Total Pageviews

Friday, December 20, 2013

Legasi Laila

Berikan nama yang baik-baik supaya nanti akhirnya akan jadi manusia baik.

Itu pesanan ulamak. Pesanan orang tua. Pesanan orang berilmu.

Untuk anak-anak, saya yang memberi nama. Saya yang sibuk ke kedai mencari buku tentang nama anak muslim.

Asalnya tiada Nur tetapi dimulai dengan huruf A. Sebab waktu kelahiran mereka itu saya masih menjadi guru. Sepanjang sembilan tahun menjadi ibu guru, delapan tahun daripadanya saya adalah guru kelas.

Kenapa dimulai dengan huruf A?

Sebab saya mahu anak saya berada di hadapan senarai kelas dalam register atau apa sahaja. Lebih cepat dipanggil kalau guru mahu edarkan markah atau waktu guru kelas menyusun sebarang acara.

Tetapi ayahnya mahu menambah Nor. Akhirnya setelah berbincang, saya kata kalau mahu juga menambah Nor, jadikan dia Nur supaya maknanya ada.

Maka, bertambahlah nama anak sulung saya itu dengan Nur di hadapan. Apabila adiknya lahir, takkanlah namanya tiada Nur? Nanti kelihatan pelik. Jadi, kedua-dua anak itu punya Nur di hadapan nama. Yang membezakan nama mereka hanya satu huruf. Lain-lain sama sahaja. Kalau dulu-dulu jumpa baju sama warna dan saiz tetapi tertulis huruf K atau R, tahulah saya yang mana satu baju kakak atau adik.

Kecewalah saya sebab nama anak-anak sudah berganjak ke belakang, di antara pelajar yang di pangkal namanya huruf M dan O.

Baru-baru ini waktu hari lahirnya, dia bertanya saya, “ibu, boleh tak kalau dipotong Nur itu? Nur itu menjadikan nama kakak panjang. Tiga belas huruf”.

Rasanya tidak boleh kecuali kes-kes yang seperti nama saya dahulu. Klasik dan panjangnya dua puluh satu huruf tidak termasuk sempang.

Tapi bukan ayah dan mak yang menamakan saya. Bukan juga tok, tokwan atau ahli keluarga. Ada orang lain yang ceritanya panjang seperti hikayat.

Saya sendiri yang mengusahakan pemotongan nama waktu di tingkatan enam rendah. Rasa mahu muntah setahun berulang alik ke Ipoh. Satu kejayaan besar buat saya. Pun saya gembira dengan nama saya sekarang yang sudah kontot. Nama itu agak unik dan kedengaran Sanskrit. Jadi, saya tidak perlukan nama samaran ketika menulis.

Saya tidak tahu sama ada legasi Laila itu akan berterusan kepada cucu-cucu saya.

Ada orang yang menggabungkan nama atuk, nenek, mak, ayah dan kucing untuk memberikan nama bayi yang baru lahir. Maka jadilah nama itu panjang berjela tanpa makna. Nama timangan kontot pula. Ada juga yang meletakkan nama yang sangat pendek. Pak Samad Said meletakkan nama anaknya Az dengan maksud awal dan akhir huruf Rumi.

Kalau panjang-panjang sangat, kasihanlah pada guru yang menyalin dalam buku register sebab seingat saya, nama dalam buku itu mesti ditulis tangan. Tidak tahulah kalau sekarang ini sudah boleh ditampal setelah ditaip dengan komputer.

Kemudian kasihan pada Tuan Kadi yang menikahkan anak kita. Mahu tergeliat lidah dia.

Sudah meninggal nanti lagi sekali payah. Yang baca talkin pun angkat tangan menyerah kalah.

Ya lah, apa akan jadi kalau nama anak saya, saya daftarkan macam ini (saya rekakan gabungan nama saya, ayahnya, mak ayah saya, mak ayah mentua dan kucing): Siti Nurul Ratzai Shamar Jaingai Mon!

Aduh, letihnya!

Saya ada kawan yang namanya Melati, Mawar dan Cempaka. Saya suka nama-nama itu. Tetapi belum jumpa yang namanya Kemboja. Mungkin sebab bunga kemboja banyak ditanam di pusara!

Saya sudah tidak boleh ada anak, sudah tua. Tetapi kalaulah saya boleh masuk ke time machine dan kembali ke tahun 1990 itu, saya akan namakan anak saya Siti Mukarramah. Kemudian pada tahun 1992, saya namakan adiknya Siti Munawarrah. Atau nama pejuang agama Maryam Jameelah (Ibu saya Mariam dan allahyarham tok saya bernama Jamilah) atau Rabiatul Adawiyah.

Nama yang baik-baik itu selalunya jadi ustazah!

Atau kalau mahu kekalkan juga legasi Laila, boleh sahaja namakan anak saya Siti Lailatulqadar! Hahaha...

No comments: