Total Pageviews

Friday, May 9, 2014

Berkongsi Persen

Seminggu yang baru lalu, dia berulang alik dari rumah ke tempat kerja. Khabarnya seminggu itu dia memberi kursus di tempat yang lebih kurang satu jam perjalanan dari rumah. Tidak tidur di kabin macam selalu. Oleh sebab itu, tiap-tiap hari saya masak gulai lemak cili padi. Itu yang dia suka dan itu juga yang saya suka.

Sejak seminggu itu pelik betul rasanya. Pagi-pagi dia akan bising. “Mana stoking abang, Yang?” atau “singlet dan tali leher abang mana?” Benda yang Superman pakai di luar itu pun dia sibuk bertanyakan juga!

Sebenarnya dia sudah tahu di mana letaknya benda-benda itu. Tetapi entah kenapa dia tetap mahu bertanya. Saya pun memberi jawapan “tidak mahu tanya di mana letaknya butang baju Melayu abang?” Hahahaha...macam P.Ramlee dalam Madu Tiga.

Saya cakap dengannya kalau mahu kahwin lagi, cari perempuan yang kaya-kaya. “Wah, mana mahu dapat isteri yang suruh suami kahwin lagi macam ini?” katanya.

Tapi setelah mendengar syarat-syarat saya (dan adik pun mahu tumpang sekaki), dia akan berkata begini, “isteri dan anak macam ini pun ada!”.

“Boleh,” kata saya, “tapi lima puluh persen bagi pada Yang...”

“Adik lagi lima puluh persen!”

Dia ketawa. “Habis, Daddy tinggal berapa persen?”

Nampaknya tidak jadilah penamat kepada adegan bertanyakan butang baju Melayu itu!

Itulah lawak jenaka yang selalu berlaku kalau sudah tinggal berdua. Sesekali kalau anak balik bercuti, rumah tidak lagi macam perpustakaan. Tahun ini agak sunyi sebab budak-budak itu menghabiskan cuti dengan latihan praktikal dan khabarnya yang seorang itu mahu ke Jepun untuk program pertukaran siswa.

Sementara masih punya sesuatu untuk dikongsi, hargailah. Jika nanti salah seorang sudah tiada, entah bagaimana mahu melalui hari-hari kita.

No comments: