Total Pageviews

Friday, August 8, 2014

Beli dan Belah

Satu perangainya yang menyamai perangai gemulah ayah. Suka sangat menyakat budak!

Kami menunaikan Maghrib di surau pasar raya besar yang khabarnya sangat sejuk itu. Saya katakan begitu sebab dia beria-ia memakai kemeja berlengan panjang dan berkasut formal macam mahu pergi pejabat. Dia beritahu saya, pasar raya yang terletak di Seremban 2 itu sejuk sangat.

Sejuklah sangat!

Waktu menuruni tangga bergerak mencari butik Adijuma di aras paling bawah, ada budak lelaki di hadapannya sedang bermain-main meletakkan kaki di atas gelongsoran tangga bergerak yang landai. Sempat lagi dia mengusik kaki budak itu dan buat-buat tidak tahu. Mak budak itu melihat dengan pelik. Saya memberi reaksi "berhenti menyakat budak. Nanti mak dia marah!"

Itu pun nasib baik dia tidak sampai mengusik cuping telinga budak dan buat muka selamba, macam yang selalu dia buat.

Memerhati manusia yang sibuk membeli-belah, saya kehairanan. Saya sampai terduduk sebab tidak larat. Kaki sakit dan tangan kanan kebas.

Dalam kereta, saya komen, "bagaimana orang boleh shopping sampai berjam-jam? Tak penat ke? Kita baru sejam setengah, sudah pening dan mahu pitam. Itu pun sebab sibuk cari tempatnya dan campur berhenti makan. Kalau sudah tahu, terus pergi, ambil dan bayar..."

Macam biasa, dia akan meniru saya juga dengan mengubah sedikit ayat. "Abang pun hairan juga. Ya lah, abang dah tak larat dan rasa goyang..."

Melihat banyak orang berhenti di gerai emas palsu, dia ketawa tiba-tiba.

"Kalau Yang tiba-tiba mahu pakai barang kemas terutamanya emas, memang buang tebiatlah jawabnya," katanya.

Jadi, kena bersyukur sebab ada bini pelik dan aneh macam saya! Hahaha...

"Situasinya sama macam Yang ke kedai buku. Macam mereka yang pergi shopping itulah. Berjam-jam pun tak apa..."

Mungkin juga. Tetapi saya rasa faktor wang memainkan peranan. Saya tidak berduit. Kalau ada pun, untuk keperluan-keperluan pengajian anak, untuk mak, makan dan jalan-jalan. Orang yang berduit mestilah seronok pergi membeli-belah. Kalau orang yang macam saya, kena fikir seratus kali sebelum membeli.

Kata anak (dia menyebut dalam bahasa Inggeris dan saya terjemahkan), "menurut seorang ahli fikir, orang yang menghabiskan wang untuk makan dan mengembara adalah orang yang hidup dengan gembira".

Memanglah sebab tiada hutang berkepuk-kepuk!

Akibat berjalan di pasar raya itu, saya mengalami kesakitan di kaki, tangan dan bahu.

Dah tahu tak larat, gagahkanlah lagi!

No comments: