Total Pageviews

Tuesday, January 28, 2014

Mengenang Mata Air


Bagaimana mengekalkan cinta jarak jauh? Dengan maksud cinta antara suami isteri, bukan definisi cinta tanpa ikatan.

Kalau dulu, tentu melalui warkah yang akan disampaikan oleh lelaki bermotosikal merah iaitu encik posmen.

Sekarang lebih mudah. Mel elektronik, telefon bimbit, laman-laman sosial, malahan boleh sahaja berhubung secara bersemuka melalui peralatan teknologi canggih.

Tetapi manakan sama dengan keterujaan menunggu ketibaan surat yang berbau wangi kerana ditaburi bedak talkum...

Semua itu tinggal nostalgia.

Sesuatu yang tidak mungkin dapat dihayati dan difahami pasangan zaman siber ini.

Kami masih menulis surat tetapi melalui mel elektronik. Kadang-kadang sahaja kami menulis surat dalam kertas. Biasanya ayat-ayatnya lebih berpop-yeh-yeh. Atau ala-ala dialog P.Ramlee dalam Ibu Mentuaku.

Malah, kalau taman sedang dipenuhi bunga-bunga yang kembang mewangi, kadang-kadang mengirim lagu juga! Sesekali jiwang-jiwang rasanya boleh diterima!

Mengekalkan apa pun asasnya adalah kepercayaan. Tidak guna jika 24 jam bersama-sama di rumah dan di pejabat (jika bekerja sepejabat) jika tiada kepercayaan. Dan kepercayaan juga mestilah bertepuk kedua-dua belah tangan, bukan hanya bertepuk dengan angin.

Mesti juga selalu mengungkapkan kata-kata yang menggambarkan kasih sayang sebagai rutin. Mungkin ada yang kata, ibu bapa kita dulu kekal juga sehingga akhir hayat walaupun menggunakan istilah “pak hang” dan “mak hang” ketika berbicara.

Dahulu lain, sekarang lain. Orang dahulu, cabarannya berbeza daripada zaman ini. Samalah seperti cabaran dalam membesarkan anak. Manakan sama ketika mak ayah membesarkan kita dengan situasi kita membesarkan anak-anak!

Lain, bukan?

Yang tetap sama ialah nilai holistik dan estetika mendidik.

Melalui pengalaman, saya belajar sesuatu. Wajah saya dan dia tidak sama. Tetapi apa yang dia rasa, saya rasa. Waktu dia sedang mengenang dia, dia juga sedang mengenang saya. Waktu-waktu itulah mesej kami akan saling berselisih.

Mengenang dia, saya tahu Allah telah menggantikan sesuatu yang lebih baik buat saya. Meskipun tidaklah sempurna tetapi kita sendiri jauh daripada sempurna untuk menagih kesempurnaan. Dia sangat menghargai saya, mengkagumi peribadi dan kejayaan saya meskipun saya tahu banyak kelemahan saya yang dia maklum.

Dalam menelusuri kehidupan ini, saling hormat-menghormati itu mandatori. Lelaki sebagai pemimpin mesti belajar memimpin hatinya sebelum dia memimpin hati sang isteri.

Kita ditakdirkan untuk saling melengkapi. Menutup apa yang kurang. Memberi dan menerima. Yang penting ialah kelemahan kita diterima dan difahami.

Saya bukan wanita sejelita Hema Malini dan dia bukan lelaki sekacak Rishi Kapoor.

Tetapi di mata saya, dia adalah selebriti.

Meskipun selalu berjauhan, dia tetap akrab di hati.

Seperti ada telepati, telefon pun berdering...mata air saya di talian!

No comments: