Total Pageviews

Friday, January 10, 2014

Dia Inspirasi Saya

Petang Jumaat dan malamnya adalah waktu untuk saya berbaring. Usai solat, saya mengaji sambil baring. Tidak ada kerja yang boleh dibuat selain berbaring. Sengal di bahu dan belakang sangat menyakitkan.

Pagi Sabtu biasanya masih sakit tetapi saya tidak boleh lagi melakukan aktiviti berbaring itu. Saya mesti melakukan rutin biasa yakni mencuci kain, mengemop lantai, mengemas sedikit-sedikit apa yang semak, kadang-kadang menjenguk anak-anak di kampus atau kadang-kadang ke kedai membeli bawang cabai yang sudah habis. Atau kalau sedikit kuat, mencuci mobil tua saya.

Lima hari bekerja dari jam delapan sehingga jam lima sedikit melelahkan.

Inspirasi saya ialah emak. Tujuh belas Januari ini emak genap berusia tujuh puluh enam. Wanita bertubuh kecil itu ibu kepada enam anak yang masih hidup. Sebilangan besar anaknya sedang menunggunya di syurga. Mereka meninggal waktu masih kecil.

Emak yang sudah demikian tua itu masih dipinang orang. Barangkali sudah enam belas pinangan atau lebih sejak pemergian kekasihnya, gemulah ayah pada Jumaat 3 Mac 2000.

Emak sangat berbeza daripada kami, tiga anak perempuannya. Kami tidak suka memakai barangan kemas. Tidak suka bergaya. Sedikit malas dalam mengemasi diri. Tidak berdisiplin seperti emak.

Kalau ada yang mengikut kerajinan emak ialah kakak yang sulung. Langsung tiada istilah rehat dalam kamus hidup emak dan kakak. Barangkali itulah rahsia kesihatan emak. Rahsia awet mudanya.

Kadang-kadang malu dengan emak. Melihat dia bangun di tengah malam. Melihat dia melakukan amalan-amalan yang berterusan meskipun dalam masa yang sama sibuk dengan anak cucu serta melibatkan diri dalam aktiviti di kampung. Sedangkan kami yang muda ini, mahu solat di awal waktu pun menjadi satu kepayahan.

Kalau merasakan dirinya mahu demam, dengan segera dia mencapai cangkul. Dia melakukan aktiviti berkebun sehingga berpeluh. Kuman pun sangat kecewa sebab gagal dalam mencapai misi.

Emak sangat kurang tidur. Dia akan mengemas rumah dan dapur sebelum tidur biar pun malam sudah terlalu tua. Esok pagi, emaklah yang akan bangun paling awal. Pesanannya ialah, dapur mesti bersih sebelum kita tidur. Kalau tidak larat sangat pun, kemaskan ke tepi. Apabila kita bangun keesokannya, minda akan lapang melihat keadaan yang sudah bersih dan kemas.

Itu saya ikut. Kata emak, nanti suami sayang. Nanti anak-anak akan ikut amalan kita. Tetapi saya buat itu bukan sebab suami atau anak. Saya peminat emak. Walaupun sebahagian besar daripada amalan emak tidak mampu saya buat, sekurang-kurangnya yang mengemas dapur itu pun jadilah!

Paling menjadikan emak kelihatan muda dan bertenaga ialah ketawanya. Sikap suka memberi. Emak sedikit terbuka tidak seperti lazimnya orang tua. Emak menerima sesiapa sahaja, jahat atau baik. Kata mak, kita dulu waktu muda-muda pun bukannya baik sangat. Saya melihat kesannya. Emak disantuni oleh remaja penagih. Emak boleh berbual dan bergurau dengan orang gila. Pengalaman hidup menjadikan dia sangat tenang. Yang selalu saya ingat ialah kata-katanya, “jangan takut dengan apa yang ada di dunia sebab di akhirat esok macam-macam lagi yang ada”.

Namun emak masih manusia biasa. Masih ada kelemahan-kelemahan emak sebagai manusia yang tidak sempurna. Namun keistimewaan emak telah menenggelamkan kelemahan-kelemahan itu.

Sebenarnya saat menulis catatan ini, saya sangat merindui emak. Air mata berguguran tetapi saya tidak dapat pulang menjenguk mak. Saya tidak mahu mak risau melihat kerut-kerut di wajah menahan kesakitan. Saya sedang menanti cuti yang agak panjang. Maka setiap hari saya akan menelefon emak. Mendengar ketawa mak dan cerita kucing mak yang sangat bijak.

“Hari ini ada dua orang singgah minum. Yang ingat lagi tak si anu dan si anu, anak Pak Dollah Kedai?”

Memang mak menyediakan minuman dan makanan yang diletakkan atas meja di halaman rumah setiap pagi dan petang. Mak menyimen halaman depan dan membeli set kerusi meja batu. Sesiapa yang balik dari kebun getah atau dari mana sahaja akan singgah minum. Tidak perlu meminta izin. Minum dan makan sahaja apa yang ada.

Rupa-rupanya dua beradik itu baru keluar dari hospital bahagia. Mereka berjoging dan singgah di halaman rumah mak.

“Yang perempuan itu tanya mak. Dia kata rasa macam nak bunuh diri. Dia kata boleh tak kalau dia nak bunuh diri?”

Saya tidak tahu apa yang dijawab mak. Tetapi yang pastinya, mak membuka hati untuk mendengar luahan budak perempuan itu. Budak itu berasa seronok sebab mak tidak menghina. Hari itu dia pun tidak jadi untuk membunuh dirinya.

Semua kita ada sumber inspirasi.

Seperti Puan Rafidah yang selalu berkata, “saya sedang cuba untuk menjadi sekuat ibu!”

Semalam saya menerima mesej daripada pelajar saya itu. Menceritakan perkembangan tiga anak kecilnya yang sudah kematian bapa.

Apa yang boleh saya katakan kepadanya ialah, “Fidah boleh! Ibu sangat bangga dengan Fidah. Didiklah anak-anakmu dalam bulatan iman. Insya-Allah semuanya akan berakhir dengan baik...”

Ya, semuanya akan berakhir dengan baik jika itulah yang selalu kita katakan.

Apa yang kita selalu sebut akan menjadi doa.

No comments: