Total Pageviews

Thursday, March 20, 2014

Engkaukah Itu Di Hujung Mataku?

Hari ini empat puluh delapan tahun yang lalu, lebih kurang jam sebelas lebih sedikit, mak melahirkan saya. Khabarnya kelahiran saya agak payah sebab kedudukan menyongsang.

Kata mak, saya keluar “menendang” dunia.

Ada anak mak yang keluar buntut dahulu.Saiznya sangat kecil. Itu abang saya. Tetapi sekarang abang tegap tinggi walaupun kurang sedikit tingginya daripada ayah.

Ada juga yang keluar dalam sarung. Kena turis dahulu sarung itu sebab ada bayi di dalamnya. Itu adik yang di bawah saya.

Ada yang kembar juga. Dua pasang kalau tidak silap saya, tetapi meninggal.

Kalau dengar mak berkisah memang seronok. Gaya mak berkisahan itu memang dengan penuh perasaan. Ingatan mak masih kuat untuk mengenang setiap kelahiran puluhan tahun dahulu.

Ayah pun pandai berkisah. Dan sehingga kini saya terkilan sebab tidak pernah mencatat segala kisah ayah tentang susur galur keluarga kami. Juga tidak lagi menyimpan tulisan jawi ayah yang sangat cantik.

Pagi-pagi saya menelefon mak. Mak agak lemah hari ini. Entah mengapa, berasa letih. Tetapi tatkala saya beritahu, “mak, hari ini Yang lahir. Yang sudah empat puluh delapan...” nada mak berubah. Mak ketawa dan menyebut, “oh, itulah agaknya kenapa mak rasa lemah. Haba hari lahir Yang...”

Saya ucapkan, “terima kasih mak”. Hujung minggu ini saya carikan hadiah mak sebab mak yang layak diberi hadiah. Mak yang penat meneran bayi songsang. Tetapi ayah tidak sempat melihat saya yang sudah empat puluh delapan. Ayah tidak sempat melihat saya menjadi tua.

Pagi-pagi di surau, saya menangis. Saya berdoa agar segala pengorbanan mak dan ayah melahir, membesar dan mendidik saya akan menjadi pahala yang berpanjangan buat kedua-duanya.

Hari jadi yang sunyi. Anak-anak di kampus dan suami keluar daerah. Sebenarnya dia telah bercekcok juga dengan bos-bosnya yang “menitahkan” dia untuk keluar daerah secara mendadak sedangkan dia ada perancangan mahu menyambut hari lahir saya.

Tidak mengapalah. Meskipun kecewa tapi saya sudah tua dan sudah biasa juga bersendirian.

Bagi orang Islam, hari jadi bermakna semakin menjadi tua. Kemudian semakin dekat akan penamat kepada kehidupan. Waktu inilah kita mahu memeriksa kantung bekalan. Cukupkah nanti untuk bekalan ke negeri abadi?

Apa pun, saya gembira menatap album kehidupan yang pelbagai warna.

Untuk mak...engkaukah itu di hujung mataku?

Ya...memang selalu. Di hujung mataku ada kamu.

Di dasar hatiku juga!

No comments: