Total Pageviews

Monday, June 30, 2014

Bagus

Apabila kita diberikan pilihan, sudah pasti kita hanya akan memilih yang bagus-bagus.

Pilihan yang bagus-bagus itu pula adalah mengikut kriteria “bagus” kita sendiri.

Sedangkan barangkali yang bagus itu tidak semestinya benar-benar bagus dan yang kurang bagus itu barangkali lebih bagus daripada yang bagus.

Demikianlah kecenderungan kita sebagai manusia yang berhak memilih.

Bagus bagi kita, tidak bagus untuk anak atau pelajar kita. Mata tua kita melihat hanya yang tidak bagus, sedangkan mata muda mereka hanya melihat yang bagus. Dalam makna kata lain, kita melihat lebih banyak hitam daripada putih yang kadangkala menjadi benar berdasarkan pengalaman hidup yang panjang dan berliku.

Bertentangan pendapat dalam menentukan pilihan bukanlah sesuatu yang tidak elok. Asalkan sahaja ia tidak mengundang kepada kesudahan yang sangat sukar untuk diterima akal dan iman.

Sama ada bagus atau tidak, apa yang telah ditentukan Allah setelah kita berusaha, adalah yang terbaik. Hikmahnya tidak mampu terjangkau oleh minda walau sebijak mana pun kita. Mungkin apa yang berlaku itu memang akan memberi kebaikan kepada kita suatu hari nanti, kebaikan yang terhasil daripada pengajaran dan pengalaman.

Bagus.

Saturday, June 28, 2014

Ke Sekolah Ramadan

Esok sekolah Ramadan bakal membuka daun pintu seluas-luasnya untuk kita meraih pahala.

Sepanjang pagi ini meriah siaran IKIM menyiarkan lagu-lagu kerohanian berkaitan bulan penuh berkat itu. Daripada lagu pelbagai bahasa sampailah pelbagai irama.

Sepanjang pagi ini juga saya panjat memanjat menurunkan langsir, membuka sarung kusyen dan lain-lain untuk dicuci. Saya biasa melihat mak melakukannya setiap kali menjelang Ramadan. Meskipun dahulu mak tidak mampu membeli langsir baharu tetapi mak dan ayah akan mencucinya di sungai dengan sabun cap kapak dan memastikan Ramadan disambut dengan segala yang bersih.

Bersih di luar dan di hati. Demikian saya mendapat pelajaran memahami makna daripada mak dan ayah yang tidak educated tetapi memiliki ijazah dari universiti kehidupan.

Ini peluang kita untuk berdoa. Pintu neraka ditutup dan syaitan serta sekutunya menangis hiba. Pintu syurga dibuka seluasnya. Para malaikat di langit bersedia untuk mengaminkan doa. Wahai jiwa, kita tidak pernah tahu adakah ini Ramadan yang terakhir buat kita.

Semalam Puan Faiz memberitahu, “seorang pesakit kanser kenalan rakan kita, sekarang ini hanya ada tempoh enam bulan. Dia sudah menjalani segala macam jenis rawatan. Sangat cergas dan sudah boleh bertugas. ..”

Saya menukas, “Ya, untungnya dia tahu tempoh kematiannya walaupun tidak pasti tarikh dan masa. Kita ini memang jenis yang beruntung. Penyakit macam ini menyebabkan kita lebih bersedia. Kalau tidak, entah ke mana hala kita bersuka ria...”

Jalani sahaja sisa hidup ini. Ampuni orang-orang yang pernah berbuat salah kepada kita. Mohon kemaafan juga kepada mereka yang pernah kita lukai. Minta ampun dengan Allah atas segala ketelanjuran kita. Perbaiki amalan secara berterusan. Berbuat baik sesama insan, haiwan dan alam.

Apa yang saya masih bimbangkan hanyalah anak-anak dan emak. Emak yang sudah tujuh puluh enam, meskipun masih cergas tetapi memerlukan lebih perhatian dan kasih sayang. Saya berada jauh. Meskipun setiap hari menelefon mak, tetapi manakan sama dengan jasad kita berada di sisinya.

Cuma anak-anak itu...saya mengharapkan mereka tidak melakukan kerosakan dalam kehidupan sebab sekali sudah rosak, sukar sekali mahu memperbaikinya. Kerosakan itu akan menyebabkan timbul pula kerosakan-kerosakan lain.

Ramadan pasti merawat hati kita.

Dengan doa mak, lawak jenaka suami dan kasih sayang adik beradik saya.

Kita akan mendaftar masuk ke sekolah Ramadan menjelang Maghrib nanti...

Friday, June 27, 2014

Warisku Juara

Lewat petang Rabu, kami mengadakan latihan di hadapan pusat sumber. Hanya tiga kali run sebab azan Maghrib sudah dilaungkan. Itu sahaja kesempatan yang ada. Masa sudah sangat suntuk. Tiga pelakon termasuk saya dan empat krew yang terdiri daripada siswa-siswi guru. Saya kagum dengan budak-budak itu, mereka kreatif dan energetik.

Maka saya pun kena begitu walaupun berasa sangat penat ekoran ulang alik ke beberapa tempat menguruskan sesuatu.

Malam itu saya ada urusan juga meskipun terlalu letih. Hanya lebih kurang tiga jam setengah dapat lena. Esoknya dalam kantuk, kami membuat persiapan dan latihan sebab jam sebelas, pihak Jabatan Penerangan akan datang menjemput dengan van.

Ada empat pegawai yang datang. Kami menuju ke dewan SMK Undang Jelebu untuk Pertandingan Pengkisahan Kenegaraan 2014 peringkat Negeri Sembilan. Ada beberapa pasukan mewakili daerah-daerah di negeri ini. Ada juga yang memang grup teater.

Kumpulan kami, Waris, mendapat undian yang terakhir. Menonton persembahan kumpulan-kumpulan sebelumnya, saya mencongak-congak mana yang out dan yang OK.

Akhirnya tibalah giliran Waris. Kami mengangkat tangan berdoa agar diberikan kelancaran berkisah, kelancaran urusan teknikal dan kelancaran pergerakan. Saya kepanasan sepanjang dua puluh minit di atas pentas sebab lampu sorot yang betul-betul berada di belakang saya.

Saya beritahu budak-budak itu, “jangan gentar dengan pasukan-pasukan lain meskipun mereka dari grup teater. Kita ada kekuatan tersendiri. Abaikan perang psikologi. Kita naik dan lakukan yang terbaik untuk berkisah dan menghiburkan audien”.

Naluri saya mengatakan bahawa kami akan ada tempat. Pertamanya, kami mengisahkan local figure yakni Pendeta Za’ba. Keduanya, teknik dan prop yang digunakan berbeza daripada pengkisahan konvensional.

Alhamdulillah, waktu pengumuman pemenang, kami dinobatkan sebagai johan dengan membawa pulang wang 3K, sijil dan piala.

Insya-Allah jika tiada halangan, kami akan meneruskan perjuangan ke peringkat kebangsaan di Pulau Pinang pada bulan September.

Jam 6.40 petang, kami tiba di kampus. Saya bergegas ke Balai Kerapatan. Siswa-siswi guru ada yang sedang membuat persiapan dewan. Raptai telah tamat.

Saya menghafal sajak untuk sambutan Hari Guru peringkat kampus. Keesokan harinya saya yang paling awal menunggu di belakang pentas. Pak Wan datang dan kami berbincang mengenai acara baca sajak yang bakal berlangsung dalam beberapa minit lagi.

Minggu buka semester yang agak mencuri waktu tidur saya. Saya akan bertahan setakat yang saya mampu. Ramadan pun bakal menjenguk sehari dua lagi.

Saya yakin Allah sentiasa memberikan jalan keluar walau sebesar mana pun kesulitan yang kita hadapi. Tiada jalan mati kecuali kita yang mahukan ia begitu.

Tuesday, June 24, 2014

Hilang

"Kak tak up-date blog ya?" tanya Puan Faiz.

Saya kehilangan aksara meskipun ceritanya banyak. Hilang yang ada. Banyak benda yang sedang berputaran di sekitar kehidupan saya. Maka saya pun hilang untuk sementara.

Saya sedang menghafal-hafal dialog. Esok kalau tiada masalah, akan terlibat dengan pementasan pengkisahan tokoh anjuran Jabatan Penerangan. Ini sebuah pertandingan tetapi kami langsung tiada waktu untuk latihan. Budak-budak itu menggunakan perkataan "mahu melamar puan..." untuk sebuah watak yang tegas tetapi punya ciri keibuan.

Kata saya, "cari back-up!"

Saya sedang sibuk dengan beberapa perkara peribadi dan kerja. Maklumlah baru buka semester. Khabarnya lagi saya terlibat juga dengan persembahan deklamasi sajak untuk program Jumaat. Itu pun kena latihan juga, bukan boleh main terjah-terjah. Harap-harap tiada masalah besar sebab semuanya macam konsep mee segera.

Sekali lagi untuk acara Jumaat, ada kolaborasi dengan seruling Pak Wan.

Rasa kelam-kabut sedikit hari-hari saya. Bukan sebab banyak kerja tetapi sebab sekarang saya sedikit pelupa dan agak lambat "menangkap". Orang lain sudah berjalan lima kilometer, saya baru dua kilometer setengah. Saat macam ini, saya rindukan kata-kata Puan Hajah Mariam Che Latt. Kak Yam akan selalu kata, buat kerja perlahan-lahan, buat ikut kemampuan kita, jangan paksa diri...

Sejak Kak Yam bersara, saya benar-benar kehilangan tempat bercakap-cakap terutama untuk hal-hal yang saya anggap sedikit rahsia. Dia selalu memberikan semangat dan dorongan yang nampak biasa tetapi sebenarnya luar biasa.

Apa sahaja yang ada di hadapan kita, kena hadapi dengan berani meskipun ada waktunya amat melukakan.

Jangan putus asa dengan doa yang belum sampai masanya untuk dimakbulkan. Seperti anak kita yang masih di bangku sekolah meminta i-pad daripada kita. Sudah tentu kita akan memberikan i-pad itu mengikut kesesuaian umurnya apabila masanya tiba.

Saturday, June 21, 2014

Pada Saat...

Pada saat kamu ingin menyerah kalah, ingatkan kembali alasan mengapa kamu selama ini dapat bertahan.

Sungguh.

Sebagai manusia biasa (dan kita sering menggunakan alasan klise ini), ada waktu-waktunya kita seperti segerombolan askar yang membuang senjata ke tanah dan meletakkan tangan di atas kepala. Ini bermakna kekalahan sudah membunyikan wiselnya.

Tetapi saya masih ingat benar kata-kata seorang rakan, Encik Zul, di sebuah pertandingan antara kolej lama dahulu. Dia mengungkapkan kata-kata yang sangat bermotivasi. Kepada para pelajar, dia menyebut, “kita tidak kalah selagi wisel belum dibunyikan. Maka, selagi kita belum mendengar tiupan wisel, kita masih berpeluang untuk menang”.

Itulah ayat yang diulang-ulang dan terus memantak masuk ke otak.

Kita tidak perlu berasa diri terlalu sempurna sehingga mewujudkan elemen-elemen hipokrasi yang memualkan. Memang emosi bukan seperti ketulan emas yang keras dan sukar dicairkan. Kita boleh mengawalnya tetapi ia bukan statik. Masalah kita tidak sama. Begitu juga dengan latar belakang hidup.

Sesekali kita akan menjadi seperti askar yang kalah itu tadi.

Dan sesekali kita menjadi orang yang sedang mengibar bendera dan ber”selfie” di puncak gunung yang tertinggi di dunia.

Begitulah adat kehidupan.

Dan kita melihatnya selalu di laut dan di darat. Ada pasang surut air dan ada perubahan musim juga.

Jika kita berasa seperti mahu kalah, kena ingatkan kembali sebab-sebab mengapa kita masih mampu bertahan!

Friday, June 20, 2014

When I Was...

Pak Wan mahu membuat iklan mengenai Pameran Solo Catan dijangka berlangsung Julai. Dia menanyakan pandangan saya berkaitan ayat-ayat yang ditulisnya.

Sebenarnya saya suka dengan ayat yang menjadi tajuk pameran iaitu "When I Was..." tetapi nanti saya dikatakan tidak mencintai bahasa ibunda pula. Maka saya berikan cadangan kalau mahu diterjemahkan dalam bahasa kita. Saya baiki ayat-ayatnya dan mencadangkan beberapa perkataan yang sinonim dengan makna lakaran-lakaran Pak Wan.

Saya terlena sebentar tetapi ayat-ayat itu masuk sekejap dalam mimpi saya. Apabila terjaga, jam sudah sebelas malam. Mengharapkan tidak mengganggu, saya mengirim mesej kepada Pak Wan dengan ayat yang singgah sekejap dalam lena tadi. Pak Wan gembira. "Sangat tepat dengan apa yang Pak Wan mahu sampaikan..." katanya.

"Nanti boleh sumbangkan satu sajak masa pelancaran?" tanya Pak Wan. Boleh sahaja, cuma saya kena tatap dahulu lukisan Pak Wan.

Sebenarnya Pak Wan antara insan seni yang selalu terkepung dalam kotaknya. Saya memahami itu.

Itu sebab saya sangat seronok kalau berkolaborasi dengan orang ini. Walaupun dia hebat, tetapi dia menyimpannya dalam baju yang dipakai. Orang yang hebat tidak bersungguh-sungguh mempamerkan dirinya hebat, malahan orang tidak tahu pun akan kehebatan yang dianugerahkan Allah kepadanya.

Pak Wan juga sedang membangunkan misi motorhome untuk kembaranya jika telah menamatkan perkhidmatan. Saya sendiri memiliki impian untuk sebuah motorhome ini. Kalau ada impian, pasti suatu hari akan terbuka jalan...

Hari ini saya juga membuang beberapa entri yang berbaur negatif. Ada puluhan entri lagi yang akan saya padamkan perlahan-lahan. Kadang-kadang saya main-main sahaja menulis, sehingga menimbulkan rasa tidak enak orang yang membaca. Tidak baik begitu, sebenarnya.

Ada beberapa hal yang sedang "menyerang" kubu hati saya ketika ini. Mudah-mudahan Allah memberikan saya jalan keluar yang bagus untuk semuanya.

Tuesday, June 17, 2014

Kucing Tanpa Rumah

Saya mengepung bersungguh-sungguh. Pembantu-pembantu kedai makan itu pun tolong mengepung juga. Seekor sudah dapat. Seekor lagi, lari ke kedai sebelah.

Sebenarnya waktu tengah minum dan bersembang di sebuah kedai makan di Sungai Siput itu, kami nampak ada dua ekor anak kucing comot.

“Kasihannya,” kata saya. “Cuba tanya tuan kedai, bayi kucing ini siapa punya. Tapi kalau mahu ambil, ambil dua-dua. Jangan ambil hanya satu, kasihan mereka adik beradik...”

Kakak saya bangun dan bertanyakan hal bayi kucing itu. Bukan orang punya. Itu kucing tanpa rumah.

Masalahnya semasa saya sedang mengejar yang seekor lagi di kedai sebelah, kucing yang dipegang kakak mencakar tangannya dan terlepas.

Agaknya memang bukan rezeki kami dan anak kucing itu. Kami tinggalkan sahaja dengan harapan mereka tidak jadi kucing gelandangan selama-lamanya.

Pagi ini waktu menemani emak ke pasar, kami merayau-rayau mencari bayi kucing. Tapi mak mahu yang ekornya “kentoi” (kontot). Hari ini memang tidak nampak anak-anak kucing yang biasanya banyak dibuang orang di pasar.

Antara adik beradik, yang sangat suka kucing ialah adik yang bongsu walaupun dia lelaki. Sebenarnya kakak bukan suka sangat dahulunya atas faktor kebersihan. Tetapi masa telah mengubah persepsi kakak terhadap makhluk berbulu dan “mengada-ngada” itu. Semuanya selepas kemunculan kucing misteri yang sekarang ini sudah besar panjang.

Saya terbaca dalam akhbar, kucing tertua yang tercatat dalam Guiness World of Record telah mati baru-baru ini dalam usia 24 tahun umur kucing dan bersamaan 113 tahun umur manusia. Kucing itu hidup dalam zaman empat orang perdana menteri negaranya iaitu Britain.

Si kucing cerdik itu hari ini “terperangkap” di luar rumah. Dia keluar awal pagi dan pintu rumah dikunci sebab semua orang keluar bekerja dan bersekolah. Dia sekarang duduk dengan anak saudara saya, anak abang yang bongsu yang langsung tidak boleh berpisah dengannya. Budak itu bersekolah di tahun satu. Agaknya dia kelaparan. Masalahnya stok makanan kucing di rumah mak sudah habis. Dia tidak makan biskut, ayam atau ikan seperti kucing-kucing lain. Bukalah tudung saji seluas mana pun atau letaklah dua tiga ekor ikan di depannya; dia tidak akan peduli.

Memang dia seekor kucing yang pelik.

Saya berleter kepadanya sebab keluar pagi-pagi itu sampai menanggung kelaparan. Sanggup dia menahan lapar sehingga anak saudara yang seorang lagi balik dan memberikannya makanan. Makan sahajalah ikan goreng yang enak itu. Bukankah awak seekor kucing yang makanan rujinya ialah ikan?

Saya suka kucing tetapi tidak tahan dengan bau najisnya yang dahsyat itu. Boleh biul otak dibuatnya.

Cuma saya sangat kasihan melihat kucing yang sakit atau bayi-bayi kucing yang dibuang orang.

Saya bayangkan kalau bayi manusia dibuang macam itu. Merangkak-rangkak di tengah jalan tanpa tahu akan bahayanya.

Kasihaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaannyaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa...

Sunday, June 8, 2014

Sushi dan Onigiri

Dua ekor ikan emas itu rupa-rupanya ada bunyi seperti sedang “menyusu” ketika mencungap-cungap di muka air. Kalau nampak tangan kita memegang bekas makanannya yang bulat kecil itu, kedua-duanya kelihatan tidak sabar-sabar, seakan ikan yang kebuluran di Ethiopia.

Ikan emas itu tidak bernama. Tidak mahu diberi nama. Takut kalau kedua-duanya mati, saya akan merana. Tapi adik kata, kalau nama Sushi dan Onigiri pun OK juga! Atau Lemang dan Ketupat!

Waktu si bongsu masih bercuti di rumah, dia yang rajin melayan haiwan itu. Mencuci bekas, memberi makan. Sama seperti dia melayan Milo dan Vanilla, brazillian tortoise miliknya.

Vanilla sangat aktif dan suka memanjat pokok hiasan yang diletak dalam bekasnya sampai tumbang. Kata si adik, kura-kura yang itu sangat cerdik. Nampak saja bekas makanan diambil, dia akan kejar untuk makan. Berbeza dengan Milo yang lebih introvert dan macam ada masalah kemurungan...

Si Milo suka bersembunyi di bawah jambatan dalam rumahnya itu. Kalau disuakan makanan, lama baru dia menjulurkan kepala. Kasihan budak Milo itu, agaknya dia ada masalah apa agaknya...

Dua ekor kura-kura comel itu telah ikut tuannya balik ke Puncak Alam. Tinggal dua ekor ikan emas yang cantik warnanya. Asyik makan sahaja, perut pun sudah buncit macam lelaki-lelaki pertengahan umur zaman sekarang. Botak dan buncit...

Hari ini Luna pun sudah ikut tuannya balik ke Bangi. Buas betul. Dua kali terlepas ketika dia bermain golek-golek dalam bebola. Jenuh mengepung takut dia berlari ke luar rumah. Ketika dia tidur, nampak seperti bayi kecil yang kadang-kadang tidur terlentang, menelangkup, mengiring dan membulat. Lena sungguh, dipanggil namanya pun dia tidak terjaga. Sudah saya belikan rumah baharu yang lebih besar dan ada gelungsur tetapi rumah itu ditinggalkan di Bangi.

Tinggallah saya dengan dua ekor ikan emas yang tidak boleh dipegang-pegang macam Luna, Vanilla atau Milo.


Thursday, June 5, 2014

Seekor Ketberi

“Sedang memandu. Nasib baik tidak langgar ketberi yang melintas”

“Dia yang buat hal mengketbeributa, tetapi akhirnya aku yang terpaksa menanggung”

Binatang itu sudah dijenamakan dengan panggilan baharu.

Saya membacanya dengan sedikit lucu. Campur sedikit sedih. Dengan rasa luka. Terhina. Atau entah apa.

Binatang itu tidak bersalah. Dia ciptaan Allah juga. Yang khilafnya ialah kita. Kita yang kurang awas, yang kurang prihatin dengan isi kandungan makanan yang masuk ke perut, sebati dengan darah dan daging sehingga membentuk hati yang keras terhadap agama.

Saya pun makan ketberi, maksud saya yang coklatnya, bukan binatang berjenama baharu itu. Saya belikan untuk anak-anak sebab mereka gemarkan coklat. Entah berapa banyak yang sudah masuk dalam perut saya dan mereka. Patutlah susah betul mahu melakukan kebaikan.

Sekarang sudah ada pertentangan pendapat. Satu kata haram dan satu kata halal. Benda itu bukan makanan ruji. Produk yang tidak tahan dengan cuaca negara kita. Sebenarnya bukan menjadi masalah pun kalau kita tidak makan.

Saya lebih mempercayai KKM. Bukan bermakna JAKIM tidak betul. Mereka telah membuat ujian makmal atas sampel yang diambil dari kilang, tetapi bukan yang ada di pasaran.

Yang saya kurang setuju ialah sekarang ini sibuk mahu mencari pegawai yang membocorkan rahsia ujian makmal. Tindakan mahu diambil atas beliau. Memanglah barangkali beliau silap sebab terlalu cepat mahu umumkan. Tetapi pada pandangan saya, selesaikan yang lebih utama dahulu, yakni keyakinan massa terhadap kewibawaan logo halal itu.

Lagi satu ialah organisasi yang sibuk mahu menukar darah dan sebagainya itu. Cuba jugalah jadi juara kepada usaha membanteras rasuah? Bukankah binatang ketberi dan rasuah itu sama sahaja status haramnya?

Apa pun, nampaknya si ketberi itu sudah sama popular macam dua ekor panda gergasi yang dipinjam selama sepuluh tahun dengan kos RM74 juta.

Hal panda itu, niatnya bagus iaitu sebagai penjernih hubungan diplomatik dengan negara China yang tercalar sedikit dengan insiden misteri pesawat terbang.

Tetapi semalam, saya bermimpi salah seekor panda itu mati...

Aduhai, bagaimana jadinya nanti kalau mimpi itu menjadi kenyataan? Harap-harap tidak begitu. Malaysia sudah terlalu menderita!

Nampaknya ada idea cerpen baharu...matinya seekor panda!

Wednesday, June 4, 2014

Mencari Bulan



Ke sebuah pasar raya di Senawang dengan si sulung.

Entah mengapa tiba-tiba terasa mahu cari akhbar Harakah bilangan 1951 (4-7 Syaaban 1453/2-5 Jun 2014). Rupa-rupanya ada cerpen ringkas saya di situ dengan tajuk Mencari Bulan. Sudah lama saya hantar, saya fikir sudah dibakul-sampahkan.

Memang lama, seingat saya sekitar PRU ke-13. Cerpen satira.

Saya mengilhaminya daripada abang sulung dan adik bongsu yang saya ambil nama mereka sebagai watak cerpen (dua watak sahaja) dengan pertentangan prinsip antara golongan tua dan muda.

Abang sulung saya pesara perisikan tentera. Adik yang bongsu pula bekas komando. Setelah menamatkan perkhidmatan lama dahulu, kedua-duanya tidak aktif berpolitik tetapi ikut serta dalam jemaah.

Kisah anak-anak muda Lembah Lenggong yang dibesarkan di bawah sinaran lampu dan sangat kepingin untuk merenung bulan yang asli di langit. Sepanjang hidup mereka tidak pernah melihat bulan. Mereka mencari bulan tetapi dalam masa yang sama masih menyantuni golongan tua yang utuh dengan ideologi yang obses terhadap lampu. Akhirnya sudah pastilah happy ending. Golongan tua yang diwakili watak Penghulu Ghazali merestui keinginan anak-anak muda itu setelah mengenang kekentalan semangatnya ketika dia masih muda.

Itulah kisah Mencari Bulan.

Ada orang beritahu saya, “tidak takut menulis di akhbar seperti itu?”

Rasa mahu tinju sahaja muka orang itu...hahaha.

Saya bukan penulis besar, anak ikan bilis sahaja. Saya menulis tidak kira akhbar mana. Kalau Roket ada ruangan sastera, saya pun mahu menulis cerita tentang roket juga. Mungkin dengan tajuk yang agak lain iaitu Roketku Roketmu Jua atau Pandaku Yang Bernama Roket.

Tuesday, June 3, 2014

Gelandangan Di Bumi Merdeka

Dahulu pernah terbaca ada lelaki di sebuah negara memiliki hampir lima puluh anak daripada beberapa isteri.

Agaknya ada nama anak yang dia lupa. Apa lagi untuk mengenal pasti kegemaran setiap anak itu.

Di Malaysia pula, ada orang yang hanya punya dua anak, pun masih sesekali keliru.

“Ibu, ini roti canai telur yang adik suka. Kakak suka yang kosong...”

Atau...

“Kakak yang suka makan masak lemak ikan masin. Bukan adik!”

Hoho...ibu yang sudah semakin tua atau masa telah mengubah selera?

Saya perasan sesuatu. Kakak sudah tidak suka durian dan baunya. Adik masih menjadi penggemar si raja buah itu. Kakak suka petai, ketam dan udang. Adik suka budu dan tempe. Anehnya anak-anak ini, semua makanan itu bukan juga kesukaan ibu.

Jadi, kebiasaannya mana-mana ibu pun tidak akan mengikut kemahuan seleranya sendiri. ibu-ibu akan masak apa yang anak suka.

Cuma sejak akhir-akhir ini saya selalu masak untuk anak yang salah apabila mereka pulang bercuti di rumah.

Untuk lebih selamat, ada satu makanan yang kedua-duanya suka. Makanan yang saya rajin masak sejak mereka masih kecil.

Cuma takkanlah asyik tomyam setiap hari. Lama-lama tekak pun jadi tekak Siam.

Saya masih membayangkan bapa yang ada anak lima puluh itu.

Agaknya dia hanya ingat nama anaknya yang sulung dan yang bongsu sahaja. Atau yang paling nakal antara semua.

Ini kisah lain pula tetapi masih cerita tentang anak.

Dan sekarang di media, gempar dengan kisah budak dua tahun yang dibunuh dan dipotong kepalanya oleh seorang penagih dadah kenalan ibunya.

Khabar yang lebih menyedihkan ialah budak itu dan ibunya merupakan gelandangan. Homeless. Ibunya mahu ke tandas dan meninggalkan anaknya itu sebentar kepada rakan-rakan lepaknya.

“Jadi, betul tindakan ibu membawa adik dan kakak masuk ke tandas waktu kakak adik kecil-kecil dahulu kan?” kata saya.

Anak-anak selalu mengadu terpaksa menahan diri sebab ibu turut membawa mereka masuk tandas kalau mahu membuang hajat. Gila mahu meninggalkan budak-budak sekecil itu di luar tandas?

Kalau dalam kereta api untuk pulang ke kampung, saya sanggup menahan diri sehingga sampai ke stesen. Tandas dalam kereta api sangat kecil, hanya muat untuk seorang sahaja. Dan saya tidak mempercayai sesiapa pun untuk menjaga anak saya di luar tandas!

Ada sesuatu yang menjentik hati saya mengenai kes ini.

Homeless!

Memang kita banyak gelandangan. Ada program NGO Dapur Jalanan dan beberapa NGO lain yang memberikan makanan kepada gelandangan-gelandangan ini.

Ada pro dan kontra juga.

Yang bagusnya ialah kita dapat mengurangkan kesukaran hidup mereka, melebarkan rasa simpati dan empati kepada warga yang merdeka tetapi tidak punya tempat tinggal.

Yang kurang bagusnya ialah menyebabkan ada dalam kalangan mereka ini yang langsung malas berusaha, mengharapkan seratus peratus simpati orang ramai.

Maksudnya, kita hanya memberi ikan tetapi bukan joran dan mata kail.

Cuma saya rasa, kalau kita tidak langsung boleh membantu, jangan kita memberi komen yang melukakan NGO yang banyak mengorbankan wang dan tenaga.

Budak itu telah diambil Allah. Dia hidup tiada rumah di dunia, biarlah dia diberikan rumah di sana. Pihak yang di atas perlu melihat dengan sejelas-jelasnya permasalahan gelandangan ini. Jangan kita sibuk bermegah mahu menjadi negara maju, tetapi masih ramai yang terpinggir dan mengakhiri hayat mereka dalam keadaan yang tidak sepatutnya.

Monday, June 2, 2014

Panjangnya Perjalanan


BH 1 Jun 2014

Kami terlewat sehari. Tidak sempat ikut ke Nanyang University. Sudah Maghrib baru tiba di Skudai. Keupayaan adik memandu jauh sudah teruji. Dia lulus dengan cemerlang!

Penginapan di BTP JB sangat bagus. Kami dapat dua bilik tapi hanya menggunakan satu. Setiap bilik ada dua katil, tandas dan kamar mandi berasingan, balkoni untuk menyidai pakaian, pendingin hawa, kipas, dua meja, TV dan satu almari pakaian. Bilik kami di aras empat.

Kemudian baru tahu bahawa dua rakan terpaksa balik sebab ada kecemasan.Hilang sedikit kemeriahan tanpa dua rakan yang tersebut.

Malam itu kami membuat kunjungan awal ke kediaman Lin, siswi guru yang akan melangsungkan perkahwinan pada 14 Jun. Lin adalah siswi kumpulan major sulung daripada tiga kumpulan major BM. Semester hadapan Lin akan menghabiskan semester akhirnya sebelum menamatkan pengajian. Turut hadir ialah Asri, siswa guru yang turun dari Melaka. Tunang Lin juga ada.

Enak dan banyak sekali juadah yang terhidang. Paling suka apabila menjamah makanan yang terkenal di selatan iaitu pisang salai. Rasa segan pula menerima keramahan dan kebaikan keluarga Lin menyambut kumpulan pensyarah dan keluarga JPM. Kami tidak dapat hadir ke majlis Lin sebab pada tarikh yang tersebut JPM ada lawatan profesionalisme ke Medan.

Malam itu kami tidur dalam keletihan yang amat sangat. Cuma adik yang masih bertahan menghabiskan tugasan grafiknya.

Esoknya ialah jadual ke USS. Awal pagi kami ke Centre Point JB untuk menunggu bas yang akan membawa kami ke Singapura.

Saya, anak-anak, Encik Badrul dan Puan Parimala membentuk satu kumpulan kecil mencari tempat untuk sarapan. Masalah besar buat saya! Sebab awal pagi itu semua yang beroperasi ialah kedai mamak. Berpusing-pusing kami mencari tetapi gagal menemui kedai makan Melayu.

Akhirnya sebab kasihankan rakan-rakan, kami duduk juga di sebuah kedai mamak. Saya cuba untuk makan nasi lemak bungkus dan teh tarik tetapi hanya sesudu.

Untuk membuang rasa bersalah, cepat-cepat saya membayar sarapan rakan-rakan. Kasihan mereka sebab bersama dengan si cerewet...

Penat juga dua kali turun naik ke sekatan imigresen. Orang ramai sebab hari Sabtu dan musim cuti sekolah.

Di USS, saya dan anak-anak bergerak dengan Encik Badrul. Tidak boleh berpecah sebab jam lima mesti sudah menunggu bas yang akan membawa kami pulang ke JB.

Walaupun kami dapat baucer 5 SGD setiap seorang, tetapi amat sukar mahu makan disebabkan saya bimbang akan kehalalan makanan yang dijual. Lagipun orang beratur panjang di premis-premis yang menjual makanan. Akhirnya keempat-empat kami tidak menggunakan baucer tersebut.

Masuk ke Malaysian Food, memberikan lagi satu masalah. Memang tajuk kedai nampak Malaysian tetapi saya tetap meragui status halalnya. Jadi, saya hanya minum kopi dan makan roti bakar.

Rasanya kalau saya duduk di luar negara, memang badan akan kurus dengan cepat. Tidak perlu susah payah mahu senaman.

Si kakak mahu makan sate tapi saya kata jangan. Kalau makanan di Malaysia yang ada logo halal pun dikatakan ada DNA khinzir (tetapi kemudian kata JAKIM, halal pula...), apa lagi makanan yang langsung tiada logo!

Anak-anak sangat faham kecerewetan saya mengenai soal halal ini, termasuklah soal kebersihan. Saya tahan lapar. Bukan darurat lagi sampai kena makan benda-benda macam itu.

Macam yang saya kata, memang USS itu agak menarik tetapi saya tidak tahan dengan cuaca panas sebab ubat yang saya ambil sudah cukup panas. Orang pula terlalu ramai. Mahu masuk ke sesuatu tempat permainan, kena beratur panjang. Kepanasan itu menjadikan saya letih. Kalau orang normal dua kali letih, saya mungkin tiga empat kali letih.

Kami menghabiskan 155 SGD (RM 400) untuk membeli cenderamata. Budak-budak itulah yang membeli untuk diri mereka. Saya hanya membeli sekaki payung berwarna putih.

Esoknya kami bergerak pulang dengan sekali lagi adik yang memandu Nyanko Sensei. Di Machap, kami berhenti sarapan.

Membeli akhbar BH 1 Jun 2014, saya nampak ada sajak saya berjudul Negeriku Pun Berduka. Hanya sajak saya yang dihitamkan sebagai tanda perkabungan.

Petang itu kami berehat sebentar di rumah. Selepas Asar, bergerak ke UKM untuk mengambil pakaian, komputer riba dan Luna si hamster.

Maghrib di salah sebuah pusat bisnes di situ, kami kemudiannya ke sebuah kedai makanan Jepun halal yang diusahakan oleh orang Melayu. Sedap juga mee yang saya pesan.

Tiba-tiba ada seseorang yang sangat saya ingat “mercu tanda”nya iaitu tahi lalat di dagu yang manis.

“Yati...macam mana masih cam Yang?” tanya saya.

Dia memeluk saya. “Yang masih macam dulu. Tak berubah. Muka budak MGS mana ada berubah!” katanya.

Kali terakhir saya jumpa dia ialah sekitar tahun 1981, waktu kami di tingkatan tiga. Dia antara pelajar yang bagus, selepas SRP melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh dan kemudian ke Australia. Dia sudah bertudung labuh, anak-anak lelakinya juga sudah dewasa.

Isnin pagi, adik bergerak awal ke Puncak Alam. Dia ada ujian bahasa Jepun pada jam sepuluh. Saya pula membawa si kakak balik ke UKM untuk menghantar tugasan, kemudian berpatah balik ke rumah. Kakak bercuti seminggu di rumah untuk study week.

Cuti sebulan dan berbagai-bagai acara yang saya mahu ikut. Cuti ini juga dua kali saya akan berulang ke HUKM. Harap-harap saya dapat bertahan.

Sunday, June 1, 2014

Jangan Tolong

Di sekatan imigresen, pemandu bas berbangsa India dan berbadan gempal itu memberi peringatan.

“Kalau ada orang minta tolong bawa barang, jangan bawa. Kalau ada orang tua yang minta tolong papah pun, jangan bantu...”

OK, di sini nilai murni tiada dalam kamus. Silap-silap kita jadi penghuni sel disebabkan membantu orang-orang yang mengedar bahan terlarang.

Keldai dadah? Kenapa keldai dan bukan binatang lain? Adakah disebabkan keldai dikategorikan sebagai binatang tolol yang ditugaskan membawa beban?

Di sekatan-sekatan imigresen ini kita dapat melihat bagaimana manusia menjadi enau dalam belukar yang sentiasa berusaha untuk melepaskan pucuk masing-masing.

Masuk ke “kota tanpa gula-gula getah” yang juga dikatakan sangat bersih itu, ada sesuatu yang menarik minat saya. Di tepi jalan masih ada sampah yang bertaburan. Kesesakan di mana-mana sama seperti kota-kota di negara kita. Cuaca panas dan sesekali hujan.

Untuk orang-orang seusia saya dan sedikit sentimental, tempat seperti Singapore Universal Studio bukanlah tempat yang serasi dengan jiwa. Sebenarnya taman-teman tema seperti itu banyak terdapat di negara kita. Cuma bezanya ialah USS menawarkan tarikan watak-watak terbitan Universal Studio yang sangat dekat dengan kita sebagai penyantap hidangan filem-filem mereka.

Barangkali amat lain rasanya kalau saya ke bekas tinggalan Studio Jalan Ampas, lokasi awal yang turut mewarnai dunia perfileman negara.

Anak-anak saya yang sudah dewasa hanya gemar mengambil foto. Jika mahu dikatakan sedikit mencabar ialah apabila jantung seakan mahu tercabut naik roller-coaster dalam gelap gelita. Yang membuatkan gelap gelita ialah sebab saya memejamkan mata sepanjang naik permainan yang gila-gila seperti itu.

Huh! Jangan ajak saya naik benda itu lagi...

Memang sangat penat.

Penat yang berlarutan sehingga menjejakkan kaki ke negeri yang sembilan.