Total Pageviews

Sunday, March 2, 2014

Langit Yang Sakit

Kelmarin hujan sekejap. Wap panas membahang naik ke udara. Anak bercanda, "hujan ini sebab ibu menyanyi malam semalam di majlis persaraan Auntie Yam..."

Kelabu di ruang langit. Musim kering menyebabkan berlaku kebakaran di sana-sini. Pasukan bomba yang paling sibuk kalau musim-musim begini. Ada yang berkampung di sisi lebuh raya. Pokok-pokok yang terbakar memberikan satu lukisan aneh. Seperti kiamat sudah dekat.

Kesesakan teruk berlaku. Rupa-rupanya ada lori getah terbakar. Getah dan api, satu pasangan serasi. Kesesakan pagi membawa ke petang.

Di Puncak Alam, air memang dicatu. Mujur apartmen si adik hanya duduk bertiga, seorang sebilik. Pergi membuat kaca mata baharu sebab kaca mata lamanya sudah hilang entah di mana. Bagaimana mahu memandu kalau kerabunan begitu?

Daddynya sampai, mengangkut barang yang berat-berat mendaki tangga apartmen. Kemudian kami tinggalkan dia sendiri, berlari mengharung kesesakan lebuh raya untuk pulang. Langit masih kelabu yang kritikal. Topeng hidung sudah saya buang. Terpaksalah menutup sebahagian muka dengan selendang.

Tekak menjadi kering seperti mahu batuk. Ini bahana musim kering dengan ancaman jerebu.

Panas pijar di mana-mana. Udara sakit. Untuk orang-orang yang berpenyakit, menyedutnya akan menambah penyakit.

Inilah reaksi alam setelah dirinya diperkosa semahu-mahu oleh manusia. Alam yang bersabar akhirnya membalas.

Ini panas dunia.

Bagaimana nanti jika di sana?

Di pertengahan jalan, adik menelefon Daddynya. lelaki itu tergelak pendek dan menghulurkan telefon untuk saya bercakap.

"Ibu tinggal telefon atas katil adik!"

Si Daddy mahu berpatah balik. Saya melarang. Saya hanya mohon keluar empat jam. Tiga hari kembali menjadi saya pada zaman 70-an dan 80-an dahulu. Hidup tanpa telefon bimbit.

Tenang tetapi tidak aman! Asyik-asyik membuka e-mel sebab bimbang kalau anak-anak mengirim khabar berita...

No comments: