Total Pageviews

Wednesday, March 5, 2014

Hidup Mesti Diteruskan

Kembali kepada zaman tanpa telefon bimbit!

Saya masih ingat tok dan tokwan (sebelah mak) akan selalu cakap, “pi pukui talipon” atau “pukui taligram” kalau ada sebarang hal yang perlu segera dimaklumkan kepada saudara yang tinggal jauh.

Kenapa “pukul?”

Tidak tahu mengapa istilah itu digunakan oleh orang zaman dahulu.

Kalau mahu telefon, mesti ada beberapa keping duit syiling. Masukkan dalam peti dan mulakan mendail dengan memusing di muka telefon. Nombornya pun tidak banyak seperti sekarang. Kadang-kadang satu telefon akan digunakan satu kampung. Mula-mula pemanggil akan menelefon dan memberitahu orang yang menyambut, dia mahu bercakap dengan siapa. Kemudian dia akan meletakkan gagang. Sesiapa yang menyambut akan segera pergi memberitahu orang berkenaan. Dalam beberapa minit agak-agak orang yang mahu dihubungi itu sampai, si pemanggil akan mendail semula.

Itulah caranya selain daripada surat kiriman biasa. Atau telegram kalau mahu lebih cepat.

Selama tiga hari ini saya tiada telefon bimbit tetapi masih boleh berhubung melalui e-mel dan laman muka buku. Sebentar-sebentar saya membuka e-mel. Biasalah, hati ibu yang dalam kepala otaknya hanya memikirkan anak. Padahal anak-anak itu sudah tua belaka!

Memang hidup saya aman tenteram tanpa gangguan bunyi telefon. Oleh sebab semua maklumat ada dalam telefon, keadaan menjadi sukar sedikit untuk berurusan. Begitu juga dengan penggera bunyi untuk bangun pagi. Jawabnya, sekejap-sekejap saya terjaga. Sebenarnya hampir setiap jam sehinggalah menjelang 6 pagi.

Harap-harap esok saya dapat bangun awal untuk ke hospital.

Meskipun tanpa telefon bimbit, hidup mesti diteruskan.