Total Pageviews

Friday, October 31, 2014

Memilih Menantu

Dia berguling-guling di lantai, tidak kira sama ada dalam bilik, di ruang tamu hatta di dapur sekali pun. Sejak beberapa malam, dia asyik menangis. Suaranya yang selama ini tidak pernah kedengaran, begitu mengganggu tidur yang tidak pernah kecukupan seminggu ini.

Cuba memujuknya, mendukung dan mengusap. Tetapi bukan itu yang dia mahu. Labu dan ayam yang dimasak serta dikisar, tidak lagi menyelerakan. Sesekali dia akan berlarian, bermain. Tetapi kebanyakan masa, dia hanya menangis berguling-guling.

Saya menjadi ahli beberapa laman. Daripada laman-laman ini, saya pasti anak saya ini sedang on-heat. Sempat juga mendengar teruna-teruna yang sibuk memanggil dari luar.

Mula-mula suami tidak percaya, “Baby masih kecil. Mungkin dia hanya mahu bermanja...”

Sebenarnya ini kali kedua dalam tempuh dua bulan Baby mengalami on-heat. Memang terkejut juga sebab dia baru sekitar enam bulan. Kemudian, akhirnya suami mengakui bahawa anak itu sedang bermasalah.

“Kasihan dia, abang. Tak sampai hati saya tengok. Saya nikahkan sahajalah kepada teruna yang menunggu di luar...” kata saya simpati.

“Eh, jangan! Kita mesti pastikan keturunan yang baik untuk Baby. Anak-anak yang cantik...” cerewet pulak dia!

Dan dia pun menyebut, jangan sembarangan mahu pilih menantu. Lihat warnanya, ada kutu atau tidak, sihat atau bawa penyakit, jangan yang gelandangan, keturunan yang baik-baik!

“Cerewet betul!”, kata saya. Dan kemudian saya menyambung, “kena ada degree juga ke?” hehehe.

Yang sebenarnya memang Baby masih kecil. Tetapi jangan lupa, kata saya...”lihat keturunan Baby. Macam manusia juga daripada keturunan yang itu. Bukan saya prejudis terhadap keturunan tersebut, sebab bukan kita boleh pilih mahu jadi kaum apa. Tetapi itulah hakikatnya. Bukankah datuk nenek Baby pun asalnya dari wilayah situ?”

Itu teori saya yang tidak didukung oleh mana-mana dapatan kajian. Pagi-pagi saya sudah bikin teori. Kasihan melihat anak itu berlarian ke sana ke mari, kemudian bergolekan di tepi kaki. Mahu menyapu pun susah. Dia melompat ke sana sini, mainannya bertaburan di merata lantai.

“Tunggu sahajalah waktu yang sesuai. Dia kecil lagi, nanti anaknya kurang sihat. Dia pun nanti kurang pandai jaga bayi. Abang sudah janji mahu jodohkan dengan si parsi pemilik asal Baby...”

Tiba-tiba saya berasa seperti sedang menonton filem P.Ramlee. Filem Ibu Mertuaku yang cerewet memilih menantu. Cuma tajuknya bertukar kepada Bapa Mertuaku! Kemudian siap ada janji perjodohan lagi...adoi!.

No comments: