Total Pageviews

Wednesday, December 4, 2013

Lawak Pagi Yang Tidak Mencabar!


Ini gambar zaman muda hehehehe

Pagi ini dia buat lawak lagi. Disembunyikannya telefon bimbit saya di bawah kain pelekat yang dipakainya untuk solat subuh.

Saya memang tidak ingat akan telefon itu. Tiba-tiba terdengar deringan dari bawah kain pelekat.

Terdengar ketawanya di hujung talian.

“Abang sembunyikan telefon Yang tadi”

Err...tak mencabar langsung!

Lain kali sembunyikanlah dalam tong beras! Tidak pun gantung di aerial atas bumbung!

Ada sekali dia terambil telefon saya sebab telefon yang satu itu hampir sama dengan telefon kepunyaannya. Dia langsung tak perasan. Saya terpaksa meminjam telefon jiran untuk menelefon dia semula. Nasib baik saya ingat nombor saya dan nombornya.

Dia terpaksa berpatah balik untuk memulangkan telefon saya. Waktu itu anak kurang sihat di kampus. Bahaya kalau tiada telefon.

Entah apa-apalah pak cik yang seorang ini!

Kalau orang sudah mengambil wuduk, waktu itulah dia mahu bersalam-salaman macam pagi hari raya. Tapi kalau saya mahu membalas dendam akan perbuatannya itu, dia akan berulang kali menyebut, “berdosa. Tuhan marah!”

Saya membelikannya baju T dari Beijing, tapi saya beritahu dia jangan pilih yang warna merah.

“Sebiji macam apek!” itu kata anak saya. Memang pun!

Katanya baju itu tidak boleh pakai untuk solat. Ada gambar panda gemuk.

“Bukan itu saja. Sebab ada tulisan Cina”

“Eh, apa kena mengena dengan tulisan Cina pula?” saya membantah.

“Kita tak tahu apa yang dia tulis. Nanti orang yang tengok, hatinya akan bercakap-cakap sambil solat. Kan tak baik begitu?”

Banyaklah hati akan bercakap-cakap. Tulisan itu di bahagian depan. Dan kecil sahaja.

Tapi dia tetap mahu menang.

Hari ini saya akan tinggalkan dia. Saya ada acara sastera dan akan pergi untuk beberapa hari. Harap-harap dia gembira dengan ketiadaan saya sebab dia boleh duduk di tempat kerjanya sepanjang siang dan malam.

Kerjalah sungguh-sungguh! Hahahaha...

No comments: