Total Pageviews

Tuesday, May 6, 2014

Bunga Matahari Sudah 22

Dia selalu menjadi telinga saya. Sesekali menjadi kaki dan tangan. Menjadi jururawat. Menjadi peneman suka dan duka. Jarang dia merungut tatkala setiap hari terpaksa menghabiskan cuti semesternya kerana menemani saya ke hospital yang jauh. Pada saat rakan-rakannya bercuti bersama keluarga, dia terpaksa bersusah payah menunggu ibunya di hospital.

Mei sebelas usianya mencapai lantai dua puluh dua.

Dia selalu melihat saya ketawa dan berlucu. Selalu juga mengekori ke mana sahaja saya pergi termasuklah ke acara-acara sastera sehingga rakan-rakan turut mengenalinya. Tetapi dia jarang sekali nampak saya menangis. Memang saya mahu dia begitu sebab sejarah hidupnya sendiri sudah amat menyedihkan, maka saya hanya mahu dia ketawa melihat saya ketawa.

Jika di mata orang banyak, saya kelihatan sendeng sebelah. Sebenarnya tidak. Seringkali saya mohon dia untuk mengalah demi memberikan kelebihan kepada kakaknya. Biasanya dia redho sahaja, tetapi saya tidak mampu meneka hatinya bagaimana.

Seperti kakak, dia mewarisi kelucuan saya yang memang orang di luar lingkungan tidak akan nampak. Kami tidak banyak bercakap jika berada dalam kelompok asing. Dia akrab dengan Daddynya. Satu-satunya tempat dia meluahkan perasaan jika sesekali dia tersinggung dengan saya. Ya, saya memang peminat sastera dan menulis. Tetapi saya langsung tidak pandai melukis. Sudah pasti banyak perkara yang boleh dibualkan kedua-duanya mengenai hal seni visual. Selalunya kalau mereka berbual, saya akan diam dan pura-pura memahami.

Barangkali kerana riak wajah yang serupa. Barangkali kerana kami lahir dalam bulan Islam yang sama yakni Zulkaedah. Barangkali kami ada cerita luka yang tersimpan diam di lipat sejarah. Kebarangkalian yang begitu banyak menyebabkan dia tidak menyembunyikan sesuatu daripada saya dan saya juga begitu.

Saya menyimpan komik-komik hasil pemerhatiannya akan gelagat kami sekeluarga. Suatu hari nanti dia akan tahu betapa saya menghargai setiap lakarannya.

Mudah-mudahan dia terus disenangi disebabkan sikapnya yang tidak banyak kerenah. Mudah-mudahan dia akan terus belajar memahami ragam manusia lain yang berada di sekitarnya.

Selamat ulang tahun Atira Laila, anak dan sahabat saya yang baik.

No comments: