Total Pageviews

Tuesday, January 14, 2014

Lelaki Vs Perempuan

Menjadi lelaki bukan mudah.

Mereka terpaksa berpura-pura memiliki fizikal dan hati gagah. Sekali gus.

Menjadi perempuan juga tidak mudah.

Mereka terpaksa berpura-pura kuat meskipun memiliki kudrat yang terbatas.

Lihat bagaimana keadilan Tuhan menjadikan kita lelaki dan perempuan dengan kekuatan dan kelemahan masing-masing. Kita saling berkongsi. Saling melengkapi seperti sebuah bangunan.

Sekali lagi saya catatkan ungkapan Daisaku Ikeda yang pernah menjadi ayat pertama cerpen saya puluhan tahun yang lalu.

“Wanita lemah tetapi ibu gagah”. Ada lemah dan gagah yang terbina dalam satu ayat.

Lelaki punyai fizikal gagah. Perempuan juga ada tetapi untuk kes-kes terpencil.

Namun jika dibandingkan kekuatan hati, realitinya perempuan yang lemah fizikalnya itu memiliki kelebihan tersebut.

Lelaki sangat jarang yang boleh tinggal bersendirian jika kehilangan isteri. Tetapi isteri boleh hidup bersendirian jika kehilangan suami.

Lihat juga bagaimana liputan media jika terdapat bapa tunggal yang membesarkan anak-anak sendirian berbanding liputan yang sama untuk ibu tunggal yang juga melakukan hal serupa. Betapa kekaguman massa terhadap “kehebatan” bapa berbanding ibu.

Pagi ini saya mendengar satu pengakuan jujur.

“Abang mahu menangis apabila dapati Yang kena air panas. Apa lagi ketika abang rasa tilam itu sangat panas. Abang ingatkan ada lipas yang masuk dalam baju. Abang mahu ketawakan Yang tetapi abang betul-betul panik sebab sebaliknya yang berlaku”

Kemudian?

“Jenuh abang fikir mengapa Yang kena hadapi semua ini. Lepas satu, satu. Yang sudah buat xxx, selalu buat xxx, rajin xxx; tapi mengapa Yang yang selalu kena...”

Hmm...sudah masuk zon bahaya. Ada “makhluk” lain yang sedang merayap-rayap dalam mindanya. Makhluk yang menjadi musuh tradisi kita sejak Adam dan Hawa.

Saya ketawa.

“Bukan teruk pun. Abaikan yang saya terjerit-jerit tu. Saya tak boleh riang gembira waktu kena air panas. Itu memang tindakan biasa. Kita tidak boleh tawar menawar dengan Allah. Maksudnya begini, aku sudah buat ini, sudah buat itu, maka Engkau mesti balas semua perbuatan aku itu dengan benda-benda yang bagus-bagus. Tidak boleh begitu. Dia pencipta kita. Kita jangan sesekali mempersoalkan apa yang berlaku, sebaliknya cuba selak hikmahnya”.

Apa hikmahnya?

Banyak, abang. Pertama, mujur kejadian berlaku kepada saya dan bukan anak. Kedua, mujur waktu itu saya tidak bersendirian. Ketiga, saya dapat pengetahuan baharu mengenai cara rawatan jika terkena air panas. Keempat, saya dapat pengalaman baharu. Kelima, saya dengan pastinya tahu abang sayangkan saya. Keenam, saya akan lebih awas lain kali. Ketujuh, saya menjadi orang yang lebih bersyukur.

Abang, kata saya. Syurga itu mahal nilainya. Mesti ada kriteria tertentu untuk menjadi penghuninya. Kalau mahu masuk syurga, kita mesti bersih dosa. Biar Allah balasi kita di dunia ini demi sebuah kehidupan yang cantik di sana.

Bukan maksudnya saya bagus. Saya orang yang paling banyak dosa. Saya cuma mahu tenangkan hati dia. Kita kena elakkan musibah tetapi kalau sudah mahu terkena juga, kita cepat-cepat pujuk hati untuk cari hikmahnya. Lagi pun kena pantas bertindak sebelum makhluk lain menggoda-goda pemikiran kita.

Kemudian saya berlucu, “mahu kena kanser di dunia atau di sana? Atau kena air panas di sini atau di sana?”

“Alhamdulillah. Alhamdulillah. Kalau Yang cakap begitu, syukur kepada Allah...” dia macam masih mahu menangis. Lelaki memang begitu, tubuhnya gagah tetapi hatinya goyah. Lepas itu dia menceritakan lagi isi hatinya. Sesi berterus terang.

Pada saya, tiada apa-apa yang menyebabkan saya berdiam lama di katil. Malam itu saya tidak tidur. Pendingin hawa tidak mampu menghilangkan rasa pedih panas itu. Tetapi menjelang pagi saya bangun dan melakukan rutin biasa meskipun tidak boleh keluar rumah untuk mengelakkan matahari.

Paling teruk pun, saya jadi banduan hari ini.

Sebab?

Dalam kantuknya, lelaki itu membawa kunci rumah bersamanya. Kunci yang satu lagi ada dalam kereta saya. Gril berkunci.

Duduklah saya mengintai matahari dari celahan kisi jendela.

No comments: