Total Pageviews

Sunday, August 31, 2014

Akhirnya...Hingyaku!



Penyair Zainal Abas @ Kasajiza AS yang baik hati memberikan info. "Cerpen anda terbit di MM". Terima kasih kepada mantan juruhebah yang terkenal satu ketika dahulu. Mingguan Malaysia Ahad 31 Ogos 2014. Cerpen Hingyaku.

Saya menulis cerpen ini lama dahulu, melakukan pemeraman, mengubahsuai, menambah dan mengurang serta membuat sedikit kajian. Cerpen ini mempunyai makna lain, ada orang menyebut sebagai alegori dan ada yang menyatakannya sebagai sinekdoki. Kisah "saya" yang bernama Taubi dan perempuan kurus melengkung seperti batang pinang yang banyak tumbuh di belakang rumah mak di Semenanjung Tanah Melayu. Perempuan itu namanya Rohingya.

Rohingya?

Ya, Rohingya yang itulah!

Yang menderita di tanah sendiri, dijadikan umat kelas kedua. Rohingya yang kita kurang peduli meskipun Rohingya adalah saudara seagama kita!

Maka, selamat membaca dan mentafsir makna...

Saturday, August 30, 2014

Makna

Happy 57th birthday Malaysia!

Orang beramai-ramai keluar menyambut ambang merdeka. Ada bunga api yang memecah di angkasa, ada pekikan-pekikan merdeka, ada konvoi bermotosikal merdeka. Ada konsert, nyanyian dan tarian sementara menunggu detik dua belas malam. Tradisi yang entah dipinjam dari mana.

Merdeka itu demikianlah, itu yang diwarisi generasi baharu. Mesti ada konsert, mesti ada hiburan. Kemudian keesokan paginya, pekerja-pekerja majlis bandaran terpaksa bertungkus-lumus mengutip sampah yang ditinggalkan oleh mereka yang "merdeka".

Mujur anak menyambut merdeka di pesta buku. Merdekakan dirinya dengan mengembara dalam setiap helaian buku. Saya pula malam ini sengaja memerdekakan diri daripada timbunan fail yang menunggu di meja. Saya menonton drama TV yang menang dalam Festival Drama Pendek KL iaitu "Singh Susu". Bagus pengkisahan dan pengajaran yang tersurat dan tersirat di dalam garapan cerita. Itu baru dinamakan drama, bukan cinta yang beratus-ratus persen atau yang menyebabkan anak muda Melayu (Islam?) berkhayal-khayal mahu menjadikan diri dan perjalanan hidup mereka seperti hero heroin drama tersebut.

Tangan kita yang membantu merosakkan jiwa peribadi anak bangsa. Sungguh!

Bukan tidak boleh bergembira menyambut ulangtahun merdeka. Bukan senang mahu merdeka. Tetapi biarlah menyambutnya dengan cara yang lebih bertamadun. Sudah ada komuniti yang menyambutnya begitu. Ada solat hajat, ada tahlil untuk pejuang-pejuang yang bernama dan tidak dinamakan (atas sebab-sebab tertentu), ada konsert juga tetapi yang isinya bermanfaat, ada ceramah dan forum yang membicarakan merdeka dan pengisiannya, ada majlis baca puisi (dan artis glamour diundang membaca puisi, huh!) dan ada juga pementasan teater merdeka.

Mengenai majlis baca puisi, saya kira tidak perlulah kita menjemput artis cun untuk membacakan puisi. Apa tujuan? Untuk menarik khalayak? Serahkan majlis puisi kepada khalayak puisi. Biarlah dikatakan syok sendiri asalkan tidak dilihat tolol sehingga terpaksa menarik khalayak melalui keglamouran artis. Khalayak masih begitu-begitu juga, tidak pun sampai melimpah ke jalan raya!

Hari merdeka atau tidak, saya masih meneruskan kerja mencuci kain, mengelap lantai, menghabiskan kerja pejabat yang dibawa balik ke rumah, malahan terus bermain-main dengan si bulus.

Merdekakan diri kita dahulu, barulah kemerdekaan itu lebih bermakna!

P/S: masih menunggu cucu merdeka...semoga ibu dan anak selamat.

Friday, August 29, 2014

Merdeka?


Ini lukisan si bongsu menceritakan ibu (juga Baby & Kura-kura) yang memberi semangat kepadanya untuk menghabiskan latihan praktikal

Apabila singgah ke pasar raya itu untuk membeli buah-buahan, saya selalu ternampak pasangan ini dan dua anaknya, seorang lelaki dan seorang perempuan. Yang lelaki itu barangkali dalam usia tadika dan yang kecil masih menyusu.

Kedua-dua pasangan muda itu pula kelihatan kulit mereka seperti terbakar matahari. Suaminya gempal sedikit, selalu memakai seluar paras lutut. Si isteri kurus melengkung, berambut agak panjang berikat satu, selalu memakai seluar panjang dan tidak kisah dengan orang lalu-lalang jika dia mahu menyusui anaknya.

Mereka akan selalu berada berdekatan pintu masuk pasar raya, mungkin mahu menumpang sejuk pendingin hawa. Si bapa akan bergurauan dengan anak lelakinya sambil berkongsi jajan di muka pintu pasar raya.

Entahlah, saya tidak pernah bertanya kepada pengawal keselamatan yang ada di situ mengenai keluarga ini. Tetapi yang jelas ialah memang mereka mahu menumpang sejuk pendingin hawa apabila suatu petang saya mendengar bicara si isteri yang menyuruh anak lelakinya duduk ke dalam sedikit supaya “rasa sejuk”.

Dalam keanehan keluarga kecil itu, mereka nampak bahagia. Macam tiada masalah atau stres yang bergayutan di wajah mereka.

Bahagia itu definisinya bersifat subjektif. Barangkali kehidupan mereka yang mudah tanpa hutang yang besar-besar jumlahnya itu merupakan kebahagiaan sebenar. Meskipun dilihat aneh, tetapi saya suka dengan penemuan subjek baharu ini. Setiap kali ke sana (sambil terhegeh-hegeh membawa tembikai gemuk), saya akan diam memerhati di sebalik rak sabun pencuci yang betul-betul bertentangan dengan muka pintu pasar raya.

Suatu hari nanti, saya mahu menjadi “wartawan” semula. Saya akan jumpa mereka dan berbual. Mungkin akan ada kisah menarik yang dapat saya pelajari dan ambil iktibar. Kisah manusia adalah guru terbaik untuk kita memperbaiki kehidupan kita, mensyukuri segala apa yang kita ada.

Esok hari ulang tahun kemerdekaan negara. Merekakah yang sudah merdeka atau kita yang masih terpenjara?

Walau apa pun, saya akan menanti kepulangan si bongsu yang sudah menamatkan latihan amalinya. Dia akan bercuti seminggu, menemani saya ke majlis pelancaran teks antologi sayembara kemerdekaan di KL. Seminggu rumah akan riuh sedikit sebelum dia menyambung pengajian tahun akhirnya. Paling disyukuri apabila dia diterima sebagai ilustrator sambilan di Galeri Ilmu.

Anak angkat pula sedang menanti kelahiran kedua. Putera juga. Sempat menelefon dalam kerja yang bertimbun, sekadar memberi semangat. Mudah-mudahan cucu kedua itu lahir pada Ogos tiga puluh satu.


Monday, August 25, 2014

Selamat Berangkat...Dan Bertemu Maria

“Esok pagi jam 7.30. MH0713...”

Huh...nasib baik air minuman sudah beli, makanan dan pasir si Baby masih mencukupi untuk seminggu lagi, lampu yang bermasalah sempat ditukar, minyak kereta penuh dan...dan...Alhamdulillah.

Saya sempat jumpa dia hanya hujung minggu. Seminggu sebelum itu kena tinggal juga. Ini lagi seminggu. Memang sudah biasa tetapi dia tetap mahu memastikan urusan yang “berat-berat” tidak ditinggalkan untuk saya. 

Usianya yang sudah begini, dia agak keberatan mahu bertugas ke negara luar. Harus beri peluang kepada yang lebih muda untuk mengumpul pengalaman, katanya. Tetapi memang dia satu-satunya orang yang sangat pelik. Percaya atau tidak, setiap kali pulang, 99 peratus ceritanya hanya berkisar mengenai kerja. Kalau orang yang tidak faham atau kurang sabar, mungkin akan berkata, “bawa sahaja tikar bantal ke pejabat...”

Sendirian sebenarnya membuka ruang berkarya tetapi entah apa kenanya, sajak yang diminta untuk peristiwa MH17 gagal saya tangani dengan baik. Terjaga jam tiga pagi apabila si Baby berlari ke sana ke mari melompat-lompat atas katil dan sekitar bilik. 

Keletihan akibat kantuk tidak berbekas tatkala saya ditemukan semula dengan Maria atau lebih tepat Dr. Maria. Sudah hampir tiga puluh tahun tidak bertemu sahabat saya itu. Kami sama-sama menuntut di UM meskipun dari jabatan berbeza. Kebetulan kami menjadi ahli biro penerbitan PMUM. Maria masih tidak berubah. “Kau pun sama...” katanya.

“Saya doakan di Mekah supaya Allah temukan dengan kawan-kawan yang terpisah. Saya ternampak buku yang Yang tulis. Kebetulan saya kena bagi ceramah di sini, memang rezeki mahu jumpa...”

Banyak yang mahu dibualkan dengan Maria. Terpisah dengan pelbagai cerita, tidak mungkin akan habis dengan pertemuan hanya sejam dua. Ketawa Maria masih sama. Dia masih langgas dan mudah, meskipun sudah kelihatan sangat berwibawa sebagai pemegang ijazah doktor falsafah. Apabila berlaku pertemuan, kenangan persahabatan dengan cepat melupakan perbezaan.

Maria yang saya kenal mempunyai tekad yang tinggi dalam memburu impian.

Dan dia telah membuktikannya...


Friday, August 22, 2014

Selamat Pulang Saudara-saudaraku


Utusan Malaysia Jumaat 22 Ogos 2014, Halaman 3 Ruangan Mega: Penghormatan Terakhir

Hari ini hari perkabungan negara. Dua puluh jenazah (17 dalam keranda dan 3 dalam bekas abu mayat) tiba di bumi Malaysia sekitar jam 10 pagi. Sebahagian daripada mayat mangsa beragama Islam telah disembahyangkan di Rumah Mayat Monuta Ineeme, S-Gravanhage Belanda oleh Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Imam Abdul Manaf Mat.

Kami menonton sekejap sebelum bergerak ke tanah perkuburan di tengah bandar Seremban untuk upacara pengebumian allahyarham ibu Dr Maridah, pensyarah senior Jabatan Pengajian Melayu.

Kemudian saya bergegas ke sebuah sekolah untuk menyelia guru pelatih. Memang berbaloi saya berkejar ke sana untuk menyelia sebab ternyata guru pelatih tersebut telah melaksanakan pengajaran dan penulisan buku rekodnya dengan cemerlang. Waktu itulah saya ternampak mesej daripada kakak saya, "sajak Yang keluar di Utusan". Saya mengirim sekitar hari Selasa apabila mendapat tahu akan ketibaan jenazah hari ini.

Waktu menunggu trafik lega, saya meninjau laman sosial dan nampak ada editor ITBM Puan Zalila Isa menulis, "mari kita dengar sajak Kak xxx di Radio Bernama 24". Rupa-rupanya sajak itu dibacakan di stesen-stesen radio kerajaan.

Khabarnya lagi di TV1 juga ada sajak itu dibacakan.

DBP mahu membukukan sajak tribute untuk MH17. Saya diminta mengirim dua sajak untuk tujuan penilaian.

Bersajak, bersajak juga. Tetapi jangan hanya untuk glamour semata-mata atau demi imbuhan yang menanti. Jerit rasa keluarga yang kehilangan itu harus kita fahami. Kesedihan-kesedihan mereka tidak sama dengan kesedihan kita.

Hari ini memang seluruh rakyat, tidak kira apa bangsa dan agama, malahan apa juga pegangan politik; sama-sama merasai kepiluan itu. Mudah-mudahan roh mereka diberikan ketenangan. Yang ditinggalkan pula diberikan kekuatan berganda.

Malaysia tidak kuat lagi untuk terus menadah musibah.

Inilah akibat persengketaan. Orang yang tidak berdosa yang menjadi mangsa.

Allah...

Wednesday, August 20, 2014

Solilokui?

Pagi ini saya melihat mata si Bibiyanalayola. Rasanya waktu rehat nanti saya kena hantar juga dia ke klinik. Pertamanya untuk "grooming" (saya belum berani mandikan dia)dan mahu jumpa doktor kalau-kalau budak itu demam atau sakit mata. Lewat sedikit ke pejabat sebab dia duduk membatu depan pintu. Sudah diajak-ajak bermain jauh sedikit, dia tetap tidak berganjak. Macam tahu-tahu sahaja akan kena tinggal sendirian.

Ada beberapa hal menarik juga sepanjang pagi.

Saya mendengar IKIM sepanjang perjalanan singkat ke tempat kerja. Cerita sekumpulan arnab yang merasakan telinga panjang mereka itu memberikan masalah. Mereka tidak lena tidur sebab telinga yang panjang itu dengan cepat akan menangkap sebarang pergerakan yang boleh membahayakan nyawa. Keadaan yang siap siaga itu menjadikan arnab-arnab ini hidup dalam ketakutan dan merasakan bahawa mereka adalah makhluk yang paling teruk di dunia. Lalu mereka mengambil keputusan untuk membunuh diri secara berjemaah untuk menghilangkan kekecewaaan mereka sebagai makhluk yang paling teruk. Mereka pun bergerak beramai-ramai ke tepi sungai untuk terjun menghabiskan nyawa mereka. Setibanya mereka ke tebing, ada beberapa ekor katak yang sedang berehat di situ tiba-tiba melompat ketakutan dan melarikan diri. Melihatkan keadaan itu, ketua arnab pun berkata, "wahai arnab-arnab sekalian. Nampaknya bukan kita yang paling teruk di dunia ini. Lihat katak-katak itu, mereka juga sebenarnya penakut dan hidup dalam ketakutan. Oleh sebab itu marilah kita batalkan niat kita mahu membunuh diri..."

Saya berjanji mahu menulis kisah arnab ini apabila adik Faiz menggumam, "pagi ini emosi saya sedikit kacau...". Rakan se"kimoterapi"nya beberapa hari lalu menjalani pembedahan di bahagian kepala sebab doktor mengesan kanser di bahagian itu pula.

Memang, sejujurnya kita akan terganggu sedikit dengan kisah rakan-rakan kita yang terpaksa masuk ke OT semula. Tetapi gangguan emosi itu biar seperti hujan yang datang sekejap. Jangan biarkan hujan membataskan pergerakan kita. Hujan pasti berhenti. Musim hujan juga akan berganti. Jika kita rasa kitalah manusia paling menderita di muka bumi ini, masih ada orang lain di sekitar kita yang lebih teruk keadaannya daripada kita. Ertinya jika kita "arnab", sebenarnya ada lagi "katak" yang lebih menderita.

Pagi-pagi saya ke Balai Islam (surau), saya perasan sesuatu. Salam saya kepada seorang pak cik yang menyapu di laman BAIS tidak pernah berjawab. Saya sangat pelik walhal pak cik itu akan membalas senyum saya. Kemudian saya bertanya kepada Pak cik Lazim yang bertugas membersihkan BAIS.

"He's deaf but not dumb..."jawabnya. Sepanjang perbualan itu, kami menggunakan bahasa Inggeris. Pak cik produk pendidikan enam puluhan. Bahasa Inggerisnya sangat fasih. Paling memeranjatkan dia menyebut bahawa dia bersekolah Melayu. "I learned English from my heart".

Pengajarannya, orang hebat selalu tidak menonjol-nonjolkan diri untuk kelihatan hebat. Pak cik tukang sapu yang kelihatan kekampungan itu sebenarnya adalah produk berkualiti sistem pendidikan enam dan tujuh puluhan. Dia bukan sahaja memiliki kefasihan dwi-bahasa, malahan boleh diajak bicara mengenai isu semasa.

Selepas itu di kafe, saya berbual dengan Encik Zainun, bekas mahasiswa dan tutor UM dalam tahun-tahun yang saya masih menjadi siswi di sana. Nampak betul beliau sudah terbiasa dengan budaya keintelektualan universiti tertua itu. Isu-isu yang dibincangkan banyak yang off-record tetapi banyak membuka minda kita supaya selalu ber"hubaya-hubaya".

Apa pun ceritanya yang kita hadapi sepanjang hari, kita tidak pernah sesekali berjalan dengan mengundur ke belakang. Memang sesekali kita akan terjatuh, mengalami luka dan meninggalkan parut. Tetapi perjalanan mesti diteruskan meskipun kita terpaksa melaluinya dengan bantuan tongkat!

Monday, August 18, 2014

Pelangi Pagi

Melihat ke langit, saya nampak pelangi. Belum pun jam delapan pagi, tetapi pelangi itu melengkung seperti gerbang yang cantik dalam dongeng klasik, menyambut kami dalam perjalanan ke daerah peranginan itu.

Pelangi pagi! Suatu petanda baik untuk kami.

Saya memberikan ceramah mengikut apa yang saya rasa boleh memberi manfaat kepada peserta sejumlah tiga puluh enam orang. Saya pernah menjadi guru dan saya fikir itulah perkara-perkara yang seorang guru mesti tahu. Kita mesti mengenali sastera sebelum mengajar sastera.

Waktu rehat makan tengah hari, kami berbual dengan puan pengetua serta pegawai-pegawai JPN. Banyak isu yang kami bicarakan menyentuh hal-hal pendidikan dan masalah yang melingkarinya.

Dalam perjalanan pulang, adik pensyarah bertanyakan saya mengenai sesuatu yang berlaku sepanjang hari itu. Rupa-rupanya dia perasan teknik “pujuk jiwa” yang saya praktikkan. Kadang-kadang apabila kita telah lama bekerja, menempuh pengalaman dengan pelbagai orang, mengenali sikap orang dengan sensitiviti kita; proses “pemujukan” itu sebenarnya tidak akan mengambil masa yang lama.

Turun naik tangga dan akhirnya waktu mahu pulang, saya sedikit sakit. Tetapi tidak mengapa sebab saya boleh rehat untuk mengembalikan kecergasan. Baby menyambut saya di sebalik jendela kaca. Menyondol-nyondol mukanya seakan tidak sabar menunggu saya masuk.

Sepanjang minggu sendirian sebab suami mesyuarat di satu lokasi yang jauh. Mujur ada Baby yang menjadi peneman. Sepanjang hari dia bermain sendirian dan kemudian duduk di sisi balang ikan emas yang memang saya buka tutupnya. Dia tidak mengganggu ikan-ikan itu, hanya merenung tajam.

Meskipun penat tetapi ingatan saya terhadap gerbang pelangi pagi seakan meriangkan hati. Saya terbayangkan warnanya yang cantik dan bijaksananya Allah mencipta pemandangan semanis itu. Dalam suasana perkabungan negara, Allah masih memberi kita peluang menikmati kegembiraan.

Dia sentiasa memberikan pelangi kepada kita.

Tidak kira pagi atau petang, pelangi akan selalu mengembalikan cinta!

Sunday, August 17, 2014

Huh!

Sedang bersiap-siap untuk sesi ceramah apresiasi puisi moden yang bakal berlangsung dua hari di sebuah daerah peranginan. Ceramah itu untuk sekumpulan guru sekolah menengah dua daerah. Ini kali kedua untuk tahun ini saya dan kawan-kawan dijemput untuk memberikan ceramah.

Mujur mereka memberikan tajuk yang memang menjadi passion saya. Bagus kalau kita dapat bercakap sesuatu yang dekat dan kita miliki daripada sesuatu yang jauh, asing dan kurang kita cintai.

Minggu-minggu lambakan kerja. Lagi tiga minggu kena siap untuk pertandingan pengkisahan tokoh mewakili NS di peringkat kebangsaan. Khabarnya saya pula kena jadi watak utama di pentas. Sendirian bermain dengan emosi. Dua watak lagi di sebalik skrin. Skrip kalau panjang lebar, jenuh mak cik nak hafal! Mak cik bukan muda lagi oii...

Masih memikir-mikir mahu meninggalkan si Baby di mana, sama ada di hotel kucing atau di bilik sewa si adik sepanjang beberapa hari ke Pulau Pinang. Harap-harap saya sihat sepanjang waktu sebelum pertandingan, semasa di pentas dan selepasnya.

Beberapa hari lalu, Pak Wan ada menelefon saya. Rupa-rupanya dia minta saya buatkan lirik lagu. Saya dengar dia bermain organ (?), sedapnya lagu itu. Saya perlu masa untuk memilih diksi yang sesuai. Kemudian saya meminta dia mengajar cara bermain ukelele. Susah juga meskipun tidak sesukar gitar. Dia tanya sama ada saya boleh menyanyi atau tidak. Bila dia bermain organ (?), saya pun menyanyi. Hahaha...katanya saya boleh menyanyi tetapi kurang mahir teknik menyanyi. Saya malas buka mulut...jadi, suara saya tak sampai.

Patutlah tadi waktu melagukan sajak saya dengan muzik latar Gurindam Jiwa, si Baby merenung dengan penuh perasaan. Saya rasa bagus betul tapi hanya untuk beberapa saat sebab lepas itu dia menguap dan tidur!

Kurang asam punya kucing!

Tuesday, August 12, 2014

Tentang Baby


Lukisan si bongsu saya, Adik Atira Laila tentang Bibiyanalayola @ Baby

Hari ini dalam hujan dan sudah lewat petang, saya berpayung membawa beg yang berisi si Bibiyanalayola. Sesekali saya menyebut nama Allah apabila kilat tiba-tiba memancar di hadapan.

Tiada parkir yang berdekatan klinik, jadi saya terpaksa memarkir jauh.

Walaupun sangat penat, kehujanan pula, saya kena bawa juga si Baby ke klinik sebab temu janji sepatutnya semalam.

Ada doktor perempuan tetapi bukan Dr Iza. Baby diberikan vaksin dan ubat dengan pesanan "jangan mandikan dia seminggu, takut demam. Macam bayi, kalau lepas suntikan memang kadang-kadang demam".

Jadi, pekerjanya beritahu saya supaya menghantar untuk "grooming" selepas seminggu.

Dalam waktu menunggu-nunggu itu, ada sepasang suami isteri muda membawa seekor kucing tempatan yang nampak baik sangat. Rupa-rupanya kucing itu sudah berstatus moyang. Umurnya tujuh belas tahun. Betina. Kucing tua itu menyaksikan kematian anak cucunya tetapi dia masih panjang umur. Tujuh belas tahun maknanya jika dikira dengan umur manusia, sudah menghampiri satu ratus tahun juga.

"Nyanyuk tak?" tanya saya.

"Tidak. Tapi dia ada masalah kelenjar liur. Air liurnya kadang-kadang meleleh..." dan saya nampak tuannya menampung lelehan liur si kucing tua itu. Mudah-mudahan Allah membalas kebaikan pemilik haiwan tersebut.

Memang betullah dia sudah tua sebab baik sangat duduk di atas sofa. Kalau si Baby dilepaskan, jawabnya macam Usain Bolt dari Jamaica. Dia sangat aktif kalau menjelang subuh ke pagi, menjenguk-jenguk minta dikejar. Masa itulah kita sibuk membuang najis, menukar air dan makanan serta membersihkan sekitar kandang.

Baby demam sedikit. Dia diam sahaja walaupun disuakan mainan kesukaannya. Tetapi tidak lama kemudian, dia aktif semula. Mengerjakan tikar yang dibeli si adik. Sudah koyak-koyak dibuatnya. Bagi pencinta kucing, rumah tidak akan kemas dan setiap awal bulan kita akan sibuk membeli makanan, pasir, juga rawatan berbanding the cat haters yang boleh melakukan segalanya untuk diri sendiri.

Tetapi hati kita tidak kosong. Kasih sayang yang kita beri seperti lantunan bola yang akan datang semula kepada kita lambat atau cepat. Kita perlukan doa bukan sahaja daripada manusia bahkan juga daripada binatang yang kita pelihara.

Walaupun begitu, ada juga rungutan...

"Sejak ada kamu, Daddy pun ibu kamu kurang peduli!"

Oh oh, rupa-rupanya saya begitu obses dengan hadiah tetapi mengabaikan si pemberi hadiah!

Maafkan saya.

Monday, August 11, 2014

Fikir

Senanglah kamu bercakap, sebab bukan kamu yang kena.

Gebang saja yang lebih, hakikatnya?

...Ya, itu antara dialog-dialog yang kita selalu dengar tatkala berhadapan dengan seseorang yang dilanda musibah.

Atau...kadangkala itulah dialog kita ketika kita sendiri berhadapan dengan musibah dan ada seseorang yang cuba menasihati kita.

Jangan marah orang yang bercakap begitu. Jangan juga marah jika ada orang yang mahu menasihati kita.

Relakslah...hidup memang begitu.

Dalam membuat keputusan pun akan selalu ada faktor tolakan dan tarikan. Kalau kita suka yang ini, belum tentu semua orang pun suka yang itu juga meskipun kita lahir dari perut yang sama, membesar dan dididik oleh orang yang sama.

Baru-baru ini saya berhadapan dengan sesuatu yang sukar juga. Bukan mengenai diri saya tetapi berkaitan dengan orang yang hampir dengan saya. Bukan juga berkait dengan politik vandalisme atau vandalisme politik yang sekarang sedang hangat dibicarakan.

Oleh sebab otak dicipta untuk berfikir, saya asyiklah memperalatkan otak saya itu untuk berfikir sehingga ke dalam mimpi pun masih berfikir-fikir.

Bagaimana kalau betul-betul berlaku seperti yang dirancang? Bagaimana kalau kehidupan berubah selepas kejadian? Apa akan berlaku terhadap perubahan yang sedang dalam proses penambahbaikan? Terbantutkah atau bagaimana?

Terlalu banyak “bagaimana” dan “apa” boleh menjurus kepada bayangan-bayangan negatif juga kalau tidak dikawal.

Maka saya pun sedang berfikir bagaimana untuk berhenti berfikir!

Saturday, August 9, 2014

Si Oren Sudah Mati

Sekembalinya daripada menghadiri majlis perkahwinan puteri Kak Hajah Zaharilah, saya membuka laman muka buku.

Pagi ini si bayi monyet mengakhiri hayatnya. Saya menatap gambar-gambar yang dimuatnaik oleh kakak termasuk gambar si Pusi sedang bertafakur di sisi mayat kawannya. Pusi selalu mengacau merebut botol susu yang diminum bayi monyet berwarna oren itu. Bayi monyet itu sangat baik. Mak membuat buaian bakul yang digantung supaya bayi itu tidak diganggu Pusi yang sangat nakal.

Tangisan saya bertali-temali. Baby melihat saya teresak-esak, kemudian menggesel-gesel mukanya seakan memujuk saya. Kasihan sungguh. Bayi itu sangat cergas, comel dan manja sebelum dia jatuh sakit. Malam sebelum dia jatuh sakit, cucu saudara saya mendukung dengan cara mengepit lehernya untuk bergambar. Jenuh ibu bapanya cuba mengambil bayi itu tetapi tidak dibenarkan.

Keesokan harinya, si Oren enggan minum susu. Dia tidur lama seperti pengsan. Mak fikir si Oren diam sebab terlalu “baik”, tidak memanggil mak macam selalu. Rupa-rupanya dia sakit. Saya berdoa supaya hayatnya panjang dan dia sempat membesar. Mak mengawasinya hampir 24 jam, tidur di sisinya dan menitikkan air susu di mulut.

Hampir dua minggu Allah mendengar doa kami. Tetapi dia tidak sempat menjadi monyet dewasa seperti Beckham.

Alangkah sedihnya. Air mata saya masih belum berhenti mengalir.

Saya teringat matanya yang comel dan cerdik itu...

Wednesday, August 6, 2014

Teladan Ribut

Saya membaca tulisan dalam bahasa Indonesia itu dengan perasaan yang sangat bermotivasi. Maka di sini saya alihkan bahasanya dengan gaya cerita yang saya hadam dan fahami. Mudah-mudahan dapat dijadikan iktibar dalam menjalani proses hidup ini.

Seorang ayah dan anak sedang dalam perjalanan yang panjang. Si anak mengemudi keretanya dengan cermat. Kemudian mereka melalui satu kawasan yang mengalami ribut yang berputaran, mengangkat objek di sekitar menjadi puing-puing. Debu berterbangan, suasana kelihatan seperti tiada lagi istilah esok masih ada.

Anaknya kecemasan lalu bertanya kepada ayah, “bagaimana ayah, perlukah kita berhenti?”

Ayahnya menyambut pertanyaan itu dengan kata-kata, “teruskan. Jangan berhenti!”

Lalu si anak meneruskan perjalanan meskipun hatinya berbelah bahagi. Dengan terpaan ribut yang ganas itu menyukarkan dia mengemudikan kereta. Dia seakan hampir tidak dapat melihat apa yang ada di hadapan disebabkan cuaca menjadi murung akibat amukan ribut taufan. Sekali lagi dia menoleh ke arah ayahnya dengan pertanyaan, “bagaimana ayah?” dengan maksud mahu berhenti.

Tetapi si ayah masih bertegas, “jangan berhenti. Teruskan perjalanan!”

Dalam keadaan yang sangat cemas itu, si anak bersusah payah meneruskan perjalanan mengharungi angin yang sangat kuat, menerbangkan segala yang ada di tepian jalan. Sehinggalah akhirnya mereka tiba ke kawasan yang aman daripada bencana ribut tadi.

“Baiklah, kamu boleh berhenti sekarang...” kata si ayah.

Si anak berasa keliru. Mengapa waktu di kawasan yang dilanda bahaya tadi, ayahnya bertegas mahu dia meneruskan perjalanan.

“Cuba kamu toleh ke belakang...” si anak menoleh. Dia dapat melihat dengan jelas, kawasan bencana yang ditinggalkannya itu dengan pusaran angin yang merosakkan segala yang wujud dalam kawasan tersebut.

“Kalau kamu berhenti di situ, kamu pun akan menjadi seperti itu. Diangkat angin dan hancur musnah”.

Maka si anak mendapat pelajarannya.

Dalam menjalani hidup, kita pasti akan mengalami ribut masalah. Kalau kita berhenti pada saat masalah itu sedang mengganas, kita pun bakal musnah akibat masalah yang tersebut. Kita mesti mendepani masalah itu dengan berani. Menempuhnya dengan kekuatan yang bersisa. Bertegas untuk keluar daripada segala ujian yang melanda.

Setiap masalah ada penyelesaiannya. Ia bukan kata-kata klise atau hanya satu retorika. Memang suratannya telah tertulis begitu. Itulah wujudnya sebab dan akibat. Ada jalan masuk dan ada juga jalan keluar.

Saya juga belajar daripada cerita ini. Cerita yang sangat bermotivasi dan mengembalikan semangat yang terbang.

Tuesday, August 5, 2014

Hadiah Terbaik Bahagian Dua

"Saya tidak pernah ucapkan terima kasih sebelum ini tetapi hari ini saya mahu ucapkan terima kasih kepada ibu. Saya banyak berhutang dengan ibu dan saya tidak akan mampu membayarnya sampai bila-bila. Semuanya berkat doa ibu. Terima kasih cikgu..."

Saya membacanya dengan air mata yang bertakung di dada. Dia tidak berhutang wang sebab saya memang ibu guru yang tiada wang. Saya halalkan segala "hutang" dengan doa moga mereka memperoleh berkat daripada sedikit ilmu dan nasihat yang Allah ilhamkan kepada saya sebagai guru.

Sesiapa pun yang pernah menjadi guru, pasti akan mengatakan bahawa itu adalah hadiah terbaik dalam kehidupan seorang cikgu. Ucapan terima kasih dengan penuh ikhlas dan sedar daripada pelajar yang sangat nakal dahulunya.

Alhamdulillah. Allah benar-benar mengasihinya.

Dia dan Boy adalah dua sahabat akrab. Nakalnya bukan main. Kemarahan guru seperti "keropok" bagi mereka yang setiap hari dimakan dengan rangupnya.

Tetapi saya tidak benci mereka. Berbanding pelajar di bandar Kuala Lumpur yang pernah saya ajar, mereka jauh lebih baik. Akhirnya budak dua orang itu sudah berkopiah putih di kepala, jalannya menunduk, ucapan-ucapan yang keluar daripada mulut semuanya bersandarkan kepada redho Allah Taala, isteri masing-masing menutup aurat dengan baik (malahan isteri si Amy memakai niqob), kehidupan mereka tersusun, kerjaya yang bagus dan Alhamdulillah (tiada bahasa yang mampu untuk saya lafazkan lagi).

Pelajar-pelajar yang saya ajar (bermula sekitar hujung 1990) masih rajin meng"update" cerita hidup mereka termasuklah si Rafidah dan rakan-rakannya. Ada seorang yang saya ajar sekitar awal tahun 1992, mencari saya dengan sehabis daya untuk mengkhabarkan bahawa dia sudah beberapa tahun menjadi seorang guru dan awal pagi mengirim berita bahawa "ibu telah mendapat cucu keempat..."

Itulah kebahagiaan hati seorang guru di sebalik segala sistem yang selalu menjeruk rasa.

Terima kasih anak-anak didikku, kalian mengajar saya menjadi ibu guru yang sabar, melebarkan senyum seindah matahari dalam gelap pekat kehidupan peribadi saya.

Moga kita terus dalam keberkatan hidup menuju Illahi...

Sunday, August 3, 2014

Di Hospital



Saya dalam perjalanan pulang dari Lembah Lenggong ke daerah singgah saya di NS ketika anak membacakan mesej daripada penyair Ijamala MN dan Kasajiza AS. Ijamala siap mengirim foto sajak yang terbit di BH 3 Ogos 2014. Oh, sajak ini berdasarkan kisah benar. Gadis itu pesakit kanser tahap akhir. Saya pula usai menjalani rawatan di Onkologi.

Terima kasih Allah. Terima kasih editor BH, kawan-kawan dan gadis itu yang saya tidak tahu namanya.

Nampaknya sasaran saya untuk karya saya tersiar sekali pada setiap bulan telah mencapai target. Cuma Februari agak istimewa, satu sajak dan satu cerpen. Alhamdulilah. Ini come back saya setelah berehat lama dan sesekali muncul.

Ayuh, Ibu Bunga Matahari!

Saturday, August 2, 2014

Cerita-ceriti



Ada banyak hal yang berlaku sepanjang seminggu lebih ini. Ada yang mengujakan, melucukan, menyedihkan dan menggembirakan juga.

Tahun ini semua anak mak pulang ke kampung. Cucu ada seorang tidak balik. Menantu ada dua orang yang sibuk sangat sampai tiada masa untuk menjenguk mak yang sudah tua. Tapi ahli keluarga terus bertambah dengan cucu baharu yang “berbulu”.

Ada seekor anak lutung berwarna oren yang sangat comel mengalami peristiwa sama seperti Beckham (dan khabarnya Beckham sudah sangat dewasa, tidak mesra lagi dengan orang sebab kerap diusik budak jahat). Si bayi itu jatuh daripada dukungan ibunya dan dibiarkan sendirian menangis di bawah pokok. Mak menjaganya seperti menjaga cucu. Memberikannya minum susu sebab dia masih sangat kecil. Saya belikan lampin pakai buang. Tetapi khabarnya lagi sekarang dia sakit dan enggan minum waktu saya menelefon mak semalam.

Budak itu terlalu comel dan matanya yang bulat itu menampakkan bahawa dia sangat cerdik. Kata mak, disuapkan susu pun dia memalingkan mukanya. Barangkali memang benar dia tidak sihat.

Selain bayi lutung berwarna oren, ada empat ekor kucing termasuk si Baby saya, ada Brazilian Tortoise si Adik, ikan emas, burung dan rumah mak serta persekitarannya menjadi zoo mini.

Kami mengadakan solat berjemaah, solat hajat dan usrah. Imamnya abang sulung dan adik yang di bawah saya. Naqib usrah pula ialah adik yang bongsu. Nampaknya memang ahli keluarga sudah ramai, sebab safnya bertambah di ruang rumah mak yang luas.

Ada cerita lucu juga berkenaan peminat mak. Ada seorang itu yang usianya sebaya kakak saya datang ke rumah. Memang kena basuhlah jawabnya. Kakak tanya dia macam-macam dan rupa-rupanya orang itu pernah bekerja di bawah seliaan kakak. Adakah patut umurnya baru 51 dan meminati emak yang sudah 76?

Kemudian suatu malam waktu kami selesai solat beramai-ramai, anak saudara saya masuk dan membawa hadiah hari raya dari seseorang untuk mak. Kami membukanya. Ada telekung berwarna biru, wang dua puluh ringgit dan surat cinta!

Riuh-rendah anak cucu ketawa sampai mak melatah-latah. Orang itu umurnya enam puluhan, orang kampung sebelah. Siap “bersayang-sayang” lagi...hahaha.

Tetapi hakikatnya mak sudah tidak larat untuk menjadi “hamba dapur” orang. Cuma mengingatkan kesunyian mak, saya tidak kisah mak menikah walaupun tidak sanggup rasanya memanggil orang lain sebagai ayah.

Kasihan mak yang memandang sayu seorang demi seorang anaknya bergerak pulang. Siapalah yang dapat meneka kesedihan hati mak ketika melihat lambaian anak menantu dan cucu perlahan-lahan hilang daripada pandangan...

Kami akan melaluinya juga satu hari nanti, mak...