Total Pageviews

Wednesday, December 31, 2014

Tahun Lama Pun Menutup Tirainya

Lama tidak menulis.

Hari ini hari terakhir tahun 2014. Tahun yang penuh dengan cerita duka. Pesawat hilang, pesawat ditembak, pesawat jatuh. Banjir yang dahsyat, penindasan di Palestina yang tiada kesudahan, derita saudara-saudara kita di negara jauh.

Setiap kita ada episod duka termasuk saya. Tahun ini ujian sangat berat.

Walau apa pun, hidup wajib diteruskan biarpun kita terpaksa melangkah menggunakan tongkat atau berpegang di dinding. Berat ujian kita, tidak mungkin seberat derita ahli keluarga MH370 yang menunggu khabar berita mangsa yang tidak tahu hilangnya di lautan atau belantara. Beratnya ujian kita tidak sehebat duka yang meranap hati ahli keluarga MH17 atau pesawat Air Asia, atau sungai luka saudara-saudara kita di Palestina, di Syria, di Myanmar, bahkan di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.

Jika kita tidak berkasut, lihat mereka yang tidak berkaki.

Mari kita sibukkan diri dengan memujuk hati sendiri. Kalau kita diuji dengan anak, ibu bapa kita dahulu telah letih diuji dengan perangai kita. Kalau kita diuji dengan sakit, berapa ramai orang di luar sana yang lebih teruk sakitnya daripada kita.

Kesukaran-kesukaran hidup ini tidak akan berhenti.

Tetapi kita tidak boleh berhenti untuk mencari jalan keluar dari kotak hidup yang berliku-liku itu.

Terima kasih atas kasih sayang Allah yang memberikan segala peluang untuk saya menghirup udara milik-Nya. 

Percayalah, kehidupan dan ujiannya adalah sesuatu yang sangat menakjubkan!

Wednesday, December 24, 2014

Teladan Alam

Subuh ini hujan turun. Terbangun sekejap-sekejap sebab teriakan-teriakan si Comel yang sangat mengganggu. Jam lima pagi terus tidak tidur lagi.

Cuti Hari Natal. Orang mengambil kesempatan bercuti panjang sehingga Ahad.

Di sebelah timur Semenanjung, air mengamuk sehingga mencecah aras empat bangunan sekolah. Di negeri saya juga khabarnya lembah Kuala Kangsar sudah tenggelam. Emak sudah siap siaga dengan beg, menunggu arahan polis jika hujan masih berterusan.

Air yang lembut dan menyejukkan, akhirnya juga menjadi ancaman yang boleh meragut nyawa. Cuba fikirkan dalam-dalam, bagaimana air yang membersihkan kotoran itu boleh menjadi begitu ganas.

Air tenang jangan disangka tiada buaya.

Titisan air yang lembut boleh melekukkan batu yang keras.

Sekali air bah, sekali pasir berubah.

Air dan kehidupan.

Yang kelihatan lembut itu jangan disangka lemah selama-lamanya.

Allah sedang “mengajar” kita dengan teladan alam.

Sunday, December 21, 2014

Surut



Hari Selasa masa saya demam kuat itu saya sempat lagi mengedit tiga ribu aksara menjadi satu ribu tujuh ratus tepat. Sudah disunatkan cerita itu mengikut kehendak akhbar. Dengan ruangan yang terhad, memang kena patuhi syarat itu. Kalau tidak, nanti ceritanya jadi melompat-lompat macam yang selalu berlaku. Mengambil pengajaran itu, saya buang separuh penceritaan.

Kalau mahu panjang-panjang juga, hantar ke Dewan Sastera atau buat suratkhabar sendiri!

Hari Khamis saya dapat balasan e-mel daripada Saudara Nazmi. Tulisnya, “Insya-Allah akan disiarkan Ahad ini”. Saya membalas, “Alhamdulillah. Terima kasih”.

BH Ahad 21 Disember 2014. Tajuknya juga saya ubah mutlak. Sudah jadi SURUT daripada Banjir Di Hati. Nama-nama watak saya pinjam nama rakan-rakan pensyarah. Kisah musim banjir sekarang. Bukan cerita banjir itu yang penting tetapi cerita lain yang ada di sebalik kejadian banjir. Kebetulan, rumah ayah betul-betul terletak di tebing sungai kecil, Sungai Neruk yang mengalir di tengah dada kampung. Sekarang rumah ayah sudah berganjak ke depan. Rumah yang di tepi sungai itu telah diduduki abang sulung.

Waktu kecil, seronok sungguh bermain banjir dalam rumah. Boleh pula buang air kecil di tangga rumah. Tidak terfikir akan bahaya air yang laju. Waktu surut, ada ikan melompat-lompat di halaman. Rezeki banjir meskipun mak dan ayah serta orang-orang dewasa keletihan membersihkan lumpur.

Ketika saya menelefon mak, kata mak hujan berpanjangan sepanjang hari. Mak sudah siap sedia dalam kudrat terbatasnya untuk menghadapi serangan banjir. Sudah mengenal pasti lokasi meletakkan barang jika air naik.

Begitulah. Banjir meninggalkan lumpur yang kotor, kita berusaha membuang kotoran itu. Begitu juga kenangan-kenangan menyedihkan. Meninggalkan rasa pedih dan terluka. Mari kita cuci lumpur yang memalit hati kita.

Mari...

Wednesday, December 17, 2014

Bunga Matahariku 24

Esok puteri sulungku genap dua puluh empat. Disember delapan belas dia wujud dalam dunia keibuanku. Tidak seperti selalu, ibu kurang sihat untuk meraikan tarikh keramat itu.

Sebahagian waktu di pembaringan bukan satu pilihan. Anak, maafkan ibumu untuk yang entah ke berapa kali.

Jika kau pernah tersilap, itu ertinya ibu yang salah mengasuh.

Dengan ucapan ringkas jam dua belas tengah malam, "selamat ulang tahun kakak. Ibu sayang kakak" dan dia membalasnya, "terima kasih ibu" sudah cukup untuk sedemikian mengharukan.

Moga anak ini terus dalam peliharaan Allah, diberikan kejayaan hidup di sini dan di sana.

Kasih ibu terus ada selagi di langit ada bulan dan matahari. Ibu kirimkan doa agar ada kesudahan yang baik untuk setiap kepedihan yang terpaksa dilaluinya.

Untukmu bunga matahariku, Allah sentiasa menjagamu untukku.

Dua hari cuti hujung minggu, saya gagahkan diri berulang alik ke kampusnya di Bangi. Kali ini dia yang memandu ke mana-mana meskipun penat kaki ibu "membantunya" untuk "brek"...hahaha.

Tuesday, December 16, 2014

Demam Pulara


Duduk baik-baik selepas bergumpal





Hari kedua selepas balik dari Pulara 5, saya memang betul-betul demam. Seluruh anggota badan sakit. Saya terhoyong-hayang berjalan untuk mengambil wuduk. Meminta suami menyelimuti seluruh tubuh dengan selimut tebal, saya meneruskan pembaringan.

Saya mendengar suami berpesan, “Baby jangan nakal sangat. Ibu tak sihat...”

Hehehe...sebenarnya malam sebelumnya si Baby terkena air sabun. Dia mahu menangkap serangga yang terbang dan melompat ke sinki. Habis basah badannya yang gemuk itu.

Dua ekor itu bergumpal di lantai. Kemudian berlaku adegan kejar mengejar. Riuh rendah bunyi terlanggar kerusi, katil dan permainan. Lantaklah kau Labu...ibu sudah tidak berdaya untuk membuka mata pun.

Tetapi kadangkala haiwan pun mengerti akan keluarbiasaan. Menjadi aneh apabila melihat tuannya asyik terbaring di katil. Mereka duduk baik-baik di pintu kamar dan tidak bergumpal lagi. Walaupun lapar, mereka tidak bising. Tertib sahaja ketika diberikan rebusan ikan dan hati ayam.

Saya boleh sahaja menghilangkan demam dengan bangun dan membuat kerja sehingga berpeluh tetapi sekali ini ada masalah sebab pandangan berpinar-pinar. Kepala sakit bagai ditaji. Kaki sudah dipenuhi bengkak seperti kena ulat beluncas.

Waktu-waktu begini ada panggilan untuk bertugas. Saya betul-betul rasa rimas. Tidak kisah jika ia berkaitan jabatan sebab adakalanya ada benda-benda yang “urgent”. Saya meminta maaf sebab tidak mampu memaksa diri. Ya, kita selalu gagal menikmati cuti yang diberikan dalam jadual kerja kita sebab kita sendiri yang menjadikannya begitu.

Saya fikir cuaca panas di pulau dan keletihan berganda menyebabkan saya kurang sihat, di samping sistem pertahanan badan saya sendiri yang sudah sedia lemah.

Mudah-mudahan esok menjanjikan hari yang lebih baik daripada hari ini. Saya masih tidak terlalu tua untuk berjalan menggunakan tongkat dan terbaring lesu di katil.

Berjuanglah, ayuh...untuk esok yang manis-manis!

Monday, December 15, 2014

HADIAH SASTERA DARUL RIDZUAN KE-4





Empat malam hanya tidur sekitar tiga empat jam. Memang terlalu meletihkan.

Hari ketiga itu, sebelah petangnya ada jamuan teh meraikan HSDR ke-4 bersama MB, isteri dan exco. Saya mengelak mahu bertemu kawan lama, bukan sebab apa-apa, tetapi saya memang jenis begitu. Tidak mahu dikata orang, mengambil kesempatan. Jadi, saya memilih meja yang agak tersorok.

Petang hangat di pulau. Berbahang dan ketika berjalan kaki ke tempat menginap, serasa mahu pitam oleh panahan matahari.

Malamnya berlangsunglah acara kemuncak HSDR ke-4. Kami ditempatkan di kerusi khas di bahagian hadapan sebelah kanan, guna memudahkan untuk naik ke pentas ketika dipanggil nanti. Juruacara majlis ialah Saiful dan Zakiah Anas dari TV3. Ada tiga orang SN yang hadir iaitu SN Muhammad Haji Salleh, SN Kemala dan SN Baha Zain.

Ketika saya dipanggil, mereka memulakan teks dengan berkata, “Dengan sajaknya Anak Tanpa Rumah, dipersilakan...” Saya naik ke pentas dengan hati-hati. Kalau jatuh di tangga, bukankah sangat memalukan?

Kemudian ada sesi foto bersama MB, isteri dan exco. Di sinilah saya tidak mampu mengelak.Seperti biasa, dia menyebut, “ini kawan baik saya. Dia seorang sahaja yang masih terus menulis. Pah punya karya simpan saja dalam fail. Pah mahu ambil gambar Yang dan kirim kepada Azah...”

Saya senyum sahaja, memeluknya macam biasa. Dia pasti tahu saya janggal, malahan berasa aneh juga. Dia orang yang bagus. Masih sama seperti dahulu.

Sesi berfoto memang mengambil masa yang lama. Rupa-rupanya ada jamuan pula, makanan laut. Kena naik van. Saya sudah kepeningan sebab jam sudah melewati dua pagi. Orang-orang ini memang keturunan burung punggok agaknya...hahaha...

Majoriti pemenang dari Karyawan Pk termasuk kami bertiga dari kategori sajak eceran. Anugerah ini untuk mak, gemulah ayah, untuk warga Lembah Lenggong.

Ketika acara Secangkir Kopi esoknya, Pak Malim Ghozali Pk, Sasterawan Perak yang ketiga memanggil saya dan menyatakan, “ kome kena aktif menulis. Usaha sungguh-sungguh. Kome tahu tak, HSDR ini kita yang paling tinggi hadiahnya dari anugerah sastera yang lain. Kome tahu berapa? RMxxx...”.

Insya-Allah, kata saya walaupun memang tiada dalam kamus hidup bahawa saya akan meraih anugerah berprestij itu. Setakat hadiah-hadiah kategori lain, barangkali saya mampulah. Kepada panel hakim, SN Anwar Ridhwan, Dr Mana Sikana dan Dr Abdul Rahim Abdullah; saya mengucapkan terima kasih atas pemilihan ATR dalam ratusan sajak yang dinilai.

Saya membawa balik dua lagi antologi puisi untuk Cabaran Melewar 2014.

Saya pulang ke ibu negeri tempat saya menumpang, dalam lebat hujan dan kesesakan di lebuh raya. Raja Rajeshwari menumpang sehingga ke Rawang. Seperti katanya, “ada hikmahnya...” kami berdua balik bersama-sama. Dia penulis bukan Melayu, pensyarah IPGBM. Sepanjang-panjang pertemuan di acara-acara lain, kami jarang berbual. Saya mengenali peribadi wanita hebat itu dari dekat.

Jam delapan setengah malam saya tiba. Mengunci pagar dan meninggalkan bagasi dalam kereta. Saya berlarian masuk ke rumah. Kasihan Baby dan Comel. Meskipun si Era dan adik-adiknya sentiasa memastikan kebajikan si bulus-bulus, saya tidak sabar mahu menemui mereka.

Esoknya badan saya sudah tidak mampu bertahan. Seluruh badan sakit. Seakan mahu demam. Betul-betul tidak berdaya mahu berjalan pun. Tetapi saya gagahkan juga mop lantai dan mencuci kain perlahan-lahan.

Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-4 ini sangat manis sebab ia berlaku di negeri saya. Berada di pentas, saya selalu ingat kepada mak dan ayah. HSKU dahulu pun begitu. Kalau mereka tidak rajin bercerita waktu mahu tidur, tentu saya pun tidak pandai berkisahan seperti sekarang.

Saya berdoa agar Allah memelihara hati-hati saya dan kita. Hilangkan rasa riak dan sombong, sikap berasa diri sangat bagus.

Allah boleh tarik ilham kita bila-bila masa.

Friday, December 12, 2014

Di Pulau



Malam itu saya tidur lewat. Barangkali jam dua belas setengah begitu baru saya lelap. Jam lima pagi saya terjaga, bangun dan menguruskan bulus-bulus yang akan ditinggalkan.

Saya menyiapkan jadual untuk memudahkan si Era, anak jiran untuk memberikan makanan dua kali sehari. Tepat jam tujuh lima belas saya bergerak meninggalkan rumah menuju ke pulau. Saya ikut jalan Kuala Selangor. Ada tempat-tempatnya, struktur jalan sangat teruk. Alhamdulillah sekitar jam 11.25 pagi saya tiba di Jeti Lumut. Kak Rosmiaty Shaary, Kak Siti Zaleha Hashim, Encik Djazlam Zainal dan keluarga sudah menunggu.

Di Jeti Pulau Pangkor, ada urus setia menanti. Saya ditempatkan di Puteri Bayu, bukan Coral Bay seperti selalu. Aras empat. Tetapi kemudian ada seorang peserta yang kasihankan saya dan memberitahu urus setia supaya memindahkan saya ke aras bawah. Alhamdulillah.

Sidang pertama membicarakan kumpulan puisi Kembali Ke Fitrah karya Kak Rosmiaty Shaary. Saya bertemu Madam Chapouthier. Ketika menyalaminya, beliau memegang tangan saya dan berkata, “Ibu Bunga Matahari! Thank you...” Eh! Rupa-rupanya dia telah google blog saya. Dia suka membacanya dan cam muka saya. Saya pernah menulis tentang Madam Chapouthier. Dia langsung memberitahu bahawa, “e-mail your story to me. Nanti saya hantar ke Pelanduk”. Bersungguh-sungguh dia menulis e-melnya dan meminta saya berjanji untuk menghantar.

Dia MGSian seperti saya juga. Tetapi jauh lebih senior. Sekarang saya tahulah, jika dalam statistik blog yang digoogle dari Perancis, maknanya itu dari Madam Chapouthier!

Malamnya acara baca puisi. Saya pembaca kedua. Saya baca sajak Ketika Menatap Laut yang belum selesai “dicuci” diksinya.

Seorang rakan, Usman Gumanti datang dan memberitahu, “saya baca sajak you minggu lepas. Saya suka dan teruja. Tetapi saya tidak begitu senang dengan perkataan Inggeris yang diMelayukan dalam sajak itu...”

Ya, saya tahu. Perkataan “integriti”.

Memang ada kritikan sosial di situ dan saya sukar mencari perkataan. Hanya itu yang automatik muncul di minda. Saya gembira sebab ada sahabat yang tekun mengikuti karya saya yang tidak seberapa. Terima kasih yang tidak terhingga. Itulah sahabat yang jujur. Menegur untuk sesuatu yang lebih baik.

Ada beberapa acara berjalan dan saya keletihan. Tetapi kesempatan bertemu rakan-rakan tidak mungkin saya biarkan berlalu.

Saya suka sekali berdiskusi dengan Cikgu Chai Loon Guan, Rajeswari Seetharahman, Zulkifli Mat Top, Pak Baharuddin Kahar tentunya...

Novelis tersohor yang sangat simple tetapi memiliki keupayaan intelektual yang tinggi. Pak Baha bercerita tentang novel yang sudah ada dalam kerangka pemikiran, beberapa elemen kecil yang mahu diangkat untuk menjadi besar dan “mendunia”.

Antologi Puisi Pangkor 4 turut mengandungi sajak saya, Hujan Di Pulau. Cantik buku itu.

Festival Puisi dan Lagu Rakyat Pangkor kali ini tidak seramai festival yang lalu. Tetapi saya tabik dengan Pak Malim Ghozali dan pasukannya. Beliau kelihatan begitu uzur, berjalan menggunakan tongkat.

“Doktor tak beri ubat kat aku. Ya la, tahap empat macam ini, kalau dapat sedikit masa lagi pun cukuplah. Masa untuk bertaubat...” katanya kepada saya dengan sedikit tawa di hujung. Beliau juga mengulang harap supaya saya dapat mengumpul cerpen dan menghantarnya untuk penerbitan antologi.

Melihat kegigihan Pak Malim, kita malu sendiri. Dia dengan segala keterbatasan, kudrat dan kesihatan; tetapi masih mampu melangsungkan acara antarabangsa seperti ini.

Hidup ini berkisar tentang perjuangan dan pertarungan untuk menang.

Pak Malim telah membuktikannya!

Sunday, December 7, 2014

Tanya Kepada Diri



BH Ahad 7 Disember 2014. Tajuknya Tanya Kepada Diri. Saya menulisnya semasa di kampung yang lima hari itu setelah membaca laporan akhbar tentang penerokaan di tanah tinggi sehingga menyebabkan alam menjadi marah.

Hakikatnya ialah kita tidak boleh menyinga melulu terhadap sesiapa sahaja yang gigih dan rajin meneroka. Persoalan dasarnya ialah di mana penguatkuasaan? Atau adakah dalam garis lurus penguatkuasaan tersebut, ada yang melencong di sana sini?

Kita bagi, kemudian kita mengamuk. Mahu arah tentera dan polis menggempur. Masalahnya, diumumkan pula dalam akhbar. Tidakkah *** namanya? Seakan memberi peluang untuk yang terbabit melarikan diri, bukan?

Kasihan tanah tinggi dan belantara kita.

Yang sebenarnya, kasihan kita...

Saturday, December 6, 2014

Hujan Di Kuala Lumpur

Berada di Kuala Lumpur tiga hari dua malam untuk mesyuarat.

Kamarnya luas. Ada ruang tamu dan bar. Hari pertama Kuala Lumpur panas. Subuh hari ketiga, buminya dibasahi hujan. Saya mendengar ngauman guruh nun jauh di langit. Hujan pagi mencurah dan saya melihatnya dari aras tiga belas A.

Waktu turun naik ke bistro untuk makan, atau ke dewan seminar di aras tiga A, saya perasan bahawa tiada aras empat atau empat belas. Saya sebenarnya menginap di aras empat belas, tetapi aras itu ditukar menjadi 13A, sementara dewan seminar berada di aras empat tetapi ditukar menjadi 3A.

Hmmm...ketakutan-ketakutan kepada nombor empat yang dipercayai membawa malang! Sebijak-bijak manusia pun masih ada yang taksub dengan misteri nombor.

Hidangan hotel itu kaya dengan telor. Ada yang bergurau, barangkali pemiliknya mempunyai ladang ayam telor. Hari ketiga, perut saya sudah tidak boleh menerima. Mual dan mahu muntah.

Di tepi hotel ada kelab malam. Waktu-waktu begitu boleh nampak orang-orang yang mabuk dan perempuan-perempuan yang hilang arah. Keseronokan sementara yang tidak memberikan kebahagiaan jiwa.

Generasi anak cucu kita nanti bagaimana? Masih bolehkah diselamatkan daripada gaung kebobrokan yang menganga luas itu?

Bersyukurlah kita sebab kita jauh sedikit daripada benda-benda begitu. Mereka pun barangkali mahu pulang tetapi tidak nampak jalan. Atau sudah ada jalan tetapi penuh dengan sekatan-sekatan.

Ada orang tidak gemar jalan lurus. Jalan berliku-liku lebih adventure. Mana-mana jalan pun, kita akhirnya akan menuju Tuhan.

Merenung hujan yang lebat, saya teringin meraba angin yang sesekali menyapa juga. Ingatan-ingatan merayap. Wajah mak yang jauh di Lenggong, anak-anak yang tidak sempat bertanya khabar ekoran terlalu sibuk, bulus-bulus saya di rumah, juga kebimbangan akan tahap kesihatan sendiri.

Tuhan, jaga mereka untuk saya!

Tuesday, December 2, 2014

Dari Celahan Jendela

Sebenarnya saya berada di kampung lima hari. Hari ini membawa mak ke klinik untuk suntikan dan ubat. Doktor Azmi yang pernah merawat allahyarham ayah empat belas tahun lalu masih ingat benar dengan saya. Banyak yang kami bualkan khusus berkaitan kesihatan mak.

Saya kena balik ke ibu negeri tempat saya menumpang tinggal sementara itu sebab cuti saya diganggu. Nampaknya perancangan saya untuk fokus menulis sesuatu juga ikut terganggu. Entahlah masih sempat atau tidak.

Sementara menunggu-nunggu mak di klinik swasta dan kakak ipar di klinik rakyat, saya membuka laman maya. Oh, ada “pergaduhan” rupa-rupanya. Dunia sastera yang pada saya sedikit suci ini sebenarnya sama sahaja dengan dunia politik yang hari-hari kita baca berita di akhbar perdana dan tidak perdana.

Saya tidak menyebelahi mana-mana bukan sebab mahu menyelamatkan diri. Tetapi saya menulis sebab saya suka menulis. Lebih banyak percuma daripada yang dapat duit. Semuanya sebab passion.Kalau ada pihak mahu bagi hadiah, saya ambil. Kalau ada pihak siarkan di media mereka, saya bersyukur. Saya bukan pandai sangat menulis dengan kisah-kisah luar biasa yang massa tidak faham. Saya menyukai karya Allahyarham Ustaz Azizi. Kalau tuan-tuan peminat beliau juga, tentu tuan-tuan memahami maksud saya.

Jangan nanti kita dikatakan syok sendiri. Kita menulis dengan tajuk-tajuk yang orang baca sekilas pun bikin pening. Belum lagi membaca ayat pertama. Saya kata itu sebab saya bukan orang bijak pandai. Marhaen seperti saya, menulis bukan untuk glamor. Ke sana ke mari dengan tiket sastera tetapi kelihatan seperti tiada beza dengan dunia artis glamor dan elit politik yang biasanya kita pandang serong itu.

Kalau mahu polemik, silakanlah. Tetapi jaga adab supaya orang yang bukan sastera tidak gelakkan kita sampai berguling-guling di lantai.

Macam yang dikatakan oleh seorang kakak ini, “hipokrasi berlaku di mana-mana. Tulis ayat Quran, tulis yang murni dan molek, tapi hakikatnya dahsyat!”

Saya jauh ketinggalan, selalu saya begitu dalam sebarang isu. Orang sudah hangat dengan bara api, saya baru tahu. Rasa macam mahu menarik diri dan berjalan sendirian seperti yang dibuat beberapa orang. Prolifik juga mereka.

Marilah kawan-kawan, kita menulis sebab kita suka menulis. Saya mungkin ada tambahan iaitu mahu tunjukkan kepada mak (dan ayah juga). Apabila saya membaca sajak atau cerpen yang tersiar di hadapan mak, saya rasa seronok. Buat apa kita gaduh-gaduh. Polemik boleh tapi jangan sindir menyindir terutama penulis-penulis (?) baharu. Jaga adab apabila kita mahu memberikan pendapat terhadap pak cik-pak cik dan otai-otai sastera, meskipun kita merasakan lebih advance daripada mereka. Orang tua ada deria yang cepat menangkap sindiran dan kiasan. Bukankah mereka lebih dahulu makan garam daripada kita?

Ada dua “pergaduhan” yang tiada kena mengena pun dengan saya tetapi melibatkan orang-orang yang saya kenal.

Aigo...kena bersiap-siap mahu pulang ke ibu negeri tempat saya menumpang itu. Berat hati. Terlalu.

Tekat selendang untuk si dara, dara memakai manis sekali; tempat orang...orang juga, mana nak sama negeri sendiri...

Thursday, November 27, 2014

@#$%^&*()_+


Sedang "mengemas" rumah


Sajak yang disambung tulisannya oleh Baby


Tandas Smartshif untuk bulus


Tatkala melihat sekumpulan semut kecil gigih mengangkut seketul gula dengan segala kudrat, kita cepat mengambil pengajaran daripada teladan serangga mini ini.

Allah telah menciptakan pelbagai perkara untuk kita jadikan contoh. Menjadi motivasi antara satu sama lain. Oleh sebab itu jangan memandang rendah akan serangga bersaiz mini seperti sang semut. Hatta seekor nyamuk boleh mengakibatkan kematian seorang manusia atau kelompok manusia yang kononnya gagah perkasa.

Ada orang yang bertanya mengapa saya menyusahkan diri dengan mengambil dua anak angkat yang berbulu-bulu itu. Kos penjagaan dan pemakanannya tinggi. Mahu ke mana-mana pun susah sebab memikirkan hal mereka di rumah. Betullah tu. Mana mungkin kedua-dua anak gadis saya itu pandai memasak ikan yang ada dalam peti ais. Atau membantu menyapu lantai rumah, apa lagi mencuci kain.

Makin menyemakkan rumah, memang kepakaran merekalah!

Saya tahu memang banyak gangguan dan "kekacauan" yang akan berlaku terutama ketika saya mahu berkarya. Satu daripada huruf di papan kekunci komputer riba saya telah hilang entah ke mana. Di atas komputer ada kesan cakaran. Ketika saya menulis puisi, mereka pun sibuk juga menaip. Kalau mahu membaca, mereka akan "membaca" juga dengan baring di atas buku atau akhbar dan menggigit helaian seperti tidak makan sepuluh hari.

Mereka adalah terapi saya. Wah, ada lagi orang kata, mengajilah banyak-banyak. Memanglah mengaji, tetapi tidak salah juga kalau menganggap memelihara kucing sebagai terapi. Mereka haiwan kesayangan Nabi. Mereka pembersih. Meskipun bulu yang gugur itu najis tetapi ada kesepakatan ulama bahawa ia najis ringan dengan maksud kucing adalah haiwan yang memang habitat dan takdir alaminya tinggal di persekitaran manusia.

Ketika saya mahu kalah dengan ujian, Allah datangkan mereka untuk saya.

Meskipun tidak pandai membasuh baju atau mencuci pinggan, tetapi mereka membasuh kedukaan saya, mencuci bekas air mata yang mengalir jauh ke dalam hati.

Tuesday, November 25, 2014

Kopi? Entah...

Kesihatan merudum beberapa minggu ini. Asyik terlupa mengambil ubat barangkali antara puncanya selain banyak hal bertandang di minda.

Sebelum cuti, saya mendapat “upah” berlakon dalam Sang Patriot Bangsa. Dengan wang itu, saya belikan Smartshif, tandas untuk Baby dan Comel. Tetapi sehingga saat ini, kedua-duanya masih belum pandai masuk dan keluar dari swinging door tandas tersebut! Penat si bongsu yang balik sebentar menjenguk saya, melatih si bulus-bulus.

Kehidupan ini seperti minum kopi. Kopi tanpa gula, pahit. Tetapi menambah gula berlebihan, akan membawa penyakit. Ada orang menikmati kopi tanpa gula sebab bagi mereka itulah yang sebenar-benarnya kopi. Tetapi ada orang yang hanya memandang sepi kopi tanpa gula. Kopi yang tawar tidak memberikan apa yang dipanggil sebagai nikmat.

Ada apa dengan kopi? Entah. Saya tulis sahaja dalam serabut yang berselirat.

Wednesday, November 19, 2014

Perempuan dan Penjara-penjaranya

“Susah betul kahwin dengan orang yang kedekut dan terlampau berkira...” keluhnya. Mukanya yang manis sudah hilang kemanisan. Kes berat ni, fikir saya.

Saya menadah telinga, bersedia untuk mendengar. Bukan mudah untuk seorang isteri pendiam sepertinya meluahkan sesuatu kepada orang lain. Hambatan dosa sentiasa mengejar kerana membuka aib pasangan.

“Sudah lama?” tanya saya.

“Sebelum kahwin lagi sudah tahu tapi...puan pun arif kan...kita ini kalau bercinta, semuanya bisa diatur...”

Alamak, macam ada najis burung garuda jatuh setempek ke muka saya! Hmm...kata-katanya memang dua ratus peratus benar. Kita fikir cinta mampu mengubah manusia dan diri kita, tapi ternyata hakikatnya hampas-hampas belaka.

Saya berlucu, “tapi puan perasan tak? Orang kedekut pun tak suka kalau ada orang yang kedekut dengan dia...”

Dia tersengih sedikit. Saya beritahu dia, saya sendiri tidak boleh tahan berkawan dengan orang yang kedekut, berkira dan suka mengambil kesempatan.

“Ya la, puan. Mula-mula saya boleh bertahan. Tapi lama-lama apabila semua perkara saya yang kena bayar, kena urus...saya manusia biasa. Lama-lama saya rasa penat sangat dan tertekan. Kalau yang melibatkan kepentingan dirinya dan keluarganya, saya kena berkorban tidak kira masa, kena memahami kekangan-kekangan mereka, tetapi apabila melibatkan hal saya...”

Memang dia isteri baik. Saya mengesannya daripada atur bahasanya yang begitu awas dan tersekat-sekat. Seperti yang saya katakan tadi, kita diajar untuk mentaati suami, menyimpan aibnya sehingga memakan hati kita sendiri.

“Sebenarnya agama kita tidak ajar begitu, puan. Suami yang kena jaga kita sebab kita adalah amanah Allah, bukan kita yang jaga dia sampai jadi seperti babu. Puan biasa dengar kan, selepas menjadikan kita babu, suami akan cari lain, yang lebih bergetah dan serupa peragawati...” katanya.

Kedekut-kedekut pun ada hati mahu cari yang serupa peragawati? (Tiba-tiba juga saya teringat teka-teki si Irfan, "binatang apa yang kedekut?")

Sebenarnya saya mahu menambah begini...”yang serupa peragawati itu macam buah yang cantik kulitnya tetapi dalam berulat...” tetapi saya simpan sahaja kata-kata itu. Saya tidak boleh menambah garam dalam gulai yang sudah sedia masin.

Saya pernah mendengar ustaz menyebut, suami kena faham maksud wang nafkah dan wang dapur. Kalau tidak jelas bayaran untuk yang mana satu, suami kena minta halal daripada isterinya. Kadang-kadang isteri menggunakan wangnya sendiri untuk membeli barang dapur, membayar bil, dan sebagainya sedangkan sepatutnya itu di bawah tanggungjawab suami.

Jangan main-main dan anggap enteng, kata ustaz. Esok-esok di akhirat, jenuh mahu menjawab soalan daripada Allah SWT.

“Orang lelaki sekarang...” katanya, “sudah tiada harga diri sebagai lelaki...”

Oh, oh...saya memahami perempuan seperti ini. Dia seperti gunung berapi pendam yang begitu lama berdiam dan bertahan. Ramai yang begitu di sekitar kita, barangkali termasuklah diri kita sendiri.

“Ada isteri atau suami yang dapat pasangan yang sangat bagus, tetapi tidak bersyukur pula. Kalau kena macam saya, baru mereka tahu!” dia menamatkan kisahnya dengan lega. Ada banyak hal yang diceritakan tetapi terpaksa off record. Dia membenarkan saya menulis “untuk perkongsian dengan mereka yang senasib dan sebagai iktibar kepada yang sedang bercinta”.

Awalnya saya kurang berminat mahu menulis tentang hal rumahtangga. Kepenatan yang sejak Khamis lalu menghuni jasad saya, belum terusir. Sudah seminggu ini tidur saya tidak cukup. Kepenatan seperti pakaian yang melekat di tubuh.

Tetapi wajahnya berapungan di udara ingat.

Wajahnya yang sedih. Tutur katanya yang diamuk rasa bersalah. Beban yang bersesakan dalam minda. Dirinya yang terkurung dalam kepiluan yang hanya dirinya sendiri yang mengerti.

Apa pun, itulah nasibnya menjadi perempuan dalam masyarakat yang seperti kita ini.

Kenyataan sarkastik? Kejam?Tidak berpijak di bumi nyata? Berbau feminisme? Pesimis? Prejudis?

Apa-apalah ya!

Tuesday, November 18, 2014

Meledani Waktu. Dan Mak.

“Kalau tidak sedap hati, balik sahajalah kak” kata Adik Faiz.

Rupa-rupanya hari itu sudah Khamis. Maknanya kena cepat isi borang cuti. Petang Khamis saya menuju ke kampung. Hujan sangat lebat. Angin ribut yang kuat. Sampai di Lebuh raya Guthrie, suami menghantar mesej, “berhenti di sisi jalan. Hujan sangat lebat...”

Memang tidak nampak apa yang ada di hadapan. Jadi, saya pun berhenti di sisi jalan. Menunggu dan menunggu hujan mereda. Ada beberapa kereta juga ikut berhenti. Dalam hati saya sedikit rusuh, sampaikah saya ke kampung yang jauhnya beribu batu?

Tidak mengapa, pasti Allah membantu saya. Mula-mula terfikir mahu menginap semalam di apartmen si bongsu, tetapi kemudiannya saya nekad meneruskan perjalanan. Kalau mak di tempat saya, pasti mak pun akan berbuat seperti saya. Saya tidak singgah di Puncak Alam atau mengambil barang yang mahu dikirim suami. Tidak sempat. Hari semakin gelap dan muram.

Perlahan-lahan saya menyusuri gelap malam menuju ke kampung bersama si Baby. Dia menangis sehingga ke Nilai. Kemudian saya baru teringat mahu memasang CD surah untuk kanser. Setelah memasangnya, barulah dia tenang sedikit. Dia duduk diam di hujung kaki kiri saya. Tidak mengganggu pemanduan.

Berhenti juga untuk ke tandas. Kena berkorban sedikit dengan berhenti di hentian sebelah sebab parkirnya dekat dengan tandas.

Jam sembilan malam baru saya tiba di halaman mak. Mak sedang solat. Nampak wajahnya tidak seceria biasa. Kudratnya sudah banyak hilang.

Esoknya pagi-pagi saya ke pasar. Balik dan masak sup untuk mak. Sebelah petang, saya masak tomyam pula. Seronok lihat mak makan walaupun saya tahu mak hanya mahu mengambil hati saya. Selera mak sudah tiada.

Malamnya saya dan abang ke Ipoh, ada hal kecemasan. Lama kami di sana. Jam dua pagi baru tiba semula ke rumah mak. Esoknya pagi Sabtu saya memasak untuk mak dan anak-anak saudara yang ada di rumah sebelum bergerak semula ke Ipoh untuk ke Darussyifa’.

Jam tujuh pagi Ahad, saya ke pasar Lenggong. Pekan kecil itu lengang. Saya membeli sayur-sayuran dan bekalan dapur untuk mak. Hampir terpijak seekor adik kecil yang membulat di ruang pejalan kaki. Barangkali cuaca dingin menyebabkan dia tidur di situ. Saya memegang belakang lehernya dan memasukkan ke dalam kereta.

Adik kecil itu menangis kuat. Bingit sekali. Tetapi sampai ke sekitar perkuburan Cina, dia senyap. Saya fikir dia sudah kepenatan. Apabila tiba di rumah, barulah saya tahu diamnya bersebab. Dia menyelongkar ikan rebus dalam plastik dan makan seekor ikan dengan lahapnya.

Sampai di rumah, mak mandikan adik kecil itu dan membalutnya. Kasihan dia. Mudah-mudahan dia sihat sejahtera dalam peliharaan mak.

Saya menuju ke ibu negeri tempat saya menumpang duduk dengan dua ekor makhluk berbulu. Singgah sebentar di Puncak Alam, makan bersama si bongsu dan memberikan wang minyak keretanya. Kemudian singgah pula di Bangi menjenguk si sulung. Dia kelaparan sebab kafe kolej kediamannya tutup. Kami ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan.

Waktu menunggu si sulung di luar pasar raya, saya ditegur seseorang.

“Kak, ini baka benggal ya? Anak saya beritahu. Kak nak jual?”

Lelaki itu dengan dua anaknya melihat-lihat si Baby.

“Ya, benggal marble...”

Kami bercerita banyak perihal kucing. Mereka sekeluarga peminat baka benggal dan scottish fold. Katanya, harga benggal mahal. Saya kata tidaklah semahal baka spinx yang tiada bulu. Harga baka itu mencecah RM10 ribu. Anaknya yang perempuan ganas sedikit. Saya bimbang si Baby stres. Jadi saya kata, “hati-hati dik. Kucing ni agresif...” sebenarnya Baby hyper-active, bukan agresif.

Setelah keluarga itu pergi, datang lagi beberapa orang. Antaranya ialah pelatih veteriner. Dia menunjukkan beberapa gambar pembedahan untuk memandulkan kucing. Lama juga melayannya sebab dia juga sukakan baka benggal.

Saya sampai di rumah menghampiri Isyak. Mengemaskan keperluan ahli baru dan si Baby, kemudian mencuci kain baju.

Sesi berkenalan berlaku antara dua kucing itu. Malamnya saya tidur dengan Baby sebab si Comel belum saya mandikan. Malam kedua barulah dua-duanya tidur dengan saya. Sukar juga mahu tidur sebab mereka berkejaran bermain dalam bilik. Akhirnya sejuk pendingin hawa menyebabkan mereka lena. Si Comel naik ke atas badan saya, mujur saya tidur dengan memakai topeng penutup mulut dan hidung.

Hari ketiga, kedua-duanya sudah boleh makan bersama. Baby tidak lagi hairan melihat ada entiti lain dalam rumah. Hari ini atau esok, saya akan bawakan si Comel ke klinik untuk mendapatkan suntikan, sementara Baby dihantar untuk grooming. Kukunya sudah panjang. Calar-balar tangan saya dibuatnya.

Menelefon mak awal pagi ini, terdengar suaranya lesu. Bertahanlah mak, saya akan mencuri waktu untuk pulang dan menemani mak.

Betapa banyak pun kita meladeni ibu bapa kita, perbandingannya masih seperti langit lazuardi dan kerak bumi.

Tidak akan sama selama-lamanya.

Mereka telah mengorbankan kegembiraan hidup untuk kita. Dengan kesempitan hidup dan kurang ilmu, mereka membesar dan mendidik kita.

Tetapi kita yang ada wang dan ijazah pertama, kedua dan ketiga...tidak menghasilkan didikan yang bagus seperti mereka.

Jelaslah bahawa wang, pangkat dan ilmu dunia bukan ukuran kejayaan mendidik keturunan. Semuanya bermula daripada keberkatan.

Ya. Keberkatan!

Monday, November 17, 2014

Irfan Si Budak Bandar

Ahad, saya ke pasar awal pagi. Pulang dan memasak untuk mak. Memastikan mak makan sebelum saya ke Ipoh menghantar anak-anak saudara saya, langsung mahu bergerak pulang ke ibu negeri tempat saya menumpang duduk.

Sepanjang perjalanan kami bermain siapa yang paling banyak pilihan warna kereta. Saya memilih warna putih, Iskandar biru dan Irfan merah. Rupa-rupanya permainan tahun awal 70-an semasa saya masih di tadika dan sekolah rendah itu, masih dimainkan oleh budak-budak sekarang. Bezanya, zaman kecil saya, kereta belum begitu banyak. Kami biasanya duduk di pondok menunggu bas sambil mengira kereta yang lalu.

Sampai di Sungai Siput, kereta warna putih sudah mencapai angka seratus. Jadi, saya mengisytiharkan diri sendiri sebagai pemenang dan secara automatiknya menarik diri daripada pertandingan. Saya memberi harapan kepada Irfan, “mana tahu tiba-tiba ada konvoi kereta berwarna merah!”

Anak-anak saudara saya itu seorang di tahun satu dan abangnya di tingkatan satu. Irfan bertanya mengapa kereta banyak yang berwarna putih.

“Warna putih sesuai dengan cuaca panas di Malaysia...” terang saya.

Malangnya, sehingga ketika tiba di Ipoh, Irfan masih kekal di posisi akhir.

Dua malam lepas, budak dua orang itu mengikut saya balik ke kampung. Irfan mahu duduk di hadapan. Jenuh mendengar dia bersembang. Jam menunjukkan pukul satu setengah pagi tapi dia masih rancak berbual, bermain teka teki dan meminta saya bergilir-gilir bercerita.

Kulitnya cerah, berambut kerinting seperti gemulah ayah saya. Mukanya sentiasa senyum, gigi sebaris cantik. Dia suka makan menyebabkan badannya tembam. Paling menarik mengenai Irfan ialah dia suka bersembang, malahan kadang-kadang ayat yang dituturkan kelihatan begitu skema dan lucu.

Malam kedua, jam sudah lewat juga menghampiri dua belas lebih. Awalnya dia beritahu bahawa dia sudah kenyang. Tetapi entah bagaimana, dia mahu makan nasi dan meminta saya goreng telur separuh masak.

“Telor mata?” tanya saya.

“Bukan! Telor separuh masak. Tak apa, nanti saya ajar makyang!”

Dia meminta saya meletakkan minyak dalam kuali. Kemudian pecahkan telor. Terbalikkan dan pastikan jangan masak sangat.

“Ha, tengok tu. Biar meleleh. Budak bandar saja yang pandai makan telor macam ini. Umi (ibunya) sahaja yang pandai buat. Orang kampung macam makyang dan ayah memanglah tak pandai...”

Hahahaha...sabar sahajalah!

Ketika di masjid menunaikan solat, ada sekali kawan-kawan ayahnya mengirim gambar si Irfan sedang solat sambil duduk atas kerusi. Bila ditanyakan mengapa dia solat duduk, katanya dia sangat penat.

Ketika kami solat berjemaah dan menunaikan solat hajat, dia yang paling lama sujud. Orang sudah lama memberi salam, dia masih sujud.

Uminya bertanya apa yang dia minta kepada Allah. Katanya, “banyak! Saya minta mula-mula mahu jadi kaya sebab mahu beli permainan robot. Kedua, saya minta supaya Angah jangan buli saya lagi...bla bla”. Angah ialah abangnya yang kedua.

Meskipun masih kecil, banyak yang boleh kita teladani daripada sifat dan sikap kanak-kanak. Mereka jujur dan tidak pandai menipu. Kita yang sudah dewasa ini ibarat kain sebidang yang sudah berlumuran dengan simbahan lumpur dosa.

Santuni kanak-kanak dan orang-orang tua, maka hidup kita akan sentiasa dibukakan pintu kebahagian dari segenap arah meskipun di mata orang banyak, kita insan yang tidak punya kekayaan materi.

Wednesday, November 5, 2014

Pak Wan Pun Bersara

Meraikan persaraan Pak Wan.

Dua kali latihan. Sebelah petang Isnin dan malam Selasa. Malam Selasa kami menunggu Pak Wan bergerak balik. Sebenarnya mahu buat kejutan untuk pensyarah ini. Saya mahu berikan sesuatu juga tetapi masalahnya saya kena tempah di Kuala Pilah. Jauh.

Pak Wan memperkenalkan Intan, siswi pendidik semester empat. Dia yang akan bermain seruling mengiringi persembahan saya. Sebenarnya Pak Wan mahu saya mengetengahkan budak itu setelah persaraannya. Budaknya bagus, berbakat dan baik. Saya bacakan lagi sajak yang saya cipta khas untuk Pak Wan. Sajak "Masih..." dengan vokal permulaan yang saya keluarkan dari "dalam".

Saya anggap Pak Wan guru saya. Dia banyak berkongsi ilmu dengan saya. Saya hanya sempat belajar satu sesi bermain ukelele dengan Pak Wan. Memang "benak" hati sedikit. Saya hanya mahir bermain hadrah, alat muzik yang lain saya hanya bermain dalam angan-angan. Mungkin saya boleh menyanyi juga tetapi kurang ada keberanian untuk melontar suara.

Acara perhimpunan budaya dan meraikan persaraan empat pensyarah berjalan lancar. Pak Wan kelihatan touching and almost crying... Ini barangkali persembahan akhir saya dalam gandingan bersama seniman itu. Pastinya saya akan berasa kehilangan.

Selamat bersara Pak Wan. Semoga pengembaraan Pak Wan dan isteri dengan karavannya berjalan lancar dan dipelihara Allah SWT.

Monday, November 3, 2014

Ahad dan Isnin Yang Sibuk


Baby yang kurang sihat sempat selfie

Isnin yang letih. Hanya Ahad cuti dan cuti hujung minggu itu dengan kepala yang berdenyut, berkejar ke Bangi untuk menemui budak yang sulung itu.

“Mana nasi lemak sayaaaaaaaaaaaaaaa. Nasi lemak ibu masak. Sedapnya. Saya lapar hoho...” Whassap saya berbunyi tanpa henti. Tidak sempat menjawab sebab bertalu-talu. Sebenarnya sudah lama budak itu mahukan nasi lemak yang ibu masak. Nasi lemak tradisional, katanya. Tetapi saya agak sibuk beberapa waktu itu.

“Bagi ibu masa dua jam. Tunggu ibu...” kata saya, bersegera menanak nasi, merebus dan menggoreng telor, membuat sambal dan ikan bilis rangup. Saya siapkan semuanya termasuk keperluan Baby yang akan menemani saya ke Bangi.

Jam hampir Maghrib saya tiba. Baby yang ikut naik, menikus saat masuk ke kamar si sulung. Entah apa kenanya dia. Mungkin...

Selepas melihat dia makan dengan lahapnya, saya bergerak balik dalam gelap malam. Untuk anak, segalanya...suatu hari nanti mereka akan tahu nilai kasih seorang ibu.


Awal pagi Isnin ketika di surau, saya melhat beberapa ibu sujud lama. Solat hajat barangkali. Oh, SPM bermula hari ini agaknya. Saya terkenang lima tahun lalu, saat si bongsu saya menghadapi peperiksaan itu. Begitulah saya. Setiap kali kertasnya bermula, saya akan berusaha untuk solat hajat dan membaca Yassin, membantu anak itu dari jauh.

Isnin juga saya mengesan ada sesuatu yang kurang kena di telinga kiri Baby. Saya memujuknya, “tunggu ibu bawa ke klinik...” menelefon doktor dan membuat temu janji. Mujur doktornya ada sebab hari ini ada pembedahan. Saya bergegas menghantar Baby. Satu suntikan, dibubuh ubat dan diberi minum ubat. Bekalan antibiotik juga dibekalkan. Kasihan budak itu. “Kalau dia garu, kak kena beli kolar...”

Sepanjang malam, dia menjadi anak baik. Oleh sebab berkelakuan di luar kebiasaan, saya sedikit susah hati. Saya hamparkan tuala di beberapa tempat dan menyebut, “tidur di sini, jangan tidur atas simen...” Dia mengikut pula kata-kata saya. Ketika bangun subuh, dia terbaring di hujung kaki. Sesuatu yang sangat jarang berlaku sebab subuh adalah waktu dia paling aktif!

Mak di kampung merupakan keutamaan yang utama. Menelefon mak awal pagi masih menjadi rutin. Doa saya agar Allah mengembalikan kudrat dan selera makan mak, juga menyembuhkan kesakitan mak. Mudah-mudahan saya dan kita semua diberi kesempatan untuk membahagiakan hati perempuan yang telah bersabung nyawa untuk menjadikan kita manusia berjaya pada hari ini.

Tanya orang yang sudah tiada mak, jawapan yang akan kita dapat adalah sama. Pastinya mereka akan berkata, “hargai ibu bapa selagi mereka masih ada...”

Sungguh!

Suatu saat kita akan merindui bebelan seorang perempuan bernama mak!

Saturday, November 1, 2014

Sepatu Hijrah


Mingguan Malaysia Ahad 2 November 2014

Bayarannya nanti lepaslah untuk beli jajan Baby...Alhamdulillah. Murah rezeki Baby.



Teringat gurauan adik Badrul, "kak ni dahsyatlah. Kereta untuk kucing, kamera kucing...sajak pun untuk kucing..." hehehe. Kusyen kereta sudah ada calar sedikit, kamera sudah pecah juga sedikit sebab talinya diheret Baby. Sofa jangan ceritalah.

Pergi membeli akhbar dengan Baby. Kasihan si harimau marble itu. Dunianya kecil, terkurung dalam rumah dengan keaktifan luar biasa. Dia duduk di posisi kesukaannya. Saya membuka kerusi belakang, menurunkannya supaya nampak lapang. Dia cukup suka kalau sudah sampai ke garaj rumah. Diajak turun pun tidak mahu.

Beratnya turun sedikit sejak seminggu dia berkelakuan miang itu. Tidak tidur, asyik meraung, kurang makan.Khabarnya, akan pulih dalam beberapa hari lagi sebelum pusingan seterusnya. Mahu hantar ke vet untuk mandi, musim hujan sekarang. Kata adik Faiziah, nanti selesema.

Sepatu Hijrah saya tulis dua hari sebelum ke SKPM di Jitra. Saya tulis dalam kereta di hadapan Balai Islam sebelum Dhuha. Untuk sambutan tahun baharu Hijrah Sabtu 25 Oktober. Sajak untuk diri sendiri, untuk orang-orang yang saya kasihi juga.

Mudah-mudahan Allah menerima "hijrah" kita. Menetapkan kita dalam jalan-Nya dengan kekal dan berterusan. Sedikit itu tidak mengapa asalkan tidak putus.

Thursday, October 30, 2014

Kunjungan Dosen2 Departmen Pendidikan Bahasa Daerah, FPBS, UPI

Kami menjalani rehearsal petang Rabu. Malam itu meskipun sangat kelelahan, saya pergi juga untuk rehearsal kali kedua. Kak Amanah mengambil saya di rumah, memahami bahawa saya sangat keletihan untuk memandu. Meskipun Dr K meminta saya rehat sahaja di rumah, tetapi memikirkan kesempurnaan acara itu lebih penting, saya datang juga.

Awal pagi kami menunggu ketibaan delegasi dosen Jurusan Pendidikan Bahasa Daerah, Fakultas Pendidikan Bahasa dan Seni, Universitas Pendidikan Indonesia, Bandung. Ini kunjungan balas mereka setelah delegasi IPGKRM mendatangi pihak UPI pada bulan Januari lalu.

Selaku pengacara majlis acara kunjungan yang merupakan juga Seminar Antarabangsa Bahasa dan Sastera Nusantara 2014, saya ada tanggungjawab penting. Walaupun sudah biasa mengacara majlis bertahun-tahun, kali ini acaranya melibatkan imej institusi, imej negara juga.

Majlis berlangsung dengan baik. Alhamdulillah. Awal pagi saya sudah menelefon meminta restu mak dan kebetulan mak baru usai solat dhuha.

Ada tiga pembentang makalah dari Indonesia dan seorang dari Malaysia. Tiga yang dari UPI itu membicarakan soal bahasa Sunda dan yang terakhir, Dr Retty Isnendes membentang makalah bertajuk Perempuan Dalam Sastra Sunda.

Dr Retty menyebut, “rupa-rupanya yang jadi emcee itu juga penyair...Ibu Ratna...”

Penyair kecil sahaja, itu pun saya selalu keseganan kalau orang menyebut begitu. Masa yang diperuntukkan sangat sedikit berbanding begitu ramai yang mengangkat tangan mahu bertanya dan memberi pandangan. Saya ikut bertanya mengenai “ aliran feminisme yang melebar dalam hasil karya penulis perempuan...”

Sebenarnya ada sesuatu yang sensitif juga yang mahu saya utarakan, tetapi waktu tidak mencukupi. Saya kira, dunia sastera, sebagaimana dunia lain juga; meletakkan perempuan sebagai warga kelas kedua.

Apa pun, kerana keserumpunannya kita; selalu kita berbagi rasa. Ambil yang elok-elok dan bawa ke hati. Tinggalkan yang buruk-buruk, tanamkan jauh ke dalam bumi.

Bagus rasanya duduk dalam jabatan yang saling membantu, memahami kekurangan-kekurangan, mengenal pasti kelebihan. Terima kasih JPM. JPM terbaik!

Tuesday, October 28, 2014

Penat

Malam itu acara Baca Puisi Wasatiyyah.

Saya di meja hadapan dengan Kak Rosmiaty Shaary. Tidak lama kemudian, Dato’ Dr Zurinah Hassan, Dr Norhayati Abd Rahman, dan Dr Lim Swee Tin ikut serta.

Ada gerai-gerai yang menghidangkan makanan tradisi dan bukan tradisi.

Acara dimulakan dengan persembahan ghazal. Ada orang-orang bertarbus merah di atas pentas. Kemudian ada penyanyi wanita yang menyanyikan lagu Arab.

Ada pulak dua orang perempuan bergelek-gelek di pentas. Hanya bergelek-gelek mengikut irama lagu padang pasir!

Ada monolog Jual Ubat oleh Wak Khalid. Ada acara baca puisi oleh ramai orang, antaranya Pak AGI, Pyanhabib, Sani Sudin yang menyanyi juga beberapa deklamator yang buat persembahan.

Saya terdengar rungutan, “ini acara baca puisi, bukan sayembara deklamasi puisi...” sebabnya ada tiga deklamator perempuan yang mendeklamasikan puisi seperti sedang menyertai sayembara.

Acara nyanyi-nyanyi itu diteruskan dengan penyanyi lelaki pula yang membawakan lagu hindustan. Masih ada dua perempuan yang bergelek-gelek. Nampaknya ada sesuatu yang kurang kena. Saya dan Kak Ros keluar dewan. Rupa-rupanya di belakang, sudah banyak yang kosong.

Ada juga yang duduk di tepi kolam. Saya tidak tahu mereka protes atau apa.

Saya mendengar rungutan untuk kali yang kedua. Pertama tentang penari perempuan yang tergelek-gelek itu (yang menurut mereka, sedikit mencemarkan tema Wasatiyyah) dan tentang baca puisi ala sayembara!

Saya kata, mungkin ada tersasar pandang di mana-mana. Biasalah, ini acara nasional. Dengan kerjasama tiga penganjur pula. Kalau dua penganjur yang berkaitan dengan penulis itu, saya pasti acaranya bukan begitu.

Apa pun, keesokan harinya padat dengan sidang selari sebelum pembentangan resolusi.

Dalam hujan dan ribut melampau, kami bergerak dan singgah di kampung menjenguk mak yang kelihatan kurang sihat.

Jam dua setengah pagi barulah kami tiba di rumah. Dan Baby menunggu di tepi jendela.

Meskipun kurang tidur, saya gembira. Tanpa mengira status, golongan penulis berkampung seperti keluarga. Saya juga dapat berjumpa kawan lama seperti Pyanhabib, Dr Yati dan lain-lain yang hanya selalu dikenali melalui nama sahaja. Terima kasih kepada ITBM, PENA dan BDB yang menganjurkan Sidang Kemuncak Penulis ini. Mudah-mudahan segala resolusi akan tercapai.

Di pejabat, saya yang dua jam tidur, bekerja tanpa henti dan tanpa makan, menyiapkan teks pengacaraan untuk majlis kunjungan delegasi Universitas Pendidikan Indonesia, menyiapkan bahan untuk memberi ceramah keesokan pagi dan mengemaskini dokumen untuk verifikasi markah pelajar.

Hidup memang selalu penat. Tetapi yang penat itulah menyebabkan kita lebih menghargai masa rehat. Dalam hati, saya terus mengingati mak yang sendirian di rumah. Allah beri mak rehat dengan cara-Nya. Kalaulah saya mampu, mahu sahaja saya pencen awal dan menjaga mak.

Air mata saya gugur. Besar benar jurang kasih sayang dan pengorbanan seorang mak dan anak.

Saturday, October 25, 2014

Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014



Khamis itu jam tujuh kami bergerak ke Puncak Alam. Kami cuba memeriksa Thumbelina, tetapi kelihatannya kereta kecil itu memang gagal dihidupkan. Kemudian kami beralih pula ke Nyanko Sensei. Setelah melakukan beberapa percubaan dan akhirnya berjaya dihidupkan enjinnya. Si adik menarik nafas lega. Satu gagal dan satu berjaya.

Jam satu setengah pagi baru kami sampai semula ke rumah. Sangat penat. Saya mengemas bagasi untuk kali akhir, memasukkan kain kotor dalam mesin cucian, menyiapkan keperluan Baby. Kami tidak tidur sehinggalah anak angkat datang. Dia yang akan membawa saya ke Jitra.

Tanpa tidur, jam empat kami bergerak ke Jitra. Kaki saya kesakitan. Saya terjatuh sebenarnya sehari sebelum itu.

Kami tiba di Jitra dalam jam sepuluh setengah setelah berhenti beberapa kali. Anak itu bertemu rakan-rakannya dari ITBM yang terkejut sungguh sebab tidak tahu rupa-rupanya penulis yang memiliki nama unik ini adalah “ibu”nya.

Saya ditempatkan di aras tujuh dengan tiga rakan lain. Seorang tidak datang dan seorang tidak bermalam di situ sebab rumahnya dekat, lagi pun esoknya dia kena bertolak ke Singapura untuk acara baca puisi. Tinggal berdua, jadi teman sebilik saya mengundang kawan penulisnya dan saya mengundang penyair Rosmiaty Shaary untuk duduk bersama.

Sebelah petang dimulai dengan sidang yang bertajuk Puisi Membentuk Pemikiran Masyarakat: Suatu Utopia? Dengan pemakalah yang terdiri daripada Mohamad Puzi Hadi, AGI dan Wak Khalid Salleh. Malamnya ada acara makan malam dengan dihadiri MB Kedah yang turut melancarkan buku Mek Mulung.

Esoknya ada tiga sidang selari. Saya memilih untuk masuk ke sidang yang membawa tajuk Wajah Sastera Malaysia: Seharusnya Bagaimana? Dengan pemakalah Dr Yati Rahman, Nazmi Yaakub (Editor Sastera BH) dan Lutfi Ishak. Sudah begitu lama, rupa-rupanya sastera kita masih mencari wajah...

Selepas kudapan, ada ucaptama oleh Profesor Ulung Prof Mohd Kamal Hassan dengan kupasan isu yang sangat menarik. Sebelah petang pula, ada dua sidang selari dengan menampilkan pemakalah empat orang Sasterawan Negara.

Malam pula ada acara baca puisi Wasatiyyah. Saya pun kurang faham apa yang dimaksudkan dengan acara yang namanya begitu. Kena tunggu malam ini. Esok sebelum pulang ada beberapa sesi lagi sebelum pembentangan resolusi.

Jadual padat tetapi kesempatan bertemu rakan-rakan sangat mengujakan. Beberapa orang siap memanggil saya dan meminta supaya segera menghantar kumpulan puisi saya untuk diantologikan.

“Kamu tengok budak-budak baru berjinak pun, sudah mahu terbit buku perseorangan. Kamu yang sudah lama, jangan puas hati dengan eceran sahaja. Kumpulkan dan hantar cepat! Bukan kita kata mereka tidak bagus tapi kamu sudah ada indentiti...”

Seorang lagi menyahut, “kita sangat kurang penyair wanita selepas nama-nama besar yang sekarang ini kurang berkarya. Saya melihat ada beberapa orang pelapis yang prolifik dan antaranya ialah kamu!” (Hmm...itu tak berapa betul rasanya. Saya bukannya bagus sangat pun).

Ya lah, ya lah...balik nanti saya kumpulkanlah mana-mana sajak saya itu untuk dihantar kepada penerbit.

Hujan merengek di Jitra. Dalam dua ratus penulis seluruh Malaysia yang berjaya melepasi saringan, saya masih mengenang sesuatu. Saya kembali semula ke laut sastera setelah berkabung lama. Kembali dalam usia yang sudah...

Monday, October 20, 2014

Pengajaran Termahal

Sebelum kita bercakap, kena awas selalu. Jangan sampai kata-kata kita menjadi batu tajam yang boleh melukai hati orang.

Kalau orang yang kita lawan bercakap itu memang sudah biasa dengan kita, tiada masalah. Dia kenal peribadi kita, kita pun kenal peribadinya.

Tetapi kalau berjumpa pun hanya setakat bertembung di mesin perakam waktu, atau sesekali di acara tertentu; jangan bercakap main lepas dan dengan keangkuhan melulu.

Orang akan menilai peribadi kita yang itu, bukan yang kononnya...”walaupun aku jenis mulut longkang tapi hati aku baik!”

Orang yang mulutnya setaraf longkang, mungkinkah hatinya sewangi kasturi?

Saya terkena dengan seorang yang bercakap dengan nada angkuh dan tidak menghormati orang. Malangnya ialah, saya mempunyai kelemahan iaitu saya akan ingat segala kata-katanya sampai hati saya memaafkan. Saya akan menjadikan dia halimunan, ada atau tiada tidak memberi makna. Paling dahsyat ialah hormat saya seratus peratus hilang lenyap ditelan bumi.

Sebenarnya tidak bagus bersikap seperti saya itu. Tetapi saya sangat terluka. Walaupun puas saya memujuk akan seribu kemungkinan. Barangkali sebab dia dididik dengan kasar, atau sebab dia tiada anak, atau sebab rumahtangganya berantakan, atau gajinya besar, atau dia berasa kepalanya pun besar...

Saya bersalaman dengannya sebagai tanda menghormati yang lebih tua. Saya pun tidak perasan apabila bersalam, saya cenderung meletakkan tangan orang di pipi atau dahi, bukan dikucup. Sebabnya saya pernah terdengar ada orang tidak suka dikucup tangannya ketika bersalaman dengan alasan bimbang ada bakteria dan sebagainya. Jadi, saya memang tidak mengucup tangan orang, kadang-kadang hanya menunduk mendekatkan muka ke tangan orang. Begitu juga memeluk dan mencium pipi. Saya hanya akan melakukan kalau orang lain yang melakukannya terlebih dahulu, sebab ada orang tidak suka begitu.

Orang yang berasa dirinya besar itu menegur, “kenapa kau tidak mencium tangan saya? Kenapa letak di pipi? Saya selalu bercakap dengan budak-budak, kalau tidak mencium tangan, baik tak payah salam. Sepatutnya kau cium tangan untuk ambil berkat...bla bla bla...”

Astagfirullah. Saya terdiam. Saya tidak biasa disergah begitu. Saya pun tidak pernah menyergah orang. Jadi, saya tidak segera menjawab. Saya pun bukan tertib dan lembut sangat. Tetapi saya dididik berbahasa dengan lembut terutama kepada orang yang lebih tua.

Saya boleh sahaja menyergah balik, “ingat kau besar sangat? Berlagak, tua kutuk, tak ingat mati, tua nak mampus!” tetapi itu bukan saya. Kalau saya buat begitu, jawabnya bunga matahari pun layu sepanjang musim. Peribadi saya akan rosak, seburuk peribadi orang itu.

Percaya atau tidak, akibat peristiwa pagi itu, menyebabkan seluruh hari saya muram. Air mata saya mengalir. Selera saya mati. Dia tidak menghormati saya sebagai manusia. Bercakap pula di hadapan beberapa orang yang cuba untuk “memujuk” saya dengan memeluk dan mencium pipi saya. Saya tahu mereka pura-pura tidak dengar demi menjaga air muka saya.

Umur tua bukan lesen untuk menjatuhkan maruah orang. Saya selalu bersama para senior dan mereka sangat baik hati. Malahan daripada merekalah, saya banyak belajar dan menagih nasihat. Ada juga yang bergelar datin dan doktor persuratan, tetapi perilaku mereka sangat bagus dan menghargai orang lain.

Walaupun peristiwa itu sudah lama, tetapi saya masih belum boleh membuang rasa terkilan dan sedih. Akibat daripada itu juga, saya mengelakkan diri bertembung dengan orang ini. Tiada sebab dia mahu menyergah saya hanya kerana hal begitu. Walaupun ada beberapa orang yang mendakwa, dia memang cakap lepas tetapi hatinya baik...maaflah. saya tidak boleh menerima dakwaan sebegini. Orang yang hatinya baik akan bercakap dengan nada yang baik-baik. Saya tidak faham mengapa kita mesti begitu terbuka untuk menerima kata-kata “mulut jahat hati baik”.

Saya akan masuk lima puluh dalam setahun setengah lagi. Saya sudah berusia. Bukan anak-anak kecil yang boleh disergah sesuka hati.

Bergurau itu lain. Saya pun tidak kisah kalau orang bergurau dengan kasar, apa lagi dengan orang yang biasa bergaul dan akrab.

Ini pengajaran untuk saya.

Yang akan saya ingat seada usia.

Sunday, October 19, 2014

Hari Menyentuh Anjing?

Baru semalam saya menulis tentang binatang seperti anjng dan kucing. Rupa-rupanya hari ini di padang PJ ada “Hari Menyentuh Anjing”. Tujuannya ialah untuk membuang stigma kenajisan anjing kepada masyarakat Melayu.

Saya tidak mahu komen banyak sebab macam-macam yang dibahaskan orang di laman sosial. Saya tiada pendidikan agama, jadi tiada keberanian untuk mengulas. Cuma yang masih kekal ialah sudut pandangan saya bahawa menyantuni binatang yang sedang lapar dan sakit, adalah sesuatu yang dituntut. Tidak kiralah binatang itu anjing atau kucing.

Sejak kecil, saya diberitahu bahawa anjing itu najis. Najis berat yang mempunyai kaedah penyuciannya. Maka saya memusuhi binatang itu dengan jijiknya. Memandang jelek juga kepada orang Melayu yang memelihara anjing untuk menjaga rumah atau kebun.

Kemudian setelah saya dewasa, perlahan-lahan persepsi saya berubah setelah membaca kisah perempuan yang dimasukkan syurga sebab memberi anjing minum.

Sejujurnya saya kurang senang dengan “Hari Menyentuh Anjing” ini apabila melihat gambar gadis yang memeluk anjing yang langsung dimuatnaik dalam media sosial. Menyantuni tidak sampai memeluk-meluk begitu. Kenapa perlu ada pesta demikian? Tidak cukupkah sekadar kempen kesedaran mencintai binatang?

Ustaz ustazah kena main peranan dalam kesibukan ini. Mereka kena memberi pencerahan.

Kepada saya, anjing itu tidak bersalah.

Friday, October 17, 2014

Kucing dan Kekucingannya



Si bongsu memberitahu, “adik belikan makanan kucing dan letak dalam kereta. Kalau nanti ada kucing jalanan yang lapar, adik bagi makan.”

Bagus. Kadang-kadang kasihan melihat kucing disepak-sepak, disimbah dengan air panas, disembur racun serangga, dibakar hangus, dipukul tanpa belas kasihan, diterajang melambung, dipatahkan kaki dan tangan hanya kerana seekor ikan!

Esok-esok di akhirat, apa kata kalau engkau pula yang kena buat begitu!

Saya pun tidak tahan dengan bau najis kucing. Baunya melekat pekat kalau terkena sepatu. Tetapi untuk memperlakukan makhluk itu dengan kejam, buknlah manusia namanya.

Saya tidak tahu apa hukumnya mengkasi kucing. Tetapi itu satu cara yang sedang dilakukan oleh sukarelawan untuk menghalang pembiakan kucing jalanan. Maklumlah, sekali bersalin, anak mereka banyak. Kalau sudah banyak, mereka akan merayau merata-rata, mengganggu orang , berpenyakit dan mati. Cara menyelamatkan mereka ialah dengan mengkasi.

Bukan dengan cara melupuskan binatang-binatang ini seperti yang akan dilakukan oleh sebuah daerah pentadbiran negara!

Kucing dan anjing , binatang yang cerdik. Melayu yang distigmakan dengan kenajisan anjing, sudah mula membuka mata akan ajaran Islam sebenar. Benar. Anjing itu najis. Najis berat. Tetapi ada kaedahnya untuk membersihkan najis berat. Anjing tidak memilih dirinya untuk menjadi anjing. Demikianlah suratan hidup dengan takdir bahawa dia ialah anjing.

Anjing yang sedang lapar atau sakit, harus kita santuni juga. Itu ajaran Islam. Jangan bersikap kejam terhadap mereka. Binatang jarang bertindak ganas kalau mereka tidak disakiti atau wilayah mereka dicerobohi, kecuali kes-kes terpencil (yang mana seperti manusia, ada binatang yang otaknya senget).

Saya berasa teruja setiap kali singgah di R & R, ada menjenguk bagasi si Baby dan berkata, “Benggal marble ya? Kacukan Parsi? Cantiknya awak!”

Itu petanda dia pencinta kucing!

Kalau tidak, dia tidak akan kenal jenis baka kucing. Kami ada page sendiri yang membicarakan hal-hal kekucingan dan yang sewaktu dengannya.

Satu sahaja yang saya tahu, kalau lelaki sukakan kucing maknanya dia adalah calon suami yang baik dan penyayang!

Tapi tinjau juga yang paling penting...solatnya!

Wednesday, October 15, 2014

Masih...

Hari ini kampus meriah.

Ada Karnival Keusahawanan dan macam-macam aktiviti. Antaranya ialah Pameran Solo Pak Wan. Saya diminta membaca sajak yang menjadi penghias poster pameran.

Waktu mula-mula mahu mencari tema, saya cadangkan tajuknya “Masih...”. Kebetulan saya ada sajak kontot yang tajuknya begitu. Sajak empat baris.

Oleh sebab Pak Wan mahu saya membaca sajak, saya memanjangkan sajak kontot itu. Saya melihat lukisan-lukisan Pak Wan beberapa bulan lalu dan cuba memilih perkataan-perkataan yang bersesuaian dengan peribadi Pak Wan dan hasil karyanya.

Maka terhasilllah sajak “Masih...” dalam versi panjang. Bacaan saya diiringi oleh seruling Pak Wan dan muzik gamelan. Kata saya pada awal bicara sebelum membaca sajak, seniman biasanya memiliki perilaku diam dan mereka hanya akan menyerlahkan “kebisingan” ketika berada di sekitar “pentas” seninya...

Anugerah kesenimanan oleh Allah merupakan sesuatu yang sangat hebat. Dengan anugerah itu, diri kita semakin akur akan kebijaksanaan Allah.

Orang-orang yang masih ada rasa tinggi hati tidak layak mendakwa mereka seniman. Begitu juga dengan menjadikan dunia kepenyairan sebagai pentas glamor.

Apa pun, tahniah untuk seniman yang selalu diam iaitu Pak Wan. Orang yang tidak banyak cakap memang berbakat. Orang yang asyik bercakap, belum tentu kerjanya cekap.

Tuesday, October 14, 2014

Bagusnya Khabar



Peserta itu mendatangi saya.

“Puan, saya berniat mahu bawa sajak puan Mengisi Rumah Merdeka...” dan kami pun bergambar. Kemudian malam itu dia menulis di laman muka buku, “puan, kita memang ada jodoh. Saya menjadi johan Selangor dan sajak puan terpilih untuk dideklamasikan oleh peserta Selangor di pentas kebangsaan!”

Peserta itu mohon pandangan saya atas beberapa perkara. Saya berterus terang bahawa ilmu deklamatori saya agak kurang tetapi dia mohon juga pandangan saya sebagai penulis. Saya memberikan beberapa panduan agar mudah untuk dia menebas jalan.

Mudah-mudahan dia berjaya. Pernah peserta dari negeri itu menjadi johan dengan membawa sajak saya “Ini Ruang Persembahan Sebuah Perjuangan” waktu sayembara peringkat kebangsaan di Ipoh. Untuk sajak saya “Taman Merdeka” saya kurang ingat tetapi waktu sayembara peringkat kebangsaan di Johor, berjaya meraih naib johan yang dibawakan oleh wakil Kelantan.

Untuk peringkat Negeri Sembilan, tiga peserta membawa sajak saya. Seorang daripadanya berjaya menjadi naib johan.

Saya fikir peserta lelaki kurang berminat membawa sajak yang kedengaran emak-emak. Rupa-rupanya anggapan saya meleset. Sajak saya kurang bernada tinggi, walaupun ada ketegasannya di mana-mana. Itu memang gaya saya. Saya tidak boleh menjadi orang lain yang keras sepanjang waktu dengan memilih diksi yang kasar sifatnya.

Sayembara peringkat kebangsaan akan berlangsung di Alor Setar hujung minggu ini. Teringin mahu pergi tetapi jauh sangat, lagipun hujung minggu yang lagi satu, saya akan menongkah ke utara juga untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia di Jitra.

Lagipun teringat pesan onkologis yang saya temui Isnin lalu. “Kurangkan keaktifan yang melibatkan kudrat...”

Bagaimana mahu membataskan pergerakan kalau masih kuat berkeinginan?

Oktober tiga belas saya gagal menghadiri pembentangan tesis pelajar semester akhir. Kasihan Aisyah. Dia membentang tanpa kehadiran saya sebagai penyelia. Saya berdoa sepanjang perjalanan ke hospital supaya pelajar cantik saya itu berjaya melepasi semuanya.

Mudah-mudahan keputusan Aisyah sebaik perkhabaran yang saya peroleh. Alhamdulilah.

Minggu-minggu yang sangat penat terlerai dengan khabar yang bagus. Dan untuk kesekian kalinya, saya tertidur lagi dalam tren, sesuatu yang aneh dan kelihatan mustahil!

Saturday, October 11, 2014

Penjara Tanpa Dinding



Berita Harian 12 Oktober 2014. Sajak ini saya tulis dua minggu lalu. Terima kasih editor BH dan penyair Zainal Abas (Kasajiza AS) yang memuatnaik di dinding laman.

Ada kisah menarik di sebalik bangunan usang di Concubine Lane. Penjara-penjara yang tidak kelihatan dinding dan jeriji besi. Nantilah, ada waktu saya cerita.

Beberapa hari yang sangat memenatkan. Ulang-alik Seremban Bangi untuk Perkampungan Penulis IPGM-GAPENA Zon Selatan. Pagi Sabtu menjadi urus setia membantu PEN dalam Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan peringkat negeri. Jam satu pagi baru tiba di rumah dan seawal tujuh kena bergerak ke bangi.



Moga Allah beri kekuatan.

Thursday, October 9, 2014

Kamera Yang Menyamar

Sekarang, kamera ada di mana-mana di sepanjang lebuh raya.

Kameranya tinggi, sukar dirosakkan oleh aktiviti vandalisme. Saya beritahu anak, “hati-hati, perlahankan kenderaan. Tengok tu, ada kamera...”

Anak mencelah, “itu lampulah, ibu!”

Oleh sebab sudah malu, saya kata begini, “kamera itu menyamar sebagai lampu. Sebenarnya memang kamera tetapi telah berlaku penyamaran...”

Hehehe...hiburan melepaskan stres.

Beberapa minggu hujung semester ini memang sangat sibuk. Pra-pembentangan dan pembentangan tesis (viva) sedang dan akan berlangsung. Kerja kursus pelajar perlu disemak. Ada pula acara-acara yang melibatkan pameran, sayembara deklamasi puisi dan sebagainya.

Memang penat.

Ada orang bertanya, “sudah dua minggu tiada karya yang terbit di akhbar?”

Ya. Memang saya kurang punya masa untuk mengirim karya. Tidak mengapalah, nanti-nanti akan ada masa terluang.

Banyak benda yang saya mahu cerita. Tetapi masa kurang mengizinkan.

Nanti kita jumpa lagi.

Sunday, October 5, 2014

Korban Qurban

Menziarahi jenazah sahabat mak semasa di Mekah, isteri almarhum ustaz yang pernah mengajar adik ipar mak, yakni adik allahyarham ayah saya. Mak naik kereta merah baharu. “Ambil berkat ziarah orang mati...” kata mak.

Kami mendaki bukit menuju rumah allahyarham.

Saya puas hati membawa mak ronda-ronda. Mak mesti didahulukan dalam setiap hal walaupun saya sudah menjawat status isteri dan ibu. Bukankah mak yang menjaga kita saat kita masih kotor dan tidak boleh berdikari?

Masuk ke ruang menempatkan jenazah, saya agak keliru. Ini rumah yang ada kematian atau kenduri kahwin? Rasa kurang senang menjalar dalam minda. Rupa-rupanya mak juga merasai benda yang sama.

Sekumpulan orang perempuan berlonggok berdekatan jenazah dan bersembang dengan suara kuat. Ceritanya pula berkisar mengenai hal-hal yang tiada sangkut paut dengan urusan jenazah. Yang lelaki pula berlonggok di luar, juga bersembang.

Masya Allah! Mudah-mudahan Allah mengampuni kami.

Usai membaca Yassin, saya dan kakak ipar keluar ke pangkin rumah sebelah sementara menunggu mak menghabiskan bacaan. Saya rasa kurang selesa jika masih duduk di situ dan mendengar orang bersembang seakan tidak menghormati jenazah.

Kematian yang mudah, kata mak. Mak memberikan ayat yang kemudiannya dihafal oleh sahabatnya itu. Ayat berupa doa agar memperoleh kematian dengan cara yang mudah. Sahabat mak itu meninggal saat mahu berpergian menunaikan solat sunat Aidil Adha.

Semalam, juga ada kematian. Dua beranak sekaligus. Saudara sebelah gemulah ayah. Patutlah kami mengalami kesesakan berpanjangan khususnya sebelum masuk ke Terowong Menora. Kemalangan maut melibatkan sebuah lori dan empat buah kereta. Sebelas jam mengharungi sungai lebuh raya sebelum sampai ke kampung menjelang jam sembilan setengah malam.

Rasa sengal begitu menggigit bahagian bahu dan belakang. Nampaknya saya kena memperlahankan pergerakan sehingga sihat semula.

Hari raya Qurban...dan kehidupan mesti diteruskan dengan pengorbanan demi pengorbanan.

Monday, September 29, 2014

Zakaria: Ada Yang Tiada

Betapa kehidupan telah mengujinya begitu.

Namanya Zakaria. Tua setahun dua daripada saya. Dia bersekolah rendah di kampung kami. Menempuh zaman kanak-kanak yang biasa. Waktu itu sekitar tahun 60-an dan 70-an, kampung kami masih dilatari dengan pemandangan sawah padi.

Sungai di dada kampung kami jernih dan tenang. Sesekali kalau hujan di hulu, dengan cepat airnya menguning teh susu dan melimpah hingga ke luar tebing. Selalu juga setelah surut, kami mengutip ikan-ikan yang berlompatan di lopak kecil tinggalan banjir.

Zakaria seperti anak kampung lain, sesekali berendam di sungai, ikut mengutip ikan yang berlompatan, memancing atau memasang tauk dan ada kalanya bermain lumpur di sawah. Dia berkulit agak gelap, gempal sedikit seperti gemulah bapanya.

Saya tidak ingat bila apabila Zakaria tidak lagi muncul di sungai atau di sawah.

Saya pun tidak bertanyakan emak dan gemulah ayah, akan keberadaan Zakaria. Oleh sebab itu kami terus melupakan Zakaria sehinggalah sekarang.

Anak-anak saudara saya yang tinggal di kampung pasti tidak tahu bahawa masih ada seorang warga kampung yang namanya Zakaria. Zakaria tidak menamatkan pengajian sekolah menengahnya sebab dia lumpuh. Rumahnya itu adalah dunianya.

Saya sendiri sudah puluhan tahun tidak melihatnya. Tidak dapat membayangkan bagaimanakah rupa Zakaria sekarang. Kata emak, badannya gempal. Dia juga kuat membaca. Kalau diajak bicara, bicaranya bagus.

Jika diikutkan kami masih ada bau bacang dari sebelah gemulah ayah.

Saya tidak tahu mengapa saya teringatkan Zakaria, insan sekampung yang dilupakan. Mungkin dia sudah lima puluh tahun. Dia dijaga ibu dan keluarganya dengan penuh prihatin. Tidak dapat membayangkan dunia Zakaria yang terbatas pandangan dan pergerakan. Dia melihat dunia luar melalui kaca televisyen dan akhbar. Sesekali kalau tiba hari mengundi, khabarnya dia akan disorong ke tempat pengundian.

Terbelakah nasib orang kelainan upaya seperti Zakaria, yang undinya dirayu ketika diperlukan? Kemudian selepas menang pilihan raya, orang seperti Zakaria dilupakan begitu sahaja walaupun mungkin dia penyokong kuat calon yang menang.

Saya seperti mahu mengenalkan Zakaria kepada anak-anak dan anak-anak saudara saya.

Dia insan sekampung yang dilupakan. Dia wujud tetapi tidak dikenali. Lima tahun sekali undi seorang Zakaria sangat berharga.

Dan kemudian dia kembali ke dunianya yang sepi. Lima tahun lagi jika usia Zakaria panjang, dia akan kembali diingati!

Saturday, September 27, 2014

Mensyukuri Musibah

Untuk memahami orang lain kita kena masuk ke dalam kasut mereka. Itu kata orang bijak-bijak.

Cuma masalahnya kadang-kadang kasut mereka dan kita saiznya tidak sama. Ada yang longgar dan ada yang ketat. Yang longgar itu kalau kita berjalan, kadang-kadang terlucut. Yang ketat pula kaki kita boleh melecet dibuatnya.

Bagi saya, itu tidaklah penting sangat. Sebab kasut yang longgar tetap boleh dipakai kalau kita masukkan tisu atau kapas di dalamnya. Kasut yang ketat pula barangkali boleh sahaja kita potong bahagian depan atau belakang. Walaupun tidak sempurna, tetapi kita tetap boleh berada di “dalam” kasut tersebut.

Memahami orang lain dan derita mereka tidak semudah menunjukkan muka simpati atau mengiyakan atau dengan bunyi berdecit-decit seperti yang selalu kita buat. Ia lebih daripada itu.

Derita kita tidak sama. Cerita kita juga kalau pun sama, ada babak-babak yang agak berbeza. Untuk memahaminya, kita kena memahami hati kita dahulu. Sejauh mana jendela hati kita telah terbuka. Dan kisah derita orang mesti kita simpan. Jangan sampai terburai isinya kepada orang lain, apa lagi kepada mereka yang memang berbakat menjadi juruhebah stesen radio kepoh.fm.

Apa yang kita lihat di muka tasik mungkin tidak sama dengan apa yang ada di lantainya. Barangkali ada pusaran-pusaran yang tidak kelihatan. Ada lubuk yang gelap pekat sehingga apa yang di dalamnya tidak nampak jalan keluar. Ada yang begitu. Terperangkap dalam sebuah institusi yang sepatutnya menjadi payung tempat berlindung.

Apabila kita pernah melalui jalan-jalan suram, kita akan lebih mudah memahami mereka yang melaluinya kini. Tugas kita ialah untuk mengingatkan mereka dan diri kita sendiri bahawa mensyukuri musibah adalah escapism paling bagus sebagai Muslim.

Yakinlah bahawa Allah mengetahui apa yang telah disusun di atas papan catur hidup kita. Apa yang kita sangka musibah terburuk dalam sejarah hidup kita, akan Allah ganti dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya. Barangkali bukan dalam bentuk material, tetapi ketenangan hati yang hakiki. Kita masih mampu tenang walaupun ada ribut di kiri kanan. Kita dianugerahkan orang-orang yang berbudi di sekeliling kita. Kita masih boleh tersenyum dalam kesakitan. Bukankah itu semua rezeki yang hebat Allah berikan kepada kita?

Nah, marilah kita mensyukuri musibah! Sebab musibah akan selalu mendewasakan, mematangkan dan menjadikan kita lebih siap siaga menghadapi kehidupan.

Jangan sesekali anda berkata, “bercakap memang mudah, tapi...”

Kita sudah pernah mengharungi lautan berombak ganas sedangkan sampan yang kita naiki bocor di sana sini. Kita telah menempuh ribut taufan yang boleh membunuh. Sehingga kini, kita masih berdepan dengan hujan ujian yang belum lagi berhenti.

Suatu hari nanti hujan akan berhenti. Kita pasti dapat melihat matahari.

Wednesday, September 24, 2014

Kenapa Bidan?

Sebelah pagi, pelajar yang menjadi pengacara Wacana Pemartabatan Bahasa Kebangsaan dalam Sektor Awam dan Swasta menjadi bidan terjun. Pengacara asal wajib menghadiri seminar integriti yang juga dibuat pada masa yang sama.

Sebelah petang, saya pula. Pengacara asal mengalami kesakitan yang luar biasa. Kasihan sungguh melihat dia menahan sakit. Tidak tega melihatnya, saya menawarkan diri untuk membantu walaupun sebenarnya saya mahu terus "diam" seperti ubi dalam tanah. Masa ada empat puluh minit untuk melihat skrip dan membetulkan beberapa perkara.

Sebenarnya saya masih kurang faham apa maksudnya bidan terjun itu. Kenapa bidan? Kenapa bidan itu pula mesti terjun? Terjun ke mana?

Sebetulnya tiada yang tahu bahawa saya memang biasa mengacara majlis termasuk yang melibatkan VVIP politikus dan bini-bini mereka (protokol yang leceh!), kecuali seorang dua yang pernah menjadi rakan sejawat di institusi-institusi terdahulu. Mahu tidak mahu, kena buat juga.

Alhamdulillah, bidan telah berjaya terjun dengan selamatnya!

Jam dua belas, ada panggilan masuk. Saya sudah agak panggilan itu dari ITBM. Ya, saya telah melepasi saringan dan dijemput menghadiri Sidang Kemuncak Penulis Malaysia di Kedah yang akan berlangsung pada hujung Oktober. Pihak penganjur terpaksa menyaring permohonan dari seluruh negara.

Sebelum itu ada rakan yang bertanya sama ada saya ikut atau tidak acara besar itu. Saya katakan bahawa saya belum menerima jawapan. Saya hanya akan terlibat dengan Perkampungan Penulis Zon Selatan di Bangi anjuran GAPENA dan IPGM yang akan berlangsung tiga hari pada pertengahan Oktober. Kemudian PULARA (Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa) yang akan berlangsung sekitar pertengahan Disember.

Kalau Allah sudah menuliskan rezeki, demikianlah.

Minggu ini sangat dahsyat. Sesekali si Tuti kena hantar pada sebelah pagi. Waktu balik, saya ikut rakan sebaya, si Ila.  Mahu pergi cari kereta pun, saya tidak pandai melakukannya sendiri-sendiri. Suami pula jam delapan baru tiba ke rumah. Tertekannya saya tetapi mujur ada rakan-rakan sejabatan, seinstitusi dan setaman yang sangat baik budi.

Saya mendoakan selautan kebaikan buat mereka. Moga Allah membalasnya dengan kebahagian dan kesejahteraan, dibukakan pintu rezeki dari segenap arah.

Waktu sukar, kita akan mengenal peribadi. Alhamdulillah, Allah pertemukan saya dengan orang baik-baik. Cuma saya terfikir, Allah mahu menjawab soalan kita. Allah mahu kita melihat kembali apa yang barangkali pernah kita buat dahulu.

Ingat teori lantunan bola ke dinding dalam ilmu fizik?

Hidup sebenarnya bukanlah payah sangat. Diri kita sendiri yang mahu menjadikannya payah. Dalam perkataan lain ialah hidup ini mudah. Kita yang menjadikannya serba payah.

Sunday, September 21, 2014

Koreksi Diri

Apabila Allah mahu mengangkat darjat seorang hamba-Nya, Dia akan melakukannya dengan mudah. Demikian janji Allah kepada kita. Oleh itu jangan sesekali kita menjadi hakim yang menjatuhkan hukum ke atas orang yang kita anggap tidak berguna. Itu pesan mak selalu.

Apa pun anggaplah apa yang kita hadapi sebagai ujian yang menjadikan kita lebih merendah diri dan melakukan koreksi akan segala amalan kita selama ini.

Barangkali kita fikir kita telah melakukan yang terbaik untuk diri kita dan orang lain sama ada anak-anak atau keluarga kita. Rupa-rupanya masih ada sedikit ruang kosong yang teralpa untuk kita isi. Jangan lupa bahawa kita pernah menjadi muda dan zaman muda kita bukanlah terisi dengan yang muluk-muluk. Allah yang menutup aib kita. Maka orang banyak melihat kita pada masa kini dengan pandangan bagus dan manis.

Mana tahu akhirnya orang yang kita kata tidak berguna itu adalah calon penghuni syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Kita? Di mana kedudukan kita yang suka sangat menghina orang lain?

Ada orang yang nasibnya kurang baik pada penglihatan zahir manusia. Dia barangkali terjebak dengan sesuatu yang sukar untuk dia kembali ke pangkal jalan. Sudah diusahakan berkali-kali tetapi cengkaman kuasa negatif itu begitu kuat. Beberapa kali cubaan gagal. Dia menyedari akan semua itu tetapi selalu di penghujungnya dia tewas.

Di mana peranan kita? Baik sangatkah kita sampai mahu memandang pun berasa jijik. Mulia sangatkah kita sehingga mempertikaikan kuasa Tuhan dengan ungkapan, “mengapa Tuhan tidak ambil sahaja nyawa kau? Kenapa Tuhan ambil nyawa dia?”

Ayuh, lihat cara didikan kita dahulu sebelum kita menyumpah-nyumpah begitu! Singkapkan semula sejarah masa lalu kita yang begitu dahsyat. Bagaimana kita dihina dan kemudian siapa yang dengan pintu dan hati terbuka menerima kita?

Sejarah sangat penting sebagai ketukan-ketukan jika sesekali kita terlupa.

Ingat, kita (termasuk saya, terutamanya) adalah sebahagian daripada penyumbang akan segala perlakuan anak-anak kita sama ada yang baik atau sebaliknya.

Saturday, September 20, 2014

Selebat Hujan


Baby sedang menatap hujan

Hujan sepanjang hari, selebat hujan di hati.

Pagi ini mahu mencuci lantai. Saya mengemas mainan Baby dalam dua bakul kecil dan diletakkan atas kerusi supaya mudah saya mengelap lantai dengan kain, khususnya di tempat-tempat yang dia selalu baring.

Belum sampai beberapa lama, dia asyik menggonggong mainan satu persatu dibawa turun ke lantai. Berlari ke sana ke mari menggelecek bola. Orang sibuk mengelap, dia pun sama naik sibuknya.

Akhirnya saya teringat sesuatu. Saya mencuci bekas ikan emas dan membuka penutupnya. Barulah dia baring di sisi bekas ikan emas. Itu saja caranya mahu buat dia diam sekejap.

Oleh sebab jenis baka Baby ini suaranya tidak pernah kedengaran, saya membeli kalung loceng dengan reben berwarna merah jambu supaya mudah mengesan kedudukannya. Jangan harap dia mahu pakai. Sedaya upaya dia cuba membuka kalung itu. Akhirnya memang jadi mainan dia sahaja.

Baby suka melihat hujan. Dia juga suka melihat kipas siling yang berpusing ligat. Saya bawa dia melihat hujan. Macam satu keajaiban, diam sahaja dalam dukungan.

Rabu lepas dia dapat suntikan vaksin. Sepanjang Khamis saya risau betul sebab dia hanya tidur sepanjang hari. Badannya sedikit dedar.Menjelang Maghrib, sudah boleh bangun dan menunggu Daddy balik pejabat.

Sepanjang hujung minggu saya rehat betul-betul sebelum masuk bekerja. Berasa sedikit tegang di bahagian bahu dan leher. Sangat tidak selesa.

Ada satu perkhabaran yang mendukakan juga dari desa. Ujian Allah buat kita.

Seperti lebatnya hujan, lebat juga kesedihan yang meluru jatuh ke lantai hati.

Mak mengajar anak-anak untuk tabah. Demikianlah saya mahu meneruskan legasi.

Wednesday, September 17, 2014

"Peperangan"



Selepas balik dari Pulau Pinang jam satu pagi Isnin itu, saya belum rehat dalam istilah sebenarnya. Isnin saya ke Puncak Alam menjenguk si bongsu mahu meninjau sama ada dia OK atau tidak selepas keretanya menabrak belakang lori. Selasa, saya naik tren ke Bangi pula membeli barang-barang keperluan si sulung dalam jumlah yang banyak untuk permulaan tahun tiga pengajian. Dia baru balik dari Mersing mengikuti program komuniti universiti, mengajar mak cik-makcik yang menjalankan perniagaan hasil desa untuk mempromosi perniagaan mereka di internet.

Keletihan melampau yang terkumpul selama beberapa minggu latihan, stres pertandingan dan perjalanan jauh menyebabkan saya terlena dalam tren, sesuatu yang sangat jarang berlaku.

Hari Rabu baru mahu menyemak kerja kursus dan proposal penyelidikan pelajar. Separuh ada di rumah dan separuh di pejabat. Hari ini juga mahu menghantar Baby ke klinik untuk suntikan vaksin pada sebelah petang.

Mengalih kerja ke meja makan supaya lebih tinggi. Rupa-rupanya yang tinggi itu tidak menyelesaikan masalah kalau makhluk berbulu itu mempunyai kemahiran melompat. Berperang dengan si Baby mahu menyiapkan kerja. Dia boleh selamba duduk di atas segala nota, dan sesekali turut “menaip” di papan kekunci komputer.

Saya tengok sofa, katil dan semua benda sudah ada kesan kena cakar. Sudah dibelikan papan pengasah kukunya tetapi dia nampak tidak berminat meskipun telah diletakkan daun herba kucing. Rumah memang macam ada anak kecil sahaja. Tiada tikar, tiada permaidani. Mainannya bertaburan di merata tempat. Puas bermain, dia mengheret tali kamera ke sana sini.

Itulah hiburan saya, ibu yang lekas sunyi kerana hanya punya dua anak dan kedua-duanya sudah terbang jauh ke silara menara. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya saya masih dikurniakan dua anak dalam bentuk manusia dan seekor anak yang berbulu-bulu.

Tuesday, September 16, 2014

Jalan-jalan



Sebagai ganti kerana meninggalkannya selama empat hari, saya menghabiskan masa berbual dan bermain-main.

Waktu mula-mula masuk rumah dan mendukungnya, dia menggigit sedikit jari saya. Agaknya sebagai rasa marah kerana ditinggalkan sendirian.

Walaupun kepenatan, tetapi hari ini kena ke Puncak Alam. Kereta si adik barangkali sebulan baru siap dibaiki ekoran kemalangan itu. 

Waktu bersiap-siap, si Baby keresahan. Fobia ditinggalkan lama masih belum hilang. Saya memasukkan bekas pasir, bekas makanan dan minuman, mainan serta carrier ke dalam kereta. Wah, seronoknya dia sebab mahu dibawa berjalan.

Kami ke Puncak Alam. Perut yang tidak berisi sejak pagi memaksa saya ke restoran. Adik keluar memesan makanan. Saya memarkir kereta betul-betul dekat dengan tempat makan. Kemudian makan cepat-cepat dengan mata yang tidak lepas daripada keadaan Baby dalam kereta.

“Kalau pencuri nak ambil kereta, ambillah. Asalkan jangan ambil Baby...”kata saya bergurau.

Monday, September 15, 2014

Melakonkan Dunia


Poster Sang Patriot Bangsa


Saya yang duduk di meja menghadap mesin taip

Entah apa masalahnya, saya terlupa bawa kamera. Tertinggal dalam kereta. Oleh sebab itu, saya hanya bergantung kepada foto-foto yang diambil oleh rakan pensyarah, pelajar dan pegawai penerangan.

Inilah antaranya.

Photo-shoot untuk poster dibuat pada jam 12.30 malam terakhir sebelum kami berangkat ke Pulau Pinang. Muka penat sungguh. Mereka minta saya gayakan watak penulis yang sedang berfikir, kena berkerut-kerut muka. Hodoh betul muka saya hahaha...tetapi posternya cantik.

Sunday, September 14, 2014

Mencari Temasek dan...



Ini hadiah kekecewaan. Sajak yang kesebelas terbit di akhbar untuk tahun ini sahaja.Mencari Temasek di BH 14 September 2014.

Majlis penyampaian hadiah berlangsung dengan kehadiran Timbalan Menteri Kesihatan (saya lupa namanya) merangkap MP Bayan Lepas. Pasukan Negeri Sembilan yang terdiri daripada seorang pensyarah dan dua pelajar berpakaian seragam warna oren. Kami naik ke pentas mengambil plak, sijil dan wang tunai RM2 ribu. Kemudian ada sesi berfoto dan menyanyi-nyanyi. Dan memang sah, saya pelakon tertua wahahaha...

Sebelum pulang kami ke Jalan Chowrasta untuk mencari jeruk Pak Ali. Jeruk yang direndam dengan madu dan bukan bahan kimia. Demikian yang diwar-warkan. Tetapi ketika saya makan jeruk itu memang tidak terasa seperti jeruk yang biasa kita makan. Tiada rasa melekit dan mahu batuk. Saya membeli dalam jumlah yang agak banyak, sebahagian untuk anak-anak dan sedikit untuk makan beramai-ramai sepanjang perjalanan.

Encik Nurdin, pegawai dari Jabatan Penerangan memberi peluang kepada siswa-siswa guru untuk ke tanah besar dengan menaiki feri. Bukan main teruja mereka. Saya hanya berdiri di tempat kenderaan menatap laut. Dua baris sajak sahaja yang terhasil daripada perilaku menatap laut itu.

Lebuh raya mengalami kesesakan. Barangkali disebabkan cuti sekolah selama seminggu sudah bermula. Kemudian kami singgah di bandar Taiping untuk menikmati kuetiau Doli yang khabarnya sangat terkenal di bandar hujan itu. Berhenti solat di Tapah dan van meluru laju menuju Seremban, sesekali tersangkut dalam kesesakan.

Jam satu setengah pagi saya tiba di laman rumah. Baby kelihatan di jendela, menunggu. Rindunya saya terhadap budak itu. Dia terpinga-pinga sekejap, menghidu-hidu bau saya. Saya membersihkan lantai, bermain-main sebentar dengannya sebelum lena sekitar jam dua setengah pagi. 

Ketika bangun jam enam untuk Subuh, Baby lena di sudut atas katil tempat yang biasa dia tidur.

Hari ini banyak kerja yang mahu dibuat. Selasa akan mula memeriksa kerja kursus dan proposal penyelidikan pelajar. Itulah kehidupan dan kita kena sentiasa bersedia untuk menghadapinya tidak kira musim cuti atau tidak.

Saya tinggalkan catatan ini dengan dua perkara yang ada kaitan dengan kehidupan kita.

Mengapa cermin hadapan kereta lebih besar berbanding cermin sisi? Cermin hadapan itu adalah seperti pandangan ke arah masa yang ada di hadapan kita dan cermin sisi itu pula adalah masa lalu kita. Ia perlu untuk menjadi peringatan dan panduan dalam perjalanan.

Buku itu seperti persahabatan. Ia mengambil masa hanya beberapa minit untuk terbakar tetapi memakan masa bertahun untuk menjadikannya buku.

Selamat menyambut Hari Malaysia.

Maaf, dalam kantuk saya menulis. Jadi, catatannya agak berbaur-baur.