Total Pageviews

Tuesday, July 22, 2014

Selamanya

Membawanya bersiar-siar pada malam hari itu, langsung ke kedai haiwan di Senawang di mana saya menjadi ahli dan memegang kad VIP. Walaupun badan sangat lesu tetapi bekalan pasir sudah hampir habis.Kena keluar juga.

Kami membeli dua kampit pasir berperisa oren.

“Masa abang bela kucing Parsi dulu, tak ada benda-benda begini,” kata suami.

Pemilik kedai mahu jumpa si Baby. Waktu melihatnya, dia memberi reaksi yang sama seperti Doktor Iza. “Cantik!”

“Ini kacukan Benggal dan Parsi rasanya. Mahal kan? Satu ribu lebih?”

Apabila suami menyebut harga Baby cuma RM600, dia terkejut.

“Kawan?” tanyanya. Suami angguk.

“Kalau saya, saya jual spesis ini dengan harga RM1200. Jangan bagi dia jalan-jalan di luar, nanti orang curi. Mahal kalau jenis begini...”

Saya memang tidak pandai menilai cantik atau tidak seekor kucing itu. Pada mata saya, si Baby biasa-biasa sahaja. Cuma bulunya mungkin ikut sebelah maknya, warna ikut keturunan abahnya dan perlakuannya sangat hiper. Mukanya macam kucing tempatan, dengan maksud bukan berhidung penyek seperti keturunan maknya.

Baby disembur ubat kutu. Mahal juga sebotol ubat itu tidak setara dengan saiz botol.

Oleh sebab bimbang terdedah kepada kuman, saya letakkan dalam kandang tetapi sepanjang malam dia protes dan tidur dalam bekas pasir.

Kalau orang lain balik pejabat sibuk memasak juadah, saya pula sibuk membersihkan segala kotoran, menyapu dan mengemop dengan air berubat. Setelah selesai, barulah saya memasak. Membela kucing memang kena awas selalu akan kebersihan. Solat pun tidak lagi di ruang tamu. Kalau dahulu saya mengemop seminggu sekali, sekarang setiap malam saya akan melakukannya.

Cuba melupakan segala duka hidup dengan berbuat baik kepada manusia, haiwan dan alam.

Dan lewat petang saya baca luahan seorang rakan yang sudah begitu lama tidak bersua.

Katanya, “minggu ini saya terlibat dengan satu insiden. Baru saya tahu bahawa tiada sesiapa pun yang dapat menandingi kak sebagai kakak dan kawan saya. Saya sayang Kak Yang sebagai kakak dan kawan saya. Jangan lupakan itu ya...”

Ya, mana boleh dilupakan adik pensyarah yang baik budi itu. Saya yang tidak punya adik perempuan, pasti sahaja mengasihi dia selamanya. Dia antara pensyarah yang menjadi kumpulan perintis di tempat itu bersama-sama saya. Anak-anak saya membesar di hadapan matanya.

Begitulah, apabila kita ditemukan dengan pelbagai jenis manusia, maka pelbagai jenis perangai jugalah yang kita kena hadapi.

Apabila kita tidak ingat benda ini, kita akan cenderung untuk angkuh dengan kehebatan yang sebenarnya dipinjamkan Allah kepada kita.

Apakah itu?

Mati.

No comments: