Total Pageviews

Sunday, February 9, 2014

Mesti Berani Melangkah

Hari ini saya masuk ke kelas guru pelatih TESL. Untuk topik kegemaran saya, topik yang sepuluh tahun saya memberi kuliah tentangnya. Komunikasi verbal dan bukan verbal. Menggantikan sahabat yang ke hospital untuk suntikan radioaktif.

Saya pernah mengalami suntikan tersebut dua kali. Sakitnya aduhai sebab suntikan hidup, bermakna tanpa bius. Tuhan sahaja yang mengerti kesakitan yang dialami sehinggakan rasa seakan mahu tercabut nyawa.

Tetapi saya lekas mengenang kata-kata mak bahawa kesakitan menghadapi sakaratul maut itu lebih berganda. Maka saya menghadapinya dengan senyuman yang sedikit tawar. Mujurnya lagi doktor pakar dan petugasnya pandai menenangkan. Sekali 2012 dan sekali lagi pada 2013.

Mudah-mudahan tidak ada lagi suntikan itu.

Minggu depan saya akan menghadapi ujian saringan. Memang saya sedikit gementar. Ya, sekuat-kuat tebing pun ada ketikanya terhakis juga dengan arus deras. Saya akan sendirian menghadapi ujian saringan. 

Tidak mengapalah, mak selalu pesan, di dalam kubur nanti pun sendirian juga.

Saya akan beritahu mak supaya doa mak terus bertebaran di langit harap. Begitulah bagaimana kita tidak tahu corak perjalanan hidup kita. Bagaimana Allah mentakdirkan yang buruk untuk memberikan kita yang terbaik di kemudian hari. Begitulah juga saya. Alangkah bersyukurnya saya sekarang kerana berada dalam kalangan sahabat yang sangat memahami. Berketuakan orang yang bagus. Di sebuah institusi yang juga bagus dan berperikemanusiaan.

Di sini saya kembali menjadi diri saya. Setelah beberapa lama berdiam atas kekangan dan kekalutan hidup, saya kembali aktif menulis dan mengikuti acara sastera biar pun tidak berkesempatan mengikut acara seni teater yang pernah saya ceburi dahulu. Cukuplah dengan sesekali berada di acara sastera, bertemu kenalan lama, bertanya khabar berita. Dan alangkah indahnya juga sebab rakan-rakan penulis ini pula adalah mereka yang sangat membantu dan mengambil berat.

Saya tidak terkenal seperti mereka walaupun sudah mula menulis sejak bersekolah rendah. Menulis sajak dan cerpen pun bukannya pandai sangat. Sesekali saya mencuba juga skrip drama pentas, drama radio dan novel. Saya biasa dengan penolakan manuskrip novel oleh penerbit. Tiada masalah besar buat saya. Saya tidak pandai mengampu. Tidak pandai juga beramah-tamah di laman sosial. Ringkasnya ialah saya tidak berkemahiran mencari peluang.

Menulis untuk kepuasan dan sedikit untuk wang. Perasaan melihat buku kita terbit adalah persis keterujaan mendapat bayi. Setakat ini saya sangat jarang mengira peratus untung. Cukuplah melihat buku itu terbit, menunjukkan kepada emak, menjadi contoh kepada anak. Sudah biasa juga tidak dapat bayaran. Tidak mengapalah, yang penting hasil tulisan itu sudah dibukukan.

Minggu ini saya gembira. Untuk pertama kalinya saya berkolaboratif dengan tiga rakan pensyarah menerbitkan sebuah buku berkaitan budaya yang akan digunakan oleh siswa-siswi. Meskipun hanya satu bab (disebabkan waktu-waktu itu saya menjalani pembedahan kali ketiga dan radioterapi), tetapi saya gembira sungguh. Sebabnya selain tesis-tesis dan esei waktu saya di universiti dahulu, saya fikir saya tidak berkebolehan menulis bahan akademik. Saya sangat kagum dengan rakan-rakan yang menulis buku akademik satu demi satu. Hebat sungguh mereka itu!

Bercerita tentang menulis dan seni berkaitan dengannya menyebabkan saya terlupa sebentar akan kegelisahan menghadapi ujian saringan itu nanti.

Namun, seperti yang selalu saya katakan, kehidupan mesti diteruskan walau apa pun musim yang datang. Kita yang kena sesuaikan diri dengan perubahan musim. Maksudnya jika musim panas kita hanya berbaju lengan pendek, tatkala tiba musim dingin, sesuaikan keadaan diri dengan musim itu. Jangan lagi berbaju lengan pendek, tetapi pakailah baju yang tebal. Sebab musim tidak akan mengikut kita, sebaliknya kita yang kena menghadapi musim.

Kalau takut mahu melangkah, kita tidak mungkin dapat berjalan.

Kalau takut untuk berjalan, kita tidak mungkin dapat berlari.

Akibatnya, kita tidak akan sampai ke mana-mana.

Kita hanya akan duduk di situ, melihat rumput yang sama.

Dan rumput yang masih sama...