Total Pageviews

Wednesday, June 11, 2014

Lari Dengan Buaya

Suasana tiba-tiba sedikit kecoh. Perempuan itu mengambil telefon bimbitnya dan wajahnya cemas. Dia menyebut “Ya Allah...Ya Allah...sekejap sahaja sudah hilang...”

Beberapa orang lelaki muda dan tua kelihatan bercakap-cakap. Menunjuk-nunjuk ke arah kanan.

“Budak perempuan itu...” kata suami saya, “...sudah lari!”

Kasihan ibunya. Saya kira perempuan itu adalah ibunya.

Malam itu saya dan suami keluar makan. Dia mahu makan masak lemak tenggiri maman yang sangat sesuai dengan seleranya. Maman itu dibeli dari Pahang. Setiap kali kalau kami ke situ, saya akan terkenangkan almarhum ayah yang gemarkan jeruk maman.

Kemudian datanglah sepasang suami isteri (rasanyalah) dengan seorang remaja perempuan. Bersalaman dengan tuan punya kedai yang kelihatan memeluk budak perempuan itu. Mereka berbual-bual. Lelaki itu mengambil tripod dan memasang di tepi kedai sambil isterinya terus berbual dengan pemilik kedai yang barangkali saudara mara mereka.

“Aduh, kalau ada karaoke di tempat makan, abang tak suka. Tak tenang mahu makan...” komen suami saya.

“Sebenarnya orang yang bekerja waktu malam ini, selalunya kena tanggung banyak risiko,” sambungnya sambil terus menikmati gulai lemak tenggiri maman.

Kemudian, saya nampak remaja perempuan yang asyik bermain dengan telefon bimbitnya itu bangun. Rupa-rupanya dia bangun untuk terus “hilang”.

Lebih kurang lima minit itu, suasana kecoh. Ibunya kelihatan sangat cemas dan susah hati. Dia mengulang ayat, “baru sekejap tadi...menyesal saya bawa dia ke sini...”

Beberapa orang berkumpul di luar restoran.

“Abang nampak budak itu naik kereta seorang lelaki yang sedia menunggu di situ. Abang ingatkan saudara mara dia. Yang tak nampak dia asyik menaip di telefon bimbitnya? Sudah berjanji barangkali...”

Selera makan saya hilang. Saya kasihankan ibunya.

Budak itu pun berwajah biasa-biasa sahaja, Melayu tipikal. Rambutnya pun kurang terurus. Selekeh sahaja. Agaknya masih sekolah. Ibu bapanya bekerja malam-malam begitu, mahu ditinggal di rumah takut menimbulkan masalah lain. Dibawa ke sana sini pun masih boleh hilang. Lenyap di depan mata.

“Mana mahu cari malam-malam begini. Naik kereta pula dibawa entah ke mana. Ikhtiar akhir ialah lapor polis. Berikan butiran budak itu, pemuda dan nombor kereta...” kata suami.

Allah Hu Akbar! Dada saya berat. Saya teringat anak-anak gadis saya yang sudah dewasa itu.

Barangkali itu tragedi cinta remaja yang tidak direstui. Budak lagi pun! Dia belum tahu berapa ekor buaya dan harimau yang sedang membuka mulut untuk membahamnya! Dunia di luar rumah bukanlah suatu tempat yang selamat walaupun barangkali menyeronokkan atas definisi kebebasan tanpa had.

Pagi ini saya terbangun dan masih memikirkan tentang ibu budak itu. Makan minum dan tidurnya mesti terganggu. Anaknya perempuan. Macam-macam yang pastinya bermain dalam fikiran. Menanggung malu itu mungkin tidak sepenting dengan kerisauan memikirkan keberadaan anaknya. Pedulikan malu! Bagi ibu itu, keselamatan anaknya lebih utama.

“Itulah yang abang kata. Orang yang bekerja malam, pendapatan lumayan. Tapi risikonya banyak...” suami mengulang ayatnya. Membiarkan saya mentafsir sendiri makna.

Ini masa derita orang. Saya tidak kenal pun orang itu. Saya tahu sebab mereka duduk di meja hadapan kami.

Wajah cemas ibunya, ke hulu hilir menelefon...

Ya Allah, bantulah meringankan beban seorang ibu itu. Kasihanilah dia. Kembalikan anaknya demi susu ibu yang dia minum, demi rahim yang sembilan bulan dia duduk di dalamnya.

Suatu hari nanti, budak itu akan menyesal.

Satu kesilapan yang mengundang segunung kesal yang tidak berkesudahan.

No comments: