Total Pageviews

Sunday, March 30, 2014

Perempuan Dalam Penjara

Sajak ini saya dedikasikan kepada perempuan yang berhati perempuan. Bukan perempuan yang menjadi desperado. Bukan juga kepada lelaki yang sememangnya tidak memiliki hati.

“Abang pun kena? Apa salah abang?” tanya dia.

Memang dia tiada kaitan dengan ini sajak, apa lagi dengan ini cerita. Tetapi saya sedang memarahi lelaki (dan kebetulan dia lelaki) yang tiada hati dan perempuan yang hatinya bukan perempuan.

“Tidak rasional kalau begitu. Tidak adil juga menjatuhkan hukum. Tapi tidak apalah, sesekali Yang mahu bercakap di luar kebiasaan...” akhirnya dia berkata sambil berlalu, sebab dia memang tiada kena-mengena langsung dengan kemarahan itu. Dan sebenarnya dia tidak tahu apa-apa.

Bukankah saya perempuan? Dan perempuan tidak boleh menjadi pemimpin sebab selalu kalah dengan emosi.

Dia kena biarkan saya menjadi harimau yang membaham mangsa tanpa memberi salam. Sesekali saya pun mahu menjadi manusia biasa yang biasa-biasa, bukan yang berdiri atas nama seorang yang berpendidikan atau seorang ibu yang menjadi sumber nasihat.

Biarkan saya. Mahu berenang-renang di lautan tanpa sempadan. Atau berlayangan di angkasa tanpa lampu isyarat atau garisan. Biarkan saya terjun dengan segala labu dan gayung.

Ini sajak untukmu, wahai perempuan yang sangat menyedihkan. Dan saya masih terkagum, bagaimana engkau masih tersenyum seperti tiada apa-apa yang sedang rakus mengoyak hatimu. Dan jika engkau terbaca ini, maafkan saya kerana menulis sesuatu yang pernah dahulu saya rasai juga.

Seorang perempuan
dalam penjara
hanya diam
menunggu hukuman
dia menjadi terlalu biasa
dengan dinding empat persegi
yang mengepung ruang
seorang perempuan dalam penjara
dia tidak melangkah pergi
meskipun pintu terbuka
dan selnya tanpa jaringan
atau besi yang menghalang
kerana dia seorang banduan
pasrahnya adalah kesabaran
tanpa peduli
mengunyah hati sendiri

No comments: