Total Pageviews

Saturday, May 17, 2014

Menjadi Si Pemalas

Ada cerita bagus. Cerita si pemalas. Hos gas mungkin bocor. Rasanya baru lagi tukar tong gas, tiba-tiba gas sudah habis. Suami pun membelikan tong gas baharu tetapi terlupa membeli hos lain.

Alasan pertama untuk ponteng masak. Buat-buatlah susah hati sebab tak dapat masak tetapi sebenarnya... Yes!

Makan di luar. Masalahnya perut saya sensitif. Tetapi sebab sudah yes! tadi, makan jugalah. Semalam saya belikan hos baharu. Mahu pasang, ada masalah tangan tidak kuat. Mahu minta jiran bantu, suaminya sama juga, tiada di rumah dan bertugas hujung minggu. Akibatnya saya tidak boleh masak selama tiga hari!

Padan muka! Pagi-pagi kena cari kedai makan. Waaaaaa...lepas itu mulalah rasa tekak lain macam. Menjelang petang perut menyanyi lagu klasik nasional. Mendayu-dayu bunyinya. Mahu tak mahu kena makan juga oat...tidaaaaaaaaaaaaak!

Habis buah-buahan saya makan. Monyet pun kenyang makan buah, kita yang kata Darwin merupakan hasil evolusi binatang itu mestilah kenyang juga kan?

Rupa-rupanya makan buah pun tidak kenyang. Memang sah saya bukan keturunan monyet dan teori Darwin itu salah.

Hari ini saya bertindak lebih bijak. Pagi-pagi beli roti walaupun tekak kampungan saya ini hanya tahu makan nasi. Tetapi masalah belum berakhir. Rupa-rupanya hidup ini penuh ranjau dan duri. Hanya orang-orang terpilih sahaja yang diberikan ujian yang beranjau-ranjau sepanjang jalan itu!

Roti sudah ada tetapi di mana pembakarnya? Jenuh saya mencari pembakar-pembakar roti saya!

Pembakar-pembakar roti? Ha...kata suami saya selalu, “rajin benar membeli, lepas itu buang. Atau bagi orang. Atau entah mana letak, kadang-kadang tak gunakan langsung!”

Habis dua-dua anak saya SMS. Termasuk bapanya sekali. Bertanyakan ada tak perasan pembakar-pembakar roti saya!

Semuanya menjawab, "mungkin bawah katil, dalam kotak, bawah meja, bawah rak..."

Saya pun membalas, "hello...ibu tahulah ibu pendek, semua yang disenaraikan hanya di bawah-bawah sahaja. Tak ada yang cakap atas almari! Ibu sampailah...dengan kerusi!"

Oleh sebab mahu menjadi si pemalas, Allah pun mahu mengingatkan saya. Rehatlah puas-puas tiga hari tidak payah masak tapi makan saja roti cicah air teh...padan muka saya. Kalau saya beritahu si Tuti, dia mesti tolong saya, atau terus masakkan lauk untuk jirannya yang dahsyat ini. Tetapi tidak apalah, sesekali mahu juga rasanya menjadi Robinson Crusoe!

Dua hari cuti saya hanya menghadap komputer. Menyiapkan bahan untuk bagi ceramah kepada guru-guru sekolah menengah berkaitan apresiasi puisi moden. Sambil menahan lapar...

Boleh sahaja keluar ke kedai makan, tetapi bukankah saya hanya mahu menjadi si pemalas dalam dua tiga hari ini? Lagi pun ini adalah latihan untuk menyambut Ramadan...

Selepas ini saya berazam untuk tidak mencari alasan lagi. Maklumlah zaman Robinson Crusoe belum ada TV. Tidaklah terliur dia melihat hidangan enak rancangan masakan di TV!

No comments: