Total Pageviews

Monday, May 19, 2014

Jawatan Baharu

Kita selalu lupa yang kita pun bukan sihat sejahtera sangat apabila menghadapi orang cergas yang tiba-tiba berasa dirinya menjadi lemah.

Itulah yang terjadi apabila dia tiba-tiba mengadu sangat lemah. Pulang kerja, membuka pintu dan terus terdampar di lantai. Mahu mengangkat tangan pun seperti mahu memikul gunung.

Saya lekas keluar pagar. Dengan Bismillah menggunting daun serai wangi yang subur. Saya mengintai jam. 7.40 malam. Jam-jam yang seperti ini, khabarnya “macam-macam” juga yang kelihatan di kejiranan ini. Tetapi saya tidak peduli, apa pun kita makhluk Allah juga. Kemudian saya mengambil beberapa helai daun sireh yang ditanam Tuti khas untuk saya. Baiknya hati si Tuti.

Merebus daun-daun itu, saya solat dahulu dalam waktu Maghrib yang lewat. Tidak berjemaah sebab nampaknya dia sangat tidak berdaya. Kemudian mandikan dia dan minta dia solat cepat sebelum habis waktu. Biasanya lama juga dia di sejadah. Tetapi nampaknya memang dia tidak sihat. Terus sahaja terbaring di lantai.

Saya buat lawak pun dia ketawa sedikit sahaja. Tetapi apabila mendengar saya baca sajak, kuat pula suara dia meniru-niru intonasi saya membaca sajak itu!

Akibatnya malam itu saya jadi mak guard tak bergaji. Sekejap-sekejap saya melihat alunan turun naik dadanya. Bunyi dengkurannya yang selalu mengganggu tidur saya, tidak lagi berfungsi sebagai pengganggu...bahkan melegakan hati pula!

Selalunya kalau anak-anak atau suami kurang sihat, orang perempuan memang macam itulah. Selalu menjawat jawatan mak guard tak bergaji!

Kalau kita yang sakit pula?

Sendiri mahu ingat...hahahaha

No comments: