Total Pageviews

Tuesday, December 3, 2013

Jalan-jalan Cara Dia

Kali terakhir kami bercuti bersama ialah dua tahun lalu.

Kami ke Tasik Bera dan kemudian mengutip strawberi di Tanah Tinggi Cameron.

Itu sahaja.

Tahun lepas tidak ke mana-mana sebab saya bercuti di hospital hehehe...

Tahun ini pun sama di awal dan pertengahan tahun.

Oleh sebab saya hanya asyik bercuti dengan anak-anak, maka saya mengajaknya pergi bercuti berdua.

Saya tahu betapa sukarnya dia mahu meninggalkan dunia utamanya iaitu kerja. Setelah beberapa lama saya pun tidak tahan dengan keobsesannya terhadap kerja.

Tiada yang lain melainkan kerja. Makan kerja. Tidur kerja.

Dahulu saya pelik apabila mendengar ada orang yang asyik bekerja dua puluh empat jam. Akhirnya saya bertemu jodoh dengan orang berperangai begitu. Memang sukar untuk faham bagaimana orang semacam ini membuang perkataan “rehat” dalam kamus hidup mereka.

“Kenapa kerja sahaja tanpa rehat?” saya menemu bualnya seperti mengenang semula kerjaya awal saya dahulu. Jadi wartawan semula. Wartawan yang tiada gaji.

Matanya bersinar-sinar. Seronok agaknya.

“Bagi abang, kerja itulah rehat!”

Pheww...saya pening!

“Berdiri seharian mengajar itu rehat? Buat spot-check itu rehat? Buat ujian pemanduan itu rehat? Bermesyuarat sehari suntuk itu rehat? Kemudian hujung minggu seharian di kebun itu juga rehat?” wartawan pun sudah hilang sabar.

Selain kerja, dia suka menonton bola sepak, memancing dan berkebun. Bakat melukisnya sudah lama terbiar. Paling akhir ialah tiga potret saya yang dilukisnya enam atau tujuh tahun yang lalu.

Jenuh mengajaknya berjalan tetapi dia memberi alasan kerjanya sangat banyak yang belum selesai di pejabat.

Pemandu mesti diuji dan diluluskan. Kalau tidak, mereka tidak bergaji. Tidak bergaji bermakna tidak ada sara hidup. Bagaimana mahu membeli keperluan anak isteri. Anak mahu sekolah, mahu makan nasi. Isteri mahu bersalin. Hutang rumah kena bayar...bla...bla...bla...

Itu katanya.

Kadang-kadang kena bersyukur juga dia bukan jenis yang duduk menghadap FB atau melayari internet. Itu kerja sia-sia, melainkan kalau mahu mencari info. Paling bersyukur dia bukan juga kaki dangdut hahahaha...

Tetapi memang tidak boleh tahan dengan orang yang kaki kerja macam itu. Tengah makan pun bercerita tentang kerja. Mahu tidur pun masih bercakap tentang kerja!

“Habis, bila boleh bawa pergi jalan-jalan?” desak saya untuk kali ke seratus.

"Yang dan anak-anak bukankah baru balik melancong?"

"Saya mahu jalan-jalan dengan abang pula!" kata saya.

Dia bangun dan masuk ke kamar.

Kemudian dia keluar semula dengan kopiah di kepala.

“ Mahu ke mana?”

“Tadi Yang suruh abang bawa jalan-jalan. Ayuh, kita jalan-jalan di depan sana...”

Arghhhhhh!

Orang macam ini pun ada!

Nampaknya acara "berjalan-jalan" saya memang tiada jalannya lagi!

Tekanan!

2 comments:

Melly Kamelia said...

Cikgu Jamil mmg begitu. Ada saja kerja nya. Pantang ada makhluk melintas dpn nya, ada saja kerja nak disuruhnya..... Huhuhu....

IBU BUNGA MATAHARI said...

Ahakss...begitu rupanya dia ya? Agaknya kalau kucing melintas dan kucing tu boleh buat kerja mesti disuruhnya juga kan? hehehe...jangan beritahu beliau...