Total Pageviews

Wednesday, December 31, 2014

Tahun Lama Pun Menutup Tirainya

Lama tidak menulis.

Hari ini hari terakhir tahun 2014. Tahun yang penuh dengan cerita duka. Pesawat hilang, pesawat ditembak, pesawat jatuh. Banjir yang dahsyat, penindasan di Palestina yang tiada kesudahan, derita saudara-saudara kita di negara jauh.

Setiap kita ada episod duka termasuk saya. Tahun ini ujian sangat berat.

Walau apa pun, hidup wajib diteruskan biarpun kita terpaksa melangkah menggunakan tongkat atau berpegang di dinding. Berat ujian kita, tidak mungkin seberat derita ahli keluarga MH370 yang menunggu khabar berita mangsa yang tidak tahu hilangnya di lautan atau belantara. Beratnya ujian kita tidak sehebat duka yang meranap hati ahli keluarga MH17 atau pesawat Air Asia, atau sungai luka saudara-saudara kita di Palestina, di Syria, di Myanmar, bahkan di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.

Jika kita tidak berkasut, lihat mereka yang tidak berkaki.

Mari kita sibukkan diri dengan memujuk hati sendiri. Kalau kita diuji dengan anak, ibu bapa kita dahulu telah letih diuji dengan perangai kita. Kalau kita diuji dengan sakit, berapa ramai orang di luar sana yang lebih teruk sakitnya daripada kita.

Kesukaran-kesukaran hidup ini tidak akan berhenti.

Tetapi kita tidak boleh berhenti untuk mencari jalan keluar dari kotak hidup yang berliku-liku itu.

Terima kasih atas kasih sayang Allah yang memberikan segala peluang untuk saya menghirup udara milik-Nya. 

Percayalah, kehidupan dan ujiannya adalah sesuatu yang sangat menakjubkan!

Wednesday, December 24, 2014

Teladan Alam

Subuh ini hujan turun. Terbangun sekejap-sekejap sebab teriakan-teriakan si Comel yang sangat mengganggu. Jam lima pagi terus tidak tidur lagi.

Cuti Hari Natal. Orang mengambil kesempatan bercuti panjang sehingga Ahad.

Di sebelah timur Semenanjung, air mengamuk sehingga mencecah aras empat bangunan sekolah. Di negeri saya juga khabarnya lembah Kuala Kangsar sudah tenggelam. Emak sudah siap siaga dengan beg, menunggu arahan polis jika hujan masih berterusan.

Air yang lembut dan menyejukkan, akhirnya juga menjadi ancaman yang boleh meragut nyawa. Cuba fikirkan dalam-dalam, bagaimana air yang membersihkan kotoran itu boleh menjadi begitu ganas.

Air tenang jangan disangka tiada buaya.

Titisan air yang lembut boleh melekukkan batu yang keras.

Sekali air bah, sekali pasir berubah.

Air dan kehidupan.

Yang kelihatan lembut itu jangan disangka lemah selama-lamanya.

Allah sedang “mengajar” kita dengan teladan alam.

Sunday, December 21, 2014

Surut



Hari Selasa masa saya demam kuat itu saya sempat lagi mengedit tiga ribu aksara menjadi satu ribu tujuh ratus tepat. Sudah disunatkan cerita itu mengikut kehendak akhbar. Dengan ruangan yang terhad, memang kena patuhi syarat itu. Kalau tidak, nanti ceritanya jadi melompat-lompat macam yang selalu berlaku. Mengambil pengajaran itu, saya buang separuh penceritaan.

Kalau mahu panjang-panjang juga, hantar ke Dewan Sastera atau buat suratkhabar sendiri!

Hari Khamis saya dapat balasan e-mel daripada Saudara Nazmi. Tulisnya, “Insya-Allah akan disiarkan Ahad ini”. Saya membalas, “Alhamdulillah. Terima kasih”.

BH Ahad 21 Disember 2014. Tajuknya juga saya ubah mutlak. Sudah jadi SURUT daripada Banjir Di Hati. Nama-nama watak saya pinjam nama rakan-rakan pensyarah. Kisah musim banjir sekarang. Bukan cerita banjir itu yang penting tetapi cerita lain yang ada di sebalik kejadian banjir. Kebetulan, rumah ayah betul-betul terletak di tebing sungai kecil, Sungai Neruk yang mengalir di tengah dada kampung. Sekarang rumah ayah sudah berganjak ke depan. Rumah yang di tepi sungai itu telah diduduki abang sulung.

Waktu kecil, seronok sungguh bermain banjir dalam rumah. Boleh pula buang air kecil di tangga rumah. Tidak terfikir akan bahaya air yang laju. Waktu surut, ada ikan melompat-lompat di halaman. Rezeki banjir meskipun mak dan ayah serta orang-orang dewasa keletihan membersihkan lumpur.

Ketika saya menelefon mak, kata mak hujan berpanjangan sepanjang hari. Mak sudah siap sedia dalam kudrat terbatasnya untuk menghadapi serangan banjir. Sudah mengenal pasti lokasi meletakkan barang jika air naik.

Begitulah. Banjir meninggalkan lumpur yang kotor, kita berusaha membuang kotoran itu. Begitu juga kenangan-kenangan menyedihkan. Meninggalkan rasa pedih dan terluka. Mari kita cuci lumpur yang memalit hati kita.

Mari...

Wednesday, December 17, 2014

Bunga Matahariku 24

Esok puteri sulungku genap dua puluh empat. Disember delapan belas dia wujud dalam dunia keibuanku. Tidak seperti selalu, ibu kurang sihat untuk meraikan tarikh keramat itu.

Sebahagian waktu di pembaringan bukan satu pilihan. Anak, maafkan ibumu untuk yang entah ke berapa kali.

Jika kau pernah tersilap, itu ertinya ibu yang salah mengasuh.

Dengan ucapan ringkas jam dua belas tengah malam, "selamat ulang tahun kakak. Ibu sayang kakak" dan dia membalasnya, "terima kasih ibu" sudah cukup untuk sedemikian mengharukan.

Moga anak ini terus dalam peliharaan Allah, diberikan kejayaan hidup di sini dan di sana.

Kasih ibu terus ada selagi di langit ada bulan dan matahari. Ibu kirimkan doa agar ada kesudahan yang baik untuk setiap kepedihan yang terpaksa dilaluinya.

Untukmu bunga matahariku, Allah sentiasa menjagamu untukku.

Dua hari cuti hujung minggu, saya gagahkan diri berulang alik ke kampusnya di Bangi. Kali ini dia yang memandu ke mana-mana meskipun penat kaki ibu "membantunya" untuk "brek"...hahaha.

Tuesday, December 16, 2014

Demam Pulara


Duduk baik-baik selepas bergumpal





Hari kedua selepas balik dari Pulara 5, saya memang betul-betul demam. Seluruh anggota badan sakit. Saya terhoyong-hayang berjalan untuk mengambil wuduk. Meminta suami menyelimuti seluruh tubuh dengan selimut tebal, saya meneruskan pembaringan.

Saya mendengar suami berpesan, “Baby jangan nakal sangat. Ibu tak sihat...”

Hehehe...sebenarnya malam sebelumnya si Baby terkena air sabun. Dia mahu menangkap serangga yang terbang dan melompat ke sinki. Habis basah badannya yang gemuk itu.

Dua ekor itu bergumpal di lantai. Kemudian berlaku adegan kejar mengejar. Riuh rendah bunyi terlanggar kerusi, katil dan permainan. Lantaklah kau Labu...ibu sudah tidak berdaya untuk membuka mata pun.

Tetapi kadangkala haiwan pun mengerti akan keluarbiasaan. Menjadi aneh apabila melihat tuannya asyik terbaring di katil. Mereka duduk baik-baik di pintu kamar dan tidak bergumpal lagi. Walaupun lapar, mereka tidak bising. Tertib sahaja ketika diberikan rebusan ikan dan hati ayam.

Saya boleh sahaja menghilangkan demam dengan bangun dan membuat kerja sehingga berpeluh tetapi sekali ini ada masalah sebab pandangan berpinar-pinar. Kepala sakit bagai ditaji. Kaki sudah dipenuhi bengkak seperti kena ulat beluncas.

Waktu-waktu begini ada panggilan untuk bertugas. Saya betul-betul rasa rimas. Tidak kisah jika ia berkaitan jabatan sebab adakalanya ada benda-benda yang “urgent”. Saya meminta maaf sebab tidak mampu memaksa diri. Ya, kita selalu gagal menikmati cuti yang diberikan dalam jadual kerja kita sebab kita sendiri yang menjadikannya begitu.

Saya fikir cuaca panas di pulau dan keletihan berganda menyebabkan saya kurang sihat, di samping sistem pertahanan badan saya sendiri yang sudah sedia lemah.

Mudah-mudahan esok menjanjikan hari yang lebih baik daripada hari ini. Saya masih tidak terlalu tua untuk berjalan menggunakan tongkat dan terbaring lesu di katil.

Berjuanglah, ayuh...untuk esok yang manis-manis!

Monday, December 15, 2014

HADIAH SASTERA DARUL RIDZUAN KE-4





Empat malam hanya tidur sekitar tiga empat jam. Memang terlalu meletihkan.

Hari ketiga itu, sebelah petangnya ada jamuan teh meraikan HSDR ke-4 bersama MB, isteri dan exco. Saya mengelak mahu bertemu kawan lama, bukan sebab apa-apa, tetapi saya memang jenis begitu. Tidak mahu dikata orang, mengambil kesempatan. Jadi, saya memilih meja yang agak tersorok.

Petang hangat di pulau. Berbahang dan ketika berjalan kaki ke tempat menginap, serasa mahu pitam oleh panahan matahari.

Malamnya berlangsunglah acara kemuncak HSDR ke-4. Kami ditempatkan di kerusi khas di bahagian hadapan sebelah kanan, guna memudahkan untuk naik ke pentas ketika dipanggil nanti. Juruacara majlis ialah Saiful dan Zakiah Anas dari TV3. Ada tiga orang SN yang hadir iaitu SN Muhammad Haji Salleh, SN Kemala dan SN Baha Zain.

Ketika saya dipanggil, mereka memulakan teks dengan berkata, “Dengan sajaknya Anak Tanpa Rumah, dipersilakan...” Saya naik ke pentas dengan hati-hati. Kalau jatuh di tangga, bukankah sangat memalukan?

Kemudian ada sesi foto bersama MB, isteri dan exco. Di sinilah saya tidak mampu mengelak.Seperti biasa, dia menyebut, “ini kawan baik saya. Dia seorang sahaja yang masih terus menulis. Pah punya karya simpan saja dalam fail. Pah mahu ambil gambar Yang dan kirim kepada Azah...”

Saya senyum sahaja, memeluknya macam biasa. Dia pasti tahu saya janggal, malahan berasa aneh juga. Dia orang yang bagus. Masih sama seperti dahulu.

Sesi berfoto memang mengambil masa yang lama. Rupa-rupanya ada jamuan pula, makanan laut. Kena naik van. Saya sudah kepeningan sebab jam sudah melewati dua pagi. Orang-orang ini memang keturunan burung punggok agaknya...hahaha...

Majoriti pemenang dari Karyawan Pk termasuk kami bertiga dari kategori sajak eceran. Anugerah ini untuk mak, gemulah ayah, untuk warga Lembah Lenggong.

Ketika acara Secangkir Kopi esoknya, Pak Malim Ghozali Pk, Sasterawan Perak yang ketiga memanggil saya dan menyatakan, “ kome kena aktif menulis. Usaha sungguh-sungguh. Kome tahu tak, HSDR ini kita yang paling tinggi hadiahnya dari anugerah sastera yang lain. Kome tahu berapa? RMxxx...”.

Insya-Allah, kata saya walaupun memang tiada dalam kamus hidup bahawa saya akan meraih anugerah berprestij itu. Setakat hadiah-hadiah kategori lain, barangkali saya mampulah. Kepada panel hakim, SN Anwar Ridhwan, Dr Mana Sikana dan Dr Abdul Rahim Abdullah; saya mengucapkan terima kasih atas pemilihan ATR dalam ratusan sajak yang dinilai.

Saya membawa balik dua lagi antologi puisi untuk Cabaran Melewar 2014.

Saya pulang ke ibu negeri tempat saya menumpang, dalam lebat hujan dan kesesakan di lebuh raya. Raja Rajeshwari menumpang sehingga ke Rawang. Seperti katanya, “ada hikmahnya...” kami berdua balik bersama-sama. Dia penulis bukan Melayu, pensyarah IPGBM. Sepanjang-panjang pertemuan di acara-acara lain, kami jarang berbual. Saya mengenali peribadi wanita hebat itu dari dekat.

Jam delapan setengah malam saya tiba. Mengunci pagar dan meninggalkan bagasi dalam kereta. Saya berlarian masuk ke rumah. Kasihan Baby dan Comel. Meskipun si Era dan adik-adiknya sentiasa memastikan kebajikan si bulus-bulus, saya tidak sabar mahu menemui mereka.

Esoknya badan saya sudah tidak mampu bertahan. Seluruh badan sakit. Seakan mahu demam. Betul-betul tidak berdaya mahu berjalan pun. Tetapi saya gagahkan juga mop lantai dan mencuci kain perlahan-lahan.

Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-4 ini sangat manis sebab ia berlaku di negeri saya. Berada di pentas, saya selalu ingat kepada mak dan ayah. HSKU dahulu pun begitu. Kalau mereka tidak rajin bercerita waktu mahu tidur, tentu saya pun tidak pandai berkisahan seperti sekarang.

Saya berdoa agar Allah memelihara hati-hati saya dan kita. Hilangkan rasa riak dan sombong, sikap berasa diri sangat bagus.

Allah boleh tarik ilham kita bila-bila masa.

Friday, December 12, 2014

Di Pulau



Malam itu saya tidur lewat. Barangkali jam dua belas setengah begitu baru saya lelap. Jam lima pagi saya terjaga, bangun dan menguruskan bulus-bulus yang akan ditinggalkan.

Saya menyiapkan jadual untuk memudahkan si Era, anak jiran untuk memberikan makanan dua kali sehari. Tepat jam tujuh lima belas saya bergerak meninggalkan rumah menuju ke pulau. Saya ikut jalan Kuala Selangor. Ada tempat-tempatnya, struktur jalan sangat teruk. Alhamdulillah sekitar jam 11.25 pagi saya tiba di Jeti Lumut. Kak Rosmiaty Shaary, Kak Siti Zaleha Hashim, Encik Djazlam Zainal dan keluarga sudah menunggu.

Di Jeti Pulau Pangkor, ada urus setia menanti. Saya ditempatkan di Puteri Bayu, bukan Coral Bay seperti selalu. Aras empat. Tetapi kemudian ada seorang peserta yang kasihankan saya dan memberitahu urus setia supaya memindahkan saya ke aras bawah. Alhamdulillah.

Sidang pertama membicarakan kumpulan puisi Kembali Ke Fitrah karya Kak Rosmiaty Shaary. Saya bertemu Madam Chapouthier. Ketika menyalaminya, beliau memegang tangan saya dan berkata, “Ibu Bunga Matahari! Thank you...” Eh! Rupa-rupanya dia telah google blog saya. Dia suka membacanya dan cam muka saya. Saya pernah menulis tentang Madam Chapouthier. Dia langsung memberitahu bahawa, “e-mail your story to me. Nanti saya hantar ke Pelanduk”. Bersungguh-sungguh dia menulis e-melnya dan meminta saya berjanji untuk menghantar.

Dia MGSian seperti saya juga. Tetapi jauh lebih senior. Sekarang saya tahulah, jika dalam statistik blog yang digoogle dari Perancis, maknanya itu dari Madam Chapouthier!

Malamnya acara baca puisi. Saya pembaca kedua. Saya baca sajak Ketika Menatap Laut yang belum selesai “dicuci” diksinya.

Seorang rakan, Usman Gumanti datang dan memberitahu, “saya baca sajak you minggu lepas. Saya suka dan teruja. Tetapi saya tidak begitu senang dengan perkataan Inggeris yang diMelayukan dalam sajak itu...”

Ya, saya tahu. Perkataan “integriti”.

Memang ada kritikan sosial di situ dan saya sukar mencari perkataan. Hanya itu yang automatik muncul di minda. Saya gembira sebab ada sahabat yang tekun mengikuti karya saya yang tidak seberapa. Terima kasih yang tidak terhingga. Itulah sahabat yang jujur. Menegur untuk sesuatu yang lebih baik.

Ada beberapa acara berjalan dan saya keletihan. Tetapi kesempatan bertemu rakan-rakan tidak mungkin saya biarkan berlalu.

Saya suka sekali berdiskusi dengan Cikgu Chai Loon Guan, Rajeswari Seetharahman, Zulkifli Mat Top, Pak Baharuddin Kahar tentunya...

Novelis tersohor yang sangat simple tetapi memiliki keupayaan intelektual yang tinggi. Pak Baha bercerita tentang novel yang sudah ada dalam kerangka pemikiran, beberapa elemen kecil yang mahu diangkat untuk menjadi besar dan “mendunia”.

Antologi Puisi Pangkor 4 turut mengandungi sajak saya, Hujan Di Pulau. Cantik buku itu.

Festival Puisi dan Lagu Rakyat Pangkor kali ini tidak seramai festival yang lalu. Tetapi saya tabik dengan Pak Malim Ghozali dan pasukannya. Beliau kelihatan begitu uzur, berjalan menggunakan tongkat.

“Doktor tak beri ubat kat aku. Ya la, tahap empat macam ini, kalau dapat sedikit masa lagi pun cukuplah. Masa untuk bertaubat...” katanya kepada saya dengan sedikit tawa di hujung. Beliau juga mengulang harap supaya saya dapat mengumpul cerpen dan menghantarnya untuk penerbitan antologi.

Melihat kegigihan Pak Malim, kita malu sendiri. Dia dengan segala keterbatasan, kudrat dan kesihatan; tetapi masih mampu melangsungkan acara antarabangsa seperti ini.

Hidup ini berkisar tentang perjuangan dan pertarungan untuk menang.

Pak Malim telah membuktikannya!

Sunday, December 7, 2014

Tanya Kepada Diri



BH Ahad 7 Disember 2014. Tajuknya Tanya Kepada Diri. Saya menulisnya semasa di kampung yang lima hari itu setelah membaca laporan akhbar tentang penerokaan di tanah tinggi sehingga menyebabkan alam menjadi marah.

Hakikatnya ialah kita tidak boleh menyinga melulu terhadap sesiapa sahaja yang gigih dan rajin meneroka. Persoalan dasarnya ialah di mana penguatkuasaan? Atau adakah dalam garis lurus penguatkuasaan tersebut, ada yang melencong di sana sini?

Kita bagi, kemudian kita mengamuk. Mahu arah tentera dan polis menggempur. Masalahnya, diumumkan pula dalam akhbar. Tidakkah *** namanya? Seakan memberi peluang untuk yang terbabit melarikan diri, bukan?

Kasihan tanah tinggi dan belantara kita.

Yang sebenarnya, kasihan kita...

Saturday, December 6, 2014

Hujan Di Kuala Lumpur

Berada di Kuala Lumpur tiga hari dua malam untuk mesyuarat.

Kamarnya luas. Ada ruang tamu dan bar. Hari pertama Kuala Lumpur panas. Subuh hari ketiga, buminya dibasahi hujan. Saya mendengar ngauman guruh nun jauh di langit. Hujan pagi mencurah dan saya melihatnya dari aras tiga belas A.

Waktu turun naik ke bistro untuk makan, atau ke dewan seminar di aras tiga A, saya perasan bahawa tiada aras empat atau empat belas. Saya sebenarnya menginap di aras empat belas, tetapi aras itu ditukar menjadi 13A, sementara dewan seminar berada di aras empat tetapi ditukar menjadi 3A.

Hmmm...ketakutan-ketakutan kepada nombor empat yang dipercayai membawa malang! Sebijak-bijak manusia pun masih ada yang taksub dengan misteri nombor.

Hidangan hotel itu kaya dengan telor. Ada yang bergurau, barangkali pemiliknya mempunyai ladang ayam telor. Hari ketiga, perut saya sudah tidak boleh menerima. Mual dan mahu muntah.

Di tepi hotel ada kelab malam. Waktu-waktu begitu boleh nampak orang-orang yang mabuk dan perempuan-perempuan yang hilang arah. Keseronokan sementara yang tidak memberikan kebahagiaan jiwa.

Generasi anak cucu kita nanti bagaimana? Masih bolehkah diselamatkan daripada gaung kebobrokan yang menganga luas itu?

Bersyukurlah kita sebab kita jauh sedikit daripada benda-benda begitu. Mereka pun barangkali mahu pulang tetapi tidak nampak jalan. Atau sudah ada jalan tetapi penuh dengan sekatan-sekatan.

Ada orang tidak gemar jalan lurus. Jalan berliku-liku lebih adventure. Mana-mana jalan pun, kita akhirnya akan menuju Tuhan.

Merenung hujan yang lebat, saya teringin meraba angin yang sesekali menyapa juga. Ingatan-ingatan merayap. Wajah mak yang jauh di Lenggong, anak-anak yang tidak sempat bertanya khabar ekoran terlalu sibuk, bulus-bulus saya di rumah, juga kebimbangan akan tahap kesihatan sendiri.

Tuhan, jaga mereka untuk saya!

Tuesday, December 2, 2014

Dari Celahan Jendela

Sebenarnya saya berada di kampung lima hari. Hari ini membawa mak ke klinik untuk suntikan dan ubat. Doktor Azmi yang pernah merawat allahyarham ayah empat belas tahun lalu masih ingat benar dengan saya. Banyak yang kami bualkan khusus berkaitan kesihatan mak.

Saya kena balik ke ibu negeri tempat saya menumpang tinggal sementara itu sebab cuti saya diganggu. Nampaknya perancangan saya untuk fokus menulis sesuatu juga ikut terganggu. Entahlah masih sempat atau tidak.

Sementara menunggu-nunggu mak di klinik swasta dan kakak ipar di klinik rakyat, saya membuka laman maya. Oh, ada “pergaduhan” rupa-rupanya. Dunia sastera yang pada saya sedikit suci ini sebenarnya sama sahaja dengan dunia politik yang hari-hari kita baca berita di akhbar perdana dan tidak perdana.

Saya tidak menyebelahi mana-mana bukan sebab mahu menyelamatkan diri. Tetapi saya menulis sebab saya suka menulis. Lebih banyak percuma daripada yang dapat duit. Semuanya sebab passion.Kalau ada pihak mahu bagi hadiah, saya ambil. Kalau ada pihak siarkan di media mereka, saya bersyukur. Saya bukan pandai sangat menulis dengan kisah-kisah luar biasa yang massa tidak faham. Saya menyukai karya Allahyarham Ustaz Azizi. Kalau tuan-tuan peminat beliau juga, tentu tuan-tuan memahami maksud saya.

Jangan nanti kita dikatakan syok sendiri. Kita menulis dengan tajuk-tajuk yang orang baca sekilas pun bikin pening. Belum lagi membaca ayat pertama. Saya kata itu sebab saya bukan orang bijak pandai. Marhaen seperti saya, menulis bukan untuk glamor. Ke sana ke mari dengan tiket sastera tetapi kelihatan seperti tiada beza dengan dunia artis glamor dan elit politik yang biasanya kita pandang serong itu.

Kalau mahu polemik, silakanlah. Tetapi jaga adab supaya orang yang bukan sastera tidak gelakkan kita sampai berguling-guling di lantai.

Macam yang dikatakan oleh seorang kakak ini, “hipokrasi berlaku di mana-mana. Tulis ayat Quran, tulis yang murni dan molek, tapi hakikatnya dahsyat!”

Saya jauh ketinggalan, selalu saya begitu dalam sebarang isu. Orang sudah hangat dengan bara api, saya baru tahu. Rasa macam mahu menarik diri dan berjalan sendirian seperti yang dibuat beberapa orang. Prolifik juga mereka.

Marilah kawan-kawan, kita menulis sebab kita suka menulis. Saya mungkin ada tambahan iaitu mahu tunjukkan kepada mak (dan ayah juga). Apabila saya membaca sajak atau cerpen yang tersiar di hadapan mak, saya rasa seronok. Buat apa kita gaduh-gaduh. Polemik boleh tapi jangan sindir menyindir terutama penulis-penulis (?) baharu. Jaga adab apabila kita mahu memberikan pendapat terhadap pak cik-pak cik dan otai-otai sastera, meskipun kita merasakan lebih advance daripada mereka. Orang tua ada deria yang cepat menangkap sindiran dan kiasan. Bukankah mereka lebih dahulu makan garam daripada kita?

Ada dua “pergaduhan” yang tiada kena mengena pun dengan saya tetapi melibatkan orang-orang yang saya kenal.

Aigo...kena bersiap-siap mahu pulang ke ibu negeri tempat saya menumpang itu. Berat hati. Terlalu.

Tekat selendang untuk si dara, dara memakai manis sekali; tempat orang...orang juga, mana nak sama negeri sendiri...