Total Pageviews

Thursday, September 25, 2014

Harmonika Cinta

Suami menurunkan saya di Stesen BB. Dalam tren, masih ada bangku yang kosong. Turun di BTS, dari tangga sudah terdengar alunan harmonika yang enak. Peniup harmonika itu lagi...

Bunyi harmonika itu seperti awan yang menari-nari. Pagi yang sedih, telah dipadamkan dengan bunyi harmonika yang berapungan di udara.

Di HUKM, masyarakat berpenyakit seperti biasa ramainya. Giliran ke dua puluh dua. Eh, itu sudah bagus. Sementara menunggu, saya pergi mencari air bio-cypress tapi hanya berbaki tiga. Sebenarnya saya bawa beg yang besar hari ini sebab kononnya mahu mengisi enam ke tujuh botol air tersebut. Lepas itu saya bayar bil api di kaunter pos yang kosong.

Apabila dipanggil ke kamar delapan, saya nampak muka profesor itu. Dia memeriksa saya dan melaporkan dapatan mamogram dan ultrabunyi. Kemudian meminta saya mendapatkan tarikh temu janji untuk mamogram seterusnya di Jabatan Radiologi. Dua kali saya berulang alik ke jabatan tersebut sebab orang di kaunter tersilap letak tarikh. Balik semula ke Klinik Surgeri, saya diminta mengambil “Mr T” di farmasi. Memikirkan kebiasaan saya ambil ubat di aras atas yakni di Farmasi Satelit, saya duduk menunggu di sana. Rupa-rupanya sudah bertukar. Saya kena turun pula untuk ambil ubat di farmasi yang lebih besar. Penatnya.

Senaman kakilah pula hari ini. Lutut kanan saya pagi tadi mengalami sakit yang dahsyat. Mujur tiada apa-apa. Barangkali itu sebagai amaran, jangan melebih-lebih aktif.

Sebetulnya, saya mengantuk amat. Boleh terlena sampai ke ibu negeri. Mujur saya dengar di hujung cuping, pengumuman tren sudah tiba ke stesen ibu negeri.

Malam semalam, sudah hampir Isyak barulah suami sampai ke rumah. Mengkhabarkan bahawa dia akan berpergian. Kemudian macam biasa, apabila susah hati memikirkan saya yang tiada kenderaan, dia akan bercakap tanpa henti. Saya sudah mengantuk tapi kena dengar juga siaran radio klasik nasional itu. Terlentok-lentok saya di sofa. Akhirnya saya tekan lengan dia dengan jari, dengan bunyi “tit”.

Dia menoleh. “Kenapa?” tanyanya.

Saya kata, radio pun ada butang on dan off. “Saya sudah off abang, jadi abang tidak boleh bercakap lagi. Tunggu sampai saya on, baru boleh bercakap”.

Sepanjang-panjang malam, asyiklah saya on dan off “radio” saya itu. Kalau tekan banyak kali dengan bunyi “tit tit tit” maknanya radio ada gangguan siaran.

Dia pun menyebut ayat biasanya iaitu, “bini kelakar macam ni pun ada..”

Sebab lakinya pun ultra kelakar!

Lagu daripada harmonika cinta sesungguhnya masih berapungan di udara hati kami!

No comments: