Total Pageviews

Friday, November 7, 2014

Ke Ibu Kandung Suluh Budiman



Awal pagi menelusuri lebuh raya bersama Bad menuju ke wilayah ibu kandung suluh budiman. Ada Seminar Pemikiran Zabidin Ismail, Presiden Karyawan Pk yang juga merupakan presiden saya.

Paling mengejutkan apabila ada wanita menyapa dan bertanyakan rakan pensyarah saya (lain jabatan). Rupa-rupanya beliau ialah kakak pensyarah tersebut dan juga isteri kepada Tuan Haji Zabidin Ismail!

Ada seorang lagi yang menegur saya dengan menyebut nama penuh. Dia junior saya di RPKD Universiti Malaya dahulu. Masih ingat lagi dia akan wajah saya meskipun sudah hampir dua puluh tujuh tahun begitu. “Seronok membaca karya Kak Yang di media...” Wah, saya sangat suka. Bukan sebab dia membaca itu tetapi panggilan Kak Yang tersebut menggambarkan bahawa junior saya ini memang masih mengingati panggilan kekeluargaan itu.

Suka juga melihat Pak Malim Ghozali Pk yang hadir acara meskipun baru seminggu menjalani pembedahan. Begitu dia meraikan rakan penulis, menyantuni mereka dengan sokongan kehadiran.

Antologi Kinjang dilancarkan Pak SN Kemala yang masih ingat akan kecelaruan saya mencari lokasi acara seminar bulan lalu. Ada dua sajak saya di dalamnya. Kinjang Yang Diam dan Di Kinjangmu Aku Berlagu.

Adik Bad membentang kertas kerja pada acara sebelah petang. Acara ketiga. Auditorium Utama semakin miskin orang. Tetapi ada antara kami yang datang sejauh KL dan Seremban terus tidak berganjak. Kami berdua membawa nama institut. Terima kasih kepada Dr Mehander yang sangat bagus kemanusiaannya.

Hujan yang melebat sepanjang jalan, menyebabkan juga kesesakan. Dalam hujan, kami bersaing dengan Dr Ghaz yang sudah bertukar kerja ke UPSI dan mahu pulang ke Seremban Dua. Jam delapan malam, kami tiba. Suami sudah menunggu di pintu. Kasihan dia.

Meskipun sakit kepala, tetapi ketiadaan saya selalunya menyebabkan dia rusuh. Oleh sebab itu, saya melihat kipas siling, lukisan di dinding, periuk dan pinggan di sinki, semuanya sudah diurus dengan baik. Alhamdulillah. Dalam penat, dia melakukan semuanya itu.

Hidup ini dipenuhi dengan segala macam perkongsian. Kita berkongsi cerita, suka duka dan segalanya dengan orang-orang yang ada di persekitaran. Sampai waktu, semuanya akan menjadi kenangan apabila masing-masing kita menuju ke negeri abadi.

Aktiviti yang kita lakukan di dunia ini, perkongsian kita dengan rakan sekerja, dengan pasangan kita; semoga segalanya berada dalam lingkungan rahmat Illahi Rabbi.

No comments: