Total Pageviews

Saturday, March 29, 2014

Mengunyah Hati

Saya tidak pernah melihatnya menangis. Sudah lama dia hanya tahu ketawa. Dia sebenarnya sudah lupa bagaimana mahu menangis.

Tetapi hari itu dia menangis.

“Mengapa?” tanya saya.

Dia merenung ke langit yang gelap.

“Keberanian-keberaniannya mengingatkan saya akan wanita yang pernah merampas sesuatu daripada saya...” ujarnya perlahan.

Dan saya melihat balutan hatinya pecah. Parutnya merekah dan darah mengalir deras. Dia sedang mengunyah hatinya sendiri.

“Hidup mesti diteruskan...” kata saya dengan ayat klise. Betapa mudah mengungkapkan ayat sedemikian guna memujuk orang. Saya sudah lupa etiket sosial kaedah pemujukan yang saya hadam selama sepuluh tahun mengajarnya di kuliah dahulu. Bukan begitu caranya. Bukan begitu.

Rupa-rupanya wanita apabila pernah terluka, mereka tidak pernah melupakan secara total. Mereka memaafkan tetapi ketika episod berulang, meskipun terhadap wanita lain; balutan lukanya akan pecah.

Hidup bukan hanya yang indah-indah. Hari ini kita melihat taman yang dipenuhi bunga, esok pula kita akan melihat lorong gelap yang hanyir dan berdebu.

Meskipun klise, tetapi itulah realitinya. Hidup mesti diteruskan biar apa pun yang akan kita lihat hari demi hari.

“Menangislah. Kamu nampak lebih cantik selepas menangis...” kata saya.

Saya pulang ke rumah. Tidak dapat lena malam itu. Saya teringatkan dia dan tangisannya.

Saya bangun.

Mengunyah hati sendiri sebagai tanda solidariti.

No comments: