Total Pageviews

Wednesday, July 30, 2014

Hadiah Terbaik Bahagian Satu

Pagi Syawal ketiga, saya ke pekan. Entah mengapa, tiba-tiba kereta si bongsu tidak boleh dihidupkan. Saya pinjam keretanya untuk membeli pekasam yang merupakan produk utama Lembah Lenggong. Dia sangat sukakan pekasam. Selain itu musim petai juga. Adik bongsu saya penggemar ulam yang berbau itu.

Oleh sebab adik lelaki yang di bawah saya dan isterinya turut datang ke pasar, saya meninjau-ninjau mencari mereka untuk minta bantuan.

Waktu meninjau-ninjau itulah saya terpandang seraut wajah yang berjalan tunduk.

Oleh sebab semasa idulfitri dia ada kirim fotonya sekeluarga via whatsap, saya sudah tahu perubahan imejnya itu.

" Ahmad Zuraimi..." tegur saya, memanggilnya dengan nama penuh.

Dia memandang saya.

"Eh, ibu!".

Setelah berbasa-basi, saya langsung mohon bantuannya untuk menghidupkan kereta. Dia mengekori saya ke kereta.

"Ini abang saya. Mengajar di UiTM Seri Iskandar. Saya di UiTM Lendu ajar A&D"

Abangnya berimej sama.

Alhamdulillah.

Allah yang berkuasa memberi hidayah dan mengangkat darjat manusia.

Apa kisahnya?

...tunggu sambungannya...

Thursday, July 24, 2014

Tiada Raya

Tahun ini saya tidak berhari raya.

Tiada baju raya, kuih raya, kerepek raya dan segala yang bernama raya (kecuali jalan raya dan pasar raya). Malahan duit raya pun tidak saya tukar di bank.

Teruknya!

Negara sedang berduka. Mangsa masih belum diterbangkan ke tanah air. Mesti ahli keluarga menderita sepanjang tempoh itu. Bagaimana kita mahu bergembira sedangkan ada dalam kalangan kita yang melalui hari-hari mereka tanpa matahari?

Begitu juga dengan saudara-saudara kita di Gaza. Yang nyawa mereka semurah nyawa nyamuk.

Berat manalah sangat duka kita. Sukar manalah sangat ujian yang Allah berikan kepada kita? Mereka berhujankan peluru, bermandikan darah, berselimutkan kematian.

Semoga Allah terus mengasihi kita.

Sunday, July 20, 2014

Ramadan Ini Menguji

Tidak pernah saya mengharungi Ramadan dengan situasi begini, meskipun ketika selesai menjalani siri pembedahan atau siri rawatan.

Ramadan kali ini sangat menguji. Keletihan saya luar biasa. Tidak punya kekuatan untuk melakukan rutin harian. Barangkali kerana tiada selera makan waktu iftar dan sahur. Barangkali juga kerana terlalu banyak berfikir-fikir.

Kalau Allah sudah mahu mengambil, saya sedia walaupun kantung bekalan sangat kosong dan banyak dosa yang barangkali belum terampun. Cuma mohon kesempatan untuk berbuat bakti walaupun sedikit untuk bonda tercinta. Kegembiraannya adalah ubat terbaik saya.

Meskipun begitu, kesedihan tetap singgah di hati. Sekolah Ramadan sudah berada di hujung sesi. Kalaulah bisa kita merayu, wahai Ramadan jangan kau pergi...

Tetapi waktu terus berjalan. Dia tidak menunggu kita.

Friday, July 18, 2014

Duka Yang Berturutan

Awal pagi, si adik mengirim SMS.

"Adik dalam perjalanan ke pejabat. Betul ke adik dengar dalam radio tadi yang TGNA dah meninggal. Kemudian ada pesawat kita yang terhempas?"

Saya terkejut sebab tidak tahu apa-apa. Cepat-cepat saya membuka tablet, mencari berita terkini.

Oh, lega rasanya sebab berita tentang TGNA itu adalah palsu. Jahat sungguh pada bulan yang mulia ini buat-buat cerita yang tidak betul.

Tapi hati saya tersentap dengan berita yang kedua. Benar, pesawat MH17 itu telah terhempas, khabarnya ditembak di sempadan Ukhraine. Kesemuanya terkorban.

Khabar duka apakah ini? Duka yang saling bergiliran. Baru empat bulan lepas, kita kehilangan sebuah pesawat juga.

"Hui Pin itu macam nama kawan adik masa di TKS..." sambung si anak lagi. Dan saya dikhabarkan juga bahawa Dora merupakan junior saya di MGS Ipoh.

Kasihannya kita, menjadi mangsa di tengah-tengah dua gajah yang berperang.

Dan pagi ini juga Gaza diserang lagi untuk kali yang entah ke berapa. Saya mendengar berita IKIM itu dengan hati luka yang terseret di kerikil-kerikil tajam.

Ramadan ini benar-benar menguji. Hanya Allah Yang Mengetahui.

Hanya Dia!

Monday, July 14, 2014

Selamat Jalan Aishah



Petang itu dia menelefon.

“Sudah masuk dalam pesawat,” katanya. Saya mendengar dengan jelas pengumuman ketua pramugari.

Saya berdoa supaya dia jangan mula menangis. Tetapi doa saya tidak dimakbulkan. Suaranya sebak dan dia menangis. Dengan pesanan-pesanan “makyang jaga kesihatan baik-baik. Makan ubat...”

Sejak dahulu saya memang penangis. Tuan-tuan bayangkan sahaja apa yang terjadi...

Oleh sebab anak sudah biasa dengan perangai saya, tangisan saya sambil menekap telefon di telinga bukanlah sesuatu yang menakutkan. Memang itulah kelemahan saya. Tuan-tuan, jangan mulakan tangisan. Saya memang tidak tahan!

Ibu muda itu telah kembali ke negaranya. Seperti katanya, “entah bila akan jumpa lagi...”

Dan pagi ini dia menelefon waktu saya sedang mesyuarat. Saya melihat nombor yang tertera di skrin seperti nombor luar negara.

“Gembiralah Aishah sudah jumpa anak-anak ya?” kata saya girang.

“Ya. Anak-anak sudah kurus. Maknya pula yang gemuk...” dan dia ketawa.

Ibu muda yang mempunyai empat anak itu pernah saya catat perjalanan hidupnya di blog ini. Dia menjadi sebahagian daripada keluarga kami, memanggil mak sebagai “mak” dan berhari raya selama beberapa tahun dengan kami. Dia mengorbankan perasaan rindunya terhadap anak-anak demi mencari kehidupan.

Rasanya dia menjadi rakyat Indonesia kedua yang pernah menjadi “adik” saya. Dulunya lelaki dari Acheh. Dia pula dari Jawa Tengah.

Saya belajar banyak sekali daripada Aishah terutama ketabahannya yang tidak sebanding dengan tubuhnya yang kecil kurus.

Idulfitri ini pasti terasa lain.

Aisyah yang tabah dalam lembut sabarnya itu akan menyambut lebaran bersama suami dan anak-anaknya.

Waktu menumis lauk untuk bekalan iftar anak, saya masih menangis teresak-esak.

Sunday, July 13, 2014

Tangisan Langit Gaza sebuah sajak dukacita



Mingguan Malaysia 13 Julai 2014 Muka surat 2 Halaman Pancawarna.

Kesedihan-kesedihan kita sangat kecil berbanding kesedihan-kesedihan mereka...

P/S: Itu gambar profil FB saya?

Saturday, July 12, 2014

Tangisan Langit Gaza

Mereka kembali mengulang sejarah. Mengambil kesempatan Ramadan untuk melakukan siri pengeboman dan pembunuhan terhadap orang awam. Kalau tidak silap saya, Ramadan tahun lepas juga begitu. Tindakan yang sangat bacul dan tidak bermaruah.

Kekejian apakah ini? Tidakkah ada meskipun sebutir rasa kemanusiaan melihat mayat bayi dan kanak-kanak yang tidak berdosa bergelimpangan, jika pun tidak ada kepedulian terhadap manusia dewasa dan tua renta?

Ironinya kita di sini masih ghairah dengan segala macam bufet Ramadan yang harganya ratusan dan ribuan yang kemudiannya menjadi satu pembaziran.

Tidak salah mahu menikmati apa pun atau memuatnaik gambar makanan yang enak-enak di laman maya, tetapi berpada-padalah pada saat ada luka yang sedang melanda umat.

Kata orang, orang kita sememangnya sensitif bermusim. Adakalanya langsung tidak peduli. Kempenlah mahu boikot barangan yang menyokong Zionis, hangatnya tidak lama. Kemudian kita kembali berbondong-bondong memborong produk tersebut. Tetapi tidak apalah, sekurang-kurangnya kita tetap sensitif dan turut membantu apa yang kita mampu.

Ada orang kata apa gunanya berkeluh kesah di laman maya, bersajak-sajak meluah perasaan...sedangkan ia tidak dapat membantu apa pun. Tetapi pada pandangan saya, itu melambangkan keprihatinan kita. Yang paling bagus ialah kita berdoa, mengambil kesempatan Ramadan ini untuk memohon perlindungan terhadap saudara-saudara kita yang sedang dianiaya di seluruh dunia. Kita beri derma ikut saluran yang betul. Mahu ikut berjihad, kita tidak kuat dan penakut. Ketakutan yang rencam. Takut mati, takut dituduh militan, takut hilang pekerjaan, takut miskin, takut yang macam-macam. Barangkali berkeluh-kesah dan bersajak-sajak di laman maya itu bukan cara kita dan saya; tetapi jangan sesekali kita memperlecehkan mereka. Itu cara mereka. Sama juga seperti cara sesetengah orang yang nekad sedaya upaya memboikot barangan keluaran negara-negara yang menyokong Zionis.

Kalau kita sendiri tidak berupaya melakukan sebagaimana orang lain lakukan, sekurang-kurangnya jangan mengejek-ejek mereka.

Saudara-saudara kita sama ada yang Muslim atau bukan, sedang dizalimi di Syria dan Gaza. Begitu juga keadaannya di Myanmar. Apa yang dilakukan oleh negara-negara yang mengaku Islam khususnya yang kaya raya itu? Mengenangkan negara-negara itu, saya jadi benci! Negara-negara "miskin" macam kita memang tidak mampu buat apa-apa...gelandangan di ibu kota sahaja boleh membentuk sebuah negeri kecil!

Tangisan langit Gaza pasti melukakan hati kita kecuali kalau kita bukan manusia.

Sunday, July 6, 2014

Huru-hara



Hadiahnya ini memang menjadikan rumah huru-hara.

Satu kerja pun saya tidak boleh lakukan. Nota-nota yang sepatutnya saya buat terbengkalai sebab papan kekunci sudah sedikit rosak dikerjakannya. Lantai terpaksa dibiarkan telanjang sebab mudah untuk saya menyapu dan mengemop.

Mahu baca suratkhabar pun seksa. Dia boleh duduk atas suratkhabar sampai setengah jam.

Hari ini keluar sekejap meninggalkannya sebab mahu cari makanan yang sedap sedikit untuk bayi. Makanan yang dibeli suami itu nampak kurang menyelerakan.

Habis tangan dan kaki saya calar-balar. Puncanya sebab saya mahu cuci kaki dan buntutnya selepas buang air besar. Dia mencakar sebab takut air.

Saya geli kalau tidak dicuci sebab dia akan datang bermanja-manja dan adakalanya tidur di atas katil bersama saya.

Orang lain bela berpuluh-puluh ekor tidaklah sepayah saya membelanya. Seekor sahaja pun...

Hujung minggu yang penat dengan telatah bayi kecil itu.

Thursday, July 3, 2014

Lain

Ramadan ini memberikan sesuatu yang di luar jangkaan dan ramalan.

Hujan lebat turun membasahi bumi. Hari kedua Ramadan, bukan sahaja lebatnya hujan tetapi turut disertai dengan guntur yang sabung-menyabung dan kilat yang sambar-menyambar. Kasut yang saya letakkan di muka tangga surau, menjadi sampan bocor. Oleh sebab sudah dua kali kasut itu menjadi sampan, saya menukarkannya kepada selipar. Selamatlah kasut itu daripada kerosakan.

Ramalan Jabatan Metereologi bukan begitu. Khabarnya panas terik berpanjangan khususnya sepanjang bulan ini. Tetapi ramalan manusia tidak sehebat perancangan Allah. Kemudian ada jalan yang mendap ke bawah meninggalkan lubang besar di tengah kota KL. Mujur sahaja ia berlaku bukan pada saat waktu puncak.

Kadang-kadang kita kena belajar mensyukuri musibah. Ada waktunya apa yang kita doakan telah Allah makbulkan dengan cara yang kita pun tidak sangka. Mungkin kaedahnya tidak kita sukai tetapi Allah telah memberikan sesuatu yang sangat baik buat kita.

Duduk diam-diam pada malam sesunyi Ramadan, kita terokai lebuh raya hidup ini yang sentiasa sesak dengan masalah. Namun masalah-masalah itulah yang telah mendewasakan kita, menjadikan kita bertahan dengan apa sahaja yang muncul sama ada secara mendadak atau perlahan-lahan.

Ramadan banyak mendidik hati supaya sabar dan tenang. Begitu banyak perkara yang kita tahu, kita simpan sahaja sebagai suatu peringatan Allah terhadap keakuran kita sebagai hamba-Nya.

Kata kakak saya, "beri peluang kepada diri sendiri untuk gembira dan rehat. Ingat selalu akan orang-orang yang memerlukan dirimu dalam hidup mereka...

Lain atau tidak antara ramalan dan takdir, bumi dan langit masih yang sama. Pemiliknya juga sama.

Wednesday, July 2, 2014

Pesan

“Pesan ibu beribu-ribu...” kata adik.

Pagi semalam dia dalam perjalanan ke Kota Damansara untuk mula menjalani internship di sebuah syarikat penerbitan terkenal.

Saya berpesan banyak perkara.

Antaranya ialah, mesti hormati dan santuni orang tidak kira dia seorang tukang sapu atau peon. Sentiasa merendah diri dan hati. Kerja bersungguh-sungguh dengan menganggap diri sendiri sebagai staf syarikat, bukan budak praktikal. Terima tugas yang diberi sebagai cabaran membuktikan kemampuan. Ikut semua acara syarikat. Betulkan niat dan jangan lupa solat.

Oleh sebab ini bulan puasa, ada pesanan tambahan iaitu pastikan dalam kereta ada air dan kurma kalau-kalau tersekat oleh kesesakan jalan raya sehingga saat iftar.

“Sampaikan salam Assalamualaikum ibu kalau jumpa Tuan Haji. Tapi rasanya beliau terlibat dengan filem dokumentari di China...”

Nampaknya hari pertama, ada keterujaan walaupun awal pagi dia mengirim mesej “takutnya adik...”

“Bagusnya di sini. Jam 1.05 minit ada ceramah oleh ustaz tertentu, ibu mungkin tahu sebab rasanya macam biasa sangat dengan ustaz tu. Kemudian ada solat berjemaah. Adik diletakkan di bahagian reka letak majalah, tapi adik buat juga ilustrasi untuk majalah xxx...”

Alhamdulillah. Memang tidak salah memilih syarikat yang memang Islamik pengurusannya itu.

Zaman saya menjalani praktikal dahulu, jangan haraplah ada suasana seperti itu. Tahun 1987 saya menjadi pelatih di bahagian berita radio sebagai wartawan penyiaran. Tugas saya selain turun ke lapangan menghadiri acara dan mendapatkan berita, saya kena juga menterjemahkan berita tersebut dalam bahasa Inggeris dan menghantarnya ke bahagian berita bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin. Betapa stresnya ketika terpaksa bertugas sendirian pada waktu malam di bilik berita semasa Piala Thomas sedang berlangsung di KL ketika itu. Sambil mengepit gagang telefon berwarna hitam pekat di telinga (yang mendail nombornya kena pusing, bukan tekan), tangan kena pantas menaip menggunakan mesin taip yang berbunyi menggerutup.

Saya tidak kisah si adik mahu menjalani latihan industri di mana-mana pun. Tetapi ketika dia menyebut keinginannya untuk ke beberapa syarikat yang pengurusannya Islamik, saya menarik nafas lega. Kebetulan pula, pemilik syarikat itu saya kenal. Dia seorang penulis yang hebat. Novel, cerpen dan skrip drama TV hasil tulisannya memang sangat menakjubkan.

Mudah-mudahan adik belajar mengenali warna-warni manusia dan alam pekerjaan melalui latihannya itu. Apa yang dihadapi akan menjadi momen kenangan yang akhirnya menjadi pelajaran berguna dalam kehidupan.