Total Pageviews

Monday, October 13, 2014

Utara Selatan

Suami membaca sajak saya yang terbit di akhbar kelmarin. Dahinya berkerut-kerut.

“Faham?” tanya saya.

“Faham...” jawabnya yakin walaupun saya tahu dia memang tidak faham.

“Ini cerita di lorong yang Yang pergi waktu Kongres Penyair Sedunia itu, kan?”

Dengan yakinnya dia berkata lagi, “yang kerja orangnya asyik menjahit itu, bukan?”

Saya mahu ketawa. Memang ada perkataan “jahit” dalam sajak saya itu. Tetapi bukan maksudnya begitu. Saya membaca dan menerangkan.

“Ini bukan kisah penjara, rumah, bangunan atau bilik. Perempuan yang duduk di dalamnya juga mewakili sebahagian besar perempuan yang menderita dan terkurung dalam perkahwinan dan stigma masyarakat”.

Saya tahu dia memang tidak faham mengapa sajak mesti ditulis begitu. Dahulu, dia pernah berkata, “mengapa mesti melibatkan bulan dan bintang, awan gemawan, laut dan sungai semata-mata untuk mengucapkan aku cinta padamu?”

Padahal, dia tergolong lelaki romantis. Cuma dia tidak pandai bersajak.

Jadi, jangan mimpilah saya akan mendapat sebuah sajak yang dipenuhi dengan bulan bintang dan segala planet...hahahaha.

No comments: