Total Pageviews

Wednesday, September 3, 2014

Upin dan Ipin Di Kg Tivi

Ada majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan awal pagi ini. Jabatan Pengajian Melayu yang menjadi penganjur. Saya bertugas di belakang pentas untuk mengatur dekon bertajuk "Lelaki Pemerkasa Bahasa". Sajak itu saya tulis menceritakan perjuangan Za'ba. Walaupun ada masalah teknikal pada awalnya, nasib kami baik. Waktu pementasan, masalah itu sudah dapat diatasi.

Selesai majlis saya menyemak e-mel. Ada satu e-mel dari Jakarta. Suami memberitahu yang dia sedang menyiapkan laporan untuk dibentangkan keesokan pagi. Saya melihat jam e-mel itu dihantar, sekitar pukul 1.30 pagi.

Suami menceritakan kisah lucu.

Kelmarin dia menguji pemandu yang agak muda. Wajah lelaki itu semacam takut-takut, wajahnya cemas seakan mahu menanyakan sesuatu. Untuk mengelakkan dia gugup, suami berkata, "pak jangan takut. Kalau ada sebarang soalan atau masalah, pak boleh tanyakan kepada saya..."

Dalam fikiran suami, barangkali dia mahu bertanya mengenai pemanduan atau prosedur keselamatan di tengah kota Jakarta yang macet itu.

Sekitar sepuluh minit, lelaki itu diam. Akhirnya barangkali sudah tidak tahan, dia bertanya, "sebetulnya saya mahu tanya sama bapak, Upin dan Ipin itu tinggalnya di mana?"

Suami mahu ketawa tetapi membalas dengan berkata, "Oh, Upin dan Ipin tinggal di TV"

Fikir suami, lelaki itu memahami gurauannya. Rupa-rupanya tidak.

Dia menjawab, "Oh, di Malaysia kok ada kampungnya yang bernama Kampung Tivi?"

Begitulah minatnya mereka kepada siri animasi Upin dan Ipin. Saya teringat bagaimana saya dan suami mencari produk Upin dan Ipin yang dipesan pengurus di Jakarta untuk anaknya.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kita dapat menembusi pasaran negara jiran itu dengan penghasilan animasi seperti Upin dan Ipin, kembar seiras anak yatim piatu yang dibesarkan oleh Opah dan kakaknya.

Kampung Tivi pun Tivilah...

Saya tidak tahu sama ada suami menerangkan bahawa si kembar yang keletah itu hanyalah berstatus kartun.

No comments: