Total Pageviews

Tuesday, February 25, 2014

Sunyi Si Anak Tunggal

Dia muncul di wajah pintu. Teringat si adik, katanya. Apabila Daddynya balik, adik macam gembira. Dia sudah ada geng. Berborak tentang aspek yang saya kurang arif seperti hal-hal seni lukis, komputer dan kamera.

Kami makan sup kotak gear. Nampak wajahnya sangat penat tetapi dia kasihankan si adik yang selalu berkawan dengan sunyi.

“Kasihan betul. Adik itu mahu bermanja. Nantilah abang cari waktu untuknya. Tapi hujung minggu ini abang kena buat Kursus Heart and Mind di Pelabuhan Barat...” katanya sebelum berdengkur.

Saya, adik dan kakak pun ada acara juga hujung minggu. Siang Sabtu ada kenduri perkahwinan anak gadis bongsu Allahyarham Ustazah Mukarramah. Malamnya ada makan malam Lambaian Kasih untuk Kak Yam di sebuah hotel di PD.

Memang kasihan kalau jadi anak tunggal.

“Kalau ada dua ketul pun kasihan...”kata anak sulung saya merujuk dia dan adiknya. Saya teringat waktu mereka masih kecil, mereka akan bergabung dengan abang sepupu yang merupakan anak tunggal. Budak itu anak kakak saya dan sebaya puteri sulung saya. Tetapi anak-anak memanggilnya “abang” atas sebab pangkat dan hormat. Si abang akan beritahu guru kelas bahawa dia ada dua adik perempuan. Si kakak pula akan beritahu yang dia ada abang dan adik perempuan. Manakala si adik, ada abang dan kakak. Cikgu pun jadi keliru. Betulkah mereka itu saudara kandung? Tapi kenapa nama bapa berbeza?

Kalau menyambut hari jadi, kena beli hadiah juga untuk ketiga-tiga orang. Yang dua lagi akan menyambut acara “tumpang hari jadi”. Nasib baik amalan itu berakhir selepas mereka naik sekolah menengah. Kalau tidak, sukar juga mahu menyediakan tiga hadiah untuk remaja.

Sekarang ketiga-tiganya telah dewasa. Si abang bakal bertunang pertengahan Mac. Si kakak dan adik masih berjuang di dewan kuliah. Kelemahan bagi ibu-ibu yang punya anak sedikit ialah kemanjaan berlebihan. Semua keinginan mahu sedaya upaya dipenuhi. Kadang-kadang di luar kemampuan juga.

Jarak, keadaan dan waktu telah menjauhkan mereka. Bertemu pun sekali dua dalam setahun. Tetapi mereka masih berkongsi cerita meskipun tidak seakrab dahulu. Si adik masih dengan perangai suka membuli si abang. Dan si abang masih begitu, dengan rela membiarkan dirinya dibuli.

Tentu sedih mengenangkan keakraban masa lalu yang semakin hilang ditelan waktu. Tetapi demikianlah suratan kehidupan.

Kesunyian anak tunggal adalah kebiasaan.

Dan sebenarnya si ibu telah belajar memahami sunyi tatkala anak menuju ke menara gading dan alam pekerjaan.

No comments: