Total Pageviews

Tuesday, July 1, 2014

Ingatan

Malam Ramadan ketiga, saya terkenangkan Allahyarham Ustazah Mukarramah dan Ustaz Mokhlis Komari. Kedua-dua sahabat baik saya yang telah berangkat ke negeri abadi, seorang sekitar Jun atau Julai dan seorang lagi pada hujung Disember tahun 2013.

“Ironi...” kata saya memandang suami di sisi.

Kedua-dua mereka yang sangat mengambil berat akan keadaan kesihatan saya, bukan setakat bertanya khabar malahan membantu mencarikan ubat untuk saya, memberikan nombor telefon perawat, membelikan buku-buku khusus untuk merawat kanser.

Ironinya ialah, mereka yang pergi dahulu. Dan disebabkan kanser! Seorang menghidap kanser lidah dan seorang lagi kanser darah.

Dan saya masih meneruskan pengembaraan di rumah sementara ini dengan pelbagai ujian di setiap selekoh dan simpang.

Awal pagi di Balai Islam, saya mengutus tanya akan keadaan anak bongsu ustazah yang saya panggil “adik”. Anak manja yang akan selalu mengingatkan saya kepada anak-anak saya sendiri. Dia membalas bahawa, “adik sudah tiga bulan hamil. Alahan teruk. Tarikh bersalin dijangka pada 26 Disember, tarikh yang sama mak meninggal...”, dengan doa dan terima kasih atas ingatan-ingatan saya kepadanya.

Subhanallah. Saya menyimpan rasa pedih dalam hati. Jika saya sedih, dia apatah lagi. Pada saat sukar yang seperti itu, pasti sahaja kehadiran seorang mak sangat diperlukan. Tetapi dia tidak sempat berkongsi segalanya dengan allahyarham emaknya, dan emaknya juga tidak sempat menimang cucu.

“Rupa-rupanya ya abang, Ramadan tahun lepas, Ramadan terakhir ustazah...”kata saya sebak.

“Doakan untuk dia dan ustaz. Mesti ada sebab Allah ambil mereka. Mereka sudah selamat di sana...” Suami saya menenangkan.

Betul. Mereka sudah kembali kepada pemilik segala jiwa.

Kita yang masih tinggal, perlu terus melangkah sehabis daya. Mengumpul karung-karung bekalan untuk kehidupan abadi di sana.

No comments: