Total Pageviews

Thursday, January 16, 2014

Apabila Wang Menjadi Tuhan

Apabila wang menjadi tuhan, ia adalah sesuatu yang sangat menakutkan. Malah merimaskan.

Katakan isteri tidak bekerja. 90% daripada perbelanjaan diserahkan di bawah pengawasan dan pengurusan isteri. Menurut suami, itu bukan tanda gejala “ratu mengawal” (queen control) tetapi untuk mengelakkan bising-bising.

Tapi bagi saya, itulah maknanya!

Kegagalan dulu kini dan selamanya bagi seorang suami dalam menangani kerenah isteri!

Mengapa sudah diserahkan sebahagian besar wang tetapi masih tidak cukup?

Ini soal keberkatan.

Ada orang yang hanya bekerja dengan gaji kecil. Gaji yang mustahil baginya untuk memiliki perkara-perkara asas dalam kehidupan apa lagi dengan tuntutan biaya yang semakin meningkat. Tetapi apabila keberkatan itu ada, belanjanya sentiasa cukup meskipun tidak mewah. Dia tetap senyum sebab hatinya tenang.

Sebab dia tidak bertuhankan wang.

Wang sangat perlu. Itu hakikat. Tiada siapa yang mampu menafikan kebenaran ini. Itu sebabnya kita bekerja siang malam. Semuanya sebab wang.

Apabila kita menjadi taksub dengan wang, lekas mengingatkan diri bahawa wang bukan tuhan.

Baru saya tahu mengapa ada orang kelihatan begitu kedekut. Rupa-rupanya dia hanya memiliki 10% daripada gajinya untuk keperluan membeli minyak kereta, tol dan untuk makan. Kemudian peratus yang kecil itu pun menjadi tidak cukup apabila si isteri terus bising-bising seperti lalat hijau.

Sekali lagi, gejala “ratu mengawal” ini berlaku disebabkan kegagalan suami dalam mengurusi isteri. Dakwaan yang kelihatan sinikal, skeptikal dan vokal.

Bayangkan, kita bekerja setiap hari. Gaji pun boleh tahan tetapi mengapa sampai sahaja di pertengahan bulan, wang di poket sudah habis. Kita terpaksa meminjam wang orang. Balik ke rumah, bergaduh pula dengan isteri yang “ratu mengawal” itu.

Kehidupan apakah ini?

Untuk apa bekerja kalau begitu?

Menjadi lelaki bukan mudah. Kata orang, apabila kepalanya bagus, badan dan ekor juga pasti bagus.

Tetapi kadang-kadang ada juga yang berlawanan.

Ada yang kepalanya tidak bagus, tetapi mempunyai badan dan ekor bagus.

Ada juga yang kepalanya bagus tetapi malangnya badan dan ekornya busuk.

Yang penting ialah keberkatan. Semua sekali yang menghuni rumah mesti berhenti daripada bertuhankan wang.

Jika ada kekhilafan kita dalam proses bekerja, cepat-cepat kita bayar “hutang” itu sedaya upaya kita. Kalau si isteri yang sudah diserahkan 90% itu masih gagal, serahkan sahaja 50%. Atau 0%. Padan muka dia!

Itu pun jika tidak takut dengan “ratu mengawal” yang kadang-kadang menjadi “tuhan” juga!

Tetapi bagi saya, semuanya terletak di tangan suami yang telah dimuliakan Allah dengan mengangkat mereka sebagai pemimpin. Merekalah yang kena memimpin perempuan yang juga telah dimuliakan Allah untuk menjadi isteri dan ibu.

Duduk-duduk di sini, cerita “ratu mengawal” adalah perkara biasa. Kata orang, sebab adatnya. Tetapi sebenarnya gejala ini ada di mana-mana. Bukan hanya di negeri yang saya sedang menumpang duduk sekarang. Itu generalisasi yang tidak adil buat wanita-wanita di sini. Saya kenal ramai orang dan mereka bukan begitu.

Rezeki dan keberkatan, wang yang menjadi tuhan...semuanya terletak kepada diri kita. Itu pentingnya mengoreksi diri. Jangan marah jika ada orang menegur sikap kita yang terlalu berkira. Atau perangai kita yang riak dengan amalan sedekah. Atau “ketakutan” kita kepada pasangan kita.

Mengaku sahajalah!

Apabila kita mempunyai keluarga, sudah pasti kita mahu semuanya akan bergandingan ke syurga. Jangan terlalu kecoh dengan wang. Ingat selalu, hidup bukan kekal abadi. Sampai satu saat, selori wang pun sudah tiada gunanya lagi.

Wang itu perlu.

Tetapi bukan boleh dibuat baju!

No comments: