Total Pageviews

Tuesday, January 7, 2014

Lupa

Apa agaknya yang menyebabkan orang terlupa.


Terlupa ertinya tidak sengaja lupa.


Hari ini saya tertinggal kaca mata dalam bilik air di pejabat. Melenggang kangkung sahaja saya ke surau. Kemudian berasa pelik. Mengapa saya macam tidak nampak muka orang sahaja?


Kemudian saya tertinggal bekas air pula.


Hahaha...saya sudah tua sebelum waktunya.


Paling teruk kadang-kadang saya tidur dengan memakai kaca mata. Mahu tengok mimpi dengan jelas agaknya. Dulu waktu masih kecil, saya selalu persoalkan benda ini. Contohnya, adakah mimpi kita hitam putih atau berwarna-warni?


Ada banyak amalan supaya kita tidak menjadi pelupa. Makan kurma, kismis dan madu. Jangan makan kepala ikan. Jangan makan asam. Banyakkan mengaji secara istiqamah.


Hari ini waktu mahu bercakap tentang LCD projector, saya terlupa. Jenuhlah saya menerangkan “benda yang memancar-mancar itu...” Mujur yang mendengar itu pun faham sebab dia pun macam saya juga. Dalam tubuh sudah dimonopoli oleh bahan
kimia. Dia pun menyebut bahawa sejak tamat menjalani rawatan, ada masalah sedikit dengan mindanya.


Apabila bercerita kepada anak-anak, mereka perasan bahawa saya selalu lambat habis. Kadang-kadang mereka mendengar dengan muka letih. Mukadimahnya sahaja sudah begitu panjang. Isi belum sampai-sampai juga.


Terlupa atau tidak, saya tidak kisah. Saya ada amalan mencatat tugasan kerja atau peribadi dalam telefon bimbit dan buku nota kecil. Yang jadi kisahnya ialah apabila saya terlupa di mana saya letakkan benda-benda itu!


Sudah lama tidak mengemaskini blog bukan sebab saya terlupa. Saya sudah kembali bertugas. Kalau orang berjalan dua langkah, saya baru satu. Maklumlah sudah cuti agak lama. Kemudian saya masih tidak boleh berlama-lama di depan skrin komputer. Saya juga insomnia disebabkan kesan ubat yang saya kena ambil.


Bagus juga insomnia ini walaupun siang hari saya terhoyong-hayang di pejabat. Kalau muda-muda dulu, malam hanya untuk tidur tetapi menjelang tua ini, malam menjadi sangat berharga.


Saya gembira betul dapat ke pejabat. Kawan-kawan sangat baik. Walaupun ada keinginan untuk berpindah, saya tidak sanggup berpisah dengan kawan-kawan yang begitu memahami saat sukar saya. Itu yang selalu saya doakan agar sahabat dan jiran menjadi yang terbaik buat saya dan saya menjadi yang terbaik (?) untuk mereka.


“Rumah” kami yang semakin sempit itu tetap kami huni dengan gembira.


Terima kasih kepada kawan-kawan di Jabatan Pengajian Melayu yang hebat. Saya kehilangan Ustazah Mukarramah, tetapi mereka mengisi kehilangan itu dengan sikap yang sangat mengambil berat.


Terima kasih Encik Azmi Ayub, Ketua Jabatan yang lembut dan banyak menolong saya. Super senior seperti Puan Rafiah, Puan Mariam, Dr Maridah, Puan Amanah...juga Dr Khairuddin, Puan Manis, Dr Ghaz, Encik Ibrahim, Dr Wan Zaliha, Encik Badrul, Dr Faridah, Puan Mastura, Puan Mala, Encik Hisham, Puan Azim, Encik Karim & Puan Faiziah yang tabah.


Sengaja saya tulis semua nama untuk menguji daya ingatan!


Wah, saya masih ingat semua nama!


Tapi masalahnya, ada satu nama yang saya lupa.


Siapa ya?

2 comments:

aqmahoocyunkqamo said...

puan terlupa nama saya selalu berinspirasi untuk menjadi seperti puan..saya bangga kerana ada seorang pensyarah yang tabah dan kuat memberi inspirasi..walaupun siapalah saya pada puan..tapi saya seronok untuk bercerita dengan puan..walaupun kadang2 berhadapan..kita bisu..xtau nak ckp apa2,..

IBU BUNGA MATAHARI said...

Ya lah Zul. Saya paling suka Zul dan kenangan mengajar kelas Zul. Memang terbaik. Saya beritahu Dr K, kalau boleh adakan program untuk pensyarah dan kelas Zul.