Total Pageviews

Saturday, August 23, 2014

Kantoi

Beberapa hari dia tiada, bermesyuarat di ibu kota sebuah negeri. Kemudian dia menelefon, “sudah makan?” tanyanya.

“Sudah. Petang tadi. Sardin saja sama sayur bening...” jawab saya. Hari Sabtu ialah hari mencuci sedunia. Cuci langsir, telekung, cadar, sarung kusyen, mop lantai, khususnya memberus lantai dapur. Sabtu tidak akan keluar ke mana-mana sebab hari itu rumah akan tunggang-langgang sedikit. Mahu bergelut dengan si Baby juga, yang ikut sibuk mahu “membantu”.

“Wah, sardin! Simpan untuk abang sikit. Sardin yang Yang masak sedap!” suaranya teruja. Alamak, saya sudah buang baki sardin itu. Kalau disimpan dalam peti ais nanti tidak enak lagi. Sebenarnya bukan pemasak sardin yang pandai masak, tetapi jenis sardin dan cili besar hijau yang saya masukkan dalam masakan, menjadi kegemarannya.

Waktu muncul di muka pintu, matanya terbuka. “Amboi, kuatnya mengemas-ngemas...” Ya, dia sudah nampak ada beberapa perubahan dalam rumah kontrakan yang kecil itu. Tetapi dia sudah tidak boleh berbuat apa-apa. Dilarang pun saya akan buat juga. Kemudian akan menahan sakit sedikit.

Sepanjang malam minggu dia berkisahkan hal di bandar itu. Macam biasa kena sabar mendengar sebab menunggu ketawanya reda.

Ceritanya...

Waktu pulang berkonvoi, salah seorang bos menelefon dan kata bos, “tunggu di xxx, nanti boleh minum-minum dan berbual”

Dia dan rakan-rakan pun masuk ke sebuah restoran makanan segera. Dalam fikiran mereka, ini waktu tercantik untuk “mengepau” bos. Kawan-kawannya memesan hidangan, tetapi dia hanya memesan milo secawan!

“Abang sudah nampak bos punya tektik. Tiba-tiba sahaja dia keluar restoran dan sibuk bercakap di telefon. Akibatnya kawan-kawan abang terpaksa membayar sendiri hidangan yang dipesan. Selesai semuanya baru bos masuk...hahaha”

Kemudian?

“Lepas semuanya makan, abang bisik sama bos. Bijak betul bos pura-pura jawab telefon. Bos tanya macam mana abang tahu. Abang kata, selama yang abang kenal bos, kalau bos jawab telefon, mana ada tangan digayakan ke sana ke mari? Paling-paling pun, bos angguk kepala saja. Bos ketawa besar. Katanya, you fikirlah. (Perbualan seterusnya off-record)....hihihi”

Bos yang lucu macam ini pun ada! Tapi kantoi...

Setelah berbual-bual, barulah dia memberitahu sesuatu. Saya memang sudah agak sebab biasanya kalau ada hal yang besar, dia akan bercerita non-stop. Itu memang perangainya.

“Abang kena pergi Jakarta lagi...”

“Bila?”

“Bila-bila kalau diarahkan. Itu sebab beg pakaian sudah siap dalam kereta. Kalau diarahkan, abang capai beg dan naik pesawat. Macam biasa...”

Oh, macam ada misi rahsia hehe. Buat spot-check? Program TOT? Saya tidak terperanjat. Sudah biasa.

Isnin ulang tahun perkahwinan. Barangkali bimbang dikehendaki berangkat Isnin, maka didahulukan acara sambutan? Alhamdulillah.

Tarikh hanyalah angka. Tiada kesan terkilan dalam hati saya. Tetapi kalau melibatkan ulang tahun anak, saya agak teruja. Tidak kisahlah usia anak itu sudah menjangkau dua puluh empat atau dua puluh dua. Mungkin sebab mereka pernah “ada” di dalam saya. Begitu juga dengan ulang tahun mak, mungkin sebab saya pernah “ada” di dalam mak.

Sebagai seorang pekerja, memang kena siap siaga. Saya mencontohinya dengan meletakkan beg dalam kereta. Jika ada sesuatu yang di luar duga, kita mudah bertindak.

Sepatutnya Ahad saya ke KK atas jemputan Aidilfitri sebuah persatuan penulis. Kad dan panggilan telefon saya terima. Apabila pada saat-saat akhir saya memberitahu bahawa saya tidak dapat hadir, barulah terbuka rahsia. Sayembara menulis puisi turut menyenaraikan saya sebagai antara yang menang. Awat tak habaq? Akhirnya memang surprise sungguh!

Itu dua cerita kantoi yang berlaku.

Apa pun, jangan ambil serius dengan apa sahaja kekantoian yang terjadi. Anggap sahaja sebagai suatu kisah lucu. Pada waktu yang lain, ia akan menjadi memori manis yang menerbitkan keriangan.

No comments: