Total Pageviews

Thursday, November 27, 2014

@#$%^&*()_+


Sedang "mengemas" rumah


Sajak yang disambung tulisannya oleh Baby


Tandas Smartshif untuk bulus


Tatkala melihat sekumpulan semut kecil gigih mengangkut seketul gula dengan segala kudrat, kita cepat mengambil pengajaran daripada teladan serangga mini ini.

Allah telah menciptakan pelbagai perkara untuk kita jadikan contoh. Menjadi motivasi antara satu sama lain. Oleh sebab itu jangan memandang rendah akan serangga bersaiz mini seperti sang semut. Hatta seekor nyamuk boleh mengakibatkan kematian seorang manusia atau kelompok manusia yang kononnya gagah perkasa.

Ada orang yang bertanya mengapa saya menyusahkan diri dengan mengambil dua anak angkat yang berbulu-bulu itu. Kos penjagaan dan pemakanannya tinggi. Mahu ke mana-mana pun susah sebab memikirkan hal mereka di rumah. Betullah tu. Mana mungkin kedua-dua anak gadis saya itu pandai memasak ikan yang ada dalam peti ais. Atau membantu menyapu lantai rumah, apa lagi mencuci kain.

Makin menyemakkan rumah, memang kepakaran merekalah!

Saya tahu memang banyak gangguan dan "kekacauan" yang akan berlaku terutama ketika saya mahu berkarya. Satu daripada huruf di papan kekunci komputer riba saya telah hilang entah ke mana. Di atas komputer ada kesan cakaran. Ketika saya menulis puisi, mereka pun sibuk juga menaip. Kalau mahu membaca, mereka akan "membaca" juga dengan baring di atas buku atau akhbar dan menggigit helaian seperti tidak makan sepuluh hari.

Mereka adalah terapi saya. Wah, ada lagi orang kata, mengajilah banyak-banyak. Memanglah mengaji, tetapi tidak salah juga kalau menganggap memelihara kucing sebagai terapi. Mereka haiwan kesayangan Nabi. Mereka pembersih. Meskipun bulu yang gugur itu najis tetapi ada kesepakatan ulama bahawa ia najis ringan dengan maksud kucing adalah haiwan yang memang habitat dan takdir alaminya tinggal di persekitaran manusia.

Ketika saya mahu kalah dengan ujian, Allah datangkan mereka untuk saya.

Meskipun tidak pandai membasuh baju atau mencuci pinggan, tetapi mereka membasuh kedukaan saya, mencuci bekas air mata yang mengalir jauh ke dalam hati.

Tuesday, November 25, 2014

Kopi? Entah...

Kesihatan merudum beberapa minggu ini. Asyik terlupa mengambil ubat barangkali antara puncanya selain banyak hal bertandang di minda.

Sebelum cuti, saya mendapat “upah” berlakon dalam Sang Patriot Bangsa. Dengan wang itu, saya belikan Smartshif, tandas untuk Baby dan Comel. Tetapi sehingga saat ini, kedua-duanya masih belum pandai masuk dan keluar dari swinging door tandas tersebut! Penat si bongsu yang balik sebentar menjenguk saya, melatih si bulus-bulus.

Kehidupan ini seperti minum kopi. Kopi tanpa gula, pahit. Tetapi menambah gula berlebihan, akan membawa penyakit. Ada orang menikmati kopi tanpa gula sebab bagi mereka itulah yang sebenar-benarnya kopi. Tetapi ada orang yang hanya memandang sepi kopi tanpa gula. Kopi yang tawar tidak memberikan apa yang dipanggil sebagai nikmat.

Ada apa dengan kopi? Entah. Saya tulis sahaja dalam serabut yang berselirat.

Wednesday, November 19, 2014

Perempuan dan Penjara-penjaranya

“Susah betul kahwin dengan orang yang kedekut dan terlampau berkira...” keluhnya. Mukanya yang manis sudah hilang kemanisan. Kes berat ni, fikir saya.

Saya menadah telinga, bersedia untuk mendengar. Bukan mudah untuk seorang isteri pendiam sepertinya meluahkan sesuatu kepada orang lain. Hambatan dosa sentiasa mengejar kerana membuka aib pasangan.

“Sudah lama?” tanya saya.

“Sebelum kahwin lagi sudah tahu tapi...puan pun arif kan...kita ini kalau bercinta, semuanya bisa diatur...”

Alamak, macam ada najis burung garuda jatuh setempek ke muka saya! Hmm...kata-katanya memang dua ratus peratus benar. Kita fikir cinta mampu mengubah manusia dan diri kita, tapi ternyata hakikatnya hampas-hampas belaka.

Saya berlucu, “tapi puan perasan tak? Orang kedekut pun tak suka kalau ada orang yang kedekut dengan dia...”

Dia tersengih sedikit. Saya beritahu dia, saya sendiri tidak boleh tahan berkawan dengan orang yang kedekut, berkira dan suka mengambil kesempatan.

“Ya la, puan. Mula-mula saya boleh bertahan. Tapi lama-lama apabila semua perkara saya yang kena bayar, kena urus...saya manusia biasa. Lama-lama saya rasa penat sangat dan tertekan. Kalau yang melibatkan kepentingan dirinya dan keluarganya, saya kena berkorban tidak kira masa, kena memahami kekangan-kekangan mereka, tetapi apabila melibatkan hal saya...”

Memang dia isteri baik. Saya mengesannya daripada atur bahasanya yang begitu awas dan tersekat-sekat. Seperti yang saya katakan tadi, kita diajar untuk mentaati suami, menyimpan aibnya sehingga memakan hati kita sendiri.

“Sebenarnya agama kita tidak ajar begitu, puan. Suami yang kena jaga kita sebab kita adalah amanah Allah, bukan kita yang jaga dia sampai jadi seperti babu. Puan biasa dengar kan, selepas menjadikan kita babu, suami akan cari lain, yang lebih bergetah dan serupa peragawati...” katanya.

Kedekut-kedekut pun ada hati mahu cari yang serupa peragawati? (Tiba-tiba juga saya teringat teka-teki si Irfan, "binatang apa yang kedekut?")

Sebenarnya saya mahu menambah begini...”yang serupa peragawati itu macam buah yang cantik kulitnya tetapi dalam berulat...” tetapi saya simpan sahaja kata-kata itu. Saya tidak boleh menambah garam dalam gulai yang sudah sedia masin.

Saya pernah mendengar ustaz menyebut, suami kena faham maksud wang nafkah dan wang dapur. Kalau tidak jelas bayaran untuk yang mana satu, suami kena minta halal daripada isterinya. Kadang-kadang isteri menggunakan wangnya sendiri untuk membeli barang dapur, membayar bil, dan sebagainya sedangkan sepatutnya itu di bawah tanggungjawab suami.

Jangan main-main dan anggap enteng, kata ustaz. Esok-esok di akhirat, jenuh mahu menjawab soalan daripada Allah SWT.

“Orang lelaki sekarang...” katanya, “sudah tiada harga diri sebagai lelaki...”

Oh, oh...saya memahami perempuan seperti ini. Dia seperti gunung berapi pendam yang begitu lama berdiam dan bertahan. Ramai yang begitu di sekitar kita, barangkali termasuklah diri kita sendiri.

“Ada isteri atau suami yang dapat pasangan yang sangat bagus, tetapi tidak bersyukur pula. Kalau kena macam saya, baru mereka tahu!” dia menamatkan kisahnya dengan lega. Ada banyak hal yang diceritakan tetapi terpaksa off record. Dia membenarkan saya menulis “untuk perkongsian dengan mereka yang senasib dan sebagai iktibar kepada yang sedang bercinta”.

Awalnya saya kurang berminat mahu menulis tentang hal rumahtangga. Kepenatan yang sejak Khamis lalu menghuni jasad saya, belum terusir. Sudah seminggu ini tidur saya tidak cukup. Kepenatan seperti pakaian yang melekat di tubuh.

Tetapi wajahnya berapungan di udara ingat.

Wajahnya yang sedih. Tutur katanya yang diamuk rasa bersalah. Beban yang bersesakan dalam minda. Dirinya yang terkurung dalam kepiluan yang hanya dirinya sendiri yang mengerti.

Apa pun, itulah nasibnya menjadi perempuan dalam masyarakat yang seperti kita ini.

Kenyataan sarkastik? Kejam?Tidak berpijak di bumi nyata? Berbau feminisme? Pesimis? Prejudis?

Apa-apalah ya!

Tuesday, November 18, 2014

Meledani Waktu. Dan Mak.

“Kalau tidak sedap hati, balik sahajalah kak” kata Adik Faiz.

Rupa-rupanya hari itu sudah Khamis. Maknanya kena cepat isi borang cuti. Petang Khamis saya menuju ke kampung. Hujan sangat lebat. Angin ribut yang kuat. Sampai di Lebuh raya Guthrie, suami menghantar mesej, “berhenti di sisi jalan. Hujan sangat lebat...”

Memang tidak nampak apa yang ada di hadapan. Jadi, saya pun berhenti di sisi jalan. Menunggu dan menunggu hujan mereda. Ada beberapa kereta juga ikut berhenti. Dalam hati saya sedikit rusuh, sampaikah saya ke kampung yang jauhnya beribu batu?

Tidak mengapa, pasti Allah membantu saya. Mula-mula terfikir mahu menginap semalam di apartmen si bongsu, tetapi kemudiannya saya nekad meneruskan perjalanan. Kalau mak di tempat saya, pasti mak pun akan berbuat seperti saya. Saya tidak singgah di Puncak Alam atau mengambil barang yang mahu dikirim suami. Tidak sempat. Hari semakin gelap dan muram.

Perlahan-lahan saya menyusuri gelap malam menuju ke kampung bersama si Baby. Dia menangis sehingga ke Nilai. Kemudian saya baru teringat mahu memasang CD surah untuk kanser. Setelah memasangnya, barulah dia tenang sedikit. Dia duduk diam di hujung kaki kiri saya. Tidak mengganggu pemanduan.

Berhenti juga untuk ke tandas. Kena berkorban sedikit dengan berhenti di hentian sebelah sebab parkirnya dekat dengan tandas.

Jam sembilan malam baru saya tiba di halaman mak. Mak sedang solat. Nampak wajahnya tidak seceria biasa. Kudratnya sudah banyak hilang.

Esoknya pagi-pagi saya ke pasar. Balik dan masak sup untuk mak. Sebelah petang, saya masak tomyam pula. Seronok lihat mak makan walaupun saya tahu mak hanya mahu mengambil hati saya. Selera mak sudah tiada.

Malamnya saya dan abang ke Ipoh, ada hal kecemasan. Lama kami di sana. Jam dua pagi baru tiba semula ke rumah mak. Esoknya pagi Sabtu saya memasak untuk mak dan anak-anak saudara yang ada di rumah sebelum bergerak semula ke Ipoh untuk ke Darussyifa’.

Jam tujuh pagi Ahad, saya ke pasar Lenggong. Pekan kecil itu lengang. Saya membeli sayur-sayuran dan bekalan dapur untuk mak. Hampir terpijak seekor adik kecil yang membulat di ruang pejalan kaki. Barangkali cuaca dingin menyebabkan dia tidur di situ. Saya memegang belakang lehernya dan memasukkan ke dalam kereta.

Adik kecil itu menangis kuat. Bingit sekali. Tetapi sampai ke sekitar perkuburan Cina, dia senyap. Saya fikir dia sudah kepenatan. Apabila tiba di rumah, barulah saya tahu diamnya bersebab. Dia menyelongkar ikan rebus dalam plastik dan makan seekor ikan dengan lahapnya.

Sampai di rumah, mak mandikan adik kecil itu dan membalutnya. Kasihan dia. Mudah-mudahan dia sihat sejahtera dalam peliharaan mak.

Saya menuju ke ibu negeri tempat saya menumpang duduk dengan dua ekor makhluk berbulu. Singgah sebentar di Puncak Alam, makan bersama si bongsu dan memberikan wang minyak keretanya. Kemudian singgah pula di Bangi menjenguk si sulung. Dia kelaparan sebab kafe kolej kediamannya tutup. Kami ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan.

Waktu menunggu si sulung di luar pasar raya, saya ditegur seseorang.

“Kak, ini baka benggal ya? Anak saya beritahu. Kak nak jual?”

Lelaki itu dengan dua anaknya melihat-lihat si Baby.

“Ya, benggal marble...”

Kami bercerita banyak perihal kucing. Mereka sekeluarga peminat baka benggal dan scottish fold. Katanya, harga benggal mahal. Saya kata tidaklah semahal baka spinx yang tiada bulu. Harga baka itu mencecah RM10 ribu. Anaknya yang perempuan ganas sedikit. Saya bimbang si Baby stres. Jadi saya kata, “hati-hati dik. Kucing ni agresif...” sebenarnya Baby hyper-active, bukan agresif.

Setelah keluarga itu pergi, datang lagi beberapa orang. Antaranya ialah pelatih veteriner. Dia menunjukkan beberapa gambar pembedahan untuk memandulkan kucing. Lama juga melayannya sebab dia juga sukakan baka benggal.

Saya sampai di rumah menghampiri Isyak. Mengemaskan keperluan ahli baru dan si Baby, kemudian mencuci kain baju.

Sesi berkenalan berlaku antara dua kucing itu. Malamnya saya tidur dengan Baby sebab si Comel belum saya mandikan. Malam kedua barulah dua-duanya tidur dengan saya. Sukar juga mahu tidur sebab mereka berkejaran bermain dalam bilik. Akhirnya sejuk pendingin hawa menyebabkan mereka lena. Si Comel naik ke atas badan saya, mujur saya tidur dengan memakai topeng penutup mulut dan hidung.

Hari ketiga, kedua-duanya sudah boleh makan bersama. Baby tidak lagi hairan melihat ada entiti lain dalam rumah. Hari ini atau esok, saya akan bawakan si Comel ke klinik untuk mendapatkan suntikan, sementara Baby dihantar untuk grooming. Kukunya sudah panjang. Calar-balar tangan saya dibuatnya.

Menelefon mak awal pagi ini, terdengar suaranya lesu. Bertahanlah mak, saya akan mencuri waktu untuk pulang dan menemani mak.

Betapa banyak pun kita meladeni ibu bapa kita, perbandingannya masih seperti langit lazuardi dan kerak bumi.

Tidak akan sama selama-lamanya.

Mereka telah mengorbankan kegembiraan hidup untuk kita. Dengan kesempitan hidup dan kurang ilmu, mereka membesar dan mendidik kita.

Tetapi kita yang ada wang dan ijazah pertama, kedua dan ketiga...tidak menghasilkan didikan yang bagus seperti mereka.

Jelaslah bahawa wang, pangkat dan ilmu dunia bukan ukuran kejayaan mendidik keturunan. Semuanya bermula daripada keberkatan.

Ya. Keberkatan!

Monday, November 17, 2014

Irfan Si Budak Bandar

Ahad, saya ke pasar awal pagi. Pulang dan memasak untuk mak. Memastikan mak makan sebelum saya ke Ipoh menghantar anak-anak saudara saya, langsung mahu bergerak pulang ke ibu negeri tempat saya menumpang duduk.

Sepanjang perjalanan kami bermain siapa yang paling banyak pilihan warna kereta. Saya memilih warna putih, Iskandar biru dan Irfan merah. Rupa-rupanya permainan tahun awal 70-an semasa saya masih di tadika dan sekolah rendah itu, masih dimainkan oleh budak-budak sekarang. Bezanya, zaman kecil saya, kereta belum begitu banyak. Kami biasanya duduk di pondok menunggu bas sambil mengira kereta yang lalu.

Sampai di Sungai Siput, kereta warna putih sudah mencapai angka seratus. Jadi, saya mengisytiharkan diri sendiri sebagai pemenang dan secara automatiknya menarik diri daripada pertandingan. Saya memberi harapan kepada Irfan, “mana tahu tiba-tiba ada konvoi kereta berwarna merah!”

Anak-anak saudara saya itu seorang di tahun satu dan abangnya di tingkatan satu. Irfan bertanya mengapa kereta banyak yang berwarna putih.

“Warna putih sesuai dengan cuaca panas di Malaysia...” terang saya.

Malangnya, sehingga ketika tiba di Ipoh, Irfan masih kekal di posisi akhir.

Dua malam lepas, budak dua orang itu mengikut saya balik ke kampung. Irfan mahu duduk di hadapan. Jenuh mendengar dia bersembang. Jam menunjukkan pukul satu setengah pagi tapi dia masih rancak berbual, bermain teka teki dan meminta saya bergilir-gilir bercerita.

Kulitnya cerah, berambut kerinting seperti gemulah ayah saya. Mukanya sentiasa senyum, gigi sebaris cantik. Dia suka makan menyebabkan badannya tembam. Paling menarik mengenai Irfan ialah dia suka bersembang, malahan kadang-kadang ayat yang dituturkan kelihatan begitu skema dan lucu.

Malam kedua, jam sudah lewat juga menghampiri dua belas lebih. Awalnya dia beritahu bahawa dia sudah kenyang. Tetapi entah bagaimana, dia mahu makan nasi dan meminta saya goreng telur separuh masak.

“Telor mata?” tanya saya.

“Bukan! Telor separuh masak. Tak apa, nanti saya ajar makyang!”

Dia meminta saya meletakkan minyak dalam kuali. Kemudian pecahkan telor. Terbalikkan dan pastikan jangan masak sangat.

“Ha, tengok tu. Biar meleleh. Budak bandar saja yang pandai makan telor macam ini. Umi (ibunya) sahaja yang pandai buat. Orang kampung macam makyang dan ayah memanglah tak pandai...”

Hahahaha...sabar sahajalah!

Ketika di masjid menunaikan solat, ada sekali kawan-kawan ayahnya mengirim gambar si Irfan sedang solat sambil duduk atas kerusi. Bila ditanyakan mengapa dia solat duduk, katanya dia sangat penat.

Ketika kami solat berjemaah dan menunaikan solat hajat, dia yang paling lama sujud. Orang sudah lama memberi salam, dia masih sujud.

Uminya bertanya apa yang dia minta kepada Allah. Katanya, “banyak! Saya minta mula-mula mahu jadi kaya sebab mahu beli permainan robot. Kedua, saya minta supaya Angah jangan buli saya lagi...bla bla”. Angah ialah abangnya yang kedua.

Meskipun masih kecil, banyak yang boleh kita teladani daripada sifat dan sikap kanak-kanak. Mereka jujur dan tidak pandai menipu. Kita yang sudah dewasa ini ibarat kain sebidang yang sudah berlumuran dengan simbahan lumpur dosa.

Santuni kanak-kanak dan orang-orang tua, maka hidup kita akan sentiasa dibukakan pintu kebahagian dari segenap arah meskipun di mata orang banyak, kita insan yang tidak punya kekayaan materi.

Wednesday, November 5, 2014

Pak Wan Pun Bersara

Meraikan persaraan Pak Wan.

Dua kali latihan. Sebelah petang Isnin dan malam Selasa. Malam Selasa kami menunggu Pak Wan bergerak balik. Sebenarnya mahu buat kejutan untuk pensyarah ini. Saya mahu berikan sesuatu juga tetapi masalahnya saya kena tempah di Kuala Pilah. Jauh.

Pak Wan memperkenalkan Intan, siswi pendidik semester empat. Dia yang akan bermain seruling mengiringi persembahan saya. Sebenarnya Pak Wan mahu saya mengetengahkan budak itu setelah persaraannya. Budaknya bagus, berbakat dan baik. Saya bacakan lagi sajak yang saya cipta khas untuk Pak Wan. Sajak "Masih..." dengan vokal permulaan yang saya keluarkan dari "dalam".

Saya anggap Pak Wan guru saya. Dia banyak berkongsi ilmu dengan saya. Saya hanya sempat belajar satu sesi bermain ukelele dengan Pak Wan. Memang "benak" hati sedikit. Saya hanya mahir bermain hadrah, alat muzik yang lain saya hanya bermain dalam angan-angan. Mungkin saya boleh menyanyi juga tetapi kurang ada keberanian untuk melontar suara.

Acara perhimpunan budaya dan meraikan persaraan empat pensyarah berjalan lancar. Pak Wan kelihatan touching and almost crying... Ini barangkali persembahan akhir saya dalam gandingan bersama seniman itu. Pastinya saya akan berasa kehilangan.

Selamat bersara Pak Wan. Semoga pengembaraan Pak Wan dan isteri dengan karavannya berjalan lancar dan dipelihara Allah SWT.

Monday, November 3, 2014

Ahad dan Isnin Yang Sibuk


Baby yang kurang sihat sempat selfie

Isnin yang letih. Hanya Ahad cuti dan cuti hujung minggu itu dengan kepala yang berdenyut, berkejar ke Bangi untuk menemui budak yang sulung itu.

“Mana nasi lemak sayaaaaaaaaaaaaaaa. Nasi lemak ibu masak. Sedapnya. Saya lapar hoho...” Whassap saya berbunyi tanpa henti. Tidak sempat menjawab sebab bertalu-talu. Sebenarnya sudah lama budak itu mahukan nasi lemak yang ibu masak. Nasi lemak tradisional, katanya. Tetapi saya agak sibuk beberapa waktu itu.

“Bagi ibu masa dua jam. Tunggu ibu...” kata saya, bersegera menanak nasi, merebus dan menggoreng telor, membuat sambal dan ikan bilis rangup. Saya siapkan semuanya termasuk keperluan Baby yang akan menemani saya ke Bangi.

Jam hampir Maghrib saya tiba. Baby yang ikut naik, menikus saat masuk ke kamar si sulung. Entah apa kenanya dia. Mungkin...

Selepas melihat dia makan dengan lahapnya, saya bergerak balik dalam gelap malam. Untuk anak, segalanya...suatu hari nanti mereka akan tahu nilai kasih seorang ibu.


Awal pagi Isnin ketika di surau, saya melhat beberapa ibu sujud lama. Solat hajat barangkali. Oh, SPM bermula hari ini agaknya. Saya terkenang lima tahun lalu, saat si bongsu saya menghadapi peperiksaan itu. Begitulah saya. Setiap kali kertasnya bermula, saya akan berusaha untuk solat hajat dan membaca Yassin, membantu anak itu dari jauh.

Isnin juga saya mengesan ada sesuatu yang kurang kena di telinga kiri Baby. Saya memujuknya, “tunggu ibu bawa ke klinik...” menelefon doktor dan membuat temu janji. Mujur doktornya ada sebab hari ini ada pembedahan. Saya bergegas menghantar Baby. Satu suntikan, dibubuh ubat dan diberi minum ubat. Bekalan antibiotik juga dibekalkan. Kasihan budak itu. “Kalau dia garu, kak kena beli kolar...”

Sepanjang malam, dia menjadi anak baik. Oleh sebab berkelakuan di luar kebiasaan, saya sedikit susah hati. Saya hamparkan tuala di beberapa tempat dan menyebut, “tidur di sini, jangan tidur atas simen...” Dia mengikut pula kata-kata saya. Ketika bangun subuh, dia terbaring di hujung kaki. Sesuatu yang sangat jarang berlaku sebab subuh adalah waktu dia paling aktif!

Mak di kampung merupakan keutamaan yang utama. Menelefon mak awal pagi masih menjadi rutin. Doa saya agar Allah mengembalikan kudrat dan selera makan mak, juga menyembuhkan kesakitan mak. Mudah-mudahan saya dan kita semua diberi kesempatan untuk membahagiakan hati perempuan yang telah bersabung nyawa untuk menjadikan kita manusia berjaya pada hari ini.

Tanya orang yang sudah tiada mak, jawapan yang akan kita dapat adalah sama. Pastinya mereka akan berkata, “hargai ibu bapa selagi mereka masih ada...”

Sungguh!

Suatu saat kita akan merindui bebelan seorang perempuan bernama mak!

Saturday, November 1, 2014

Sepatu Hijrah


Mingguan Malaysia Ahad 2 November 2014

Bayarannya nanti lepaslah untuk beli jajan Baby...Alhamdulillah. Murah rezeki Baby.



Teringat gurauan adik Badrul, "kak ni dahsyatlah. Kereta untuk kucing, kamera kucing...sajak pun untuk kucing..." hehehe. Kusyen kereta sudah ada calar sedikit, kamera sudah pecah juga sedikit sebab talinya diheret Baby. Sofa jangan ceritalah.

Pergi membeli akhbar dengan Baby. Kasihan si harimau marble itu. Dunianya kecil, terkurung dalam rumah dengan keaktifan luar biasa. Dia duduk di posisi kesukaannya. Saya membuka kerusi belakang, menurunkannya supaya nampak lapang. Dia cukup suka kalau sudah sampai ke garaj rumah. Diajak turun pun tidak mahu.

Beratnya turun sedikit sejak seminggu dia berkelakuan miang itu. Tidak tidur, asyik meraung, kurang makan.Khabarnya, akan pulih dalam beberapa hari lagi sebelum pusingan seterusnya. Mahu hantar ke vet untuk mandi, musim hujan sekarang. Kata adik Faiziah, nanti selesema.

Sepatu Hijrah saya tulis dua hari sebelum ke SKPM di Jitra. Saya tulis dalam kereta di hadapan Balai Islam sebelum Dhuha. Untuk sambutan tahun baharu Hijrah Sabtu 25 Oktober. Sajak untuk diri sendiri, untuk orang-orang yang saya kasihi juga.

Mudah-mudahan Allah menerima "hijrah" kita. Menetapkan kita dalam jalan-Nya dengan kekal dan berterusan. Sedikit itu tidak mengapa asalkan tidak putus.