Total Pageviews

Sunday, December 15, 2013

Langit Pun Menangis



Apabila dua sahabat bertemu setelah sekian lama, langit pun akan menangis.

Saya pernah menulis tentang Baha a.k.a Saddam Hussin beberapa bulan lalu di bawah tajuk “Panggilan Dari Kubur?”

Ada tanda soal (?) di situ.

Memang benar, bertahun-tahun saya dan suami percaya bahawa Baha telah berada di dunia yang jauh. Waktu menyampaikan berita itu wajah suami murung. Saya masih ingat semua itu dengan jelas.

Saya pernah kehilangan sahabat dan kematian selalu akan menjeruk hati kita sedemikian lama.

Rupa-rupanya Allah masih memanjangkan umur Baha. Tidak tergambar perasaan suami tatkala mendengar sendiri suara sahabat yang diberitakan telah tiada.

Bayangkan sahaja! Bertahun-tahun kita mengirim Surah Yassin untuknya tiba-tiba suatu hari kita mendengar suaranya. Dia masih hidup!

Alangkah ajaibnya kehidupan.

Dia kini membina kehidupan bersama seorang isteri yang muda belia setelah kematian isteri.

Baha muda beberapa tahun daripada suami. Barangkali tua juga beberapa tahun daripada saya. Meskipun empat belas tahun yang lalu (waktu itu saya masih bertugas sebagai seorang guru dan sedang menyambung pengajian ijazah kedua) saya hanya pernah bertemunya sekali tetapi rasanya seperti sudah mengenalinya lama.

Prinsipnya mudah, apabila suami mengasihi sahabatnya, maka kita perlu menyantuni sahabat yang disenangi suami.

Suami selalu bercerita tentang Baha sehinggakan saya seolah-olah merasakan bahawa saya amat mengenali beliau.

Hari ini saya melihat keceriaan luar biasa di rona wajahnya. Dia akhirnya dapat bertemu seorang sahabat yang dalam diari hati masing-masing tersimpan ribuan rahsia.

Sahabat yang disangkanya telah tiada.

Terima kasih Allah kerana menceriakan hati lelaki itu.

No comments: