Total Pageviews

Tuesday, June 10, 2014

Ikan Tak Pandai Matematik

Teringat waktu saya sedang mahu memberikan ikan-ikan emas itu makan, si bongsu bertanya dengan keliru.

“Kenapa bilang-bilang biji makanan tu, ibu?”

“Tak boleh bagi ikan-ikan ni makan banyak. Asyik buang air saja. Ibu bahagi seekor lima biji...” Saya tunggu reaksinya.

“Apalah ibu ni, ikan mana pandai kira...” Yes! Manusia pun gagal Matematik, inikan pula ikan!

Saya sengaja mahu menimbulkan suasana bergurauan. Selalunya anak-anak akan buat mimik muka dan gaya lakonan dengan dialog “mengapa saya ada ibu yang pelik ini...”

Kemudian saya kata, “kasihan ikan ini. Dia buang air dan hidup dalam air yang sama. Hidup dalam kenajisan...”

Suami saya menyambung, “agak-agak adik, ikan itu tengah bercakap pasal apa?”

Hohoho...yang ini kena awas. Daddy selalu mengenakan orang dengan pertanyaannya yang bermuslihat! Sebab sudah selalu terkena, biasanya kami akan mengelak untuk menjawab.

Tentu sukar mahu menjadi ibu yang kreatif dan mahir berjenaka. Sesuatu yang wujud secara semula jadi dan kena dipelajari. Saya ada contoh yang baik daripada mak dan ayah. Walaupun saya tidak berani bertepuk tampar dengan mak atas sebab hormat yang sangat tinggi kepadanya (dan ini berbeza dengan anak-anak saya...huhu), tetapi banyak yang saya belajar daripada gaya mak.

Salah satu kemahiran mak ialah kepandaian mengajuk suara orang.

Juga daya imaginasinya ketika bermain dengan cucu sewaktu mereka masih kecil. Mak ikut “berenang” dalam kolam imaginasi cucunya. Turut “mandi” di pancuran air yang tidak kelihatan. Keupayaan mak bercerita memang menyuburkan minat menulis saya.

Ayah yang pendiam pula pandai mereka cipta permainan. Daripada sudu susu tepung, ayah mereka cipta permainan ulat gonggok yang panjang dan berjalan meliuk-liuk apabila ditarik. Kadang-kadang membina model kereta dengan barangan terbuang. Walaupun tidak banyak bercakap, ayah juga sesekali pandai berlucu dengan cucu. Gemar mengusik cucu sampai “berkelahi”.

Cara ayah melayan anak-anak dan cucu sangat berbeza. Kami tidak berani bergurau dengan ayah, apa lagi “berkelahi” seperti cucu-cucunya. Saya masih ingat, kami hanya bersalaman dan mencium tangan ayah, tidak mencium pipi pada saat-saat kedewasaan kami. Ayah “malu” dan sangat menjaga adab. Barangkali kali terakhir saya mencium pipi ayah ialah ketika saya masih kecil. Dan yang paling penghabisan ialah ketika ayah sudah tidak bernyawa. Saya baring di sisi jenazah ayah, menatap wajah dan mencium seluruh mukanya. Kalaulah ayah masih hidup ketika itu, pasti ayah berasa sangat malu sebab anaknya yang sudah jadi emak sedang baring di sisi dan mencium pipinya dengan lama.

Cara didikan sekarang sudah jauh berbeza. Masih ada rasa hormat kepada ibu bapa tetapi sudah ada ruang keterbukaan untuk menyatakan pendapat, yang kadang-kadang mengundang sedikit kurang adab.

Ibu bapa yang seperti saya pun salah juga. Terlalu banyak “bermain” dengan anak, kemudian masih terus-terusan menjaga mereka seperti bayi.

Hari ini hari kedua si sulung ada kertas. Saya menghubungi ayahnya walaupun saya tahu beliau sangat sibuk menguruskan radio atas talian MySuara FM. “Hari ini kakak ada kertas Sosiolinguistics. Kakak agak lemah dalam kertas ini. Mohon ayah doakan...”

Setiap hari saya akan rujuk jadual peperiksaan yang sudah saya cetak dan tampal di meja. Ada lima kertas, berbanding adiknya yang hanya ada dua. Saya hafal tarikh, kertas dan masanya. Itu penting untuk “membantu” anak-anak di dewan peperiksaan dari jauh. Talian hayat ibu bapa dengan doa dan munajat kepada Yang Maha Berkuasa.

Anak-anak sedang berjuang, suami sudah ke pejabat.

Saya memberi ikan makan, tetapi kali ini tidak mengira lagi.

Sebab tiada siapa di rumah yang boleh diajak bergurau.

No comments: