Total Pageviews

Wednesday, December 11, 2013

Selamat Datang Ke Dunia Buku



Hari ini Selangor cuti.

Dia kesakitan. Pinggangnya seperti mahu putus. Mungkin sebab membantu mengcangkul tanah di kuburan. Mungkin juga sebab mengangkat tong gas.

Nampak sangat dia sakit. Jalannya bongkok sedikit. Riak wajahnya seolah-olah perit yang tidak tertanggung. Saya lihat dia solat duduk di atas meja Jepun. Oleh sebab kelihatan begitu terseksa, kami tidak berjemaah.

Saya cuba merebus daunan herba dan memandikannya. Cuba tuam dengan beg air panas. Minta dia minum air rendaman daun belalai gajah.

Reda sekejap tetapi sakit semula. Dia tidak boleh memandu. Saya membawanya ke klinik. Doktor memberikan pil tahan sakit yang kuat.

Kesakitan dan cuti tidak “mencutikan” mindanya terhadap kerja. Telefon asyik berdering dan dia pula asyik menelefon orang tentang kerja. Kemudian mahu buat jadual itu dan ini.

Sampai satu ketika, saya menghadap mukanya.

“Abang, hari ini abang cuti, bukan? Kemudian abang sakit, bukan? Boleh tak jangan sibuk dengan kerja?”

Dalam sengihnya dia memujuk, “janganlah marah sayang”.

Ubat doktor memberi kesan walaupun masih nampak mukanya berkerut-kerut. Dia melihat sahaja saya menyusun buku-buku dalam almari. Sudah tidak muat. Dia mahu membelikan almari buku yang baharu bagi menampung bilangan buku yang bertambah tetapi saya kerimasan. Rumah ini kecil. Buku-buku milik anak-anak sudah memenuhi sebahagian kamar mereka. Yang di luar ini milik saya!

Malam itu saya beritahunya tentang Big Bad Wolf Books Fair di Mines Convention Centre Seri Kembangan. Saya memancing kekagumannya apabila memberitahu pesta buku tersebut berlangsung dua puluh empat jam dan harga yang ditawarkan daripada 75-95 peratus.

Memeranjatkan apabila dalam sakit-sakitnya dia mengajak saya pergi. Jam dua belas tengah malam kami masih berada dalam barisan kenderaan yang bersesak mahu masuk ke pesta. Akhirnya dengan segala penat lelah kami berjaya masuk ke dewan pameran.

“Selamat datang ke dunia saya dan anak-anak. Dunia buku!” kata saya.

Saya tidak tahu dari mana mahu bermula. Buku-buku yang saya beli dengan harga RM100 untuk anak-anak (dan kadang-kadang kena menempah pula) dijual dengan harga serendah RM8. Seronoknya!

Kami tidak membawa bagasi atau troli. Saya memilih beberapa buah buku dalam bahasa Inggeris. Dalam pesta seperti ini, buku-buku bahasa Melayunya tidak banyak. Jika ada pun dimonopoli oleh novel pop. Saya tidak berminat!

Dia pergi mencari buku-buku tentang road safety.

“Nanti cari Yang di sekitar barisan best-seller” saya memaklumkan. Orang sangat ramai. Dia mungkin kehilangan jejak saya.

Sakitnya sudah beralih kepada saya. Pinggang macam mahu patah. Saya rasa pening. Jam sudah pukul dua pagi tetapi nampaknya dia sudah jatuh cinta dengan dunia saya. Sudah tiga kali saya menelefon, katanya “nanti sekejap. Abang belum selesai...”

Saya mencangkung di tepi dinding. Kepala saya sandarkan di dinding. Buku-buku yang saya pilih saya letakkan di lantai.

Akhirnya kami sampai di rumah hampir tiga pagi.

“Abang terfikir, agaknya kalau ada orang yang kenal kita pun kita tak perasan kan? Semua orang asyik dengan buku. Tak peduli siapa di sisi kita...”

Dia kelihatan gembira. Kemudian merancang-rancang bajet pembelian buku untuk BBW tahun hadapan.

Satu perkembangan yang sangat baik.

“Betulkah Daddy shopping buku?” tanya si bongsu tidak percaya.

Ya. Daddy sudah belajar mencintai buku. Dia sudah masuk ke dunia kita.

Dia memang kuat semangat. Saya meminta maaf sebab menyebabkannya menahan kesakitan di pesta buku. Waktu mahu bergerak ke UKM, saya menerima mesej.

“Terima kasih sebab memperkenalkan abang ke dalam dunia buku. Terima kasih sebab dorongan itu”.

Saya sudah menang!

No comments: