Total Pageviews

Tuesday, April 1, 2014

Manisnya Markisa



Praaaaaaang....

Itu bunyi pinggan atau piring kaca yang pecah. Menurut saya, kalau menulis bunyi, aksara vokalnya yang mesti dibanyakkan, bukan aksara konsonan. Alasannya ialah bezakan sahaja bagaimana mahu membunyikan “praaaaaaaaaaaaaang” dengan “prangggggggggggggggggggg”.

Bukankah bunyi yang akhir itu kedengaran sengau?

Baiklah, kenapa tiba-tiba menulis tentang bunyi praaaaaaaaaaaaaaaaaaaaang itu?

Sejak akhir-akhir ini pinggan dan piring kaca di rak dapur saya sudah semakin berkurangan. Pegang dan pecah. Angkara tangan kanan saya yang sakit inikah atau sebab minda yang kurang fokus?

“Abang,” saya mengadu, “cuba abang tengok di dapur. Pinggan coklat yang abang beli itu sudah tiada. Pecah lagi waktu saya masak untuk makan malam...”

“Rajinlah bersenam ikut saranan sukarelawan itu...” Eh, ada kaitankah?

Memang ada kaitan kalau bersangkutan dengan tangan yang sengal-sengal.

Malam ini kami memetik markisa yang sudah masak. Markisa itu dia ambil dari kebunnya dan tanam di hadapan rumah. Saya berikan beberapa biji untuk Tuti. Dia yang membantu mengairi pokok dan menongkat dahan. Benih markisa diberikannya juga kepada abang saya di kampung. Sudah berbuah juga.

Manis sekali markisa itu. Katanya, vitamin C markisa lebih bagus daripada limau.

Tapi dia akan ikut suka hati sahaja mahu menyebut nama buah itu. Sekejap markisa, sekejap “kelisa”. Itu bukan sejenis ulam atau jenama kereta, abang!

Dia mengajar saya dan Tuti cara menikmati markisa. Potong di bahagian atas sahaja, jangan dibelah di tengah. Letakkan asam boi dan hirup. Fuh, enak sekali. Itu kata dia!

Saya buat tanpa asam boi. Tiba-tiba rasa macam drakula pula!

Sedang menikmati keenakan markisa, anak angkat saya mengirim mesej.

“Ibu, saya di wad sekarang. Bleeding. Kata doktor, uri di bawah. Tapi bayi khabarnya Alhamdulillah. Jangan risau...”

Saya mengirim balas dengan doa. Anggap sahaja sedang bercuti di galaksi. Dan doktor itu ialah alien.

“Eh, mana ibu tahu doktor itu garang macam alien?”

Hahahaha...ada lagi spesis doktor yang garang?

Macam-macam cerita yang terjadi dalam sehari.

Pinggan yang pecah, diganti dengan manisnya markisa.

Anak yang masuk wad diganti dengan berita gembira yang saya cita-citakan selama ini.

Apakah itu?

No comments: