Total Pageviews

Tuesday, May 27, 2014

Silap yang salah

Menunggu di kereta dalam gelap. Adik dan Daddynya ke kedai pizza terdekat. Beberapa hari ini kaki kanan dan badan sakit-sakitan. Oleh sebab itu banyak hal terpaksa bergantung kepada dua orang itu.

Setelah membawa pesanan pizza, masuk ke kereta, si Daddy bicara. “Tadi ada bekas pelajar Yang salam abang. Siap cium tangan lagi...”

Eh, pelajar yang mana?

“Entah. Dia bagi salam. Mukanya gembira nampak abang. Salam dan cium tangan. Kemudian katanya, dia bekas pelajar matriks tahun 2008. Siap tanya lagi, encik di mana sekarang. Abang pun serba salah, kalau diberitahu hal sebenar, nanti dia malu...”

Macam mana boleh jadi begitu?

Dia menunjukkan ke arah lambang baju T yang dipakainya. “ Setelah fikir-fikir, abang rasa sebab baju ini...”

“Oh, itulah puncanya yang lelaki tu ingat abang bekas pensyarah matriks ya?”

Mahu diberitahu yang bukan dia tetapi saya, takut lelaki itu keseganan. Jadi, dia biarkan sahaja. Mujur lelaki itu tidak bertanyakan dia dulu mengajar di jabatan mana. Agaknya lelaki itu pun mahu menjaga adab juga takut “pensyarah”nya itu tersinggung sebab dia tidak ingat dari jabatan mana.

Dahulu tempat kerja saya, waktu zaman-zaman mewahnya, memang asyik memberi baju percuma. Memang banyak sungguh. Merata orang saya bagi baju-baju itu. Hantar ke kampung lagi untuk orang-orang kampung pakai ke pekan atau ke kebun.

Sekarang adalah beberapa helai saya tinggalkan di rumah, itu pun sebab dia suka dengan yang berwarna oren dan merah. Kalau saya, memang tidak akan pakai. Alergik hahaha...sebenarnya saya tidak suka pakai baju berlambangkan sesuatu kecuali yang berkaitan dengan sastera.

Bahaya juga kalau pakai baju yang ada lambang institusi atau parti politik. Nanti orang ingat kita dari institusi atau penyokong parti yang tersebut. Si adik ada caranya yang tersendiri kalau mahu pakai baju T berlambangkan gerakan politik. Dia pakai cardigan di bahagian luar, terutama kalau dia tidak mahu bagi Daddynya nampak. Nanti kena leter. Budak itu memang kelakar. Siap ada bendera lagi dalam bilik dia. Sengaja mahu mengusik-usik...

Saya pula, nasib baik Daddy tidak perasan nada dering telefon bimbit saya adalah lagu rasmi sebuah parti politik hahaha...Dia ingat lagu nasyid. "Sedap!" katanya.

Saya suka dengar lagu itu, sebab rentaknya memberi semangat. Liriknya pun bagus. Bukan sebab apa-apa pun. Tidak kisahlah, ini negara demokrasi. Kita boleh sokong siapa yang kita mahu sokong. Boleh dengar apa yang kita mahu dengar.

Boleh boikot apa yang kita mahu boikot.

Termasuklah coklat Cadbury yang khabarnya ada DNA khinzir. Benda yang sudah masuk dalam perut dan mendarah-daging, kita tidak boleh buat apa-apa lagi. Istighfar banyak-banyak dan lebih awas. Sebenarnya bukan dalam coklat itu sahaja, banyak lagi dalam makanan-makanan lain.

Itu pasal payah sangat hati kita ini mahu menerima kebenaran. Sudah gelap gelita dengan memakan benda-benda haram dan yang kotor-kotor.

Kadang-kadang ada dalam kalangan kita ini selamba sahaja makan di restoran yang diletakkan tanda halal. Walhal kita sudah nampak dengan jelas siapa yang masak, siapa tuan punya restoran, siapa pelayan dan pelanggannya.

Tidak apalah. Benda sudah berlaku. Jangan mudah lupa pula...

Esok-esok apabila yang panas sudah sejuk, kita pun jadi hilang ingatan.

Kita hadap juga makanan-makanan yang sudah sah ada benda itu.

Saya nampak ada tauhu dan bebola ikan yang dibeli adik dalam peti ais. Nampaknya ada yang akan menjadi penghuni tong sampah sebentar lagi.

Masa-masa inilah saya terkenangkan kegiatan ekonomi Darul Arqam di Perkampungan Sungai Penchala sekitar tahun-tahun 80-an dahulu!

Mudah untuk membeli produk seperti mee, tauhu dan bebola ikan. Terjamin halal!

No comments: