Total Pageviews

Monday, January 13, 2014

Panasnya Air Itu!

Jam sudah menunjukkan pukul 1.36 pagi. Saya masih gagal tidur akibat kepedihan di perut yang melecur dan sedikit di bahagian belakang.

Sudah beberapa hari saya sakit belakang dan bahu. Untuk melegakannya, saya isi air panas dalam beg pemanas dan baring di atasnya.

Malang memang tidak pernah berbau. Waktu saya mengangkat dan meletakkannya di perut, beg itu pecah. Saya menjerit kesakitan, melompat dan membuka baju. Suami yang sedang membetulkan sinki yang tersumbat meluru ke arah saya. Difikirkannya ada ular yang masuk ke rumah.

Suami meminta saya segera ke kamar mandi.

“Lalukan air setengah jam” katanya. Saya rasa begitu pedih. Suatu pengalaman baharu yang tidak dapat saya gambarkan. Rupa-rupanya itu rawatan awal jika terkena air panas. Suami memang mempunyai pengetahuan dalam hal-hal keselamatan dan kecemasan. Saya pula menjerit-jerit minta ais walaupun tahu rumah saya memang tidak pernah menyimpan ais.

“Tidak boleh,” katanya. “Hanya air paip. Tidak boleh ais atau minyak”. Suami berleter sebab saya degil mahukan ais.

Saya dikejarkan ke klinik dan terus dibawa masuk ke ruang kecemasan. Doktor datang dan soalan pertamanya ialah adakah sudah dilalukan air ke bahagian yang terkena air panas itu?

Krim disapu. Saya tidak tahan geli. Jururawat pun geli hati sebab saya tergelak menahan geli. Agaknya dia pun pelik dengan mak cik yang tergelak-gelak walaupun tengah sakit. Kulit sudah merah dan menggelembung. Tekanan darah naik. Saya tiada darah tinggi tetapi mungkin sebab saya terperanjat.

Pedihnya sepanjang jalan balik ke rumah sebab terkena baju. Sampai di rumah, pendingin hawa terpaksa dipasang ke tahap minimum sebab masih pedih. Kipas juga dipasang. Saya telan ubat yang dibekalkan.

Perkara pertama yang saya syukuri ialah mujur heater bag itu pecah waktu saya menggunakannya. Kalaulah beg itu pecah ketika anak-anak saya menggunakannya, aduhai tidak sanggup rasanya melihat budak-budak itu menanggung kesakitan.

Kemudian mujur juga ia berlaku waktu suami ada di rumah.

Kejadian itu juga menginsafkan saya.

Ini baru kepanasan air di dunia.

Dan saya juga tahu ada dosa yang terkubur dengan siraman air panas itu jika kita redha.

Ini pertama kali saya terkena air panas yang berskala agak besar. Kalau dulu, sedikit-sedikit sahaja. Melihat kulit yang lebam-lebam memang menakutkan.

Paling lucu apabila suami kehilangan kata-kata untuk memujuk.

“Tahanlah Yang. Bersalin dulu pun tahan!”

Hello! Bersalin tak apa, sakit-sakit pun akhirnya dapat bayi comel...hahaha.

No comments: