Total Pageviews

Friday, January 31, 2014

Keajaiban Masa

Jumaat itu sepanjang jalan saya menjadi puan besar.

Tujuh jam lebih baru kami tiba ke destinasi dengan dua kali rehat yang panjang. Kebiasaannya paling lama hanyalah sekitar lima jam. Tetapi jumlah kenderaan banyak di dada lebuh raya. Musim perayaan apa pun, demikianlah situasinya.

Memang sejak beberapa minggu, saya diserang rasa letih. Cuak juga, bimbang kalau tidak sempat berjumpa emak...

Sebab itu sampai dua kali berhenti.

“Ibu rasa letih. Adik berhenti lagi di Rehat dan Rawat KK ya...”

Saya hanya jadi puan besar, tetapi berasa sangat penat. Mungkin sebab sudah biasa memandu, apabila menjadi penumpang, letih cepat menyinggah.

Sesak juga di beberapa lokasi tetapi mujur budak itu semakin cekap. Sesekali saya memandang wajahnya, berasa sangat aneh dengan keajaiban masa, berasa sangat kagum dengan kekuasaan Allah Azzawajalla.

“Dulu waktu kakak dan adik masih kecil, dan ibu pula sedang memandu; kakak dan adik makan-makan jajan. Sekarang ibu pula mahu membalas dendam. Ibu mahu makan jajan...” gurau saya.

Dia masih ingat kisah-kisah masa kecilnya sepanjang pemanduan balik kampung belasan tahun yang lalu. Dengan dua budak yang hanya berselang umur sekitar tujuh belas bulan, yang kadang-kadang bergaduh dalam kereta hanya disebabkan mahu berebut tempat duduk di depan; saya diamkan mereka dengan kekaguman melihat “raksasa” yang tinggi menjulang. Atau barisan “meriam” yang muncul di kaki bukit yang mengepung lebuh raya. Atau meminta tolong mereka “menolak” dashboard dengan bersungguh-sungguh demi membantu pemanduan ibu ketika mendaki laluan berbukit.

Atau juga meneka-neka bentuk awan yang asyik berubah di perut langit. Dan kadang-kadang berhenti di tepi parit, “memancing” dengan ranting kayu dan tali rafia serta ikan “daun” yang saya ikatkan di hujung tali.

Selalu juga kami mengaji surah-surah pendek atau menyanyi lagu kanak-kanak. Bercerita bergilir-gilir, dan biasanya si adik selalu tampil dengan tajuk cerita yang sangat biasa dengan dirinya seperti “saya sehelai pampers”.

Kereta kecil yang buruk dan kelihatan mustahil untuk tiba ke destinasi dengan selamat itu adalah sebuah kenangan yang mampu menjadikan saya seorang ibu yang sentiasa bersyukur dengan rahmat Illahi yang menjaga keselamatan anak-anak kecil itu.

Rumah kecil tiangnya seribu, rumah besar tiangnya sebatang, waktu kecil kau ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang...”

Lirik lagu itu berpusaran di minda saya sepanjang hari. Saya dapat melihat elemen paradoks dalam lirik itu. Sangat aneh bagaimana rumah kecil memiliki tiang hingga berjumlah seribu dan rumah besar hanyalah sebatang.

Tetapi lirik seterusnya lagi menarik hati saya. Begitu lekasnya waktu bergerak sehingga anak yang kita timang dengan penuh kasih itu kini terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran hidup sebagai manusia dewasa.

Seperti anak-anak saya itu. Saya asyik mengulangi rasa kagum dengan the magical of time.

“Ibu selalu rasa macam tak percaya. Dulu adik dan kakak sangat kecil. Boleh berkongsi tempat duduk depan sambil dengar cerita ibu. Sekarang ibu pula yang duduk di sebelah dan mendengar cerita kalian...anehnya!”

Hidup memang dipenuhi keanehan dan keajaiban. Begitulah yang dirasai emak-emak kita. Saat melihat wajah mak yang resah menanti sepanjang hari, sekali lagi saya bersyukur kepada Allah.

Saya mengurut-urut betis mak yang mengalami kekejangan sekitar jam lima setiap pagi. Walaupun mak melarang, bimbang akan keadaan saya; tetapi saya enggan peduli. Mak sudah terlalu tua. Sama ada saya atau mak, kami selalu diburu dengan satu rasa. Oleh sebab itu saya kena mengambil peluang berbakti kepadanya meskipun bakti saya itu hanyalah setaraf sebutir pasir di pantai.

Melalui lebuh raya, ingatan-ingatan menjalar.

Melihat rangka menara telekomunikasi yang tinggi, itulah “raksasa” yang sering tewas dengan Ultraman Taro. Di jajaran bukit lebuh raya, ada paip-paip penahan hakisan akibat air yang terjulur keluar muncungnya, itulah sebarisan meriam yang menjaga keselamatan pengguna lebuh raya. Dan bantuan budak-budak itu menolak papan pemuka kereta merupakan kerjasama yang sangat bagus demi “melancarkan” pemanduan mendaki laluan berbukit.

“Geram betul. Macam mana boleh terpedaya dengan cerita rekaan ibu...” mereka selalu berkata demikian disusuli ketawa.

Barangkali itulah puncanya budak-budak itu akhirnya menjadi kreatif...seorang menulis dan seorang melukis.

“Raksasa” pun sudah semakin banyak di lebuh raya.

Agaknya Ultraman Taro sudah terlalu tua untuk “melawan” mereka...

Wednesday, January 29, 2014

Kulit Khatulistiwa

Cuti Tahun Baru Cina. Tahun kuda mengikut kalendar masyarakat Tionghua. Institut cuti enam hari. Ramai siswa-siswi pelatih berketurunan Cina di sini. Melayu dan India pun tumpang sekaki mahu berhari raya juga.

Konsep 1Malaysia ini sebenarnya cantik tetapi kelihatannya semacam hanya di kulit. Isinya masih liat dan sarat prejudisme.

Kalau CNY ini biasanya semua orang pun rasa susah. Ekonomi dikuasai masyarakat Tionghua. Kalau mereka bercuti lama, akan ada banyak masalah di pihak pengguna.

Biasalah kalau kita dengar alasan begini, “tak dapat baiki kereta sebab susah nak dapat alat ganti. Orang Cina raya...”

Itu pun ada suara-suara chauvinist yang mahu boikot memboikot!

Memanglah dalam semua bangsa ada penipu. Tetapi dalam semua bangsa juga ada orang yang hatinya baik. Kita selalu dirasiskan oleh persepsi. Persepsi pula ada yang benar dan ada yang hanya berasaskan sangkaan dan pengalaman terpencil.

Sehingga usia sudah mendekati lima puluh ini, saya sudah biasa dengan persepsi bahawa Melayu itu malas dan iri hati, Cina itu penipu dan India itu pembelit.

Kadang-kadang memang betul sebab kita membesar dalam lingkungan budaya bangsa kita. Kita duduk dalam kelompok bangsa kita sehinggakan akhirnya menjadi gaya hidup yang sebati. Alangkah baiknya jika kita turut melihat sisi positif dalam setiap bangsa. Santun dan budi Melayu atau rajinnya Cina dan...

"Kalau adik mahu melintas jalan, orang India yang selalu beri laluan. Selalu begitu..." kata anak saya.

Bagus! Maknanya orang India sangat bertimbang rasa!

Sepatutnya kita tidak boleh terlalu banyak memberi sejak awal dan ironinya kelompok yang banyak memberi itu pula sedang riuh mempertahankan sesuatu yang mereka telah beri. Seperti anak-anak kecil yang selalu kita beri mainan atau gula-gula, lama-lama mereka pun akan memberontak kalau tidak lagi diberikan benda-benda itu.

Peribadinya, saya tidak selesa apabila ada kumpulan-kumpulan yang terlampau ultra-bangsa. Sebab saya bimbang orang akan mengaitkan bangsa dengan agama.

Agama Islam bukan milik satu bangsa. Ia agama universal. Ajarannya cantik dan penuh dengan mesej kedamaian. Saya baru dapat tahu ada bekas ratu cantik Thailand yang baru memeluk Islam setelah bertahun-tahun mencari kebenaran. Seperti kata seorang ulama, “jangan lihat penganutnya tetapi selami ajarannya”.

Saya masih ingat kisah Nabi Muhammad SAW yang sangat menghormati seorang Yahudi yang dianggapnya sebagai guru. Baginda akan berdiri sebagai menghormati orang tua ini. Baginda telah memberikan teladan bahawa kita kena saling menghormati antara satu sama lain.

Boleh sahaja awas, berhati-hati apabila berurus niaga dengan apa bangsa pun sebab di mana-mana sekarang ini ramai penipu yang berwatak baik.

Cuma janganlah mendidik anak-anak dengan elemen rasis yang “terlampau” sebab kita tidak tahu entah-entah orang itu akhirnya mendapat hidayah satu hari nanti.

Bukankah seronok jika kita dapat hidup dengan harmoni tanpa menyentuh sensitiviti agama. Kita jaga agama kita dan mereka jaga agama mereka. Jangan mengganggu-gugat keharmonian hatta sampai berebut kalimah.

Sebagai guru, saya memang buta warna kulit. Bagi saya, mereka yang di hadapan saya sama sahaja. Saya harap mereka akan jadi pendidik yang baik. Yang juga buta warna kulit. Jangan hangatkan dunia pendidikan dengan isu memberi murid makan rumput seperti kambing. Sampai bila pun profesion kita tidak dihormati kalau kita sendiri bersikap tidak menghormati manusia lain.

Semua orang daripada bangsa apa pun kena berusaha hentikan api yang diam-diam membakar dalam sekam.

Itu pun kalau kita masih sayangkan negara kita ini...

Walaupun cuacanya panas dan hujan, kulit kita sudah biasa dengannya.

Saturday, January 25, 2014

Menulis Diri



Januari ini dua karya sudah tersiar. Satu cerpen dan satu sajak. Alhamdulillah.

Sekarang mahu menambah bab manuskrip. Bab akhir sebab penerbit mahu penamat cerita yang bermotivasi. Ideanya ada tetapi saya tidak boleh menulis dalam persekitaran yang hingar.

Waktu belajar dulu pun, saya memang jenis yang kena fokus. Tidak boleh ada muzik. Atau suara orang bising-bising. Ada orang yang memang kena dengar muzik atau lagu kalau mahu menelaah. Itulah perbezaan manusia dalam menangani masalah.

Ada orang kata, yang jenis fokus ini berkait dengan kesetiaan dalam hidup juga. Entah betul atau tidak, kurang pasti pula saya.

Menulis sajak pun ada gaya macam-macam. Ada orang mencatat dalam kepala. Ada orang menconteng kata kunci ikut mana yang boleh dicapai. Kalau di resit pun resitlah. Catat sahaja. Kemudian barulah diterjemahkan dalam wacana yang sempurna. Sekarang sudah ada peralatan teknologi, boleh menaip di telefon bimbit atau tablet.

Beberapa waktu ini saya gagal memuatnaik tulisan di blog. Anak-anak sedang bercuti.Saya menjadi ibu yang sibuk walaupun tahap kesihatan agak merudum. Ini waktu sesuai untuk membaiki kereta dan beberapa urusan lain yang bersangkutan sebelum semester pengajian bermula. Kena aturkan bajet untuk yuran pengajian, wang sewa apartmen, yuran kolej kediaman dan sebagainya. Ada kalanya mereka mahu makan sesuatu, saya kena usahakan. Ada kalanya pula mereka rajin di dapur, belajar memasak perlahan-lahan. Si kakak meminta ibu menulis beberapa resepi kegemarannya di buku. Boleh sahaja cari di internet tetapi dia mahu resepi ibu.

Makanlah sepuas hatimu, nak. Ini air tangan ibumu. Ada orang yang kasihan kerana kehilangan ibu. Semalam saya menghubungi anak bongsu Ustazah Mukarramah. Katanya dia bagus-bagus sahaja dan mendoakan yang sama buat saya. Kasihan anak itu, anak manja yang kematian ibu pada saat dia sangat memerlukan. Itulah catatan dan nota takdirnya.

Mahu menulis pun berasa penat. Tidur sangat lena dan jam empat setengah pagi biasanya akan terjaga. Idea banyak. Menjalar-jalar di minda tetapi masih belum ada waktu sesuai untuk mencatat. Ingatan-ingatan yang berbaur dengan rindu berombak di hati. Pengorbanan atas nama kasih sayang ini amat mahal atur duduknya.

Untuk yang mahu menjenguk usia lima puluh, memang akan sukar mahu tidur atau kerap terjaga dan gagal lena semula. Ada sebab mengapa jadi begitu. Tetapi dalam masa yang sama itu adalah ajakan Allah untuk kita melangsungkan ibadah. Semakin tua bermakna semakin dekat dengan kematian. Kita kena awas selalu. Tetapi itulah, saya sukar untuk menjadi seperti mereka yang rajin bangun malam. Ada keinginan tetapi akhirnya syaitan juga yang menang!

Malam ini saya mahu tidur dan rehat. Enam hari bekerja dan pagi hari keenam saya keletihan. Balik ke rumah tidak boleh duduk-duduk. Saya ke pasar raya mencari ikan, ayam kampung dan ketam. Si sulung sudah menyebut-nyebut mahu makan sesuatu. Dan malamnya ada keinginan lagi mahu makan makaroni goreng!

Begitulah, keletihan akan hilang sebentar kerana anak. Ini mengingatkan saya akan kasih sayang mak dan ayah. Sekarang saya sedang mengalami apa yang telah mereka alami. Ibu bapa kita tidak pernah berkira dengan apa yang telah mereka lakukan buat kita.

Dan seharusnya kita sebagai anak juga jangan berkira dengan ibu bapa.

Mudah-mudahan esok saya sudah boleh mula menulis diri...dengan aman dan tenteram!

Friday, January 24, 2014

Musim Keliru

Heboh seantero Malaya mengenai cuaca yang tiba-tiba keliru.

Khabarnya sudah turun salju di negara hujung kepala kita. Vietnam. Kemudian ada khabar angin mengatakan Indonesia juga mengalaminya di sebuah kabupaten. Cuaca di Kuala Krai Kelantan mencatatkan bacaan serendah 17 darjah.

Masuk kuliah, guru pelatih menyebut bahawa ada andaian 2015 nanti salju akan turun di Malaysia. Malaysia bakal menjadi negara empat musim.

Tidak mungkin. Namun tidak mustahil juga jika Allah mahu.

Memang cuaca agak dingin berbanding selalu. Redup sahaja seperti matahari baru lepas menangis. Membaca di sebuah akhbar online, fenomena ini berlaku disebabkan tiupan angin musim dingin dari China.

Apa pun, ada getar rasa yang sedikit menakutkan. Apakah ini juga sebahagian petanda?

Kita sibuk dengan cuaca yang menjadi dingin. Bagaimana dengan cuaca hati kita?

Anak-anak gadis saya nampak seakan tidak peduli dengan perubahan cuaca itu. Mereka bercuti dengan bersungguh-sungguh. Duduk sahaja berkurung dalam rumah dan sesekali keluar tatkala petang menjelang, iaitu selepas saya pulang pejabat jam lima.

Pesanan saya, tidak kiralah bagaimana bentuknya cuaca di luar. Panas atau hujan, mendung atau kemarau; yang penting ialah cuaca hati. Kalau cuaca hati kita cantik, apa pun cuaca di luar rumah akan menjadi indah dan manis.

Friday, January 17, 2014

Mak Sudah Tujuh Puluh Enam

Hari ini hari jadi mak yang ke-76.

Saya bersyukur sebab jadi anak mak dan gemulah ayah. Walaupun hidup miskin tetapi kedua-duanya yang mengenalkan kami dengan Allah.

Mak adalah bulan dan matahari kita yang tidak pernah sekali pun mengalami gerhana. Itulah bezanya dengan bulan dan matahari yang biasa. Apabila saya menjadi ibu untuk hanya dua orang anak, saya memahami bentuk muka bumi hati seorang mak. Pun begitu, sebenarnya pengalaman mak jauh lebih hebat. Perasaannya juga.

Sebabnya mak adalah ibu kepada enam anak yang masih hidup. Kalau menghadapi kerenah dua anak pun saya sudah begitu letih, mak pula kena hadapi perangai enam anak yang berbeza-beza. Kemudian, saya menjadi ibu yang bekerja dan punya gaji tetap. Tapi mak suri rumah dan membahagikan hidupnya di bendang dan kebun getah. Kalau musim hujan, ertinya tiada pendapatan. Kalau padi tidak menjadi, kami hanya mampu makan bubur nasi cair setiap hari.

Perjalanan hidup mak adalah novel yang panjang dan bersambung-sambung. Kerikil-kerikil yang wujud di sepanjang jalan, mak pijak dan kakinya berdarah. Hatinya juga berdarah. Pengalaman yang begitu perit telah menumbuhkan kekuatan yang tidak mampu menumbangkan mak.

Itu sebab ketika saya mengalami kepayahan, segera saya melihat mak. Jika mak boleh, mengapa saya tidak! Saya masih ingat cerita mak yang sangat menyedihkan. Mak mungkin menjadi kuat setelah melihat ketabahan ibunya, yakni tok perempuan saya. Ketabahan itu menjadi warisan. Menjadi legasi.

Saya mengabadikan cerita mak dalam sebuah sajak yang termuat dalam antologi Ratib 1000 Syair. Sajak ini sangat bermakna buat saya selain cerpen (yang telah hilang daripada simpanan) terbitan Fajar Bakti Sdn Bhd yang menceritakan kisah mak, ayah dan kesusahan hidup keluarga kami.

Sajak ini dideklamasikan secara siaran langsung dalam The Longest Poetry Recital Malaysian Book of Record pada 2 dan 3 November 2001.

Namanya Mariam (Dedikasi untuk ibuku)

Dia selamanya dilahirkan perkasa
didewasakan oleh angin, hujan, panas matahari
gulungan ombak dan kerikil-kerikil tajam
memimpin kukuh tangan ayah
lalu kembara satu daerah ke satu daerah
tanpa sepasang kasut, memijak batu-batu dan duri
terluka kami melecet seluruh hidup

Dalam usia kecil dia sebenarnya sudah perkasa
mengelek adik, kadangkala di sawah mengambil upah
tatkala melihat teman-teman menyandang beg sekolah
di anjung mata ada titis jernih
kemiskinan persis sebuah penjara
mengurung rasa dan kemahuan
sekolah tidak punya tempat untuk gadis kecil semiskinnya

setelah gadis dia menjadi lebih perkasa
menjadi suri dalam usia rebung
mendukung anak kecil dengan hati cekal
ke sekolah dewasa mengenal huruf dan angka
seringkali juga lemas dalam ejek dan fitnah
dia enggan menyerah kalah
akhirnya dia melangkah sarat bervisi

selamanya dia adalah si perkasa
kekasih puluhan tahun terlantar di ranjang
diuji Tuhan dengan perit sakit
sekaligus turut memenjarakan keinginan seorang isteri
dia masih tega mengumpul taat di hujung kepala
setiap waktu keringatnya luruh jatuh
anak-anak perlu diisi perut dan dijamu minda
di bahunya terpikul sebeban amanah

setelah empat puluh tujuh tahun berkasih
Jumaat itu kekasih tercinta bersyahadah di riba
tiba-tiba dia berasa begitu sepi
sepi itu sakit, menjerit, memekik, meronta
tetapi kerana dia wanita perkasa
dalam rindu dan kehilangan dia bangkit
menjadi gagah semula

Kerana namanya Mariam
seluruh hidupnya adalah keperkasaan!

Ratna Laila Shahidin Ogos 2001.


Terima kasih mak sebab menjadi mak saya. Tuhan sahaja yang tahu betapa syukurnya saya menjadi anak mak. Walaupun ditawarkan bergunung emas, mak tetap tiada galang gantinya. Saya tetap akan memilih mak. Selamanya. Selamanya.

Saturday, January 11, 2014

Cerpen Pembuka Jendela 2014



Nota: Ini adalah karya pembuka tirai 2014 yang terbit di akhbar pada minggu pertama 2014. Sebagai memenuhi permintaan beberapa orang, saya masukkan cerpen tanpa editan editor ini ke laman kebun ibu bunga matahari untuk dibaca. Seperti biasa, cerpen-cerpen saya tidak pernah lari daripada tema feminisme dan kekeluargaan, tema yang saya garapi sejak usia belasan tahun dahulu. Isi ceritanya mudah. Bahasanya pun mudah. Tidak mencabar seperti cerpen-cerpen penulis hebat. Cerpen ini terhasil daripada sebuah berita kecil yang biasanya tidak dipedulikan orang dalam sebuah akhbar. Berita kecil di sudut akhbar yang tidak sepenting berita pembangunan ekonomi negara. Tetapi bagi saya, negara yang hebat terhasil daripada keluarga yang hebat. Keluarga yang hebat didukungi oleh anak-anak yang sihat mindanya. Semua itu saling bersimbiosis membentuk lingkaran kehidupan.


HUJAN SUDAH BERHENTI

Ratna Laila Shahidin





“Bagaimana?”

“Entahlah Taubi. Aku bingung sekali. Kasihan Tura”

Taubi menghirup kopinya yang sudah sejuk. Diletakkan cangkir putih bercorak biru cair itu di meja dengan penuh hati-hati.

“Tapi Far, engkau juga kasihan. Bukan Tura sahaja...”

Sudah satu jam kami di kopitiam itu. Mencari jalan penyelesaian bukanlah semudah kata-kata. Kami menghabiskan waktu sementara menunggu anakku tamat sekolah. Taubi banyak membantu aku setelah pemergian Badru. Dia sangat dipercayai Badru.

“Aku tak fikir Tura betah tinggal bersama Aliyah. Sudah tujuh tahun, Far...”

Ya, sudah tujuh tahun. Tetapi aku bersama Tura sekitar enam tahun. Taubi yang sudah kami; aku dan Badru anggap adik bukanlah orang asing juga kepada suamiku itu. Taubi anak susuan gemulah ibu Badru, ertinya saudara susuan suamiku. Saudara suamiku, saudaraku juga.

Aliyah mahu memfailkan tuntutan hak jagaan terhadap Tura. Betapa pun aku mengasihi Tura, tetapi Aliyah lebih berhak. Aliyah ibu kandung Tura.

“Aku hanyalah ibu tirinya, Taubi”. Taubi memandangku penuh simpati. Entah berapa banyak sudah air mataku tumpah di hadapannya. Aku tidak punya saudara lain selain Taubi. Ibu bapaku sudah lama tiada, begitu juga dengan ibu bapa Badru. Kami masing-masing ditakdirkan lahir sebagai anak tunggal. Badru pergi meninggalkan aku dan Tura setelah setahun setengah menderita kanser otak tahap empat.

Sejak kepulangan Aliyah ke tanah air, memang dunia seakan mendung tanpa sinaran matahari. Kerjaku di pejabat banyak terganggu. Beberapa kali aku tersilap jalan balik ke rumah. Makan minum pun asyik terlupa.

“Kau kena makan juga, Far. Jangan sampai nanti kau sakit. Engkau mesti kuat untuk Tura. Yakinlah, mesti ada juga pertimbangan-pertimbangan lain yang mungkin menyebelahi engkau. Kita berdoa banyak-banyak. Buat solat hajat. Mudah-mudahan kau dan Tura tidak akan terpisah!”

Memang apa yang berlaku ini ada hikmahnya. Jika selalunya aku tidur lena sampai ke pagi, tetapi sejak akhir-akhir ini aku sering bangun bermunajat di sepertiga malam.

Jangan pisahkan kami, ya Rabb. Kasihanilah aku. Kasihanilah anakku. Kami telah bersama-sama selama enam tahun ini. Dia anakku. Dia anakku.

Saban malam air mataku mengalir seperti sungai. Apalah lagi yang aku ada jika Tura pun mahu dirampas daripada pelukan. Kehilangan Badru terlalu menyakitkan jiwa, aku tidak tahu bagaimana mahu mendepani satu lagi kehilangan dalam hidupku ini!

“Puan Far, ada orang mahu jumpa. Saya rasa dia Puan Liyah. Ibu anak puan”.

Mendengarkan itu, jantungku terasa seperti dipantak tajam. Minggu lepas dia sudah dua kali menghubungi melalui telefon. Dan minggu ini pula, dia sampai tega ke pejabat untuk bertemu. Tuhan, bantulah aku.

“Assalamualaikum Far...”

Aku mendengar suara itu. Suara yang tujuh tahun lalu pergi meninggalkan tanah air sebaik sahaja tamat tempoh pantang 44 hari. Suara itulah yang dirindui Badru sehingga lelaki itu sakit-sakitan. Suara yang tidak pernah didengari oleh Tura sepanjang tujuh tahun ini.

“Far...ini aku, Liyah. Aku Aliyah, sahabatmu. Sahabat Badru...”

Huh! Tiba-tiba aku terasa mahu marah. Aku ingin memekik sekuat-kuat hati. Sahabat? Inikah sahabat? Tujuh tahun menghilang tanpa khabar berita, itu yang dikatakan sahabat?

Tetapi ketika kuangkat muka dan tatkala mataku bertembung dengan matanya, tiba-tiba api amarah terpadam. Pekikan itu terbenam jauh di dasar nyali. Ruang kamar pejabat yang dingin berjaya memadamkan api. Wajah Aliyah masih seperti dahulu. Renungan matanya yang lembut. Garitan senyuman yang manis. Siapa yang tidak akan jatuh kasih kepada wajah selunak Aliyah?

Itulah juga yang dimiliki Tura. Senyuman, ketawa, renungan mata, semuanya. Sebab itulah aku tidak jadi untuk marah. Di wajah Aliyah ada Tura. Mana mungkin aku naik angin menatap wajah kesayangan permata hati bonda!

“Far, aku tahu kau tentu marah. Aku minta maaf. Cuma aku minta berikanlah aku peluang untuk menebus segala kesilapan yang pernah aku buat dulu...”

Itu kata-katanya. Sama seperti dialog drama Melayu di televisyen. Sudah buat silap dan sekarang merayu-rayu untuk diberikan peluang menebus dosa silam.

“Engkau tidak sepatutnya balik, Liyah. Aku sudah bersama Tura enam tahun. Aku bukan mahu mengungkit tapi engkau tidak mengenal dia sebaik aku mengenal dia. Dia anakku, Liyah!” Kataku separuh merayu. Kolam mataku sudah mula bergenang air. Biasanya aku kuat tetapi apabila hal berkaitan Tura, aku selalu akan kalah.

“Dan dia juga anakku, Far. Engkau jangan lupakan hakikat itu!” kata perempuan di hadapanku dengan nada yang lembut tetapi memanggang hati seorang ibu seperti aku.

Aliyah meninggalkan aku sendirian di kamar pejabat. Aku terperosok di kerusi dan menangis semahu-mahunya. Kali akhir aku menangis ialah pada saat kematian Badru. Itu pun setelah tidak tertahan melihat esak tangis Tura.

Aku tahu hakikat bahawa Tura bukan anak yang lahir daripada kantung rahimku. Tura bukan bayi yang sihat. Setahun lamanya Badru membujang dan membesarkan Tura sendirian. Kerjanya menjadi kelam kabut. Dia hampir diberhentikan kerja. Sebagai jiran, aku memang selalu membantu Badru menjaga Tura khususnya apabila Tura kerap keluar masuk wad.

Taubi yang mencadangkan agar kami berkahwin. Aku tahu Badru masih merindui Aliyah. Masih mencintai perempuan itu. Dia menikahiku kerana Tura. Aku sendiri bukan lagi gadis muda. Aku setahun tua daripada Badru. Selebihnya aku sangat mengasihani Tura. Tura tidak berdosa. Bayi kecil yang comel tetapi sering sakit-sakitan itu akhirnya menjadi semakin sihat setelah mempunyai ibu baharu.

Aku tidak begitu tahu mengapa Aliyah nekad meninggalkan Badru dan anak kecilnya itu. Sepanjang enam tahun menjadi isteri Badru, sekali pun aku tidak melontar tanya akan sebab musababnya. Aku tidak mahu Badru bersedih. Memang aneh, tetapi sungguh! Aku tidak pernah sekali pun bertanya. Cuma Taubi pernah memberitahu, Aliyah mendapat tawaran lumayan di kota Paris sebagai seorang model. Satu peluang yang sangat sukar untuk diperoleh. Perempuan secantik Aliyah mana mungkin duduk terperuk di dapur, bergelumang dengan percikan minyak di dapur dan melayan rengek tangis bayi.

Aku pula berhenti kerja sebagai pegawai pemasaran demi menjaga Tura. Tura tidak boleh diletakkan di bawah jagaan orang sebab dia perlukan pemerhatian dan rawatan. Tidak tahu apa penyakit sebenar Tura. Tetapi dia kerap menangis. Dia juga mudah diserang demam.

Cuma setelah Badru meninggal dunia dan sejak dua bulan ini, aku kembali bekerja. Tura sudah bersekolah. Aku pula jadi tidak tentu arah bersendirian di rumah. Maka aku kembali ke syarikat lama tetapi dengan jawatan yang baharu.

Mahu terus berperang dengan Aliyah di mahkamah? Aku tidak memiliki wang sebanyak Aliyah. Aku tidak mempunyai alasan sekukuh Aliyah. Yang aku miliki hanyalah perasaan keibuan yang mendalam terhadap gadis kecil itu.

“Mak, tadi ada seorang mak cik yang cantik datang jumpa Tura. Mukanya macam Tura. Dia tanya kalau Tura mahu duduk dengan dia di...di...eh, Tura tidak ingat di mana. Tapi mak cik itu baik sangat dengan Tura. Dia berikan Tura duit tetapi Tura ingat pesanan mak. Tura tak ambil duit tu...”

Aliyah! Kalaulah engkau dapat melihat wajah sahabatmu yang sepucat mayat ini! Kalaulah kau tahu betapa hancurnya kepingan hati seorang ibu yang dibayangi kehilangan seorang anak!

Tura yang keletah itu semakin ghairah bercerita. Dia tidak tahu amukan badai yang sedang mengganas dalam kalbu si ibu!

“Mak, mak cik tu ajak Tura duduk dengan dia. Tapi Tura tak mahu. Tura nak duduk dengan mak. Tura nak duduk dengan mak sampai bila-bila. Mengapa mesti Tura duduk dengan orang yang Tura tak kenal. Mak cik tu tak ada anakkah mak?”

Aku tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan kepada anakku itu apa yang sebenarnya berlaku. Dia masih kecil. Kalaulah dia tahu hal yang terjadi tujuh tahun lalu, tentu hatinya akan sedih dan terluka. Bagi Tura, aku adalah ibunya. Bau yang dia kenal semasa bayinya adalah bauku. Memang aku tidak mampu memberikan kemewahan kepada Tura. Gajiku kecil. Simpanan kami habis untuk membiayai kos rawatan Badru yang sangat mahal. Aku hanya mempunyai sebuah motosikal yang digunakan untuk menghantar dan mengambil Tura dari sekolah. Kereta Badru telah dijual demi menampung kos rawatan setelah wang simpanan kami habis.

Jika dibuat perbandingan, aku dengan Aliyah ibarat langit lazuardi dan kerak bumi. Aliyah yang bergaya tampak muda jelita dan mewah. Aku pula meskipun hanya tua dua tahun daripadanya, sudah kelihatan setua Mak Cik Cah, tukang bancuh kopi di pejabat. Aku berjimat cermat demi Tura sehingga lupa mengemasi diriku sendiri. Sekurang-kurangnya, dengan usaha jimat cermat itu, Tura masih boleh membeli buku-buku kegemarannya di toko buku atau sesekali menikmati ayam goreng di restoran segera.

Kasihan anak itu. Dia berhak untuk merasai kesenangan seperti kanak-kanak yang lain.

“Semalam Liyah datang jumpa aku. Dia macam nekad mahu bawa kes ke mahkamah. Kau bagaimana Far? Kau rasa kau bersedia untuk bertarung dengan Liyah?”

Aku memandang Taubi dengan pandangan kosong. Dengan senjata apa aku mampu bertarung dengan perempuan kaya itu?

Aku teringat aduan Tura selang beberapa hari selepas Aliyah menemuinya di sekolah.

“Mesti seronok kalau kita dapat main salji, kan mak? Naik kapal terbang, pergi Disneyland...” Di mata Tura terpancar sinar seronok. Dia dapat melihatnya dengan jelas.

“Mana Tura tahu semua ini?”

“Mak cik yang hari itu datang lagi jumpa cikgu Tura. Kemudian dia berbual dengan Tura di kantin. Mak cik itu yang beritahu Tura. Dia belikan boneka tetapi Tura tetap tidak mahu ambil. Tura takut mak marah. Tapi kalau lain kali mak cik itu belikan boneka, boleh tak Tura ambil, mak?”

Nampaknya Aliyah memang nekad. Dia sudah mula memainkan peranan dalam memikat hati Tura. Sepanjang hari Tura asyik membayangkan keseronokan bermain salji, menaiki pesawat yang tinggi di awan dan melawat ke Disneyland. Tura tidak menyedari bahawa impian-impian itu yang akan memisahkannya daripada si ibu.

“Aku tidak mampu, Taubi. Engkau pun tahu, bukan? Aku tidak punya wang. Aku bukan ibu kandung Tura. Semua itu sudah cukup untuk mengambil Tura daripada aku...”

“Tapi Far, faktor tujuh tahun dulu...”

“Taubi, mahkamah akan memberi peluang kepada orang yang mahu menebus kesilapan. Mahkamah akan memberi peluang juga kepada Tura untuk menikmati kesenangan hidup. Memang aku yang jaga Tura. Memang aku yang bersengkang mata untuk Tura. Tetapi kita tidak boleh melupakan hakikat. Jika Tura terus bersama aku, apa yang aku dapat beri untuknya?”

Tangisanku pecah. Kata orang, the only way to keep your child is to let her go. Mungkin itulah jalan terbaik buat Tura. Aku tidak mahu berperang dengan Aliyah di mahkamah. Aku benar-benar tidak mampu. Biarlah Aliyah kembali menjadi ibu kepada gadis kecil itu.

Dan itulah yang aku lakukan meskipun terpaksa menelan pahit dengan sejuta payah!

“Far, dengar khabar mereka akan terbang ke Paris dua hari lagi. Maaf, aku sepatutnya tidak memberitahu. Tapi mana tahu kau mahu jumpa Tura sebelum mereka berangkat...” suara Taubi di gagang kedengaran lemah.

“Far, kasihani Tura. Pergilah...” Taubi terus memujuk. Aku hanya diam. Sejak Tura pergi, aku sudah kehilangan suara. Semangatku terbang jauh entah ke mana. Dua hari sekali aku akan ke pusara Badru. Duduk membaca Yassin dan mengadu akan kesedihan hatiku.

Aku tidak boleh bertemu Tura meskipun kalbu menjerit-jerit merinduinya. Semua itu akan lebih mendera perasaan hatiku. Aku yakin Tura sedang berbahagia dengan kehidupan baharu. Aliyah pasti mampu menjadi ibu yang baik. Aku kembali menjadi diriku sebelum enam tahun yang lalu. Pergi kerja dan balik kerja. Kadang-kadang selepas habis kerja, aku akan ke masjid sehingga melepasi Isyak. Aku enggan berlama-lama di rumah. Wajah Tura bersilih ganti dengan wajah Badru sentiasa bermain-main di mataku, dengan kenangan yang begitu mengusik hiba.

Baju yang ditinggalkan Tura itulah menjadi pengubat rindu. Kubawa baju itu ke mana sahaja aku pergi. Tidurku pun bertemankan baju itu. Aku sudah kehilangan tawa. Untuk tersenyum pun, aku seakan sudah lupa.

Pagi Jumaat itu, sengaja aku memohon cuti. Aku mahu ke pusara Badru dan kemudian mahu mengikut Mak Cik Cah pulang ke kampungnya di utara. Mak Cik Cah terlalu risaukan keadaan kesihatanku. Katanya, mukaku sudah cengkung dan pucat. Dia beria-ia mengajakku mengikutnya ke kampung untuk menghilangkan segala kesedihan. Entah apa yang merasuk minda, aku terus sahaja bersetuju dan memohon cuti. Majikan yang bersimpati dengan mudah sahaja meluluskan permohonan cutiku itu.

Di pusara Badru, aku menangis lagi. Aku menangis sepuas-puasnya. Aku mahu mengakhiri kepedihanku pada hari ini. Biarlah selepas ini, kesedihan hanya terbenam di dalam dada. Aku tidak mahu menangis lagi selepas hari ini. Aku mengasihi Tura dan mahukan yang terbaik untuknya. Maka, aku perlu melepaskan dia daripada ikatan hati.

“Jika kasih, lepaskanlah...” itu kataku sewaktu Badru menangis enam tahun lalu di hadapanku. Selagi kita tidak melepaskannya, selagi itulah kita akan merana. Dan hari ini, kata-kata itu bersipongan di telinga.

“Pergilah. Mak lepaskan Tura. Mak tidak akan lupa mendoakan Tura, nak. Tura tetap anak mak dunia akhirat...”

kukesat air mata yang berjuraian di pipi. Tetapi sewaktu aku berpaling untuk menemui Mak Cik Cah di stesen bas, sebatang tubuh kecil meluru memelukku. Dakapannya sangat erat. Terpaannya menyebabkan aku terdorong sedikit ke belakang.

Tura! Engkaukah itu, nak?

“Far, terima kasih sebab izinkan Tura bersama aku. Aku tahu aku berlaku tidak adil terhadap kau. Aku sedar betapa aku menzalimi perasaan kau, sama seperti aku mengkhianati Badrushah dan Mastura. Aku tidak akan mampu menebus kesilapan dengan menambah satu lagi kesilapan. Maafkan aku, Faridah. Maafkan aku!”

Aneh, aku tidak menangis. Tangisanku sudah mengalir ke dalam hati. Tura masih memeluk kakiku. Dengan rengekan hiba.

“Mengapa mak tak datang ambil Tura. Mak tak sayangkan Tura...”

Aku duduk dan membalas pelukan Tura. Kucium pipinya bertalu-talu. Maafkan mak, Tura.

“Aku kembalikan Tura kepada kau, Far. Hanya kau yang layak menjadi ibunya...” Aliya menghampiri dan menyalamiku. Dia memeluk Tura dengan tangisan yang bertali-temali. Aliya yang cantik rupawan telah dijentik perasaan keibuannya terhadap anak kandungnya itu.

Aliya bergerak ke kereta. Tangisannya masih kedengaran dengan jelas di cuping telinga. Langkah Aliya longlai. Hampir-hampir sahaja dia mahu rebah ke tanah. Aku memandang wajah Tura. Ya, ada wajah Aliyah pada wajah anakku itu.

“Liyah!” Aku melaung. Kuat dan bersungguh-sungguh.

Aku berlari ke arahnya. Tura mengekori dari belakang.

“Liyah, aku tidak tamak untuk menjadi ibu kepada Tura. Engkau emak yang lahirkan dia. Mari kita sama-sama besarkan Tura. Kita didik dia menjadi manusia solehah. Aku tidak sampai hati memisahkan kau dengan Tura. Kau mahu berubah, siapa aku untuk menghakimi engkau!”

Langkah Aliyah terhenti. Tangisannya semakin menjadi-jadi. Dia memelukku dan Tura. Erat sekali seperti enggan melepaskan meskipun untuk seketika.

Ya, siapalah aku untuk memisahkan dua insan yang mempunyai pertalian darah itu. Tura telah kehilangan kasih seorang ayah tetapi kini dia boleh berbahagia dengan kasih sayang daripada dua orang ibu. Setiap manusia memiliki kisah hitam pada masa lalu. Aliyah mahu meninggalkan hitam dan memilih putih. Biarlah aku dan Tura membantu Aliyah untuk kekal memilih yang putih.

Hujan telah berhenti. Selamanya aku tahu, hujan pasti berhenti tatkala tiba di hujung musim!

Thursday, January 9, 2014

Bravo Kuhan And The Gang!

Minggu ini minggu kedua. Tetapi tiada interaksi pada minggu pertama. Bermakna interaksi pertama berlaku dalam minggu yang kedua.

Tiada pelajar Melayu dalam kelas itu. Sama ada pelajar berketurunan India, Cina atau separuh cina sahaja berada di hadapan saya.

Saya dan dua pensyarah membantu jabatan lain untuk delapan jam kuliah dengan empat kali interaksi (dua jam setiap kali) bagi membincangkan tajuk wacana penulisan. Saya memperoleh pelajar yang mengambil disiplin kaunseling.

Sudah begitu lama saya tidak masuk ke kelas. Bagi seorang guru, kelas adalah medan juangnya. Saya sangat teruja untuk kembali berhadapan dengan para guru pelatih.

Guru-guru ini lebih muda daripada anak bongsu saya, sekitar usia sembilan belas tahun. Sedang menghabiskan satu tahun setengah program persediaan sebelum menjadi pelajar ijazah sepenuhnya.

Resamnya remaja, mereka sangat berenergi meskipun waktu petang adalah waktu kritikal. Lucu dan meriangkan. Saya seakan lupa akan kesakitan yang menyengat di sekitar bahu. Dua jam itu saya berdiri dan mendengar cerita mereka untuk menghilangkan kantuk berkuliah.

Baru saya tahu rupa-rupanya titik hitam yang biasanya menghiasi dahi gadis India itu melambangkan bahawa mereka belum berkahwin. Menurut Kuhan, ketua unit kumpulan itu, tujuannya juga ialah supaya unsur-unsur yang jahat akan diserap oleh titik hitam yang dipakai di antara dua alis di dahi.

Saya cuba menghafal nama mereka. Ada yang saya ingat dengan jelas, ada yang samar-samar. Ada yang saya panggil Taiping sahaja sebab dia berasal dari daerah itu. Tapi wajah-wajah mereka saya ingat.

Hari ini dan semalam saya masuk ke kelas mereka. Mereka sangat pantas memberikan pendapat. Saya tidak kisah jika pendapat yang diberikan itu salah atau tidak. Saya suka melatih pelajar untuk bercakap. Sebab apabila kita berada dalam situasi sebenar di sekolah, kemahiran ini sangat penting. Saya juga membetulkan kebiasaan menyebut "unit" sebagai "unit" dan bukan "yunit" dengan memberikan contoh serta alasan yang mudah difahami.

Ada lagi empat jam dengan dua interaksi saya akan bertemu mereka. Saya tidak sabar menunggu waktu itu.

Terima kasih pelajar-pelajar unit kaunseling PIPK.

Meskipun hanya sebentar dan merupakan pensyarah yang dipinjam, saya seronok sekali ditakdirkan bertemu dengan kumpulan pelajar ini.