Total Pageviews

Thursday, August 28, 2014

Khabar Dari Seberang...Kantoi Siri 2

Awal pagi dia menelefon. Mahu hilangkan rindu, katanya.

"Sayang apa khabar? Si Baby sihat? Abang sihat dan gigih bekerja. Keluar subuh dan balik malam ke hotel..."

Sebenarnya dari dahulu lagi saya terfikir apakah pendekatan dan formula yang digunakan oleh syarikat sehingga dapat membentuk peribadi yang menumpahkan setia kepada apa sahaja elemen yang melibatkan syarikat tersebut. Saya dapati banyak perkara termasuk sesi Heart & Mind yang memasukkan unsur sepunya dalam menjaga kebajikan pekerja. Cerita yang saya tahu daripadanya semua perihal yang bagus-bagus. Jika ada tidak puas hati pun boleh diibaratkan seperti beberapa longgok pasir di persisiran pantai yang panjang.

Saya sendiri bukan jenis yang setia, melompat kerja ke sana ke mari walaupun masih dalam dunia yang sama.

Kadang-kadang apabila iman menipis, saya merungut, gajinya bukanlah besar sangat jika dibandingkan dengan kerja dan pengalaman (dan saya tidak pernah sibuk mahu tahu gajinya berapa. Kebetulan ketika mengisi borang kemasukan anak ke universiti lama dahulu, saya ternampak jumlah gajinya itu). Banyak tawaran diterima dengan imbuhan yang jauh lebih baik, dia macam mahu tetapi akhirnya pasti tidak jadi. Sungguh, dia menyayangi tugasnya di syarikat yang barangkali sudah empat puluh tahun lebih (?) dia di situ. Kalau saya, sudah lama angkat kaki! Betapa halobanya saya!

Oleh sebab 99% kisahnya mengenai kerja dan saya menjadi pendengar tetap "siaran radio" setiap kali dia pulang, saya sudah menghafal makna L.O.V.E, ROTA A, sudah tahu apa itu zero accident, standdown, mid-night driving procedure, incident review, DET, incab, toolbox meeting dan macam-macam istilah lagi. Maknanya kalau saya pencen opsyen lima puluh lima, bolehlah saya kerja di syarikat itu sebagai petugas kaunter atau tukang bancuh kopi.

Pagi ini ada ceritanya juga meskipun suaranya kadang-kadang tenggelam oleh gelombang lautan.

Katanya...

"Abang ke sana berdua. Cikgu yang seorang ini macam Yang. Sangat cerewet tentang makanan. Bagus betul sebab dia cerewet soal halal, soal kebersihan. Memang sebiji macam Yang. Bukan macam abang yang katanya seperti perut ular, telan sahaja apa yang ada. Di sini lembu dipanggil sapi. Dia enggan makan daging sapi (barangkali elergi dengan nama sapi itu). Sup ekor dipanggil sup bontot (buntut). Lagilah dia enggan makan, barangkali membayangkan buntut lembu yang ada najis itu. Nak jadi cerita, ada sejenis keropok yang dihidangkan. Dia makan dengan banyak dan beritahu keropok itu sangat sedap. Abang pun cakap, pelik betul cikgu ni. Daging sapi dan sup buntut sapi tak mahu makan, tetapi keropok kulit sapi cikgu makan!"

"Cikgu xxx tidak tahu keropok itu diperbuat daripada kulit lembu. Oleh sebab dia enggan makan segala yang bersumberkan sapi, dia hanya makan ikan dan sayur. Itu pun ketika makan ikan, dia bertanyakan abang jenis ikan. Abang kata itu ikan emas. Dia punyalah risau. Sebenarnya ikan biasa tetapi di sini dipanggil ikan mas..."

Panjang pula kisahnya awal pagi ini. Tidak mengapalah, saya akan tunggu dia balik. Mesti letih saya mendengar kisah lucu seminggu dia kembali bertugas di Jakarta. Kena pakai kaca mata hitam, kalau terlelap pun dia tidak nampak hahaha...

No comments: