong pengadil!

Mak juga cerdik politik. Mak bukan pakai cakap saja. Dia memerhati. Dia mentafsir. Dia seorang yang berfalsafah. Isi pandangannya tajam. Dia bergiat dalam politik ketika muda.

Suatu hari saya menelefon. Wah, mak sedang berada di rumah abangnya di kampung sebelah. Kena mendaki bukit sebab rumah itu kedudukannya tinggi daripada jalan raya!

“Mak jalan pelan-pelan...” katanya sebelum saya berkata apa-apa. Saya tidak akan membebel sebab saya tahu mak lebih faham kekuatan kakinya hingga ke tahap mana.

Usia mak sekarang tujuh puluh tujuh. Saya selalu terbangun dengan perasaan yang sangat mengecutkan perut. Entah berapa baki umur mak. Saya masih belum melakukan apa-apa yang boleh membalas pengorbanan mak. Ketakutan-ketakutan itu akan selalu membawa saya berdoa bersungguh-sungguh, langsung kadang-kadang membawa saya menjenguk mak di kampung dengan enam jam perjalanan dalam cuti hujung minggu.

Bergelut dengan kehidupan dan segala macam ceritanya menyebabkan kita selalu berada jauh daripada ibu dan bapa. Mungkin suatu ketika dahulu, kita kurang peduli tetapi apabila usia semakin memanjat dan kematangan mula duduk bersimpuh dalam otak, kita mula merasakan bahawa hidup ini tiada makna tanpa ibu bapa.

Maka, hargailah mak dan ayah kita. Apa lagi jika mak dan ayah itu sanggup memakai kasut dan seluar dalam yang koyak dan lusuh semata-mata mahu memastikan anaknya kenyang makan dan memperoleh ilmu pengetahuan!

Friday, August 14, 2015

Berjoging???

Setiap pagi sebelum memulakan kerja, saya menghubungi Mak dengan soalan2 biasa.

Mak buat apa tu?

Mak dah dhuha?

Mak dah minum pagi?

Ubat dah makan?

Mak pun akan menjawab dengan panjang lebar. Biasanya Mak akan kata dia sedang menonton ceramah agama melalui stesen TV berbayar. Tapi kali ini Mak menjawab bahawa dia sedang berjoging.

Berjoging???

***to be continued***

Monday, August 10, 2015

Nanti

Saya agak sibuk.

Dan letih.

Sakit kaki.

Nanti saya berkisahan.

Sunday, August 2, 2015

Lima Bayi Si Comel

Comel melahirkan lima anak pada Jumaat 31 Julai 2015. Dua berwarna putih, sementara yang lain berwarna oren, yang seekor itu benar-benar mewarisi warna bulu abahnya yakni oren pekat. Benarlah tekaan suami bahawa anak Comel akan ada yang berwarna putih polos.

Sedikit berbeza daripada Baby yang melahirkan anak pada 2 Jun 2015, Comel kurang pandai “berkemas”. Anaknya masih kelihatan comot. Tempat bersalinnya juga berbau. Saya menukarkan kotak dengan raga. Meletakkan kain bersih, kain batik yang masih belum digunakan. Mungkin kepenatan melahirkan lima anak berbanding Baby yang hanya dua. Saya juga mengelap darah di badannya menggunakan tisu basah khas untuk kucing.

Ternyata Atat suami yang penyayang. Dia membersihkan isterinya, seakan memahami kelelahan bertarung nyawa melahirkan lima anak. Yang lain mengintai dari celahan bakul untuk melihat lima makhluk kecil yang masih belum membuka mata.

Tiba-tiba, rumah ini sudah ada sebelas penghuni tetap dengan kehadiran lima ekor bayi. Bermakna tugas saya akan berganda. Saya masih menunggu janji suami yang mahu membina rumah kucing yang lebih selesa, supaya saya dapat lebih waktu untuk berehat daripada tugas mencuci lantai. Untuk sementara ini, saya akan meneruskan rutin harian. Untuk sementara waktu ini juga saya tidak bersedia menerima tetamu, khususnya mereka yang tidak menggemari kucing atau mengalami alahan.

Bagaimana mahu menerima tetamu dengan sofa yang dipenuhi kesan cakaran, lantai kosong, berbau kucing (meskipun saya memasang tiga alat sembur wangian automatik, belum lagi mampu memasang alat penyedut bau), mainan berselerak dan makhluk berbulu yang berlarian? Kecuali mereka yang memang pencinta tegar kucing, pasti sudah biasa dengan pemandangan “hebat” yang seperti ini. Barangkali lima minit sahaja mainan disusun di tepi dinding. Selepas itu, kembali berselerak. Dalam sehari, barangkali lebih belasan kali saya menyapu, lebih daripada tiga kali mencuci lantai sama ada dengan mop atau kain.

Penat? Memanglah penat tetapi saya gembira dengan kehidupan yang saya pilih. Sejak memiliki mereka, tiada istilah percutian dalam minda saya. Bagaimana mahu bercuti jika hati merisaukan keberadaan budak-budak tersebut?

Kita berhak memilih apa yang boleh menjadikan hati kita gembira. Asalkan kita tidak menyusahkan orang lain khususnya jiran-jiran kita.

Hidup ini memang menyeronokkan!

Friday, July 31, 2015

Menunggu

Ini sejarah paling lama menunggu untuk masuk jumpa doktor. Dari jam sembilan, jam 2.30 petang baru sampai giliran saya.

Memang betul tekaan saya. Selain ramai pesakit, saya kira pasti ada masalah kekurangan doktor dan kes kecemasan.

Doktor yang saya jumpa itu memberitahu begitu. Dia mengambil laporan makmal dan tersenyum. Nampaknya minggu ini saya diberikan berita yang bagus. “Cuma lagi beberapa bulan, kena buat imbasan ya. Tamoxifen boleh menyebabkan dinding rahim menjadi tebal...”

Badan saya sakit-sakit. Dari kepala sampai ke kaki. Mungkin sebab berkematu menunggu. Mujur tiada peneman. Kalau tidak mesti mereka kebosanan. Saya sempat pergi makan, membayar bil di kaunter pos dan ke tandas beberapa kali.

Sambil itu saya berbual dengan seorang wanita. Dia pesakit SLE. Saya mendapat ilmu baharu. Antibodi yang sepatutnya menjadi pagar kepada penyakit tidak mampu lagi bertahan dan sebaliknya berkawan dengan kuman-kuman. Harapkan pegar, pegar makan padi?

Rupa-rupanya dia tidak nampak. Matanya menjadi tidak nampak semasa hamil anak sulung, puncanya dia kena penyakit kayap. Dia OK sedikit selepas menjalani rawatan di Darussyifa.

Dia terpaksa mengambil steroid sepanjang kehamilan. Satu lagi pengetahuan baharu saya dapat. Kata doktor, nasib baik anaknya perempuan. Kalau lelaki, anaknya itu akan jadi lelaki lembut. Betulkah? Saya diberitahu anak perempuan sulungnya memang lebih lembut daripada anak perempuannya yang kedua.

Hari ini juga saya bertemu dengan seseorang yang mengembalikan sedikit luka di hati saya.

Tetapi semuanya sirna ketika saya singgah di sebuah kafe dan menikmati secangkir minuman sambil menghayati kesayuan dan kemerduan tiupan harmonika pemuzik jalanan.

Hidup ini memang ajaib.

Tuesday, July 28, 2015

Mari Kita Duduk Di Tikar Perpaduan

Berita Harian Ahad 26 Julai 2015.

Kisah sebuah isi kota bernama Loyat.

Monday, July 27, 2015

Nyanyian Hati

Hari minggu yang lepas, saya, anak-anak dan menantu serta seorang rakan anak menuju ke utara. Puput ikut serta. Tujuannya ialah untuk menjenguk mak dan seterusnya mengambil novel saya yang sudah kehabisan stok.

Mak kelihatan gembira. Sedang puasa enam meskipun kudratnya terbatas. Melihat mak gembira, saya sangat berpuas hati meskipun terlalu penat. Kakak saya yang hebat itu serta suaminya ada di rumah. Dia mengemas rumah emak, di samping memastikan segala keperluan emak tersedia.

Hujan lebat juga sekarang. Tetapi teriknya tidak boleh dinafikan. Berganti-gantian. Masih penat, jadi suami menghantar saya ke hospital sekembalinya saya ke Seremban. Orang sangat ramai. Tapi sangat bersyukur sebab kata doktor, ketumbuhan yang dibuang sebulan lepas bukan kanser.

Rabu kena pergi lagi. Tidak mengapalah walaupun penat dan sakit belakang.

Sebenarnya saya suka naik tren ke hospital. Boleh lihat gelagat orang atau sepasang gagak yang melompat-lompat di landasan seberang. Juga menghayati tiupan harmonika pemuzik jalanan di stesen. Atau berbual dengan pemandu teksi yang luas pengalaman. Boleh singgah juga menikmati kopi panas dengan aroma yang enak.

Seronok naik tren walaupun terpaksa bersesakan, berdiri dan terpaksa menahan nafas ketika tangan-tangan bergayutan di hadapan muka kita. Daripada semua itu, kita boleh belajar mengenai manusia. Kehidupan ini sebetulnya sangat menarik. Di hospital, saya suka pergi ke kaunter pos. Membayar bil atau stem. Saya duduk-duduk melihat orang yang sakit dan peneman mereka. Ada yang begitu dan begini.

Saya memang suka naik tren. Saya rasa lebih bebas menikmati semua yang ada di sepanjang perjalanan. 

Badan masih sengal-sengal. Tapi hati saya menyanyi-nyanyi.

Wednesday, July 22, 2015

Masih Mencari Tuhan

Sedang saya mengambil wuduk, seseorang bertanya, “bagaimana mahu niat solat dhuha ya?”

Saya memberi isyarat seakan-akan menyatakan “tunggu sebentar”. Saya habiskan tertib wuduk dan memberitahu niat solat tersebut.

“Surahnya?” Dia bertanya lagi. Saya memaklumkan apa yang saya tahu. Bimbang juga sebab saya pun masih dalam proses belajar.

Di dalam surau, wanita itu melakukan solat dua rakaat. Tiba-tiba dia datang bersimpuh di hadapan saya yang sedang mengaji.

“Pandai mengaji ya? Belajar di mana? Dengan ustaz di sini ya?”

Ha? Terkejut saya dibuatnya, langsung berhenti mengaji.

“Mak dengan ayah saya yang ajar. Bolehlah sikit-sikit tapi tak pandai sangat”, jawab saya.

Wajahnya sedih. “Anak saya yang nombor dua sudah khatam. Saya suruh dia ulang, dia tak mahu. Suruh ajar saya pun, dia minta saya belajar dengan ustaz...”

Ya Tuhan, orang ini telah dibukakan hatinya, diangkat kemuliaannya sebab ada dalam jiwanya mahu mendekati agama meskipun kurang pengetahuan.

“Solat dhuha pun inilah pertama kali...”katanya tanpa saya bertanya.

“Alhamdulillah...” kata saya. “Puan telah dapat banyak pahala. Itu rahmat untuk puan...”

Wajahnya yang sedih menjadi cerah sedikit. Saya berasa mahu memeluk puan itu, saudara seagama saya yang sedang mendekati Tuhannya.

“Eh, sambunglah mengaji. Saya hanya mahu mendengar...”

Saya meraba-raba mencari di mana titik berhenti saya tadi. Tapi gagal. Maka saya mengulang baca semula. Hati saya sebak. Saya dan dia sedang mencari Tuhan.

Petang itu, saya menyelongkar almari. Mencari buku mengenai solat dhuha untuk diberikan kepadanya esok hari.

Tuesday, July 14, 2015

Berpisahlah Kita

Entah mengapa, idulfitri kali ini seperti kosong.

Mungkin sebab kesihatan mak belum pulih sepenuhnya. Siang dua puluh enam Ramadan saya menghubungi mak dan kata mak, “sekarang mak sedang berlatih berjalan. Malam ini malam dua puluh tujuh. Mak mahu ke surau...”

Tetapi saya kira mak akhirnya akur bahawa dia masih belum pulih untuk menyertai jemaah di surau.

Di pihak saya pula, malam dua puluh enam Ramadan itu, si sulung berpindah ke rumah sewaannya. Jadi, sedikit kelam kabut juga. Rumah sewaan mereka pula duduknya di aras empat. “Maafkan ibu, nanti selepas idulfitri, barangkali ibu mampu memanjat ke aras empat,” kata saya. Melambai mereka dari celahan gril. Saya menadah tangan, Tuhan...mereka itu milik-Mu. Jagalah mereka!

Si bongsu pula masih mengejar waktu dengan tugasan akhir. Ada kepiluan-kepiluan juga yang sampai ke telinga saya. Kadang-kadang naluri ibu amat tepat. Saya tidak tidur sepanjang malam dua puluh tujuh Ramadan. Hujan lebat tiba-tiba sekitar jam satu setengah. Hanya lima belas minit begitu. Saya akrab dengan kawan-kawan anak. Mereka selalu datang beramai-ramai ke rumah, kadang-kadang ikut saya berjalan-jalan. Ketika hujan lebat turun, hati saya ikut menangis. Pertemuan dan perpisahan itu kerja Tuhan.

Aneh sekali idulfitri kali ini. Tiada langsung rasa mahu membeli kuih atau pakaian raya. Tiada persiapan apa-apa. Hanya kesedihan-kesedihan melepaskan tetamu yang bernama Ramadan. Meskipun saya kehilangan upaya dalam bulan penuh berkat ini, tetapi cakaran-cakaran pedih terjadi di hati saya. Melepaskan tetamu yang sangat baik itu sebenarnya kerja sukar.

Esok saya akan mula mengemas rumah dan bersiap-siap untuk berangkat. Emak masih ada. Hari raya mempunyai makna sebab mak masih ada. Si Comel terpaksa ditinggalkan sebab saya tidak mahu ambil risiko dia bersalin dalam kereta, sementelahan kesesakan perjalanan yang entah berapa jam ke negeri saya itu. Dia akan ditemani Baby dan dua anaknya. Hanya Atat dan Puput ikut pulang ke kampung. Kata doktor, Atat sudah beransur pulih. Alhamdulillah. Syukur juga sebab rezeki mereka murah. Seorang pelajar PPG, Cikgu Zalifah membelanja kucing-kucing itu dengan cara membeli novel saya dengan lebihan wang sepuluh ringgit. Saya belikan ikan-ikan dan saya yakin, mereka pasti mendoakan cikgu yang baik hati itu.

Selamat berangkat wahai Ramadan. Ada umur bertemu lagi.

Sunday, July 12, 2015

Cat House



Hampir sebulan anak dan menantu tinggal bersama saya dan kucing-kucing.

Malam ini mereka pun berangkat ke rumah sewaan di Selangor. Saya membekalkan barangan asas untuk memulakan kehidupan berkeluarga.

Saya kembali meneruskan hidup dengan kucing-kucing. Dengan Atat yang semakin hari semakin kurus meskipun selera makannya ada. Dia belum sihat untuk divaksin. Dia akan menjalani rawatan rutin setiap minggu selepas idulfitri. Mudah-mudahan berat Atat kembali normal.

Comel semakin payah mahu berjalan. Entah berapa ekor anaknya. Hati sangat cemas mahu meninggalkan ibu yang hamil kali pertama ini. Puput juga demam. Masih sibuk menggonggong stokin ke sana ke mari, bergumpal dengan bayi-bayi yang dua ekor itu meskipun kebanyakan masa dia termenung di ribaan saya.

Ya Allah, kembalikan kesihatan kucing-kucing saya. Kasihanilah mereka.

Tolonglah, ya Allah.

Saturday, July 11, 2015

Tiada Raya

Waktu masuk ke kelas tersebut untuk menyelia guru pelatih, saya fikir sedang berada di sebuah sekolah kebangsaan.

Daripada sejumlah murid, seorang India, seorang Cina dan selebihnya ialah muka-muka Melayu. Ada dalam kalangan mereka merupakan anak guru sekolah menengah berhampiran.

Mesti ada sesuatu yang bagus menyebabkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah vernakular seperti ini. Sekolah ini hanyalah sekolah biasa yang tidak mengjangkaui standard sekolah yang hebat-hebat pada pandangan mata orang. Tetapi saya fikir mesti ada sesuatu yang istimewa berkaitan sistemnya yang menyebabkan ramai ibu bapa menaruh kepercayaan terhadap sekolah tersebut.

Waktu saya mahu menyelia guru pelatih yang kedua, saya nampak seorang budak lelaki yang debab dan comel sedang berdiri menunduk di tengah panas. Rupa-rupanya dia sedang menjalani dendaan berdiri dalam satu jangka waktu yang dia sendiri tahu. Tidak perlu ada guru atau pengawas yang memaklumkan bahawa waktu dendaan sudah tamat. Malahan menurut guru pelatih saya, ketika dia memegang rotan dengan tujuan untuk menunjukkan sesuatu di papan hitam, ada seorang murid yang datang kepadanya dan spontan menunjukkan telapak tangan untuk dirotan. “Cikgu, rotan saya. Saya buat bising tadi...”

Saya tidak tahu persepsi orang lain, tetapi bagi saya mereka memiliki disiplin yang hebat. Waktu saya masuk, mereka bangun dan ketuanya menyebut “hormat!” dan semua mereka menundukkan sedikit badan sebagai tanda hormat.

Budak-budak kecil ini menjadi guru saya hari ini. Saya sedang belajar daripada mereka. Hati kanak-kanak mereka yang putih bakal dihitamkan oleh orang-orang dewasa apabila tiba waktunya. Politik akan memecahbelahkan hati-hati yang putih itu.

Minggu untuk keluar menyelia sudah selesai. Selepas hari raya kena keluar semula untuk menyelia di sekolah kebangsaan pula.

Anak-anak saya di rumah tidak sihat. Si Atat mengalami penurunan berat badan secara mendadak sehingga ke angka 3.2 kilogram. Rupa-rupanya dia mengalami ulser di dalam mulut. Saranan doktor ialah dia perlu diberikan hanya makanan lembut. Selera makannya bagus tetapi dia semakin hari semakin kurus. Air mata menitis melihat tulang yang sudah kelihatan. Saya terpaksa membawanya pulang ke kampung, tidak sampai hati membiarkan dia di rumah dalam keadaan dia perlu dijaga dengan rapi. Si Baby dan Puput cirit birit. Baby diberikan suntikan sebab dia sangat kuat dan doktor tidak dapat mengawalnya. Sementara itu Puput akan saya bawa ke klinik minggu hadapan. Klinik tidak ada perkhidmatan wad selama seminggu sebab perayaan. Comel pula sedang menanti hari untuk bersalin. Sebenarnya saya berasa gelisah mahu meninggalkan Comel. Harapnya Baby dan anak-anak menjadi peneman yang baik untuk Comel.

Saya tidak berhari raya tahun ini. Nampaknya begitulah...

Monday, July 6, 2015

RAMADAN KAREEM

Ramadan sudah memasuki fasa kedua dan orang mula memburu pahala dengan lebih tekun. Dia juga begitu. Dia membantu membersihkan masjid luar dalam, hatta memberus lantai tandas dan longkang.

Dia mengakui, “hati sangat gembira dan tenang. Sesuatu yang tidak pernah dirasakan sepanjang hayat ini. Hanya satu yang sangat diharapkan. Moga Allah mengampuni segala dosa abang...”

Ya. Puluhan tahun hidup menjadi hamba kerja. Mengejar dunia yang semakin hari semakin laju dan bertenaga memecut meninggalkan kita tercungap-cungap. Kita gilakan habuan dunia, mengakui diri sebagai hamba Allah tetapi hakikatnya menjadi hamba wang, hamba yang taat kepada kemungkaran demi kemungkaran.

Saya masih menjadi hamba “yang itu”. Ramadan tahun ini saya masih begitu-begitu. Di kepala memikirkan kerja berselang-seli dengan rasa penat luar biasa. Boleh saya katakan, dua minggu selepas keluar wad, saya masih belum boleh memecut melaksanakan tugas dengan cepat. Minda saya tidak berhenti memikirkan akan sesuatu. Semacam lupa bahawa ini bulan yang sangat makbul doa.

Di peti masuk saya, penuh dengan tawaran demi tawaran. Alhamdulillah. Allah telah membuka seribu jalan daripada satu ujian. Namun saya masih belum mampu memenuhi segalanya. Dengan keizinan-Nya, barangkali akan ada waktunya saya kembali berkarya.

Ramadan akan pergi. Meninggalkan orang-orang yang rugi termasuklah saya. Beruntunglah mereka. Beruntunglah dia. Allah mengabulkan keinginan saya untuk melihat dia mencintai rumah Allah dengan sepenuh hatinya.

Waktu-waktu yang sibuk, dengan matahari yang sangat terik membakar. Saya sempat menghadiri Degree Show : Bold Alchemize si bongsu di Matrade Jalan Duta. Suka saya melihat hasil karyanya dengan tema Malay Folklore. Dia menulis dedikasinya untuk “ibu yang tidak penat menceritakan kisah dongeng teladan sejak saya masih kecil”.

Saya tidak larat tetapi demi sokongan untuk anak itu, saya gagahi juga. Turun dari aras sebelas, saya dapati ada pesta beli belah. Sangat ramai orang membeli belah. Oh, ini bukan tempat yang sesuai untuk saya. Saya sangat alergik dengan orang yang bersesakan hanya untuk melakukan aktiviti membuang duit.

Dengan pelaksanaan GST, harga barangan dan petrol yang naik, dan khabarnya kadar tol juga...saya fikir saya tidak perlukan pakaian raya kali ini. Lebih baik saya belanjakan wang untuk senangkan hati mak, untuk lauk pauk hari raya, untuk sara hidup anak-anak dan kucing-kucing saya yang semakin bertambah.

Teruskan memburu malam-malam akhir Ramadan. Abaikan syor perunding kewangan yang sedikit biul, tulisan rakan saya tentang sajak mee segera yang mencetuskan polemik, cerita stik Me’nate dan Diva AA, atau serangan-serangan peribadi terhadap kepimpinan negara.

Kita sudah muak dan letih!!!

Tuesday, June 30, 2015

MELAYANI HIDUP

Anak-anak si Baby tiada yang memiliki warna bulu seperti abahnya. Dua bayi yang bulat, terkedek-kedek meneroka seisi rumah. Ibunya kelihatan waspada, mengekori salah seekor anaknya yang bersaiz lebih besar dan sangat aktif. Jika anak-anaknya sudah lena, dia akan datang kepada saya dan menelentang, minta diusap.

“Kepenatan ya, menjaga dua anak. Kasihan. Sudah tidak sempat mengemasi bulu sendiri...” kata saya sambil mengurut perutnya. Kalau sudah namanya ibu, tidak kira ibu manusia atau kucing, memang begitulah!

Anak-anaknya bersaiz besar, sebab ibu dan abahnya memang baka begitu. Puput selalu memerhati dengan diam bola-bola bulat berbulu itu merayap-rayap di lantai.

Sebentar lagi, barangkali dalam Julai ini, giliran Comel pula menjadi ibu yang sibuk. Rumah ini pun akan menyaksikan pertambahan jumlah kucing. Seperti mahu menempah rumah kucing yang saya lihat di laman pencinta kucing, tetapi bimbang jika kucing-kucing itu dicuri orang jika saya letakkan di garaj!

Kena berhati-hati berjalan sebab takut terpijak makhluk kecil yang gemar sekali menyelerakkan selipar yang dipakai di dalam rumah.

Beberapa hari ini, atau beberapa minggu selepas keluar hospital, hidup menjadi sedikit kelam-kabut. Mak yang sudah sedikit sembuh tangannya, tiba-tiba jatuh di jalanan sewaktu pulang dari terawih dan tadarus. Langsung tidak boleh berjalan, solatnya berlunjur, hanya terbaring begitu. Sejujurnya saya sangat kagum dengan kakak yang bekerja di Ipoh itu. Dia sanggup berulang dari Lenggong ke Ipoh setiap hari dengan kudrat perempuan berusia lima puluh dua, yang bukannya sihat sangat pun. Cara dia menguruskan mak, ubat, peralatan sokongan, makanan dan penjagaan lain memang saya sendiri pun tidak terbuat. Tidurnya tidak cukup. Tiada juga istilah rehat.

Saya balik juga ke kampung dengan ditemani Puput. Anak saudara yang memandu. Kucing-kucing lain saya tinggalkan bersama si sulung.

Mak seperti biasa. Pagi sewaktu saya mahu pulang, mak mengemas tilamnya. Saya nampak mak cuba bangun bertongkat ke tandas. Saya tahu mak mahu “memberitahu” saya bahawa “mak sudah semakin bagus. Jangan bimbang. Lihat, mak sudah boleh bangun!”

Dan saya tahu, mak seperti mak-mak yang lain. Cukup pandai berlakon untuk menenangkan hati anak-anak!

Berat hati saya, sesungguhnya untuk bergerak balik. Kalaulah saya ada upaya kewangan, memang saya berhenti kerja dan menemani mak. Mak juga sukakan Puput yang gemar menggonggong stokin mak ke sana sini.

Ramadan ini kami tidak sempat berfikir mengenai juadah yang macam-macam. Kesibukan-kesibukan melayani masalah hidup sudah cukup mencabar minda dan tenaga.

Sesungguhnya lagi, saya masih belum berhenti diuji!

Wednesday, June 24, 2015

Mencari Sempurna

Pagi ini saya mahu memberi tazkirah kepada hati sendiri. Walaupun sudah tua dan telah melalui serba serbi jalan hidup, hampir terjatuh ke dalam gaung, atau hampir lemas ditelan gelora...atau pernah berada di silara segala, kadang-kadang sebagai manusia (alasan klise), hati saya mahu ditakluki awan hitam dengan guruh sabung menyabung.

Saya tertarik dengan cerita ini. Tentang mencari kesempurnaan. Kisah seorang murid ini bertanyakan gurunya bagaimana mahu mencari sesuatu yang cantik dalam kehidupan. Pesan gurunya, “Kau pergi ke taman bunga itu, berjalan lurus dan carilah bunga tercantik. Jangan berundur kembali ke belakang”.

Baik. Murid ini pun berjalan lurus melalui taman yang dihuni pelbagai bunga itu. Tetapi ketika sampai di hujung jalan, gurunya mendapati dia kembali dengan tangan kosong.

“Mana bungamu?”

Si murid mengeluh. “Saya sudah nampak bunga yang cantik tetapi hati saya berkata barangkali di depan sana ada lagi bunga tercantik. Begitulah seterusnya sehingga akhirnya saya dapati saya sudah tiba di hujung jalan. Saya tidak boleh berpatah balik ke belakang walaupun saya menyedari bahawa saya sudah menemui banyak bunga yang cantik...”

Seperti kitalah. Tergila-gilakan kesempurnaan. Sehingga kadangkala menjadikan kita manusia yang kurang bersyukur. Mencari yang sempurna itu bagus tetapi sempurnakanlah diri kita dahulu. Jika kita pun kurang atau langsung tidak sempurna, mengapa kita meletakkan orang lain dalam standard yang maha sempurna?

Untuk mudah fahamnya, beginilah. Saya dididik oleh emak, sebelum tidur mesti mengemas dapur, kecuali kalau benar-benar tidak larat atau sakit supaya apabila kita bangun pagi, hati kita berasa lapang melihat dapur yang tidak comot. Atau selepas makan di mana sahaja, mesti menyorong semula kerusi dengan kemas. Sebenarnya ini menggambarkan peribadi kita.

Kita kena buat dahulu. “Sempurnakan” dapur kita sebelum tidur dan “sempurnakan” kerusi kita selepas makan. Selepas itu barulah kita boleh menuntut “kesempurnaan” orang lain. Ada anak yang dididik dengan kaedah yang sama. Ada yang mahu ikut, ada juga yang menganggapnya sebagai sesuatu yang remeh.

Pokoknya, memang kalau boleh kita mahu semuanya serba sempurna.

Namun jangan sampai kegilaan kita mencari yang sempurna itu menyebabkan kita rabun sehingga tidak nampak sesuatu yang telah sedia menghampiri sempurna. Lalu kita jadi manusia yang gagal bersyukur.

Mari kita mengemas dapur selepas sahur, menyapu segala habuk di lantai dengan rasa syukur sebab lantai dan dapur kita masih sempurna.

Bayangkan dapur dan lantai di Ranau selepas gempa bumi yang lepas.

Sunday, June 21, 2015

Hari Bapa Yang Biasa

Ahad semalam ada sambutan Hari Bapa.

Saya tiada ayah. Almarhum ayah sudah pergi meninggalkan kami sejak lima belas tahun lalu. Memang kesedihan-kesedihan itu sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Ayah saya pendiam. Dia ada peribadi seorang bapa. Sudah pastinya dia bapa yang bukan “bapa moden” seperti bapa-bapa sekarang.

Ayah dan kami, ada batasan yang mesti dijaga. Kami diajar menghormati ayah dengan cara didikan tersendiri. Tabik saya kepada mak dan ayah yang tiada pendidikan formal seperti kami, tetapi berjaya mewujudkan kasih sayang antara ahli keluarga, dengan kesantunan dan adab yang barangkali sangat jarang lagi diamalkan oleh keluarga “moden”.

Ayah tidak begitu pandai mempamerkan kasih sayang. Dia keseganan kalau terserempak anak perempuan berkemban. Kami menjaga aurat dan kelakuan jika mendengar batuk atau dehem ayah meskipun saat itu kami sudah bergelar ibu. Saya tidak pernah mencium pipi atau memeluk ayah pada saat kedewasaan saya meskipun saya antara anak kesayangan ayah disebabkan kondisi saya yang selalu kurang sihat sejak kecil.

Ironinya, saya mengucup dahi ayah, memeluk dan baring di sisinya tatkala dia sudah bergelar jenazah!

Ya. Saya akui bahawa saya sangat menyesal sebab tidak memeluk ayah semasa hayatnya. Pasti ayah sangat teringin anak-anak perempuan memeluknya seperti saat kami masih kecil.

Anak-anak saya juga tiada ayah dalam konteks yang tersiratnya meskipun ayah mereka masih hidup dan sedang menanti kelahiran anak kecil daripada isterinya yang ketiga.

Mereka juga tidak kisah memeluk dan mencium ayah kandungnya meskipun ada “jarak” yang jauh antara mereka. Pada saat melihat anak-anak yang ditinggalkan berdiri sebagai manusia dewasa dengan corak pemikiran tersendiri, saya tahu hati ayahnya sarat dengan sesalan. Namun masa tidak lagi boleh dikembalikan meskipun kita mahu menukarkannya dengan sebanjaran emas permata.

Anak tetap anak dan ayah tetap ayah yang mesti dihormati. Hanya peringatan saya kepada lelaki-lelaki di luar sana, juga untuk yang wanitanya. Kita tidak sentiasa muda. Anak-anak itu juga tidak akan selamanya kecil. Mereka akan membesar dan belajar mentafsir kehidupan. Kita akan menjadi tua, dengan penyakit di sana-sini, dengan kudrat yang sudah meminggir. Suatu saat segala kemasyhuran akan pergi juga. Pada ketika itu, tiada yang lebih berharga daripada anak-anak yang sentiasa mengambil berat dan mengasihi.

Biasanya bola yang dilontar ke dinding akan melantun semula ke arah yang melontar, meskipun sesekali tersasar arah. Jangan berasa aneh jika tiada bola yang melantun semula ke arah kita sebab kita yang tidak pernah melontarnya ke dinding.

Jika sudah takdirnya mempunyai rumah lain, jangan abaikan yang sudah sedia ada. Jangan lari daripada tanggungjawab sehingga agama kita dipandang hina oleh mereka yang tidak faham. Ajaran agama kita bukan begitu. Jangan menjadi penyumbang kebobrokan umat. Islam telah menggariskan segala aturan yang maha sempurna. Sangat sukar kehidupan bagi seorang ibu sendirian membesar dan mendidik anak-anak tanpa bantuan kewangan dan sokongan.Pakailah "kasut" mereka dan rasakan sempit yang menggigit!

Itulah Hari Bapa. Hanya Ahad yang biasa-biasa.

Wednesday, June 17, 2015

Katil No 10 Wad 2B

Isnin itu saya pun masuk wad 2B. Wad yang lebih lapang, pendingin hawanya sesuai dan ada bilik solat. Hari pertama dijalani dengan rutin biasa iaitu kekerapan memeriksa tekanan darah, jantung, pengambilan darah dan sinar x.

Malam saya diberikan pil tidur dan mula berpuasa. Pakar bius datang dan menerangkan prosedur yang bakal dijalani esok. Esok saya akan mengalami satu pengalaman baharu yang tidak pernah saya jalani tiga kali sebelumnya.

Di hadapan saya ada pesakit separuh baya yang agak cemas dengan segala makluman yang diberikan doktor. Kenapa begitu? Setiap kali doktor datang memaklumkan sesuatu, dia pasti akan menelefon seberapa ramai orang yang boleh, dan saya mendengarnya sebab dia bercakap kuat!

Kebanyakan yang ada berhampiran adalah ibu-ibu muda. Kedengaran juga bunyi suara bayi menangis sebab ini juga wad untuk ibu bersalin. Di sisi pesakit yang selalu cemas itu ada seorang nenek tua berbangsa Tionghua yang hanya baring sahaja, makan dan membuang najis di katil. Kasihan melihatnya. Saya yang terpaksa baring beberapa lama pun sudah begitu lenguh, inikan pula nenek yang sudah tua.

Dan saya mencatat di laman muka buku. Seorang nenek tua berbangsa Tionghua sedang disuap makanan oleh jururawat manis berkerudung. Sabar dan tekun. Ya, saya sedang melihat kemanusiaan!

Beberapa kali nenek itu membuang najis dan dengan penuh sabar juga para jururawat menjalankan tugas membersihkan kotoran. Hebat betul para jururawat itu! Saya memang tabik dengan kesabaran mereka melayani pesakit yang pelbagai ragam.

Malam itu botol air bergantungan di sisi katil. Masalah betul untuk saya yang suka ke tandas! Keesokan harinya, saya masih belum dipanggil ke OT. Jam dua petang, barulah tiba giliran saya. “Janganlah teruja sangat Mak Yang...” kata anak saudara saya, Mastura yang datang dari Shah Alam. Bukan teruja, tetapi saya mahu lekas selesai. Tak daya menanggung seksa botol bergantungan dengan jarum di tangan yang menikam-nikam.

Saya disorong ke OT di aras bawah. Dengan sapaan para doktor dan petugas yang sangat ramah, santun dan menenangkan. Memang saya tulus memuji. Mereka sangat profesional, kemanusiaannya juga tinggi. Tulang belakang saya dicucuk. “Peluk kuat bantal” kata seorang. Saya membaca Bismillahhilllazi...Allah kurangkanlah kesakitan ini...

Perlahan-lahan menjalar satu rasa dari bahagian pinggang ke kaki. Alat pemanas diletakkan di bahagian dada sebab OT sangat sejuk. Dan mereka juga memasang radio!

Saya sudah dibius separuh badan. Dapat merasainya tetapi langsung tidak sakit. Doktor menunjukkan benda yang dibuang itu. “Kita kena hantar ke makmal...”katanya.

Jam empat saya sudah keluar dari OT dan balik ke wad dengan botol air yang masih bergantungan, juga tiub untuk kencing. Hohoho...ini masalah baharu, kena kencing sambil baring. Ini satu cabaran yang sangat dahsyat.

Jam delapan baru kesan bius hilang dan saya boleh makan. Tapi selera sudah mati. Si bongsu dan kawan-kawan pulang jam 7.45 malam dengan meninggalkan botol air berdekatan supaya mudah dicapai. Lenguhnya Tuhan sahaja yang tahu.

Tengah malam, saya terjaga dengan kesan pedih yang amat sangat, di samping nenek tua yang asyik memanggil-manggil anaknya. Kasihannya...saya mencatat dalam minda dua perkataan iaitu “membaca sunyi”. Mana tahu akan berguna di kemudian hari.

Sabarlah hati. Dan saya jadikan nenek tua itu sebagai dorongan. Dia yang sudah renta dan kena baring sepanjang masa, pasti mengalami kesakitan berganda. Sedangkan saya baru mahu menjenguk pintu lima puluh sudah mengeluh-ngeluh!

Pagi hari ketiga, jururawat datang untuk membuka tiub kencing. Huuuu...nikmat kesakitan dan kepedihan! Kemudian saya dilawati specialist-to-be, kumpulan doktor yang Insha-Allah akan menjadi pakar nanti.

Cadar ditukar sebab ada kesan darah. Saya masih tidak berani minum atau makan banyak. Saya dimaklumkan boleh balik menjelang tengah hari atau awal petang. 

Saya menyerahkan buku-buku saya kepada jururawat dengan catatan “saya melihat kemanusiaan di wajah kalian. Tahniah dan terima kasih. Anda adalah wira”. Di buku lain saya mencatat, “moga terus menjadi matahari di pelabuhan hati pesakit”.

Hari ini rumah Ramadan menjemput kita masuk ke dalamnya. Wah...saya berjaya untuk tidak menyambut puasa di wad. Tahniah. Tahniah untuk diri sendiri.

Sampai di rumah dan membuka pintu...si Puput menangis-nangis, dengan Comel dan Atat yang nampak lapar. Baby keluar dari bilik kemudian menyertai adik beradik angkatnya. Saya melihat bekas makanan kosong. Sesuatu yang luar biasa. Masing-masing datang “mengadu”. Barangkali hairan ke mana ibu pergi selama tiga hari.

Kelegaan yang maha bagus ialah apabila anak-anak saya ini berada di hadapan mata. Sepanjang di wad, mereka sahaja yang saya bimbangkan terutama si kecil Puput.

Selamat berpuasa semua pembaca. Semoga Ramadan ini memberi makna.

Terima kasih Allah sebab memberikan saya pengalaman baharu...berasa kaki saya menjadi seperti kaki gajah yang tebal dan berat! Menyaksikan para pakar melakukan pembedahan dengan mata yang terbuka!

Nasib baik tidak boleh selfie!

Sunday, June 7, 2015

SUATU PETANG DI SENAWANG

Saya ada photo-shoot dengan jurugambar akhbar. Berjanji untuk bertemu di Ice Room Senawang. Tidak lama kemudian wartawan muda sebaya anak sulung saya muncul dengan dua kawannya.

Tidak banyak pun yang mahu diceritakan sebab saya sudah menyediakan beberapa maklumat yang mungkin dapat membantu wartawan tersebut menulis berita. Sekarang memang mudah sebab buat sahaja carian di internet, tetapi saya bimbang sebab maklumat mengenai saya tidak dikemas kini, khususnya buku dan karya terkini serta anugerah yang diterima.

Dahulu, kami mendapatkan berita dengan cara membawa alat perakam yang ada kaset kecil yang mahal harganya. Kalau rosak memang habislah. Menaip pun guna mesin taip sahaja. Mahu cari maklumat pun sukar sebab tiada internet.

Kini segalanya di hujung jari. Tetapi cabarannya tetap sama. Menjadi wartawan di meja tertentu kena tahu segalanya mengenai meja itu. Kalau sukan, kena kenal siapa Santokh Singh. Kalau artis kena tahu siapa Rafeah Buang. Kalau sastera kena tahu siapa Pak Sako, kalau meja politik kena tahu siapa King Ghaz. Kalau meja jenayah, kena tahu juga siapa Botak Chin.

Kena tunggu akhbar Rabu untuk melihat berita mengenai saya itu. Biasa-biasa sahaja. Saya hanya mahu mak tahu bahawa janji saya dua puluh lapan tahun yang lalu untuk mak sudah tertunai.

Terima kasih mak. Dan saya akan bacakan berita itu untuk mak nanti.

Thursday, June 4, 2015

Hmm...hmm...

Dunia kepenyairan sudah berubah. Menjadi dunia lakon, dunia pura-pura. Pendek kata, kalau mahu glamor, masuk saja ke dunia penyair. Tidak perlu jadi artis yang berlakon di telenovela yang sangat menggambarkan tahap pemikiran masyarakat kita. Tulis sajak, kutip sana-sini, tampal-menampal dan jadilah sajak. Ejaan tidak betul, kata sendi juga ikut suka hati mahu taip. Janji ada kata-kata yang dianggap sajak. Tak payah fikir gaya bahasa, identiti atau struktur binaan sajak.

Kalau ada majlis, pakai glamor-glamor, selfie sana sini. Tiada beza apa pun dengan artis di dunia yang lagi satu. Berbaik-baik dengan penerbit atau orang-orang besar sastera dan kemudian terbitlah sebuah kumpulan puisi yang tahapnya macam budak sekolah menulis. Emosi merata-rata, pemikiran dan keintelektualan nihil. Ada juga skandal di situ dan di sana. Tulis macam malaikat tapi hakikatnya tanduk iblisnya bukan dua, tapi berpuluh-puluh.

Huh...saya merenung kembali tuduhan-tuduhan itu. Itu pandangan peribadinya.

Lebih separuh daripadanya, kita kena akui kebenarannya dengan hati pedih.

Kalau dahulu, kita selalu melihat dunia kepenyairan sebagai sesuatu yang murni-murni, sekali pun masih ada tompok hitamnya. Penghuni dunia kepenyairan itu memang perilaku dan imejnya aneh, tidak banyak bersuara, pemerhati yang tajam, prinsip hidupnya mudah, penampilan mudah, sudah memiliki identiti sendiri, mata dan hatinya bersatu, menekuni segala isu besar lokal dan global, turun ke lapangan untuk merasai denyut nadi kehidupan masyarakat marhaen, tidak terseret-seret dengan segala cerita artis terselak kain atau gosip murahan. Dunia glamor tiada dalam senarai keutamaan.

Saya ingat sesuatu yang pernah saya baca mengenai sajak. Bukan mudah mahu menulis sajak sebab sajak itu “susunan terbaik daripada kata-kata terbaik”. Mahu bercerita tentang sesuatu yang besar dalam baris-baris yang sedikit. Bukankah susah? Mesti ada pemikiran di dalamnya, ada keintelektualan, ada segala unsur yang membina rumah sajak. Tetapi sekarang semua orang mahu tulis sajak. Semua orang mahu buat buku sajak. Mutunya, entahlah. Saya bukan pengkritik. Saya tidak pandai benda-benda begitu.

Nota hati: (Walau apa pun dikata orang mengenai Dibipi, saya masih kekal menyanjung tinggi institusi ini. Tiada keraguan jika kita mahu menikmati hasil karya yang diterbitkan Dibipi. Mutunya sangat dijaga).