Total Pageviews

Thursday, June 12, 2014

Bini Lima Puluh Persen

Siap mengisi butiran untuk Direktori Penulis Wilayah Utara, mengepilkan gambar berukuran passport dan lampiran, saya menuju ke pejabat pos di bangunan Centre Point. Pejabat pos ini beroperasi pada jam sepuluh pagi. Mahu mengirim ke Unit Penerbitan DBP Wilayah Utara.

Hanya ada seorang pelanggan sedang berurusan di kaunter. Satu kaunter sahaja dibuka. Saya menghulurkan RM1.20 dengan tujuan mahu membeli dua setem berharga 60 sen. Satu untuk dilekapkan di sampul dan satu untuk simpanan.

“Kalau sampul coklat, 80 sen. Kalau yang biasa, 60 sen...” kata petugasnya.

Saya tetap mahu dua setem. Sepatutnya kena tambah hanya 40 sen, tetapi saya hulur sahaja apabila dia minta saya menambah 60 sen...

Bukan soal sen itu, tetapi saya pelik mengapa saya bingung sahaja pagi ini. Cuaca panas? Mulut yang pecah-pecah? Memikirkan masalah?

Dari Centre Point, saya merayau-rayau mencari air jenama Cypress, air 500ml yang saya beli di kedai koperasi HUKM. Rasanya masin sedikit tetapi telah berjaya menghilangkan kesakitan di badan, juga mengurangkan lesu. Dari Ampangan ke Senawang, saya tidak jumpa.

Memang ada masalah. Tetapi saya rasa sudah tiba masanya saya mengundurkan diri daripada masalah tersebut. Cukup-cukuplah setakat itu. Saya mahu berehat dan memikirkan diri sendiri. Sudah puas saya membajak dan memelihara tanaman, tetapi tiada satu pun yang dikenang sebagai budi. Dihina dan dilemparkan kotoran lagi.

Cewah...bunyi macam nekad sahaja, kan?

Suami saya tidak percaya saya akan senekad itu sebab katanya, “hati Yang macam kerak nasi...”

Sebenarnya dia main agak sahaja. Dia tidak tahu pun apa masalah saya..kih kih kih.

Bukan tidak mahu berkongsi, tetapi masalah yang satu ini biasanya hanya akan saya kongsi dengan seorang sahaja manusia di muka bumi ini. Itu pun bukan semua benda akan saya cerita. Tetapi saya kena pendam sendiri dahulu sebab dia sangat sibuk sekarang. Ada shooting, katanya.

Amboi, shooting la pulak itu budak!

Cadangan mahu balik kampung pun tangguh sampai esok. Si dia itu sekali lagi bertugas di tempat yang dekat, sejam perjalanan. Hari-hari ulang alik dari rumah. Saya kata, “tidak apalah kalau saya balik kampung, abang baliklah tidur sini, tak payah pusing ke WP dan tidur di kabin...”

Rupa-rupanya orang lelaki memang pelik. “Tak bolehlah Yang. Abang dah cuba. Kalau abang balik dan Yang tak ada, tak tentu arah abang dibuatnya. Rasa kosong, tak tahu nak cakap macam mana...”

Hohoho...jadi, saya tahulah faktor-faktor mengapa lelaki kematian isteri dengan kadar segeranya perlu mencari bini baharu!

“Agaknya kalau Yang mati, macam mana? Cari lain ya?”

Dia buat muka sedih tapi kemudian berpaling ke lain sambil menyebut, “Yesssss!”

Hahahaha...banyaklah dia punya yesssss!

“Kalau Yang mati pun, nanti Yang jadi hantu dan minta lima puluh persen. Jangan ingat boleh senang-lenang dengan bini baharu yang kaya raya. Lima puluh persen!”

Dia dapat bini pelik. Bini lima puluh persen!

No comments: