Total Pageviews

Friday, May 23, 2014

Satu untuk aku...

Dia pun bercerita.

“Ada seorang suami yang sakit untut. Isterinya yang terpaksa keluar mencari makanan. Isterinya pun masuk ke dalam hutan. Tiba-tiba dia terjumpa cendawan busut. Dia pun kata dalam hati, mesti sedap kalau dibuat gulai. Dia pun mencabut cendawan busut itu. Satu untuk aku, satu untuk suami aku, satu untuk aku, satu untuk suami aku, satu untuk aku, satu untuk suami aku... (dan dia terus bercakap benda yang sama “satu untuk aku, satu untuk suami aku”)...

Saya diam sahaja, menyimpan ketawa dalam hati. Saya tahu mesti dia ada muslihat. Kali ini biar dia pula yang terkena.

Akhirnya dia sudah tidak larat mengulang ayat yang sama. Dia bingkas bangun. “Tanyalah...mengapa tak habis-habis...”

Saya berdekah-dekah ketawa. Dia pun ikut ketawa sebab tahu jeratnya tidak mengena.

“Abang tunggu Yang tanya tapi letihlah sebab Yang tak tanya-tanya. Kalau Yang tanya mengapa tak habis-habis, abang nak jawab sebab cendawan tu banyak sangat...”

Dia menceritakan kenangan waktu bersekolah dahulu. Cikgu mahu dia buat karangan berjumlah 350 patah perkataan. Dia pun balik ke rumah. Abang keduanya mengajarnya membuat karangan dengan langkah “bijak”.

“Itulah karangannya. Abang mengulang tulis ayat satu untuk aku, satu untuk suami aku, sampai setengah muka surat. Setelah mengira campur pendahuluan dan penutup cerita, cukup jumlahnya 350 perkataan. Esoknya, dengan bersemangat abang pun hantar kepada cikgu. Tahu apa yang berlaku?”

Dia kena rotan dengan gurunya sebab terlampau “bijaksana”.

Kemudian apabila didenda membuat pembetulan, sekali lagi abangnya memberikan cadangan. Denda menulis semula ayat ialah sebanyak tiga muka surat. Abangnya mencadangkan supaya dia menggunakan kertas karbon bapanya. Jadi, tidak perlulah letih tangan menulis pembetulan ayat yang sama.

Sekali lagi dia kena rotan dengan gurunya.

Kali ketiga ialah ketika di sekolah menengah. Guru sains meminta murid mencipta sesuatu. Dia mencipta kaedah yang boleh memotong botol kaca dengan mudah.

“Caranya ialah dengan bubuh air dalam botol. Separuh sahaja. Kemudian lilit kain buruk betul-betul di tempat paras air. Lepas itu bakar kain buruk tersebut. Nanti setelah selesai, ketuk sahaja botol itu dan ia akan terpotong dengan mudah. Kemudian ambil alat untuk meratakan paras botol yang dipotong. Kita akan dapat sebiji gelas kaca daripada botol...”

“Cikgu puji tak?” tanya saya.

“Masa cikgu tanya abang cipta apa, abang cakap abang cipta bom. Apa lagi, semua murid bertempiaran lari termasuklah cikgu-cikgunya sekali. Akhirnya cikgu mengadu kepada bapa. Kali ini bapa yang rotan abang”.

Memang nakal. Tetapi setahu saya dia bagus dalam algebra (Ilmu Hisab), subjek Sains dan Lukisan. Sangat kontras dengan saya. Macam langit dengan bumi.

Begitulah. Asam gelugur di darat, ikan kembung di laut, dalam kuali bertemu jua.

No comments: