Total Pageviews

Thursday, May 29, 2014

Langit Negeriku Berduka

Minggu ini minggu langit berduka di negeri saya. Sultan saya mangkat.

Hanya sedekah apa yang saya boleh sedekah sebagai saudara seagama.

Siapa pun kita, sama ada yang sedang bersimpuh di akar atau yang sedang bersemayam di puncak silara, akhirnya akan berjumpa Dia.

Saya membaca status-status di laman sosial. Ramai rakan yang kesedihan yang amat sangat dan mahu berkabung seratus hari, memakai pakaian hitam dengan ikat putih yang ada ukuran tertentu pula. Dan kemudian bertukar gembira yang amat sangat juga ketika pengganti baginda dimashyurkan.


Almarhum sultan saya antara sultan tercerdik di tanah Melayu ini. Anakandanya yang menjadi sultan sekarang juga khabarnya meneruskan legasi tercerdik itu. Mudah-mudahan sahaja kecerdikan itu memberi kebaikan kepada semua, bukan untuk keberuntungan sebahagian pihak berkepentingan. Hormati pendapat dan peribadi baginda.

Berkabung?

Berkabunglah tetapi jangan sampai menjadi kesusahan kepada orang banyak kerana terpaksa mengikut protokol yang melecehkan. Jangan berkabung sehingga kita nampak macam penganut agama lain. Adalah lebih baik jika kita menyedekahkan ayat-ayat suci sebagai menyempurnakan tanggungjawab kita kepada insan seagama.

Saya teringat satu ketika apabila seorang raja sebuah negeri mangkat. Kami para penjawat awam sibuk mencari tudung hitam di kedai sehingga kehabisan. Terpaksa pergi ke bandar lain untuk membeli, sebab yang mencari tudung bidang enam puluh agak sukar, tiada banyak stok.

Menghormati pemimpin itu perlu. Apa lagi jika pemimpin itu sepanjang hayatnya turut menyantuni rakyat. Hidup seadanya tanpa dikurungi peraturan seribu. Tidak segan berkunjung ke pondok buruk dengan lantai bocor. Tidak kisah jika terpaksa makan bersila dengan hidangan ala kadar.

Kadang-kadang pemimpin OK. Yang mengada-ngadanya ialah orang sekeliling, atau dalam bahasa basahannya “pencacai”. Mereka ini yang lebih sudu daripada kuah. Terus terang, saya memang menyampah betul dengan golongan ini. Kalau dalam sesuatu majlis, ada puak-puak yang ini, saya angkat kaki sahaja. Merekalah yang merosakkan reputasi sang pemimpin.

Saya tidak tahu langit di negeri saya masih berduka atau sudah sedikit cerah.

Saya sedang bersiap-siap untuk misi mencari Temasik.

Temasik yang sudah hilang lenyap di sebalik Singa yang Berpura-pura!

Monday, May 26, 2014

Sekali dan Puluhan?

Kami berbincang mengenai hubungan ibu bapa dan anak dewasa.

Kata adik, dia berbahas dengan kawannya yang asyik menyalahkan ibu bapa yang kononnya tidak memahami perasaan anak.

Ya. Ada anak yang selalu menyebut akan perbuatan ibu bapa yang melukakan hatinya dan akan diingati sepanjang hidup. Tetapi dia lupa bahawa puluhan kali dia telah menyiat-nyiat hati ibu bapa.

Berapa jauh beza sekali dengan puluhan kali? Tetapi ibu bapa kita biasanya akan terluka, marah dan menangis pada ketika hati mereka dilukai.

Kemudian apa yang berlaku?

Ibu bapa yang sama dengan cepat melupakan dan kembali menyintai anak-anak. Mereka tidak ingat lagi akan saat-saat mereka marah dan menangis itu. Saat jatuhnya anak, mereka akan cepat meluru dan membangunkan anak itu kembali.

Demikianlah setiap hari yang terjadi. Semua itu akan mengisi kantung pengalaman , menjadikan kita lebih bersedia menjalani kehidupan yang entah bagaimana.

Kehidupan yang kadang-kadang di luar perancangan.

Sunday, May 18, 2014

Benarlah Katamu



“Salam. Yang, tahniah sajakmu terbit lagi di akhbar. Sudah beberapa kali kulihat. Moga terus sukses. Entah bila hendak kuikut jejakmu. Sudah terlalu lama meninggalkan...

Oh, saya baca SMS itu waktu sedang mahu bayar nasi lemak sotong (dan saya tidak berpantang hari ini). Di tepi saya ada lelaki sedang membaca akhbar MM Ahad 18 Mei 2014. Saya pun buat muka tidak malu minta izin mahu tengok.

“Tengok berita orang kampung...” kata saya sebelum orang itu bertanya. Memang ada. Sajak itu rupa-rupanya.

Kakak yang mengirim SMS itu senior saya di universiti. Sekarang bertugas di organisasi yang memperjuangkan bahasa. Saya sangat bercita-cita untuk bekerja di situ tetapi tiada rezeki. Dia menulis dulunya tetapi entah apa yang terjadi, bekerja di organisasi yang turut menerbitkan buku, tetapi tidak lagi menulis buku. Kekangan tugas, saya kira. Kerja menukangi manuskrip orang lain pun kadang-kadang membataskan waktu untuk kita memahat karya sendiri.

Kakak itu mengikuti tulisan di laman IBM dan katanya, "rupa-rupanya ada kawan satu bahagian juga ikut baca..." Eh, memang rasa segan sungguh sebab saya ingat laman IBM hanya dibaca oleh siswa guru dan beberapa adik pensyarah tempat kerja saya dahulu. Terima kasih banyak-banyak sudi singgah tetapi minta maaf sebab kadang-kadang merapu-rapu sahaja tulisannya. Segan betul apabila editor-editor hebat yang baca...huhu!

Jadi, itulah sajaknya. Yang lahir jauh dari lantai hati saya. Petang itu saya sangat lapar. Menyeberangi jalan untuk makan di sebuah restoran. Selesai makan, hujan turun dengan sangat lebat. Jarak saya ke kereta sangat dekat tetapi juraian hujan yang terjun dari cucur atap kedai memenjarakan keinginan untuk ke kereta. Jaringan-jaringan hujan itu memberikan ilham. Saya menangis sedikit ketika menulis sajak ini. Apa sahaja yang melibatkan orang tua memang akan selalu mengharukan. Kita pun sudah semakin tua. Saat mak kita masih ada, inilah waktu untuk kita mengisi kesunyian hidup mereka sebelum semuanya bertukar menjadi kenangan.

Saya duduk jauh sedikit, selang dua negeri dengan emak. Kadang-kadang jika tiada siapa dapat menemani saya pulang, saya nekad memandu sendiri. Saya percaya, kalau mak pun boleh memandu, mak akan buat yang seperti itu juga. Kalau dulu, memandu sejauh mana pun saya tiada masalah. Sekarang, kena buat persediaan mental juga. Dan ubat-ubatan! Tapi saya tahu, saya mampu buat perkara-perkara yang saya pernah buat sebelum ini, meskipun dengan gerak yang sedikit perlahan. Atau kadang-kadang tersangatlah perlahan...

Bukankah saya anak mak?

Oleh sebab kita semua adalah anak mak dan mak adalah mak kita, kita mesti meneladani kekuatan hati seorang mak.

Apa barang kalau kita hanya ada seorang dua anak sudah mengeluh letih, sedangkan mak ada kalanya melahir dan mendidik dua belas anak, pun masih tersenyum manis?

Malulah sikit dengan mak-mak kita...hahaha!

Tuesday, May 13, 2014

Menadah Telinga

Dia sangat jarang nampak murung. Tetapi dua tiga kali pertemuan ini jelas sungguh dia ada masalah dengan hatinya. Saya kira lukanya sangat besar dan sakit. Kalau tidak masakan aura negatif yang dibawa masuk ke dalam rumah menyebabkan saya pun ikut lesu.

Selalu saya kaitkan dia dengan sesuatu yang ceria, seperti hari siang yang cerah, bintang-bintang di langit atau kucing yang terlompat-lompat. Tiada istilah yang menggambarkan dirinya dua tiga hari ini. Atau kalau boleh saya katakan bahawa dia sudah menjadi kolam kering yang penuh rumput berduri atau kucing hiper yang sakit kaki.

Seharusnya ini waktu-waktu buat dia menganyam gembira. Apabila bunga yang dihulur tetapi dibalasi dengan setokin yang busuk, siapa pun pasti sedih. Realitinya lebih besar daripada itu. Pengorbanan bertahun-tahun, bagaimana dia menahan hati dan keinginan demi memberikan yang terbaik kepada pihak yang lagi satu; akhirnya dia dicampak seperti kucing kurap di tepian jalan. Bukan setakat dihentak hati, bahkan disiram dengan bicara yang tidak selayaknya, ungkitan sehingga melibatkan saudara-maranya.

Telah diberi peringatan dan amaran oleh almarhum bapanya puluhan tahun yang lalu. Hari ini telah benarlah andaian almarhum. Ya, didikan keluarga memainkan peranan penting. Anak yang baik biasanya terhasil daripada didikan ibu bapanya yang baik. Meskipun dalam proses kedewasaan, macam-macam perkara buruk yang berlaku tetapi penyudahnya pasti baik. Anak akan menjadikan ibunya suri teladan. Kalau ibunya adalah isteri dan ibu yang baik, maka kecenderungan anak itu pun akan begitu. Kalau ibunya mata duitan, maka anak-anak pun akan cenderung menjadi mata duitan. Akhirnya si suami akibat mengalami tekanan berterusan, mengakhiri hayat di tepi jalan. Kesilapan siapakah itu? Bukankah itu menunjukkan kelemahan suami dalam mendidik juga?

Saya teringat kata ustaz. Mendidik anak dalam Islam bukan bermula daripada tadika atau semasa ibunya hamil, tetapi bermula ketika memilih isteri lagi. Dan suami tentunya! Ibunya itu akan menjadi sekolah pertama anak-anak. Ya, banyak kesilapan kita tatkala kita menjadi sekolah anak-anak. Silibus kita caca-marba. Teknik pengajaran pun tidak betul. Tetapi kita ada senjata iaitu doa. Kita ada banyak pusingan U. Allah akan membantu kita melakukan pusingan U.

Saya hanya boleh menjadi pendengar, memasang telinga, mengangguk dan menenangkan sepositif yang boleh. Tidak boleh ikut campur dalam urusan keluarganya. Saya kira tsunami pun akan berhenti, lama atau sekejap. Air yang berkocak dalam periuk, kalau tumpah pun hanya sedikit. Itu sebab kita sebagai orang luar tidak boleh ikut campur, apa lagi menambah-nambah perisa ke dalam air yang berkocak-kocak. Jangan jadi penghasut. Jangan rebut jawatan syaitan!

Wang bukan segala-galanya. Saya kasihankan dia tetapi diam-diam di hati. Gajinya diserah bulat-bulat kepada pihak yang lagi satu. Segala-galanya dibayar dengan tunai. Tetapi masih menerima aduan tidak cukup. Berkait soal keberkatankah? Atau tamak haloba? Atau ada perancangan tertunda?

Entahlah. Mendengar masalah orang menyebabkan saya rasa letih. Saya tidur dalam bilangan zikir yang entah ke berapa!

Monday, May 12, 2014

Kerana Mereka Perempuan



Awal pagi Mei sebelas yang cerah dan saya menuju ke UKM. 

Memeriksa keadaan kereta kakak, memasang door visor dan bergerak ke kedai haiwan di Warta. Kakak mahu membeli sepasang kura-kura untuk hadiah adiknya. Dia mengambil bekas comel dari dalam beg adiknya, menuang sedikit air mineral dan berjalan mencari kedai haiwan tersebut. Sampai di sana, dia terus menuju ke tempat jualan. Saya melihat ruang jualan kura-kura itu kosong.

“Dah tak ada, ibu. Kelmarin masih banyak...” katanya kecewa. Dia membawa balik bekas kosong yang comel itu ke kereta.

Budak-budak itu saya tidak benarkan membela kucing walaupun kami sukakan haiwan tersebut. Pertamanya sebab adik alahan kucing. Keduanya atas faktor kebersihan. Tugas sebagai siswa tidak punya masa yang banyak untuk membela haiwan yang aktif seperti itu. Jadi, si kakak memelihara hamster yang namanya Luna dan si adik sangat sukakan kura-kura kecil. Masalahnya kura-kura kecil itu tidak boleh hidup lama dan mudah dijangkiti penyakit. Dia akan kesedihan apabila kura-kuranya mati. Pernah dahulu waktu masih kecil, kura-kura si kakak dan adik mati dan dikebumikan di halaman rumah siap dengan batu nisan yang comel! Kemudian malamnya "hantu kura-kura" datang usik adik sebab kuburnya sebelah tingkap bilik adik! Hahaha...

Kakak berhenti di R & R. Rupa-rupanya dia mencari sesuatu buat ganti kura-kura yang tidak dapat dibeli. Dia mengambil belon besar gambar kereta, patung si Patrick yang berwarna merah jambu dan figura kawan Sasuke dan Naruto (saya lupa namanya). Gadis penjual itu bertanya, “belon ini untuk bayi yang umurnya berapa?” Serentak kami ketawa. Bayilah sangat! Dah boleh jadi mak bayi...hahaha.

Saya teringat koleksi figura yang tersusun kemas dalam bilik adik. Kalau dijual semua figura itu, boleh buat wang pendahuluan kereta baharu!

Kami tiba di Puncak Alam dan meraikan ulang tahun kelahiran adik yang ke-22. Tiba-tiba kereta kakak tidak boleh start. Aduhai. Melayang dua ratus lima puluh dengan trade-in bateri lama. Bateri itu ditukar September tahun lepas. Sudah boleh start tapi saya kata, “tak apalah kak. Lebih baik bateri ini ditukar baharu supaya hati ibu tidak bimbang jika kakak sendirian dan tiba-tiba kereta tidak boleh start”.

Sepanjang perjalanan kakak bertanyakan proses kelahirannya dua puluh empat tahun dahulu. Bagaimana ibunya diepidural, bagaimana proses mahu membelah perut ibu tidak jadi sebab bayi sudah hampir lemas, bagaimana dia dikejarkan ke ICU disebabkan kondisinya itu.

Saban tahun usia kita bertambah. Usia anak-anak juga. Tetapi kita selalu terlupa akan pertambahan usia anak-anak itu. Seperti mak juga. Pagi ini saya menelefon mak macam selalu. Mak sedang sarapan bersama Cikla, kakak angkat yang balik ke kampung sebab mahu mengurut. Cikla masuk ke dalam keluarga kami saat usianya pertengahan belasan tahun. Cikla tidak berkahwin, ada orang yang sudi tetapi Cikla menolak. Ibu bapanya sudah meninggal dunia. Adik- beradik Cikla sudah punya keluarga sendiri. Cikla adalah antara puluhan insan yang diterima menjadi sebahagian daripada ahli keluarga kami. Nampaknya adik-beradik saya sedaya upaya cuba balik berganti-gantian menemani mak supaya mak tidak sunyi. Barangkali mak antara orang tua yang sangat beruntung kerana keprihatinan anak-anak kandung dan anak-anak angkat yang sentiasa cuba mengisi hari-hari tua mak sehabis daya kami. Saya kadang-kadang kagum dengan kakak dan adik bongsu saya. Juga adik-beradik saya yang lain. Kagum juga dengan anak-anak angkat yang tidak berkira dengan mak. Itulah balasan timbal balik atas kebaikan hati mak yang gemar memberi.

Apabila diberitahu umur Cikla sudah lima puluh, mak terperanjat. Kemudian mak tanyakan usia anak-anak yang lain termasuk adik yang bongsu.

“Anak mak tiada yang umurnya tiga puluhan lagi. Semuanya empat puluhan, lima puluhan dan enam puluhan...”

Mak masih enggan percaya. Anak mak masih kecil. Itu barangkali yang dirasakan emak. Saya faham mak! sebab saya pun merasakannya begitu terhadap anak-anak saya. Itu sebabnya juga mereka menahan hati sahaja apabila saya masih sibuk meniup berpuluh-puluh belon dan menggantungnya banyak-banyak di ruang tamu jika menyambut hari lahir mereka di rumah!

Ya, suatu hari nanti mereka akan mengerti juga kerana mereka adalah perempuan.

Saturday, May 10, 2014

Hari Keluarga IPRM

Saya tersasar hingga ke kawasan yang biasanya saya bawa anak-anak mandi-manda waktu mereka masih kecil dahulu. Waktu itu kami tinggal di Kuala Pilah. Patutlah parkir masih banyak, rupa-rupanya acara berlangsung di lokasi lain.

Acara sudah bermula waktu saya tiba. Tidak ramai yang datang. Ada juga yang solo seperti saya termasuklah Dr Mehander Singh, Timbalan Pengarah. Saya mula-mula hanya duduk memerhati. Meskipun redup tetapi rasa membahang.

Kemudian Kak Zaharilah yang sudah lama saya kenali mengajak saya berpasangan dengannya dalam beberapa acara sebab dia pun datang solo. Ada acara yang kami kalah dan ada acara yang kami mendapat tempat ketiga.

Untuk acara keluarga, kami berpasukan berlima. Keluarga palsu sebenarnya sebab saya, Kak Zaharilah, Mastura, Timbalan Pengarah dan seorang lagi pensyarah Teknopen membentuk satu pasukan. Paling akhir saya yang membaling dadu dan Alhamdulillah akhirnya kami mendapat tempat kedua dengan kemenangan oleh keluarga Tuan Pengarah.

Untuk acara kerusi muzik, ketiga-tiga tempat dimenangi oleh pensyarah Jabatan Pengajian Melayu. Johannya? Saya! Hahahaha...mesti sebab mereka kasihan...hehehe.

Yang penting bukan hadiah. Tetapi rasa kebersamaan itu. Lagipun institusi ini sangat prihatin dengan apa yang berlaku kepada orang yang seperti saya. Oleh yang demikian, sedaya upaya saya cuba ikut serta sebagai membalas budi.

Saya suka acara sebegini yang tidak lagi dicemari dengan nyanyian karaoke atau sesuatu yang tidak begitu sihat. Ada tazkirah lagi, Alhamdulillah.

Meskipun acara Hari Keluarga bukanlah sesuai sangat dengan anak-anak yang sudah dewasa, tetapi ia tetap merupakan satu langkah menjana ukhuwah sesama warga.

Hadirlah kerana Allah, bukan kerana manusia.

Wednesday, May 7, 2014

Sedang Menulis Skrip

Sudah sangat lama saya tidak menulis skrip drama pentas. Lama sungguh. rasanya kali terakhir ialah ketika saya masih bergelar guru iaitu pada tahun 1999. Tahun itu adalah tahun terakhir saya menjadi guru di sebuah sekolah menengah.

Ketika beberapa siswa guru memohon bantuan saya untuk menulis skrip pengkisahan mereka, saya agak kabur. Melihat cara lakonan, rasanya mereka sangat bagus. Hafalan, teknik lontaran suara dan penghayatan tiada masalah.

Akhirnya saya bersembunyi di perpustakaan. Saya memang bermasalah dengan telinga dan fokus. Kalau terdengar suara orang berbual, fokus saya terus menjunam ke laut.

Meninjau skrip lama dan menonton rakamannya, saya sedikit kebosanan. Sudah menjadi amalan saya untuk menyuntik elemen kecindan atau sinikal dalam penulisan skrip. Saya mahu mengubah kepada konsep yang agak vice-versa. Tidak mahu lagi terikut dengan konsep biasa. Atau dalam istilah yang saya cipta iaitu konsep “atas itu di bawah dan bawah itu di atas!” Tidaklah kita dihidangkan dengan benda klise!

Dengan beberapa perbincangan, kami akhirnya membuat keputusan untuk menulis skrip baharu dengan fakta yang agak baharu juga. Sukar membuat skrip pengkisahan kerana sandarannya kepada fakta. Tidak boleh ikut suka hati berimaginasi. Kena bayangkan latar tempat dan masa untuk penyesuaian prop. Apabila dimasukkan elemen-elemen seni muzik, kena sesuaikan juga dengan benda-benda yang saya senaraikan tadi.

Saya mungkin kurang bermasalah untuk membayangkan sebab saya anak tahun 1960-an dan asli kampungan. Tetapi bagi siswa guru yang terlibat, saya suruh mereka buat kajian dan lihat gambar.

Untuk duduk menulis skrip dengan fakta itu memang mengambil masa juga. Saya menyuruh mereka mencari fakta dengan membaca buku mengenai tokoh tersebut. Kemudian e-melkan kesemuanya kepada saya untuk saya menyusun plot dan dialog. Kena cepat sebab pertandingan akan berlangsung kurang lebih dalam dua minggu. Saya pula sedang dihambat dengan beberapa kerja yang berada di atas rak “penting dan segera”. Saya juga mahu melihat dan membimbing latihan mereka kerana khabarnya mereka langsung tiada asas teater. Tetapi saya kagum betul, budak-budak itu pernah merangkul gelaran juara peringkat kebangsaan.

Apa pun, saya kena berkhalwat di perpustakaan dalam jangka masa yang agak lama.

Selamat menulis skrip, ucap saya kepada diri sendiri!

Sunday, May 4, 2014

Mengenang Ayah

Apabila usia semakin tua, kita akan selalu mengenang masa lalu dengan dua watak utama yang telah mengorbankan seluruh kegembiraan mereka untuk kita.

Ayah ada pinggan dan gelas yang khas. Seperti ada undang-undang, bahawa tiada sesiapa pun yang boleh menggunakan pinggan dan gelas ayah itu. Tiada siapa pun melarangnya tetapi ia menjadi protokol yang tidak bertulis.

Semua anak akan tahu menyusun pinggan dan gelas ayah termasuk di mana kedudukan ayah. Kami bersila di atas lantai dengan hamparan tikar mengkuang. Makan dengan cara Melayu kampungan. Kami menunggu ayah menyelesaikan solat atau bacaan Quran atau apa sahaja aktiviti ayah, tiada yang boleh menjamah makanan selagi ayah belum memulakannya.

Biasanya pinggan ayah licin bersih. Sisa-sisa ikan akan dikumpul kemas. Tiada sebutir nasi pun yang tinggal atau tumpah. Selepas makan ayah akan menghisap rokok (ayah penghisap rokok tegar). Mujur sahaja menjelang beberapa tahun sebelum keberangkatan ayah, beliau sudah berhenti merokok dengan segala susah payah. Nampak jelas sihatnya ayah. Badannya yang memang tegap, tidak menampakkan beliau terpaksa menanggung kesakitan hampir enam puluh peratus hayatnya.

Begitulah ayah yang pendiam ditemukan jodohnya secara tradisi lalu menikahi emak yang peramah. Ayah yang sedikit bersahaja dengan emak yang tangkas. Ayah yang berjimat cermat dengan emak yang sedikit boros dan suka memberi. Ayah yang tinggi dan berkulit gelap dengan mak yang rendah dan berkulit cerah. Ayah yang datangnya dari keluarga ada-ada dengan mak yang memang miskin papa. Ayah yang biasanya mendepani masalah dengan pergantungan kepada mak ayahnya dengan emak yang berani melangsungkan hidup tanpa gentar dengan ujian.

Banyaknya perbezaan seperti langit dan bumi, tetapi keberkatan jodoh atas pilihan ibu bapa menjadikan pernikahan mak dan ayah kekal sehinggalah ajal memisahkan kedua-duanya. Saya tahu ada saat turun naik, ada musim panas dan hujan, juga jerkahan petir yang menguji pelayaran bahtera kehidupan mereka. Tetapi sekali lagi, apabila ada keberkatan hasil doa ibu bapa, mereka berjaya menempuh jatuh bangun kehidupan bersama-sama sehingga berjaya melahirkan enam zuriat yang hidup, tidak termasuk anak-anak yang telah meninggal dunia.

Ayah telah lama berangkat ke negeri abadi, menemui Dia yang menghidup dan mematikan, juga yang menguasai hari pembalasan. Emak yang sunyi menghabiskan sisa hidup tanpa suami di sisi. Entah bagaimana mahu mentafsir sunyi emak. Hanya Allah yang tahu.

Dalam usia yang memanjat takah demi takah, kita tidak tahu entah bila kita masih boleh memandang wajah mak dan ayah kita. Betapa banyak tampalan dan parut luka di hati mereka akibat sikap, tingkah dan kata-kata kita. Dalam perjalanan kita menuju dewasa, mereka tetap sabar menghadapi kerenah demi kerenah, merasa terluka tetapi kemudian terlupa. Mereka tidak mengingati lagi segala perbuatan kita yang lalu. Demikianlah cinta tanpa syarat dan sebab.

Mari kita memohon usai solat agar segala pengorbanan mereka menjadi pahala yang berpanjangan buat kedua-duanya. Bacakan Al-Fatihah buat ibu bapa kita tidak kira mereka masih ada atau sudah tiada.

Jangan sampai apabila kedua-duanya sudah berangkat pulang, kekesalan tidak lagi memberi makna.

Saturday, May 3, 2014

Segugus Pasrah?



2 Mei dan Jumaat. Jam 2-3 petang di pentas utama PWTC.

Jumaat hari kerja tetapi saya hubungi ketua jabatan memohon kebenaran.

“Isi buku keluar,” katanya. Terima kasih bos!

Cadangan asal si kakak pun mahu ikut. Tetapi pagi itu dia mengubah niat. Macam biasa juga, si adik akan menemani. Kalau sendirian, saya mungkin tidak pergi.

Kami naik komuter hingga ke KL Sentral. Ambil LRT dan turun di Masjid Jamek. Bertukar tren ke PWTC. Kaki agak sakit. Panas dan letih.

Dalam terpinga-pinga mencari arah tuju, tiba-tiba ternampak Ijamala MN. Dia bekas Cliffordian KK juga. Muda setahun dua begitu. Kami bertiga segera menuju ke bangunan PWTC.

Memang masyarakat Malaysia sudah mempunyai minat membaca yang sangat besar. Dari segi kuantiti, kualitinya belum tentu. Orang berpusu-pusu mengunjungi PBAKL.

Sementara menunggu acara, saya, si adik dan penyair Rosmiaty Shaari ke surau. Sempit dan panas seperti mahu pitam. Jam 2 acara bermula. Saya antara yang dijemput membaca sajak pada awal acara. Saya memilih Menunggu Pulang.

Dr Awang Sariyan dan Prof A. Latiff sampai. Antologi Segugus Pasrah Buatmu MH370 dilancarkan. Antologi itu diterbitkan oleh Yayasan Buku Negara. Ada dua sajak saya di dalamnya. Menunggu Pulang dan Jawapan Kepada Diam.

Ada kurang lebih 78 penulis sajak yang terdiri daripada orang Malaysia, Indonesia dan Rusia. Sajaknya pula berjumlah 101 buah.

Sempat menjenguk ke acara Sofa Putih ITBM. Sebenarnya saya sudah berasa sangat letih. Kalau tidak memikirkan saya kena kerja Sabtu esoknya, memang saya cari sahaja hotel dan menginap satu malam. Saya mendengar sahaja perbincangan editor DS, MM dan seorang lagi saya kurang pasti.

Waktu balik paling terasa siksanya. Petang Jumaat dan waktu orang tamat kerja. Tren penuh sesak dan kami terpaksa berdiri hingga ke UKM. Saya tidak pernah sepenat itu. Kepenatan berlarutan hingga keesokan hari. Saya ke institut dengan kelelahan melampau. Tetapi selepas Zuhur saya kena hantar si adik balik ke Puncak Alam. Dia tidak bawa kereta.

Hujan sangat lebat sehingga tidak nampak jalan pulang. Seperti mahu pusing balik ke apartmen adik. Tetapi saya cekalkan hati.

“Saya seorang ibu dan saya mesti tempuhi semua ini. Allah akan jaga saya...” sepanjang jalan saya berzikir. Mudah-mudahan Allah memelihara perjalanan saya. Dalam kesesakan dan lebat hujan, saya terkenangkan akan mangsa tragedi pesawat terbang itu. Ada sesuatu yang bermain dalam minda. Rasa sedih, seriau dan entah apa.

Alhamdulillah. Saya sampai ke bumi Seremban dalam cuaca basah.