Total Pageviews

Monday, December 8, 2014

Disember Yang Basah

Jadual ke hospital untuk klinik yang namanya panjang berjela. Sampai di lobi, saya baca tulisan di latar pentasnya iaitu Majlis Sunathon 2014. Sunathon? Apa sudah jadi dengan bahasaku. Menurut Munsyi DBP Cikgu Chai Looi Guan, sepatutnya “ton” bukan “thon”.

Hari ini rezeki saya paling bagus. Sebentar sahaja sudah selesai. Tetapi ada masalah. Saya mual sepanjang perjalanan balik. Ada sesuatu yang berlaku kepada sistem tubuh saya. Juga kudrat saya. Barangkali serangan balas radioterapi, ubat-ubatan atau impak daripada Tamoxifen. Namun saya membuat keputusan untuk terus bertarung. Jangan harap “kalian” akan menang mudah!

Apabila suami pulang, saya bertanya, “abang tidak mahu ke Big Bad Wolf yang di Seri Kembangan itu? Yang kita pergi tengah malam Disember tahun lepas?”

Saya masih ingat keterujaan suami memasuki dunia buku. Jam tiga pagi kami masih seperti serigala lapar di belantara buku.

“Bila? Tapi Yang sibuk. Abang sibuk. Tengok jadual kita. Macam mana mahu pergi?”

Betul juga. Tengoklah, kalau selepas saya pulang dari Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor Ke-5 nanti...mana tahu ada celahan waktu.

Sebenarnya festival lagi dua hari tetapi sajak yang akan dibaca belum siap. Ideanya sudah bergentayangan di angkasa minda. Ada sedikit masalah. Si gadis bongsu saya belum menerima e-mel yang dijanjikan urus setia. Oleh sebab itu pensyarahnya meminta dia membuat presentation pada tarikh festival itu, dengan kerja-kerja shooting yang memakan masa beberapa hari. Dia tidak dapat menemani saya seperti biasa. Dia mahu pergi sekitar hari ketiga, tetapi saya tidak membenarkan. Cuaca tidak elok sekarang. Banjir di mana-mana. Dia gadis memandu sendirian, bergegas-gegas dengan tugasan universiti. Dia di tahun akhir dengan tuntutan kerja yang banyak.

“Tapi ibu tidak larat...” tulisnya dengan ikon orang menangis.

“Tak apa. Ibu boleh. Ibu pasti sentiasa boleh!” balas saya pula.

Sebenarnya kita sentiasa mahu dilihat kuat ketika berhadapan dengan kesulitan. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh dicontohi anak ketika nanti dia pula berdepan dengan pelbagai masalah pada masa mendatang. Kita tidak akan selalu bersama mereka. Atau barangkali memang tidak lagi akan bersama mereka.

Kehidupan ini memang begitulah.

Ada ketika langit cerah. Ada waktu yang lain, kita sukar melihat matahari. Ada musim, tanah merekah dan rumput kekuningan. Kemudian, tanah yang sama pada musim yang lain menjadi lopak yang boleh menenggelamkan kasut.

Khabarnya di utara, banjir sudah tiba. Saya teringat emak. Rumah di sisi anak sungai memang ada kebarangkalian besar untuk banjir.

Apa pun yang datang, kita terima. Dunia ini bukan kita yang punya. Kita hanya pandai merosakkan apa yang ada di dalamnya!

No comments: