Total Pageviews

Tuesday, December 31, 2013

Genta Bejat Bakal Berbunyi

“Tak payahlah susah payah buang masa dan wang untuk sambut tahun baharu dengan cara yang biasa dibuat. Kenapa tidak kita berubah cara. Bukankah kita ada pilihan untuk menyambut apa-apa sahaja yang baharu?”

Ya. Sudah masuk empat puluh delapan tahun saya menyaksikan sambutan tahun baharu Masihi yang dipenuhi dengan bunga api, konsert dan pesta-pestaan.

Cukup-cukuplah wahai tuan-tuan!

Jika pun bukan sebab kemelesetan ekonomi, kita ini negara Islam. Kita tidak mahu menjelang bulan September, akan berlaku jenayah buang bayi di seluruh negara.

Genta bejat bakal berbunyi lagi malam tahun baharu. Gentanya kuat membingit.

Ada orang kata, kalau tidak mahu sambut, terpulanglah kepada kita. Buat apa bising-bising jika ada orang lain yang mahu sambut?

Betul. Saya memang tidak akan sambut. Ucap selamat pun saya tidak akan buat. Tetapi saya ada anak. Ada anak saudara. Ada cucu saudara. Apakah mereka juga akan dihidangkan dengan benda-benda mengarut ini sehingga mereka tua, kemudian dilanjutkan pula kepada anak cucu mereka?

Cuma Alhamdulillah beberapa tahun ini ada acara sambutan bersama ulamak. Ada juga masjid yang mengadakan maulid dan solat hajat demi mengalih perhatian anak-anak muda daripada terus terjebak ke lembah maksiat. Alhamdulillah.

Yang muslimnya sama naik menyambut tahun baharu seperti acara wajib. Padahal apabila menjelang tahun baharu Hijrah, langsung tidak ingat.

Mungkin sebab saya pendidik. Mungkin juga sebab saya seorang ibu. Kebimbangan-kebimbangan itu menerjah dalam minda. Ke mana hala tuju kita? Sudah merdekakah kita dalam definisi yang sebenarnya?

Kalau mahu sambut juga, sambutlah. Tetapi jangan membazir dalam keadaan semuanya mahal sekarang ini. Duit yang berjumlah jutaan itu mampu mencerahkan masa hadapan kanak-kanak di pedalaman dan masyarakat orang asal jika digunakan untuk dana pendidikan.

Sambutlah dengan acara-acara yang sesuai dengan budaya Islam.

Malam tahun baharu saya tiada bezanya dengan malam-malam yang lain. Malam saya tetap ada bulan di perut langit.

***Maaf jika beberapa hari saya tidak menulis. Saya keletihan. Saya sedang belajar menerima hakikat bahawa tiada yang kekal abadi di dunia ini. Semuanya milik Allah. Saya akan cuba meskipun saban malam saya sering terjaga dan menjadi begitu gementar. Mudah-mudahan Allah menjaga saya, menjaga tuan-tuan dan sentiasa merahmati diri kita.

Thursday, December 26, 2013

Ustazah Mukarramah, Selamat Berangkat Kak!

Beberapa hari ini saya keletihan.

Kadang-kadang saya boleh terlena lima minit di sofa. Saya jarang begitu.

Malam itu saya payah mahu lena. Jam sudah melewati dua pagi tetapi saya masih gelisah. Kemudian saya tertidur sebentar. Mimpikan gemulah ayah yang kemas berpakaian seakan berkata, “ayah dulu pun macam itu juga...”

Jam empat saya terjaga dan tidak dapat lena lagi. Hati saya rusuh. Ada apa sebenarnya?

Jam delapan saya mendapat khabar bahawa Ustazah Mukarramah telah berangkat ke negeri abadi. Jenazahnya masih di hospital. Saya kebingungan. Saya lekas menghubungi beberapa teman pensyarah di Kolej Matrikulasi sebab saya pasti jenazah akan dikebumikan di kampungnya di Johol.

Bergegas ke rumahnya di Taman Cengal, orang masih tiada. Khemah sedang dipasang. Saya jumpa teman lama Ustaz Faridon dan Encik Muhammad. Sebetulnya saya sedang menggigil. Kaki seakan lemah begitu. Ini kejutan kali kedua. Ramadan lalu, saya kehilangan sahabat juga. Ustaz Mokhlis Komari. Kedua-dua orang ini banyak sekali membantu saya khususnya tatkala saya ditimpa musibah.

Hal tidak dapat lena itu semacam berulang. Sama seperti yang berlaku semasa pemergian ustaz.

Saya menghubungi suami, anak dan mak. Kata suami, “ustazah yang selalu tolong Yang tu?” Saya masih ingat ustazah sangat suka makan telor asin yang dibuat suami.

Mak ingat-ingat lupa wajah ustazah tetapi tahu bahawa allahyarham selalu datang ke rumah melawat saya atau membantu membelikan ubat.

Jika ada kematian rakan-rakan, orang pertama yang akan saya hubungi ialah ustazah. Kemudian saya akan mengambil ustazah di institut. Dalam kereta biasanya ustazah akan cakap dalam loghat Pilahnya yang pekat, “apo lak terbalik kito ni Yang. Oghang sakit lak eh yang mandu. Oghang sehat sodap yo duk sobolah...”

Saya akan menjawab, “ini latihan, kak. Lagi pun saya memang suka memandu...”

Dia rakan pensyarah semasa kami masih di Kolej Matrikulasi. Biar pun berbeza unit tetapi masih dalam jabatan yang sama. Kemudian ustazah menyambung pengajian sarjananya di UM. Bertugas pula dengan saya di institut, jabatan kami sebelah menyebelah. Selalulah saya ke sana ke mari dengannya.

Dia macam pagar yang mampu mengelakkan saya terbabas. Suaranya lembut. Tidak lepas daripada ucapan Alhamdulillah. Kalau saya berlucu, gelaknya panjang tetapi terkawal.

Bulan Oktober lalu saya sempat bertemunya. Terkejut melihat wajahnya yang sedikit kurus. “Kak masuk hospital hujung bulan puasa. Sakit lama. Maaflah tak dapat jenguk Yang,” katanya.

Waktu bicara tentang pencen, saya beritahunya bahawa kalau boleh saya mahu pencen awal. Dia pun begitu. Rupa-rupanya memang dia “pencen” awal.

Selalu sangat dia menenangkan saya, mengingatkan bahawa itu adalah “bahagian” saya, sebab Allah tahu setakat mana kekuatan saya.

“Entah-entah Yang, Kak Mah yang sihat ni yang dijemput dulu...”

Dan benarlah katanya.

Sepatutnya saya ikut turun ke Pilah, tetapi kaki saya sudah lemah. Sekali lagi saya rasa kebingungan. Sebenarnya dalam menghadapi kematian, rasa tidak percaya itulah yang menguasai minda.

Saya suka ikut Kak Mah ada sebab. Dia tidak bersembang-sembang macam orang lain. Dia akan ajak saya dan beberapa yang lain untuk buat tahlil sementara menunggu jenazah siap diurus di hospital.

Itulah juga yang berlaku kepadanya. Sementara menanti van jenazah sampai ke rumah, kami sempat buat tahlil. Sebaik sahaja selesai, van pun sampai. Saya melihat wajah ustazah. Wajahnya manis seakan sedang senyum. Dan ada sesuatu juga yang menyebabkan saya gembira dalam kesedihan itu.

Kak Mah dikebumikan petang Khamis 26 Disember 2013 di Johol. Hujan lebat turun sepanjang petang dan malam.

Kembali bertugas menjelang tahun baharu, sudah pasti ada sedikit lompong dalam hidup saya.

Berehatlah Ustazah Mukarramah di sisi Tuhanmu.

Kami yang ditinggalkan masih lebat hujan di hati.

Saturday, December 21, 2013

Memandu Di Lebuh raya Hidup

“Memandu tidak bermula dengan tangki yang penuh minyak atau tayar yang sempurna tetapi hati yang lapang, tenang dan sabar” - Allahyarham T. Alias Taib dalam Tuan Ibarat Songket Berkilau: 2005.

Saya melihat ungkapan penyair yang saya minati itu bukan hanya daripada pemaknaan ekstrinsik. Kita meneropongnya dari sudut intrinsik. Analogi memandu yang bersimilariti dengan kehidupan.

Saya baru berpengalaman kurang lebih dua puluh satu tahun dalam pemanduan kereta. Seusia anak bongsu saya. Waktu dia masih sangat kecil, saya nekad belajar memandu meskipun tidak pasti punya wang yang cukup atau tidak untuk memiliki sebuah kereta.

Hidup dengan gaji bermula sekitar satu ribu tiga ratus di kota Kuala Lumpur dalam tahun awal 90-an, dengan perlu melunaskan sewaan rumah, upah pengasuh dua anak, susu dan lampin anak, belanja runcit, kiriman wang ke kampung...adalah sesuatu yang sangat mustahil untuk memiliki sebuah kereta terpakai, apa lagi kereta baharu.

Tetapi akhirnya berjaya juga membeli sebuah Honda Civic first generation warna maroon dan selalu monopouse di tengah jalan. Rahmat Tuhan juga, dengan kereta mini yang tiada pendingin hawa dan selalu berasap enjin itu, saya kerap memandunya balik kampung melalui jalan lama (waktu itu belum ada lebuh raya PLUS). Dengan kereta buruk itu jugalah saya sudah sampai ke Johor dan Pulau Pinang.

Saya membeli kereta atas dasar keperluan. Anak dua orang yang masih kecil, jarak ke tempat kerja yang agak jauh dan kepentingan-kepentingan lain. Orang geleng kepala melihat saya memandu dalam jarak jauh. Kereta itu memang bermasalah tetapi saya tiada pilihan.

Kemudian saya membeli kereta terpakai yang kedua warna biru muda jenis Datsun 120Y. Selepas itu tiga kereta baharu iaitu model kancil 600 kuasa enjin warna maroon. Berganti pula dengan Saga kereta kebal warna hitam dan selepas itu Saga BML warna putih. Kedua-duanya dengan kuasa kuda satu perpuluhan tiga.

Saya mengasihi kesemua kereta sama ada yang lama atau baharu. Saya akan melepaskan mereka dengan tangisan dan kesedihan yang bukan lakonan. Sungguh. Saya memang menangisi pemergian mereka seperti mereka itu seekor kuda bernyawa. 

Akhirnya sebab kasihankan kereta putih , kami menyerahkannya percuma kepada kakak di Ipoh. Dia hanya perlu menyambung bayaran sekitar lima tahun lagi. Kakak sangat cermat dan pembersih. Setiap kali pulang, saya sangat gembira melihat kondisi si Shiro. Jika Shiro itu seekor kuda putih, saya pasti dia pun bahagia bersama tuan baharu.

Kini saya kembali memakai kereta terpakai. Saya membayar tunai. Kereta itu sudah tua dalam umur sekitar empat belas tahun. Kalau kerajaan menitahkan kereta tua seperti itu dilupuskan, jawabnya saya akan ke pejabat dengan basikal!

Saya belum menamakannya walaupun sudah setahun menggunakannya. Barangkali sahaja saya panggil dia Si Tua Dumbledore, profesor berjanggut putih di Hogwart School. Honda City dengan warna asal hijau tua. Betul-betul warna orang tua.

Saya sudah tidak boleh memandu jauh. Kereta bukan lagi keutamaan saya, hanya untuk ulang alik ke pejabat dan ke kedai runcit atau sesekali menjenguk anak. Untuk balik kampung, saya menggunakan perkhidmatan kereta api ekspres.

Apakah saya malu memandu kereta yang setua itu? Peduli apa saya! Saya tidak pernah berasa malu dikelilingi oleh rakan-rakan pensyarah yang berkereta mewah dan moden. Ada keinginan tetapi bukan kegilaan. Ada keutamaan-keutamaan lain yang mendahului senarai. Saya sudah berpenyakit, untuk apa saya menggilai sesuatu yang akan menyusahkan waris-waris saya jika saya meninggal dunia kelak.

Yang penting ialah bebas hutang. Saya hanya perlu melunaskan hutang kereta-kereta anak sehingga mereka tamat pengajian. Dan selepas itu terpulanglah kepada mereka sama ada masih mahu menggunakan kereta yang saya belikan itu atau menukarnya dengan yang baharu.

Niat saya mudah. Kamu mesti belajar memandu, berdikari dan mengenal pasti masalah yang datang. Esok-esok jika ibu sudah tiada, kamu tidak perlu bergantung seratus persen dengan orang. Belajar untuk berdikari bukan mudah. Kena ada kekuatan dalaman, faktor tolakan dan tarikan. Baru mereka sensitif dengan kenaikan harga minyak (kereta mereka kuasa enjinnya satu perpuluhan lima dan auto, juga ada unsur-unsur lain yang pelahap minyak), baru mereka tahu bahawa memiliki kereta bukan sesuatu yang hebat! Banyak masalah, penipuan dan akibat daripada masalah!

Keutamaan saya ialah anak mesti cukup makan. Anak tidak boleh susah hati memikirkan yuran pengajian, bayaran kediaman dan wang bulanan. Anak mesti dibekalkan dengan buku. Kemudian mesti didedahkan dengan pengalaman di negara orang biarpun bermakna tabungan di buku akaun saya tinggal nihil.

Mak saya di kampung mesti juga cukup makan. Bekalan suplimennya sentiasa ada. Paling kurang delapan kali setahun saya mesti melihat muka mak, ertinya balik kampung. Balik kampung sekarang memerlukan belanja yang banyak. Kenaikan tol dan minyak sangat menyakitkan sebab kampung saya jauh. Setiap hari saya mesti memperuntukkan wang dan waktu untuk menelefon mak.

Itu dua keutamaan saya. Untuk diri sendiri sudah tidak banyak permintaan ke hadrat Tuhan Rabbul Jalil. Saya hanya mahu kesembuhan dan ketenangan. Barangkali juga sedikit masa lagi untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai ibu, anak, isteri dan pekerja.

Seperti memandu, sebenarnya bukan keutamaan-keutamaan itu yang mendominasi hidup, tetapi kata kuncinya ialah ketenangan dan kebahagiaan. Bagaimana kita menafsir dan mengelolakan dua unsur itulah yang membolehkan keutamaan-keutamaan itu berjalan dengan baik.

Wang itu perlu tetapi jangan terlalu berkira dengannya. Hidup di rumah kecil dan berkereta lama bukan ukuran kebahagiaan. Ada satu elemen kecil yang akan membesarkan ruang yang sempit dan memberikan warna kepada yang usang.

Hati yang gembira dengan apa yang ada.

Rumah yang kecil serikan dengan alunan zikir dan bacaan ayat-ayat suci. Rumah yang kecil hiaskan juga dengan amalan berjemaah meskipun sekali dalam sehari. Jangan terlalu meletakkan kesempurnaan dalam sasaran tahunan. Akhirnya kalau gagal sedikit, ia akan memakan diri sendiri.

Tidak perlu menjadi orang lain. Mencontohi tidak mengapa, tetapi bukan mengambil bajunya dan cuba menjadi dirinya. Kita adalah kita. Pengalaman hidup dan didikan kita berbeza. Pegangan agama dan anutan budaya juga berlainan.

Biarkan orang dengan gaya hidup mereka. Kita mesti yakin dengan jalan yang kita pilih asalkan ada payung agama di atas kepala. Tetapi bukan bermakna kita hanya duduk menyerah kepada ketentuan. Berusaha untuk memperbaiki diri dan berdoa. Selebihnya di tangan Allah Penguasa Alam.

Wang, rumah, kereta, segala kemewahan emas permata adalah minyak dan tayar kereta tidak kira yang bersaiz 15 atau 17.

Semua itu mesti didahului dengan hati yang tenang dan redho, barulah “pemanduan” hidup kita mudah dan lancar. Namun harus diingat, minyak penuh dan tayar yang bagus pun mestilah bergerak di atas permukaan jalan yang bagus juga, bukan yang berlubang-lubang.

Mungkin suatu hari nanti saya akan memandu sebuah Mercedes baharu. Siapa tahu?

Apa pun keinginan itu mesti ada, tetapi bukan kegilaan.

Ukur baju di badan sendiri.

Jangan membebankan hati dengan hutang-piutang yang melampaui batas kerasionalan.

Hidup akan menjadi susah jika kita terlalu banyak permintaan.

Jangan keliru antara perjalanan ke luar negeri dengan perjalanan ke dalam diri. Yang pertama, menambahkan pengalaman dan yang kedua ialah menambah kebijaksanaan.


Thursday, December 19, 2013

Selamat Berangkat Kak Yan...

Ada pedih yang menunda-nunda setiap kali menerima berita tumpasnya sahabat-sahabat seperjuangan di medan tempur.

Malam itu jam sembilan, saya mendapat khabar akan kepulangan Allahyarham Azean Irdawaty ke sisi Allah.

Memang, saya akui bahawa sepanjang malam saya down sedikit.

Mujur saya dilahirkan muslim. Saya ada tempat untuk mengadu walaupun ketika berbaring. Saya ada kitab untuk dibaca dan difahami makna. Saya ada kekuatan yang bersisa daripada pengalaman hidup yang rencam.

Saya teringat Benjamin. Ibu awak telah pergi. Ibu yang selalu membela awak telah pergi.

Biar apa pun kisah sedih kelahiran Benjamin, dia amat dikasihi ayah dan ibunya. Seperti manusia lain, dia tersasar juga sehingga menambah derita si ibu.

Benjamin anak baik. Mudah-mudahan dia akan terus kuat untuk kekal di jalan bersih.

Saya teringat ketabahan Azean. Dia memang wanita kuat terutama ketika berdepan dengan kemelut yang melanda anak tunggal lelakinya itu. Itu sebab juga dia boleh bertahan selama lapan tahun dalam peperangan menentang kanser. Seperti biasa, kisah pahit kehidupan yang membentuk keperibadian wanita kental itu.

Setelah bangun pagi, saya kembali menjadi bunga matahari. Saya melupakan kesedihan. Malam telah berlalu dan tetap akan menjelma kembali. Kita kena berhadapan dengan semua ketentuan, dengan keyakinan bahawa hanya Dia yang tahu apa yang terbaik buat kita.

Selamat berehat Kak Yan.

Tinggalkan semua yang ada di atas dunia ini untuk kami meneruskan perjuangan.

Sehingga tiba saatnya kami pula bakal menyusul.

Wednesday, December 18, 2013

Masih...



Feliz veinte y tres cumpleaƱos mi princessa.

Dua puluh tiga tahun yang lalu, anak ini pun lahir. Pada tanggal ini. Delapan belas di perut Disember. Dia akan selalu lambat tua sebab lahirnya di ekor tahun.

Saya di katil wad Hospital Universiti Malaya. Menunggu anak ini diserahkan kepada saya. Malangnya, dua hari katil kecil di sisi saya masih kosong.

Dia dimasukkan ke ICU. Kasihannya baru sahaja melihat dunia sudah terpaksa menghadapi keadaan yang sukar itu.

Kemudian apabila katil kosong itu diisi, saya melihatnya dengan aneh.

Sudah jadi ibukah saya?

Bukankah seperti baru semalam saya masih tidur di sisi mak. Atau celapak belakang ayah ketika mengikut ayah masuk ke hutan?

Bukankah seperti baru kelmarin saya duduk mengaji di hadapan ayah dengan rotan di tangannya? Dan kemudian mendengar cerita mak sebelum masuk tidur?

Saya melihat makhluk kecil yang tidur diam dan sesekali tersenyum dalam lenanya itu.

Anehnya.

Anehnya.

Dia saya besarkan dalam kolek kecil di laut hidup. Kami bertiga menempuh musim tengkujuh yang lama.

Dia dan adiknya kelihatan serupa saat masih kecil tetapi sangat berbeda tatkala dewasa. Dia selalu mengadu pada saat-saat kedewasaan ini, “kawan-kawan kata kakak anak angkat, tak serupa muka ibu dan adik...”

Saya akan selalu pura-pura marah dan mahu merotan orang yang berkata macam itu.

“Ada yang serupa...” saya akan memujuk. “Lihat mata kita. Dan gigi...”

Dia akan gembira dengan “mata” tetapi bukan “gigi”. Gigi berlapis-lapis. Ibu tidak mampu menempah pendakap gigi. Sangat mahal.

“Masih ada yang serupa. Bakat menulis kakak walaupun dalam bahasa yang berbeza...”

Dia seperti cuaca empat musim. Sukar untuk diduga.

Saya masih mengkaji siapa dia yang telah saya lahirkan dua puluh tiga tahun yang lalu.

Saya mahu mengenalinya.

Dan merasai deritanya.

Monday, December 16, 2013

Jangan Asyik Berlari

Dalam satu dialog drama pelakonnya menyebut, “untuk menyelesaikan masalah, kita jangan lari daripada masalah”.

Cantik!

Tetapi tidak secantik realitinya.

Adakalanya, kita kena lari daripada masalah.

Contohnya kalau kita tiba-tiba terjatuh dalam kandang harimau. Harimau itu pula harimau muda. Belum sarapan apa-apa sebab zoo kekurangan wang untuk membeli bekalan daging. Maklumlah semua barangan naik harga. Takkanlah harimau kena ikut saranan “bijaksana” menteri supaya makan sayur pula kan?

Kalau kita tidak lari, jawabnya dia akan “menyarapankan” kita! Sekurang-kurangnya kita berusaha jugalah, panjat pokok kalau ada pokok atau panjat pagar walaupun keberangkalian untuk selamat ialah dalam kadar 0.01 peratus.

Sebenarnya bukan itu maksud dialog drama tersebut.

Maksudnya kita kena ada sedikit keberanian untuk berdepan dengan masalah. Kalau kita selamanya asyik lari atau menyembunyikan kebenaran; mana datangnya ketenangan?

Perlahan-lahanlah, bukan drastik begitu. Itu gelojoh namanya.

Semua kita selalu berhadapan dengan masalah. Daripada sekecil-kecil masalah seperti suami yang asyik lupa menolak kerusi selepas makan sampailah kepada masalah besar seperti tiba-tiba kita kehilangan wang simpanan akibat dirompak oleh penjenayah kolar putih atau yang tidak berkolar.

Kalau kita "lari", itu yang selalu kita baca dalam surat khabar. Mati bunuh diri. Bunuh orang lain. Jadi tidak siuman.

Mudah-mudahan Allah jauhkan kita daripada perbuatan yang merugikan itu.

Itulah untungnya kita sebagai muslim sebab kita ada Allah tempat menyerahkan segala pengaduan.

Setelah kita berusaha, kita mengadu kepada-Nya.

Janganlah asyik mengadu sahaja tetapi malas usaha.

Kalau malas, lebih baik duduk saja dalam kandang harimau menunggu untuk dijadikan sarapan tersedap pada abad ini!

Friday, December 13, 2013

Hujan Pasti Berhenti

Banyak yang perlu dibuat hari ini. Sepatutnya saya sudah berada di kampung. Kakak sulung kenduri berkhatan dua cucunya. Sudah janji mahu pergi tapi ada aral pula.

Menjadi adiwirawati seperti Supermom memang banyak kerja. Nasib baik anak hanya dua. Kalau dua puluh, Supermom pun sama taraf dengan papan sekeping. Kurus kering lari ke sana sini.

Patutlah mak tidak penat walaupun seharian mengerjakan itu ini untuk anak-anak. Mak seakan terlupa wujudnya perkataan “penat” dalam kosa katanya.

Rumah hari ini seperti punya anak kecil yang ramai.

Buku di sana sini. Helaian kertas pun begitu. Dapur? Uh...

Mesti melakukan mengikut senarai keutamaan. Maka saya cepat ke pejabat Ilham Jitu menyerahkan dokumen insurans kereta anak. Berbual sekadar memberi hormat dan balik untuk memasak.

Masak lemak pisang, kemudian tumbuk sambal belacan. Kena makan juga. Tidak boleh ikutkan hati sebab saya jenis boleh lupa makan kalau sudah fokus dengan kerja.

Hari ini tiba-tiba mahu berpaling daripada kepantangan. Kalau pantang sangat-sangat pun, mahu mati, mati juga. Itu gurau gemulah ayah yang sakit kencing manis. Beliau meninggal bukan sebab penyakit itu. Mudah sahaja cara kepulangannya ke sisi Dia.

Ya ayah. Hari ini puterimu mahu makan makanan kesukaan ayah. Masak lemak kuning pisang campur ikan kering.

Ayah...rindunya!

Sejak akhir-akhir ini memang selalu terjaga dan mengenang bagaimana “rasanya” kematian. Dan selalu hati berbisik, “ayah sudah rasa. Kami entah bila...”

Usai makan, kena lakukan sesuatu secara atas talian. Sukar sekali sebab talian internet di kejiranan ini ada masalah. Rasa mahu patah pinggang duduk menunggu.

Si sulung pula meminta bantuan mentafsir teks klasik surat-surat raja kepada si penjajah Francis Light.

Ada tujuh belas volum. Berpinar biji mata. Apalah payah benar orang dulu-dulu buat ayat macam naik gunung turun belukar. Patutlah bangsa kita agak lambat dalam bidang apa pun. Berliku-liku ayatnya. Sengaja mahu menyeksa anak cucu hahaha...

Dalam waktu-waktu itu tiba-tiba ada panggilan.

“Assalamualaikum...kenal tak siapa ni?” Eh, suara garau loghat Negeri Sembilan yang pekat.

Saya ketawa. “Saddam Hussin!” kata saya menyebut nama panggilan Baha. Terbayang misai “Saddam Hussin” yang sudah puluhan tahun tidak berjumpa.

“Golak ekau pun masih samo cam dulu.  Nangis den. Oghang heboh kato den dah mati. ”

Aduhai, speaking Nismilan la pula. Saya memang sudah tiga belas tahun tinggal menumpang di Negeri Sembilan. Saya faham kalau penuturnya bicara agak lambat. Kalau laju, alamatnya kena ulang dua tiga kali.

Sehingga malam kerja saya belum selesai.

Masih ingat pesanan bekas pengarah saya dahulu, Tuan Haji Fahmi. Pesanan yang sama oleh mak.

“Pastikan dapur sudah dikemasi sebelum masuk tidur”.

Mandatori. Kecuali jika benar-benar uzur.

Maka sekejap lagi, akan ada bunyi kelentung kelentang sepanjang malam yang sunyi.

Kehidupan bukan semestinya bermula pada waktu pagi tetapi bergantung kepada kita untuk memulakannya pada saat bila.

Saya mahu memulakannya tengah malam ini, kala orang lain sedang menenun benang mimpi.

Gembiralah dengan peluang menikmati hidup. Siapa lagi yang semurah hati Allah, Dia memberikan kita peluang sebegini hebat!

Nikmatilah! Ayuh, jangan bersedih!

Hujan pasti berhenti juga apabila tiba di hujung musim!

Thursday, December 12, 2013

Trauma

Semua kenderaan berhenti di lampu trafik di bandar Kajang, trafik menghala Semenyih. Kami berhenti di laluan kiri menuju ke UKM.

Saya dan anak dari Balai Polis Kajang. Urusan jadi cepat sebab seorang pegawai Sikh yang kacak dan fasih berbahasa Inggeris membantu kami meskipun kaunter hanya akan dibuka pada jam dua petang.

Betul-betul di hadapan saya adalah sebuah pacuan empat roda. Nampak dua orang sedang bertolak-tolakan dalam kenderaan tersebut. Tiba-tiba pemandunya seorang Cina dalam usia lima puluhan membuka pintu dan keluar. “Ada ular dalam kereta orang tu agaknya” kata saya kepada anak. Kemudian dia mengeluarkan sebilah parang. “Wah, agaknya memang betul ada ular!”

Eh, dia membawa parang itu ke sebelah tempat penumpang. Seorang lelaki India dalam usia empat atau lima puluhan keluar daripada pacuan empat roda tersebut.

“Kakak, dia tetak India tu!” Saya panik. Dia menetak bertalu-talu. Kami betul-betul di belakang kenderaan si penetak. Saya tidak tahu apa berlaku kepada yang kena tetak sebab mungkin dia lari berlindung di kedai berhampiran. Seorang lelaki Melayu pekerja restoran tampil membantu. Baru sahaja saya mahu mencapai kamera, Cina itu memacu laju kenderaannya. Saya ikut dari belakang sebab memang kereta saya berada di belakangnya. Kenderaan itu plat Negeri Sembilan. Kemudian dia masuk ke deretan bangunan kedai. Jejaknya hilang.

Bayangkan. Di tengah ramai orang, berlaku jenayah sedahsyat itu. Kalau setakat bertumbuk atau tendang menendang saya masih boleh terima.

Itulah juga yang berlaku kepada si sulung saya di Bangi. Berang sebab lambat bergerak dalam hujan dan kesesakan, samseng Melayu itu cuba menghalang kereta. Tiba di lampu trafik, dia keluar kereta dan cuba membuka pintu kereta si kakak. Nasib baik kereta budak itu auto-lock. Ditendang-tendangnya kereta, cuba mencabut cermin sisi. Memang gila sebab mana boleh cermin sisi itu dicabut. Akhirnya cermin itu dipecahkan. Ramai orang berhenti di lampu trafik tetapi semuanya kepanikan.

Hari ini saya memasang cermin itu setelah membuat pesanan. Dompet saya menangis lagi! Mendayu-dayu!

Saya dengar cerita memang dua tempat itu jenayahnya hebat.

Mulai sekarang, kena pastikan pintu dikunci jika memandu sendirian. Juga bawa semburan cili!

Saya rasa mahu muntah. Trauma. Orang sudah tidak takut untuk berbunuh-bunuhan!

Oleh sebab saya suka bergurau, si bongsu tidak percaya cerita ibunya.

“Betul adik. Tak percaya tanya kakak”.

Cerita tetak menetak mana boleh dibuat gurauan!

Saturday, December 7, 2013

Apabila Gagal Jadi Ustazah

Al-Khawarizmi memberikan satu logika matematik untuk menggambarkan kesolehan seorang wanita.

Apabila seorang wanita itu beragama, beriman dan solehah, 1 markah akan diberikan.

Apabila wanita itu berharta, tambahkan angka 0 selepas angka 1 menjadi 10.

Kemudian wanita itu cantik pula, maka tambahkan lagi angka 0 menjadi 100.

Jika wanita itu daripada keturunan yang baik-baik, tambahan angka 0 telah menjadi 1000.

Kalau wanita itu pandai dan bijaksana, tambah lagi angka 0 menjadikannya 10000.

Sekiranya angka 1 itu dibuang, apakah nilainya yang tinggal?

Apabila angka 1 dibuang, sebanyak mana pun 0 tidak akan ada nilainya.

Sebab angka 1 itu mewakili elemen terpenting yakni tahap keimanan dan kesolehan.

Wah, pagi ini Ibu Bunga Matahari tiba-tiba mahu jadi ustazah! Bukan Ustazah Mashitah Ibrahim tetapi Ustazah Norhafizah Musa!

Maklumlah dahulu pada tahun 1978, saya gagal temu duga untuk ke Sekolah Agama (P) Taayah. Terketar-ketar mahu menjawab soalan pegawai agama di Pejabat Agama Lenggong. Soalan mudah sahaja antaranya ialah membaca doa Qunut. Entah apa kenanya, waktu tiba di ayat-ayat akhir doa itu, saya tergagap-gagap.

Agaknya sebab gementarkan wajah penemu duga yang cengil!

Akhirnya saya menerima tawaran ke sekolah mubaligh!

Nasib baik tidak terpengaruh dengan dakwah mereka sebab rangkaian hubungan persatuan pelajar Islam dengan pertubuhan seperti ABIM sangat kuat meskipun bilangan yang memakai tudung boleh dikira dengan hanya sekilas pandang.

Waktu di tingkatan dua dalam usia empat belas tahun, kami sudah punya kesedaran terhadap perjuangan agama. Kadang-kadang jika membuat perbandingan dengan pelajar seusia itu pada zaman ini, jauh sekali bezanya.

Zaman itu pengetahuan agama sangat terbatas. Kami banyak bergantung kepada ceramah-ceramah agama yang diadakan dua minggu sekali. Kemudian sedikit-sedikit daripada usrah.

Kakak-kakak senior selalu dibantu oleh abang-abang dari Izzuddin School atau Anderson School dalam menganjurkan ceramah dan sebagainya.

Oleh sebab pengetahuan agama yang terbatas itu, kami masih ligat menari sambil menunjuk-nunjuk langit. Lagu-lagunya ialah seperti One Way Ticket nyanyian Boney M atau kalau mahu jiwang sedikit Knife oleh Rockwell atau Hello oleh Lionel Ritchie.

Seluar baggy besar di bawah...hahahaha...lucu tak boleh ingat! Boleh menari sambil menyapu lantai!

Cuma menari-nari di dewan makan asrama sahajalah apabila diadakan konsert mini saban bulan. Setiap dorm kena buat persembahan.

Lirik lagu Knife itu mendayu-dayu sedihnya.

Knife
Cuts like a knife
You cut away the heart of my life

When I pretend
Wear a smile to fool my dearest friends
I wonder if they know
It's just a show


Si Lionel Ritchie yang buta itu mengalunkan lagunya dengan bersungguh-sungguh.

Hello, is it me you're looking for?
'Cause I wonder where you are
And I wonder what you do
Are you somewhere feeling lonely or is someone loving you?
Tell me how to win your heart
For I haven't got a clue
But let me start by saying … I love you


Itulah ceritanya apabila gagal mahu jadi ustazah.

Tidak ketahuan hala meniti kehidupan dengan ilmu agama yang sejemput.

Seperti menaiki perahu bocor yang teroleng-oleng di tengah laut ganas dengan pendayung yang patah.

Mahu mendidik diri dan anak-anak bukan satu tugas mudah.

Tetapi saya tidak pernah berputus asa selagi belum menutup mata. Agama adalah pendidikan seada hayat.

Setua mana pun kita dan anak-anak, peluang yang diberi-Nya sentiasa terbuka.

Seperti kata UAI, syurga itu amat luas.

Moga kita sentiasa diberi rezeki dengan taufik dan hidayah-Nya.

Friday, December 6, 2013

Ipoh, Mu Tunggu Aku Datang


Ipoh, mu tunggu aku datang


Bersama Sasterawan2 Negara dan penggiat sastera tanah air

Allah selalu mendengar.

Jalan lapang dan cuaca mendung. Saya tidak memasang pendingin hawa. Tiba di Ipoh lebih kurang jam lima setengah. Langsung tiba-tiba teringatkan mak.

Saya ajak kakak pulang.

Hampir Isyak kami tiba di kampung.

Malam yang tidak lena. Saya dan kakak kurang sihat dan asyik terjaga.

Jam lima setengah kami bersedia untuk bergerak, menunggu waktu subuh masuk.

Tiga anak saudara mahu mengikut saya. Sudah diberikan amaran bahawa acara hari itu akan membosankan mereka, tetapi mereka tetap mahu ikut.

Oleh sebab dimaklumkan bahawa acara mula jam delapan setengah, saya akan sampai paling lewat jam delapan dua puluh sembilan minit. Tetapi tatkala tiba, dewan sunyi. Hanya ada urus setia yang menguruskan pendaftaran.

Majlis bermula jam sepuluh.

Oleh sebab para waibi sedang menjerit-jerit di persidangan, maka perasminya digantikan oleh wakil waibi.

Acara Bicara Karya Malim Ghozali Pk, penerima SEA Write Award 2013 pun berlangsung.

Panel terdiri daripada SN Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh (Kumpulan Puisi Sajak-sajakku Tak Pernah Tahu), SN Dato' Dr Mohd Anuar Haji Rethwan @ Anwar Ridhwan (Kumpulan Cerpen Langit Tidak Berbintang Di Ulu Slim), Prof Dr Sohaimi Abdul Aziz (“Dalam Daun Ada Daun” : Satu Bacaan Intertekstual Gestalt terhadap Novel Daun) & Tuan Haji A. Rahim Abdullah (Dunia Parodi Dalam Puisi Malim Ghozali Pk).

Moderatornya ialah Prof Madya Dr A Halim Ali.

Sempat juga bicara dengan Pak Malim. Saya bertanya akan status kesihatan beliau. Pak Malim memaklumkan bahawa beliau sedang menjalani rawatan alternatif di Sayong.

Encik Anuar, orang kuat WCP memberikan saya kartu perawat alternatif tersebut.

“Puan bawa limau nipis dua belas biji dan air”

Kemudian dengan wajah serius, beliau menyambung, “tapi sepanjang hidup saya, saya tak pernah lagi jumpa limau nipis. Jenuh saya cari di kedai dan merata tempat, tapi tak jumpa...”

Saya terlongo. Dalam hati menyebut, “biar betul Encik Anuar ni! Takkan tak kenal mana satu limau nipis?”

“Yang selalu saya jumpa limau bulat atau bujur. Tak ada yang nipis!”

Aduh, terkena saya!

Usai makan tengah hari, mesyuarat agung jawatankuasa penaja penubuhan Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) pun diadakan.

Pak Malim dan Tuan Haji Zabidin mahukan AJK terdiri daripada mereka yang bertugas di sekitar kota KL.

Tuan Haji A Rahim Abdullah telah dilantik sebagai Pengerusi. Tuan Basri Abdullah dari DBP mencadangkan nama saya sebagai salah seorang AJK penaja (wakil NS). Awalnya saya mahu membantah sebab saya bukan orang NS, hanya tumpang bertugas di negeri itu sahaja. Tetapi tiada sesiapa dari NS yang hadir untuk dicalonkan namanya.

Selesai menyuarat, kami berpusing-pusing sekitar Ipoh. Sesat. Zuhur hampir ke hujung.

Kasihankan anak saudara peminat UAI, saya belanja juga mereka menonton Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang.

Babak UAI hanya sekilas. Ceritanya sekitar watak Dadu dan Muiz dengan komedi ringan dan bersahaja . Pierre Andre “berkhutbah” dalam bentuk yang remaja dapat terima. Ada si kecil yang dibawa ibu bapanya terkekek-kekek ketawa.

Selepas keluar, berderetan penonton ke surau sambil menyebut dialog “satu marhalah”. Alhamdulillah.

Walaupun ramai yang tidak setuju dengan pembabitan ustaz dalam filem tersebut, tetapi pada pendapat saya, itu juga satu cara dakwah. Lagi pun, memang sekejap sangat wataknya keluar. Watak cameo.

Sedih betul kena balik ke Seremban.

Mak bekalkan daun pokok beka dan sireh untuk saya dan kakak. Saya singgah di Ipoh untuk berikannya kepada kakak yang demam kuat.

Saya perlukan daun pokok beka itu sebab rasanya badan sudah sangat “misin” makan makanan di Beijing dan di kedai.

Di rumah, air rebusan daun-daun itu saya buat mandi. Daun beka yang saya gosok di badan menghasilkan lendir. Memang sah, saya “kemisinan”.

Itu amaran supaya saya rajin memasak sendiri makanan di rumah! Dijamin bersih dan zero ajinomoto!

Monday, December 2, 2013

Telenovela Hujan

Hujan dari malam ke pagi kemudian bersambungan pula hingga ke malam. Seperti telenovela yang bersambungan sirinya.

Tiada masalah sebab saya sukakan hujan dan musimnya.

Cuma yang menjadi masalah sedikit ialah selesema dan batuk. Cuaca dingin menyebabkan batuk menjadi-jadi.

Pesakit seperti saya kena awas dengan gejala influenza. Jika ada tetamu atau orang lain dalam rumah, saya akan memakai mask biar pun tatkala tidur. Kadang-kadang seluruh muka bertutup dengan eye mask dan face mask. Sudah biasa.

Itu sebab sedaya mungkin cuba mengelak berdekatan dengan orang yang mengalami batuk selesema. Kalau sudah berjangkit, sukar mahu sembuh.

Saya sedang berkira-kira mampu pergi atau tidak ke acara di Ipoh 5 Disember ini. Acara Bicara Karya dan Pemikiran Malim Ghozali Pk, penerima SEA Write Awards terkini yang juga karyawan kebanggaan negeri Perak. Kemudian khabarnya akan ada usul penubuhan PENYAIR yakni satu kelab yang akan menguruskan rombongan penyair ke Kongres Penyair Sedunia di Peru dan hal-hal lain berkaitan dunia kepenyairan.

Kalau ikutkan tidak larat, memang saya tidak berdaya. Rasanya mahu sahaja saya berkubang di bawah selimut melayan rasa tidak larat itu. Saya kembali tidak berselera. Lesu sekali. Minggu hadapan ada dua temu janji di hospital. Ertinya sepanjang hari saya akan berada di rumah kedua saya itu.

Anehnya juga ialah saya kematian idea. Banyak yang sedang berlegar di minda tetapi barangkali kondisi kesihatan yang menyebabkannya beku.

Banyak orang yang badannya terkurung tetapi mindanya berada di luar sel penjara.

Dengan sebab itu jika kita perhatikan, banyak sekali karya hebat yang terhasil ketika penulisnya sedang berada di penjara. Termasuklah novel Keluarga Gerilya karya allahyarham Pak Pram.

Masalahnya, saya sedang terkurung bersekali dengan tubuh dan minda.

Hujan bukan penyebabnya. Bukan. Hari ini matahari sedang berusaha untuk keluar daripada kamarnya setelah semalam dia gagal.

Biar pun membenci ubat batuk, tetapi saya terpaksa menutup hidung untuk menghirup benda manis melekit itu.

Ishh...tidak sanggup memikirkannya!

Sunday, December 1, 2013

Dia Bukan Anak Penyu

Hari ini si sulung bergerak pulang ke kampus. Keretanya yang kemek sedikit sudah dibaiki. Saya mengira-ngira waktu. Tatkala dia menghantar mesej bahawa dia sudah tiba, saya terkejut. Cepatnya!

“Hari ni kakak tak ikut pak cik lori...” jawabnya.

Dua kali dia sesat sebelum ini. Apabila ditanya bagaimana boleh sesat, katanya kalau sudah kebuntuan jalan, dia ikut saja kalau ada nampak pak cik lori atau pak cik motosikal.

“Habis, kalau mereka itu pergi ke tempat lain bagaimana?”

“Tak apalah, sekurang-kurangnya kakak tak sesat seorang!”

Aduh! Orang macam ini pun ada!

Saya membuat peta baharu siap dengan bangunan sebagai penanda. Dulu waktu membuat peta untuk si adik, petanya lebih mudah walhal kampus adik lebih jauh.

Si bongsu masih berada di pedalaman Segamat. Dia terlibat dalam program baktisiswa. Penat yang belum habis, Rabu tiba di tanah air, Jumaat usai subuh sudah bergerak ke Segamat. Jam hampir pukul satu pagi, dia masih menghantar mesej. Maknanya dia memang benar-benar tidak cukup rehat dan tidur.

Saya beritahu dia, jadi mahasiswa memang begitu. Kalau jadi mahasiswa hanya duduk goyang kaki, pergi kuliah balik kuliah; sekeping ijazah itu tiada makna.

Jadi mahasiswa mesti mengambil tahu hal-hal yang terjadi dalam masyarakat. Kena ikut berfikir, kadang kala kena ikut terlibat.

Jangan jadi mahasiswa ayam daging. Sudah biasa dikurung, kalau dibukakan sangkar pun ayam-ayam itu masih duduk berhimpit-himpit.

Menunggu untuk disembelih!

Bukan mengapi-apikan, tetapi hati kurang puas melihat mahasiswa mahasiswi yang didoktrinkan dengan fahaman yang sedikit backward. Maka jadilah mereka itu satu produk dari kilang. Bentuknya sama dan kaku!

Hari minggu ini meninjau-ninjau cerita Siti Aishah yang kononnya menjadi “hamba” selama empat puluh tahun di UK. Empat puluh tahun itu sangat lama. Siti Aishah sudah melupakan bahasanya. Tetapi dia tidak pernah melupakan gemulah ibunya. Moga akidah beliau masih terpelihara.

Tidak dapat membayangkan perasaan seorang ibu yang kehilangan anak yang dikandungnya selama sembilan bulan itu dan dibesarkan sehingga berusia 20-an. Seorang ibu yang meninggal dunia dalam duka yang siapa pun tidak akan memahami. Jika mati, pasti ada pusaranya. Tetapi anak itu hilang tanpa dikesan. Sang ibu pergi ke ribaan Illahi dengan rindu yang hanya Allah sahaja yang tahu.

Beratnya derita yang kita tanggung, pasti tidak seberat derita ibu kepada Siti Aishah!

Hujung minggu yang murung cuaca tapi tampak indah di mata.

Siti Aishah anak manusia yang berusia 69 tahun, bukan anak penyu.

Maka, dia akan kembali jua sebab...

Dear everybody at home. I am very happy I have met Kak Mah Today. I am well and hope to see you all sometimes in the near future. Love from me, Aisha